6 Syaaban 1433H. [MOD] -
MEXICO CITY - Tiga anggota polis persekutuan Mexico ditembak mati semalam ketika mereka cuba menahan suspek pengedaran dadah di lapangan terbang antarabangsa di sini.
Kejadian berlaku di pusat selera makan Terminal 2 lapangan terbang sekitar jam 8.50 pagi waktu tempatan (9.50 malam waktu Malaysia). Identiti suspek yang melepaskan tembakan belum diketahui.
Dua anggota polis mati di tempat kejadian manakala yang ketiga di hospital, kata kenyataan Kementerian Keselamatan Awam.
"Apabila menyedari mereka dikepung, pengedar dadah melepaskan tembakan dengan menggunakan senjata mereka ke arah polis persekutuan," kata kenyataan itu lagi.
Laporan stesen Milenio TV menyebut sekurang-kurangnya 14 das tembakan dilepaskan.
Beberapa saksi menyebut pihak polis melepaskan tembakan ke arah rakan mereka.
Bagaimanapun beberapa lain menyebut pengedar dadah menyamar sebagai polis.
"Saya nampak anggota polis mengejar anggota polis lain, dan kemudian melepaskan tembakan," kata seorang saksi dipetik AFP.
"Mereka semua anggota polis, tembak antara satu sama lain," kata seorang lagi saksi.
Seorang lagi saksi menyebut pasukan polis hanya tiba lima hingga 10 minit kemudian.
Pihak polis tidak menyebut sama ada suspek lelaki yang berpakaian polis merupakan anggota polis yang sebenar.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan