6 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendakwa Felda tidak akan lagi membuka bantuan pinjaman pembesaran rumah kepada peneroka selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH).
Menurut maklumat yang diperolehinya, Mazlan mendakwa bantuan pinjaman sehingga RM40,000 itu tidak akan lagi dinikmati peneroka kerana Felda kehabisan peruntukan.
"Paling baru maklumat kita dapat, ada peneroka yang hantar permohonan, tetapi tak lulus dan Felda jawab kerana tiada peruntukkan lagi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.
Selain itu kata Mazlan, peneroka juga bakal berdepan dengan pemotongan hutang yang lebih radikal berbanding sebelum ini selepas Felda menyemak semula sistem pemotongan hutang mereka.
Ianya termasuk pemotongan wajib daripada pendapatan peneroka seperti baja, kerja-kerja pemulihan dan lain-lain
"Tak kurang daripada 20 potongan sebelum pendapatan sampai ke tangan peneroka.
"Kesanya kalau dahulu peneroka dapat RM1,300, lepas tolak sekarang tinggal RM500.
"Mereka nak bergantung pada apa lagi. Bergantung kepada saham mereka 800 unit? Berapa sangat mereka dapat," soalnya.
Selain itu, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat turut mendakawa, 'tanah poket' Felda juga kini tidak boleh lagi digunakan anak-anak peneroka.
Kalau dahulu menurut Mazlan, tanah poket ini dibenarkan Felda untuk diguna oleh anak-anak peneroka untuk mengusahakan projek hiliran dan melakukan aktiviti.
"Ada kes anak-anak peneroka mohon tanah-tanah ini tetapi tak dapat.
"Selama ini tiada masalah tapi sekarang Felda bagi alasan tanah itu sudah jadi tanah milik pajakan FGV," katanya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan