6 Syaaban 1433H. [MOD] -
PUCHONG – Sudah berhabis wang tunai hampir RM5,000 namun seorang warga emas di sini kesal apabila tiga individu yang berjanji membantu membuat permohonan surat beranak untuk anak angkatnya yang berusia 14 tahun menghilangkan diri tanpa berita.
Lebih malang lagi penantian yang tiada berpenghujung itu diakhiri dengan salah seorang daripada mereka hanya memberikannya satu salinan surat beranak namun di bahagian keturunan dokumen penting milik anaknya itu ditulis sebagai berketurunan Indonesia.
Warga emas berkenaan, Amenah Kassan, 60, berkata, anak angkat itu diserahkan kepadanya ketika berusia 13 hari pada 20 Januari 1998.
“Ketika mengambil anak angkat itu saya ada bertanyakan kepada lelaki yang menghantarnya berhubung dokumen kanak-kanak berkenaan dan dia berjanji untuk memberinya kepada
saya kemudian.
“Bagaimanapun setelah beberapa tahun berlalu, lelaki berkenaan tidak menghantar surat beranak anak angkat saya bernama Mohd Aiman itu sehinggalah menerima berita ibu kanak-kanak itu meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam sungai tahun lalu,” katanya.
Amenah berkata, kerana tidak mengetahui prosedur permohonan dokumen penting berkenaan, dia ada meminta tolong seorang kenalan untuk membuatnya.
Katanya, individu itu meminta dia membayar RM2,000 kerana mendakwa proses permohonan sukar dilakukan.
Kerana percaya menurutnya, dia kemudian bersetuju membuat pembayaran sebelum ditipu kali kedua dan dikenakan bayaran RM2,000 dan ditipu kali ketiga dengan bayaran RM850 oleh tiga individu berlainan.
“Cuma dengan individu terakhir surat beranak berjaya dibuat malangnya di bahagian keturunan ditulis sebagai anak Indonesia sedangkan ibu bapa anak angkat saya adalah warganegara
sini,” katanya.
Amenah berkata, akibat tiada surat beranak, anak angkat yang dipeliharanya tidak dapat ke sekolah pendidikan khas malah lebih menyedihkan tidak dapat membuat permohonan
bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ia katanya berikutan, anak angkatnya memakai lampin pakai buang dan memerlukan sedikit kos penjagaan.
“Cuma kalau boleh saya mohon Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memudahkan permohonan surat beranak Aiman,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan