26 Jun 2012

10 tahun penduduk Machap diganggu lalat

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung sekitar Pekan Machap, Simpang Renggam, Johor kesal terhadap kegagalan agensi kerajaan mengatasi masalah lalat yang melanda sejak 10 tahun lalu.

Jawatankuasa Bertindak Masalah Alam Sekitar Machap, Simpang Renggam yakin masalah tersebut berpunca daripada 20 ladang ternakan ayam di kawasan sekitar yang tidak mempunyai sistem menghalang pembiakan lalat.

Urusetia jawatankuasa tersebut, Suhaizan Kaiat berkata, penduduk sekitar termasuk peniaga gerai makan sangat terganggu dengan masalah tersebut.

Malah katanya, kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Machap, Lebuh Raya Utara Selatan dipenuhi lalat.

Jelas Suhaizan juga, najis ayam yang digunakan oleh pengusaha sayur-sayuran di sekitar Machap menjadi tempat pembiakan lalat sementara air yang digunakan untuk proses penternakan dilepaskan ke parit-parit berdekatan.

"Kami yakin perlepasan bahan kumbahan daripada ladang ayam di sekitar Machap ini bertentangan dengan perkara 4, Peraruran-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, Seksyen 4, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan Seksyen 7 Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. Perlanggaran inilah menjadi punca lalat begitu banyak," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen dengan ditemani Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria, hari ini.

Katanya, tiada penyelarasan yang mantap di antara lapan agensi kerajaan yang dipertanggungjawab menyebabkan masalah ini tidak dapat diatasi.

Lapan agensi terbabit ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Galian, Perkhidmatan Bekalan Air Johor, Jabatan Kesihatan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Majlis Daerah dan Jabatan Parit dan Saliran.

"Punca utama adalah tiadanya penyelarasan yang mantap di antara agensi-agensi terbabit di peringkat daerah.

"Penguatkuasa seluruh negeri Johor hanya ada sembilan orang sahaja. Kompaun di bawah Enakmen Unggas Negeri Johor hanyalah RM2,000 sahaja," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Memorandum berhubung perkara ini turut diserahkan kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Harakah Daily

Tiada ulasan: