26 Jun 2012

Kanak-kanak nyaris rentung

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR LINTANG - "Dia tiba-tiba menerpa ke arah saya sambil memberi tahu takut api," kata bapa kanak-kanak berusia empat tahun yang nyaris rentung setelah bermain mancis di sebuah bilik di rumahnya menyebabkan tilam di bilik tidur itu terbakar.

Kejadian berlaku di sebuah rumah banglo dua tingkat yang didiami datuk mangsa di Kampung IKM pada jam 1.30 petang kelmarin.

Wais Aqorni Mohd Nor Hafizi yang belajar di Sekolah Tadika Imtiaz Besut, pada mulanya dikatakan bermain mancis di dalam sebuah bilik tidur yang menyimpan mainan sebelum api dipercayai
menyambar tilam di bilik itu.

Bagaimanapun, dia sempat berlari keluar dari bilik yang terbakar itu kemudian mendapatkan bapanya, Mohd Nor Hafizi, 30, yang berada di rumahnya yang terletak bersebelahan dan memberitahu kejadian yang berlaku.

“Saya bergegas pulang untuk mengenal pasti apa yang berlaku selepas Wais Aqorni memberitahu yang dia takut api,” katanya.

Mohd Nor Hafizi berkata, dia cuba memadam kebakaran di dalam bilik itu namun gagal kerana asap tebal dan api mula menyambar bahagian kayu bumbung rumah.

Bagaimanapun, penyelia projek pembinaan ini terpaksa menyelamatkan diri apabila api semakin marak sebelum menghubungi bomba.

“Ketika kejadian, Wais Aqorni berada seorang diri di dalam rumah itu manakala emak saya, Jawahir Said, 56, dan ayah, Othman Kadir, 57, tidak ada di rumah kerana mempunyai urusan perniagaan di Jertih.

“Beberapa minit sebelum itu, saya bersama Wais Aqorni berada di rumah selepas saya menjemputnya pulang dari sekolah di Kampung Raja dan kemudian saya pulang ke rumah saya yang terletak bersebelahan,” katanya.

Mohd Nor Hafizi bersyukur kerana anaknya selamat apabila dia bertindak keluar dari bilik yang terbakar itu sebaik kejadian berlaku.

Sementara itu, kepantasan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut bersama sebuah jentera dibantu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih juga dengan sebuah jentera berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke bahagian lain rumah.

Api berjaya dikawal dan dipadamkan pada jam 2.18 petang dan kebakaran itu memusnahkan sebuah bilik serta dua ruang tamu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: