17 Disember 2012

Pekerja CIMB berpiket bantah pengurusan adik Najib Razak

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 16 DIS: Lebih 300 ahli Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (Nube) semalam berpiket depan  Menara Bumiputra Commerce berhampiran pusat beli-belah Sogo bagi membantah pengurusan yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Nazir Razak.

Ia berikutan Nube menuntut pembelaan kerana kesatuan itu menganggap berlaku penindasan terhadap kekerja bank termasuk hak pekerja dilanggar manakala tanggungjawab sosial dikhinati.

“Afendi Md Ali dipecat kerana mempersoal penyalahgunaan dana. Norlaily Mat Loddin yang hamil empat bulan dijerit, dimarahi dan diugut pengurus cawangan hingga pengsan  kerana enggan membuat transaksi yang melanggar undang-undang.

“Kira-kira 100 pekerja kontrak sementara dinafi jaminan pekerjaan dan hak untuk kehidupan lebih baik sepertimana dijamin kontrak tetap. Mereka juga tertakluk kepada diskriminasi melampau.

“Penilaian prestasi dan bayaran kepada pekerja (turut) ditipu; pekerja dinafi makanan ketika menghadiri latihan dan uniform untuk pekerja juga diabai,” kata kenyataan Nube.

Demontrasi antara jam 10 pagi hingga 1 petang itu menyaksikan mereka membawa sepanduk mengecam CIMB dan Nazir, antaranya ‘Adik PM Malaysia Mungkiri Janji’ dan Adik PM sabotaj Manfaat untuk 100,000 rakyat Malaysia’.

Demonstrasi turut gamat apabila peserta memutar lagu Gangnam Style yang diiringi dengan tiupan vuvuzela serta paluan kompang dan gendang masyarakat India.
Nazir adalah adik kepada Datuk Seri Najib Razak yang turut dikait dengan pendedahan usahawan, Deepak Jaikishan berkaitan pembayaran kepada Penyiasat Persendirian, Balasubramanim.

Kenyataan Nube juga menyebut, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu boros berbelanja RM18.7juta bagi menganjurkan pertandingan Golf CIMB Classics 2012 dan RM2.5juta untuk 128 pemain golf muda.
“Pihak pengurusan tertinggi juga dapat bayaran bonus tinggi beserta kereta mewah dan faedah lain,” katanya.

keadilndaily/-

Lima jam tergantung

Lima jam tergantung3 Safar 1433H. [MOD] -

AMPANG: Selepas lima jam tergantung pada tali, seorang lelaki yang terjatuh ke dalam gaung terselamat daripada maut apabila diselamatkan seorang pendaki profesional ketika mangsa mendaki Bukit Tabur, Taman Melawati, di sini, bersama lima rakannya, pagi semalam.

Kira-kira jam 9 pagi, iaitu dua jam selepas mereka mula mendaki, Chun Wing Sing, 28, terjatuh ke dalam gaung dan tersangkut pada tumbuhan, tetapi tidak boleh mendaki semula.

Rakannya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak membawa peralatan mendaki secukupnya, namun mangsa bernasib baik kerana seorang pendaki profesional kebetulan melalui laluan itu dan mencampakkan tali ke bawah untuk dipaut Chun bagi mengelaknya terus jatuh ke dalam gaung.

Sumber berkata, mangsa berpaut pada tali berkenaan selama hampir lima jam sebelum sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba dengan peralatan mendaki, menyelamatkannya.

“Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari bukit berkenaan kira-kira jam 3 petang,” katanya.

Difahamkan, Chun yang cedera di muka, badan dan terseliuh kaki kanan, dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.43 pagi dan tiba di lokasi 40 minit kemudian.

Menurutnya, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dihantar ke lokasi kejadian dengan kekuatan lima pegawai dan anggota bomba bagi membantu menyelamatkan mangsa.

sinar/-

MB Perak sedang bentang Bajet Perak tahun 2013

3 Safar 1433H. [MOD] -

Sidang Bajet DUN Perak bermula pada pagi ini berjalan dengan lancar. MB Perak sedang membentangkan Bajet Perak 2013 

Tim Muhyiddin Sudah Mula Edar Pelekat Untuk Jatuhkan Najib

3 Safar 1433H. [MOD] -

Kuala Terengganu – Penemuan dua pelekat dengan gambaran tulisan seolah- olah menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi menyokong timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada peti pos Pejabat Sinar Harian Edisi Terengganu, Batu Burok dilihat cubaan pihak tertentu untuk menarik perhatian editorial di sini.

Bagaimanapun, pelekat dengan tulisan ‘Najib Perdana Menteri dok rok cetong. Kami nok Muhyiddin’ dengan lambang 1Malaysia tertera di bawahnya mungkin bertujuan menghangatkan bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Tidak pasti sama ada ia dilakukan dengan tujuan tertentu untuk melaga-lagakan ahli dan penyokong Barisan Nasional (BN) ataupun wujud gerakan yang benar-benar menolak Najib, pemimpin Umno bagaimanapun tidak melihat ia sebagai perkara serius.

Pengarah Strategi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan menganggap ia hanya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba melaga-lagakan kepimpinan BN.

Beliau turut menjangka lebih banyak lagi perkara yang timbul daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk menambah kehangatan PRU13.

“Isu-isu untuk melaga-lagakan. Lepas ni, macam-macam lagi yang timbul,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian tanpa mengulas lanjut.

Pelekat tersebut kelihatan ditampal beberapa hari lalu di peti pos Pejabat Sinar Harian Edisi Terengganu dan juga di pintu masuk di tingkat bawah yang merupakan laluan utama ke blok bangunan ini.

Sementara itu, perang poster di negeri ini dilihat masih dalam keadaan terkawal, namun ‘bunga-bunga’ ke arah itu sudah pun kelihatan apabila beberapa poster dan kain rentang memburukkan pemimpin dan parti lain turut dipasang di tempat umum sebelum ini.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak begitu disedari orang ramai apabila pihak bertanggungjawab pantas mengambil tindakan menurunkannya dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Terbaru, keadaan juga dilihat agak panas apabila warga Felda Selasih di Jabi baru-baru ini turut menghalang konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda yang disertai Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak),iaitu persatuan yang cenderung kepada pembangkang, sehingga menimbulkan kekecohan walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku. -SH

Penempatan haram Israel

3 Safar 1433H. [MOD] -

Penempatan haram Israel
$entry.content.caption.value
Masalah penempatan haram Israel terus menjadi isu hangat dan menarik perhatian masyarakat antarabangsa baru-baru ini, selepas mereka mengumumkan untuk meluaskan projek pembangunan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Tindakan dilihat sebagai provokasi segera Israel itu, dikecam negara sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat (AS). Penjajahan Israel ke atas Tebing Barat dan Baitulmaqdis dikatakan bermula selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan untuk membahagikan populasi di Palestin pada tahun 1947.

Pada tahun 1948 pula, Israel dengan angkuh mengisytiharkan ‘kemerdekaan’ negara mereka tanpa menetapkan garis sempadan. Dalam tempoh dua tahun sahaja, Israel menduduki 78 peratus tanah milik Palestin.

Difahamkan, peratusannya terus meningkat selepas tercetusnya Perang Enam Hari pada 1967. Susulan daripada peperangan itu, sebahagian besar tanah Palestin dirampas hingga menyebabkan kira-kira 330,000 penduduk negara tersebut terpaksa menjadi pelarian di kampung halaman mereka sendiri.

Pada masa tersebut, Bukit Golan di Syria dan Semenanjung Sinai di Mesir turut ditawan rejim Zionis. Israel berjaya menguasai 60 peratus kawasan di Tebing Barat dan merampas 30 peratus tanah di Semenanjung Gaza.

Rentetan daripada peristiwa itu, dua parti politik utama, Parti Buruh dan Likud bekerjasama mewujudkan penempatan haram Israel dari semasa ke semasa. Penempatan haram pertama dibina di bawah Parti Buruh pada tahun 1968 hingga 1977, dengan objektif utama kononnya untuk memastikan golongan Yahudi menjadi penduduk majoriti di kawasan strategik utama di Tebing Barat, Tel Aviv dan koridor Baitulmaqdis.

Israel terus membina penempatan haram mereka sewenang-wenangnya sehingga calon Parti Likud, Menachem Begin dilantik sebagai perdana menteri pada 1977. Kerajaan di bawah pimpinan beliau bertanggungjawab menyediakan insentif kewangan kepada bangsa Yahudi untuk berpindah ke Judea dan Samaria di Tebing Barat.

Tujuan asal Israel jelas menunjukkan mereka mahu mengukuhkan kedudukan di wilayah tersebut, sekali gus menghalang usaha Palestin membentuk sebuah negara. Kebanyakan golongan Yahudi pada hari ini dilabel sebagai pendatang haram dan mereka berpindah ke Tebing Barat atas sebab ekonomi kerana kerajaan Israel menjanjikan insentif kewangan untuk mereka.

Semasa rundingan damai pada akhir 1991, lebih 80 peratus kawasan di Tebing Barat tidak berpenghuni tetapi kini lebih 60 peratus penduduk Israel menetap di lima kawasan penempatan haram di Maaleh Adumin, Modiin Ilit, Ariel, Gush Etzion dan Givat Ze’ev di Tebing Barat yang hanya terletak kurang satu kilometer dari garisan hijau mengikut perjanjian sempadan tahun 1967.

Walaupun resolusi PBB mengisytiharkan penempatan golongan Yahudi itu melanggar undang-undang, jumlah penduduk Israel menetap di kawasan tersebut dilaporkan meningkat hampir dua kali ganda daripada 281,000 kepada lebih 550,000 orang sejak Perjanjian Oslo ditandatangani pada 1993.

Keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Banjamin Netanyahu meluluskan penempatan haram tambahan sebanyak 3,000 unit apartmen juga dilihat sengaja untuk menggagalkan usaha Palestin yang berhasrat menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara apabila Gaza dan Tebing Barat membentuk sebuah negara.

sinar/-

Nik Aziz mahu penceramah Pas guna ayat suci al-Quran

3 Safar 1433H. [MOD] -

Nik Aziz
Nik Aziz
 
DUNGUN – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu penceramah mewakili partinya menggunakan ayat-ayat suci al-Quran yang sesuai dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Menurutnya, berdasarkan keadaan negara yang kian menghampiri pilihan raya umum, beliau mengingatkan kalangan penceramah menggunakan ayat-ayat al-Quran bagi menterjemah kepada rakyat mengenai pembentukan kerajaan Islam.

“Apabila ceramah (kita) kena sebut ayat al-Quran. Sekarang ini dekat dengan hari mengundi, (jadi) bacalah ayat sesuai berhubung membentuk kerajaan Islam,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Himpunan Kebangkitan Rakyat Pas Ganti Umno (PGU) 6.0, di Paka, kelmarin.

Beliau menjelaskan, sebagai penceramah dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam, penggunaan ayat-ayat suci al-Quran digalakkan sebagai penegasan kepada rakyat sesuai dengan perkembangan semasa.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan itu turut menyifatkan Umno sebagai sebuah parti yang tidak layak menjadi jentera Islam.

Beliau yang sebelum ini turut melabelkan Umno sebagai sebuah parti murtad menjelaskan bahawa parti itu tidak mampu memimpin rakyat ke arah bertakwa kepada ALLAH atau ‘ittaqullah’.

“Umno tak layak nak pimpin rakyat ke arah ittaqullah dan untuk melaksanakannya perlu dibuat oleh parti Islam dan tiada parti yang seumpama itu melainkan Pas,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian himpunan Kebangkitan Rakyat Pas Ganti Umno 6.0 di Paka, di sini, kelmarin.

Beliau menjelaskan, hanya Pas yang mampu membawa rakyat ke arah seruan tersebut kerana mendakwa Umno awal-awal lagi menolak Islam.

“Pas ada wadah dan jentera untuk laksanakan seruan itu dan kita yang paling layak untuk menunaikan seruan itu seperti mana yang diminta oleh khatib ketika membaca khutbah setiap Jumaat dan bukan Umno,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut mendakwa Umno tidak boleh terus bergantung kepada perjuangan bersifat kebangsaan.

Beliau turut mengaitkan slogan ‘hidup Melayu’ sama sekali tidak sesuai dilaungkan dalam masjid, tidak sebagaimana laungan takbir yang sering kali diucapkan pemimpin dan pengikut Pas.

“Tidak boleh ucap ‘hidup Melayu’ dalam masjid. Bagaimana sekiranya ada Cina Muslim atau India Muslim dalam masjid. Tidak boleh kebangsaan, tidak boleh Arab, Melayu, Cina. Semua sama. Lebih lagi apabila Melayu tunjuk perangai jelik dengan menonggeng punggung,” katanya.

sinar/-

Tangan jadi bengkak dan hitam

3 Safar 1433H. [MOD] -




KUALA TERENGGANU – Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib seorang budak lelaki berusia empat tahun apabila tangan kanannya yang patah setelah terjatuh tangga rumah pada Rabu lalu kini membengkak dan berwarna kehitaman.

Ia gara-gara tindakan bapa mangsa, Nor Azhadi Nordin, 35, mendapatkan khidmat seorang bomoh patah untuk merawat anaknya, Nor Arif Luqman yang bertindak membalut luka tangannya yang patah itu dengan kain.

Bagaimanapun tindakan bomoh tersebut bukannya membantu memulihkan tangan budak itu sebaliknya menyebabkan ia membengkak dan berubah warna menjadi hitam.

Bimbang dengan keadaan itu, Azhadi dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Doktor yang merawat anaknya itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada tangan anaknya itu masih boleh diselamatkan atau tidak.

Azhadi memberitahu, anaknya terjatuh dari tangga ketika bermain di rumah di Kampung Telaga, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada pukul 2.30 petang.

“Apabila rasa sakit, anak saya beritahu tangan dia patah dan atas nasihat ahli keluarga, saya bawa dia jumpa bomoh di Kampung Dusun sejauh 15 kilometer dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

sinar/-

Pemilihan CEC: Tidak timbul DAP rasis

3 Safar 1433H. [MOD] -



PARIT: Pemilihan anggota Jawatankuasa Pusat Tertinggi DAP (CEC) ditentukan oleh para perwakilan, bukannya pemimpin, kata V Sivakumar.

“Perwakilan bebas memilih sesiapa sahaja daripada 68 calon yang bertanding.

“Apa yang berlaku itu adalah keputusan pilihan perwakilan, bukan keputusan pemimpin,” ujarnya kepada Harakahdaily semasa ditemui pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Perak di Bandar Seri Iskandar, malam tadi.

Justeru, kata Adun Tronoh, Perak itu, kekurangan wakil kaum India di dalam mungkin ada kelemahan kerana kurangnya perwakilan kaum itu pada Kongres DAP Kebangsaan ke-16 minggu lalu.

Sehubungan itu, sebagai penyelesaian kepada masalah itu, beliau menjemput masyarakat India supaya menyertai DAP dan menubuhkan cawangan.

Katanya, apabaila cawangan bertambah, maka perwakilan daripada kaum India juga bertambah dan mereka boleh memilih wakil mereka untuk menduduki CEC.

Namun, beliau tidak menyalahkan sistem yang sudah wujud sejak dahulu lagi bagi pemilihan CEC.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan pemilihan pada kongres kali ini kerana Karpal Singh, Gobind Singh dan M Kulasingam dipilih menganggotai CEC bagi sesi 2012-2015.

Baginya, komposisi anggota CEC bukan sahaja perlu dari segi kaum tetapi wakil negeri dan gender tetapi ianya bukanlah perkara mudah.

Begitu juga, ujarnya dari segi penglibatan golongan muda dengan veteran.

Sungguhpun begitu, katanya masalah tersebut diatasi dengan pelantikan 10 anggota CEC.

“Walaupun ada kelemahan dari segi pemilihan tetapi pihak pusat ada mekanisme untuk membuat pelantikan,” ujarnya yang turut dilantik menganggotai CEC sesi 2012-2015.

Dengan itu, jelasnya menunjukkan bahawa DAP bukan parti rasisi sebagaimana yang didakwa sesetengah.

Ini, katanya berbeza dengan Umno, MCA dan MIC yang tidak menerima kaemasukan kaum lain sebagai ahli mereka.

“Parti mana lebih rasis kerana haling orang masuk Umno, itu rasis,” ujarnya lagi.

Menurutnya, DAP tidak menghalang sesiapa sahaja untuk menyertainya.

“Kalau orang India ramai nak masuk DAP, siapa haling, ianya tak boleh haling,” katanya lagi.

harakah/-


3 Safar 1433H. [MOD] -


Sidang Bajet DUN Perak bermula pada pagi ini dengan dihadiri oleh semua 59 ADUN Perak. Dewan yang mula bersidang pada jam 10 pagi dimaklumkan oleh Speaker Dewan akan berlangssung selama 5 hari sehingga 21 Disember ini.

Sesi awal sidang dimulai dengan sesi soalan lisan yang sempat dijawab oleh pihak kerajaan negeri sebanyak 7 soalan sahaja.

Antar soalan yang dibangkitkan ialah dari ADUN Titi Serong berkaitan dengan Kolej Islam Darul Riduan yang telah diluluskan oleh dewan perak kepada Kolej Universiti satu masa dulu..

Selain itu wakil PAS dari Changkat Jong yang bertanyakan mengenai bantuan perumahan kepada keluarga miskin dikalangan orang Melayu di dalam kawasan Parlimen Teluk Intan.

Sementara itu wakil DAP dari Pokok Assam bertanyakan mengenai jumlah pelancong kesan dari Tahun Melawat Perak 2012

Penjawat awam perlu bebas tentukan pendirian politik

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 16 DIS: Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty kesal dengan sikap pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menafi hak kebebasan politik kepada anggota pasukan itu seperti yang didakwa dialami Norhasmimah Mohammad.

“Ini tidak wajar berlaku dalam negara demokrasi. Penjawat awam seperti PDRM atau lain-lain patutnya diberi kebebasan untuk menyokong mana-mana parti kerana ia hak seseorang individu.

“Dalam negara demokrasi, perkara ini merosakkan imej PDRM sebagai sebuah badan tertinggi kerajaan,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas nasib yang dialami Norhasmimah Mohammad, seorang individu yang mengaku sebagai  anggota polis dan ditukar semata-mata kerana didapati menyokong perjuangan Pakatan Rakyat.

Pada paparan facebook, Norhashimah mendedahkan ugutan ditukar ke Sabah atau Sarawak jika terus menyokong parti pembangkang tetapi tidak mengendahkannya.

“Saya tidak akan berganjak walau seinci pun pendirian saya terhadap sokongan saya kepada parti pembangkang, walau diugut bunuh sekalipun,” katanya pada paparan status facebook, 14 Disember lalu.
Sebelum ini, seorang guru sementara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Qatrun Nada Latfi di Labuan dipecat semata-mata kerana menghadiri ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September lalu.

Qatrun Nada  menerima notis pemecatan yang akan berkuat kuasa 1 Disember lalu.

keadilandaily/-

Pakatan Rakyat: Berbeza tetapi bersatu

3 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pimpinan PAS dan DAP tidak menyorokkan perasaan mereka dan akan memberikan pandangan itu secara terbuka dan demokratik. Dalam pada itu sentiasa mencari jalan kesederhanaan di antara mereka.

Demikian pandangan penulis politik, Aspan Alias di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com/ semalam.

Baginya, secara rasminya DAP telah mengakui yang parti itu menghormati agama Islam seperti mana Islam dan penganutnya menghormati agama-agama yang lain.


Saya mendapat banyak pertanyaan tentang perbezaan di antara Karpal Singh dan PAS terutamanya setelah mendengar ucapan Karpal dalam kongres tahunan DAP yang sedang berlangsung di Pulau Pinang sekarang ini. Dalam ucapan beliau semalam, Karpal telah berlembut serta mengakui yang PAS merupakan rakan yang terkuat DAP dalam Pakatan Rakyat walaupun ada beberapa perkara yang berbeza di antara kedua-dua parti itu terutamanya tentang isu yang berkaitan dengan agama Islam dan hukum-hukumnya.

Mereka bertanyakan perkara ini kerana saya telah menyertai parti itu di dalam kongress yang sebelum ini pada 8hb Januari yang lalu. Oleh kerana pertanyaan itu datangnya bertalu-talu akhir-akhir ini maka saya merasakan saya perlu memberikan jawapan walaupun ia merupakan jawapan yang pendek sahaja.

Seperti MCA dan UMNO juga, maka DAP dan PAS tentulah mempunyai perbezaan di antara kedua-duanya. Kalau tidak ada perbezaan maka tidak mungkin wujud dua parti PAS dan DAP. Perbezaan itu memang satu hakikat dan tidak mungkin kedua-dua parti itu sama. Itulah sebabnya ada elemen permuafakatan di antara kedua-dua parti itu bersama PKR dalam apa yang di sebut sebagai Pakatan Rakyat.

Oleh kerana wujudnya perbezaan-perbezaan inilah maka timbul usaha permuafakatan yang kuat dengan matlamat yang kedua-duanya anggap sebagai matlamat yang baik. Jika tidak ada elemen perbezaan maka tidak mungkin ada permuafakatan. Begitu jugalah dalam BN atau pun Perikatan sebelumnya. MCA dan UMNO itu jauh perbezaannya. MCA hanya untuk bangsa Cina dan UMNO merupakan satu parti pada asalnya sebagai parti nasionalis Melayu yang sekarang sudah menjadi parti untuk tauke-tauke dan kroni pemimpin Melayu yang berkuasa.

Kedua-dua pihak samada dalam BN atau Pakatan Rakyat parti-parti yang menganggotai kedua-dua ‘coalition’ itu merupakan parti-parti yang berbeza. Maka wujud kerjasama di antara parti-parti yang menganggotai komponen BN dan PR itu. Dalam BN itu sendiri, khususnya UMNO itu sendiri berbeza dengan UMNO yang kita kenali dahulu. Sekarang UMNO itu untuk kepentingan gulungan eksklusif sedangkan UMNO sebelum ini adalah parti untuk orang Melayu yang ramai-ramai itu.

Walau bagaimana pun ada perbezaan di antara kerjasama Pakatan Rakayat (PR) dengan kerjasama di antara parti-parti dalam BN. Dalam perebutan mengambil hati dan jiwa rakyat yang mengundi, BN selalu memainkan kenyataan-kenyataan Karpal Singh terutamanya yang kadangkala berbeza di antara pemimpin PAS kerana masing-masing mempunyai perbezaan yang berbeza  itu.

Tetapi itulah sebenarnya cara yang baik: masing-masing mesti zahirkan perasaan walaupun ia menunjukan perbezaan. Masing-masing tegas dengan perjuangan masing-masing dan dalam keadaan itu mereka akan mencari jalan untuk mendapatkan jalan tengah yang bersesuaian dengan perjuangan kedua-dua parti yang berbeza itu. Itulah permuafakatan, berbeza tetapi bersatu dalam mencari matlamat yang baik bagi rakyat yang di pimpin oleh masing-masing parti tanpa menanggung perasaan masing-masing.

Tetapi di dalam BN pula sekarang ini tidak ada percanggahan yang ketara di antara kedua-dua parti UMNO dan MCA sedangkan mereka berbeza. Malahan perbezaan di antara UMNO/MCA adalah lebih besar dengan perbezaan PAS/DAP. Tetapi dalam BN ada pihak yang terpaksa menjadi pak turut dan sanggup maruah partinya dan agamanya di permainkan oleh rakan komponennya. Isu yang paling ketara ialah penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh Chua Soi Lek di depan mata Najib sendiri semasa Perhimpunan Agung parti MCA baru-baru ini.

MCA tidak langsung memikirkan perasaan orang-orang Melayu Islam dan Najib pula terpaksa berdiam diri kerana bagi beliau menjaga kedudukan beliau dan kroni beliau itu adalah lebih penting dari mempertahankan agama beliau. CSL begitu bebas menghentam agama kita Islam ini tanpa mendapat reaksi dari Najib dan mana-mana pemimpin UMNO. Kalau begitu sikap pimpinan UMNO maka sudah tentulah tidak ada kenyataan-kenyataan yang bercanggah kerana UMNO membiarkan sahaja rakan kongsinya menghina bangsa dan agama sekendak hati mereka (MCA).

Tetapi dalam Pakatan Rakyat ada perbezaan pandangan tentang satu-satu isu khususnya tentang agama dan hukum-hukumnya. Pimpinan PAS dan DAP tidak menyorokkan perasaan mereka dan akan memberikan pandangan itu secara terbuka dan demokratik. Dalam pada itu sentiasa mencari jalan kesederhanaan di antara mereka. Secara rasminya DAP telah mengakui yang parti itu menghormati agama Islam seperti mana Islam dan penganutnya menghormati agama-agama yang lain.

PAS pula menghormati DAP dan parti-parti lain dan akan melaksanakan hukum hudud atau apa-apa hukum yang disyariatkan oleh Tuhan dan Rasulnya untuk orang Islam sahaja. Dengan cara itu PAS tidak meninggalkan kehendak agama Islam tetapi bersama-sama dalam siasah dan bermuafakat bagi mencapai matlamat yang murni  itu menjaga kepentingan negara dan rakyat dalam erti kata yang sebenarnya.

Itulah saya sentiasa berkata yang kerjasama di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah lebih meyakinkan dari kerjasama parti-parti yang berbeza dalam BN. Di dalam PR masing-masing akan mempertahankan nilai dan agama masing-masing di samping bekejasama sedangkan di dalam BN UMNO terpaksa berdiam diri dengan kutukan MCA terhadap bangsa Melayu dan agama suci kita semata-mata untuk mendapatkan undi bangsa Cina yang MCA sudah tidak dapat menguasai lagi.

UMNO terpaksa menjadi parti dayus semata-mata untuk kuasa walaupun agama dan bangsanya telah di hina dan di perlekehkan oleh MCA. Bagi UMNO, dayus pun dayuslah, asalkan mendapat kuasa sekali lagi dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Itulah baiknya di sebelah Pakatan Rakyat. Masing-masing boleh menyatakan perbezaan secara terbuka tetapi tidak berpecah kerana masing-masing bersatu dan bermuafakat untuk mencapai matlamat yang satu iaitu untuk mengasuh rakyat untuk hidup saling kasih mengasihi di antara satu dengan yang lain.

harakah/-

ISU POLITIK BANGLADESH: MALAYSIA PERLU MEMBANTAH!

3 Safar 1433H. [MOD] -
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa dukacita tentang situasi politik yang berlaku di Bangladesh terutama apabila beberapa pimpinan pimpinan dan aktivis parti pembangkang termasuk pimpinan utama Jamaati Islami Bangladesh telah dipenjara, dibunuh, dihilangkan dan diseksa.

Insiden penangkapan beramai-ramai pemimpin kanan Jamaat Islami dan para pemimpin politik pembangkang di sana tanpa sebarang proses perbicaraan melalui akta Bangladesh International Crimes Tribunal mirip apa yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia melalui akta dakronian ISA – Internal Security Act (Akta Kselamatan Dalam Negeri).

Kami sentiasa komited menentang kezaliman ISA maka atas prinsip yang sama kami simpati atas nasib saudara-saudara kami di dalam Jamat Islami Bangladesh yang telah ditangkap dan dipenjarakan tanpa sebarang alasan yang kukuh dan tidak mendapat pengadilan dan pembelaan sewajarnya.

Kami memandang serius isu ini kerana ia menyalahi keadilan sejagat dan keluhuran demokrasi dan kami sentiasa prihatin dengan sebarang perkembangan politik yang melanggar prinsip-prinsip ini, tidak kira dalam dan luar negara.

Sejak 2009 selepas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengambil alih pemerintahan Bangladesh, banyak pihak termasuk kami berasa sangsi dan bimbang dengan perkembanagn demokrasi dan hak-hak asasi rakyat Bangladesh terutama masyarakat Islam di sana.

Sheikh Hasina juga telah menggunakan helah Bangladesh International Crimes Tribunal untuk membicarakan pimpinan pembangkang khususnya pimpinan Jamaati Islami Bangladesh yang salah seorangnya telah berusia lebih 90 tahun.

Kami mengecam tindakan kerajaan Bangladesh yang manafikan hak demokrasi dan keadilan terhadap Jamaat Islami dan parti-parti pembangkang di sana, apabila dengan sewenang-senangnya menutup ibu pajabat Jamaat Islam yang berdaftar sebagai parti politik di sana.

Atas dasar ini, kami bersama-sama parti politik dan NGO seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM),  Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang serius isu ini dan membentuk satu atas nama Malaysian Task Force for Bangladesh (MTF4B).

Malaysian Task Force for Bangladesh (MTF4B) akan menganjurkan demonstrasi aman di hadapan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur pada hari Jumaat ini 14 Disember 2012 / 1 Safar 1434 H jam 2.30 petang sekaligus menghantar memorandum bantahan untuk menuntut 3 perkara utama iaitu:-

1.) Pemansuhan Bangladesh International Crimes Tribunal yang dilihat berat sebelah dan tidak adil;

2.) Membebaskan tahanan politik khususnya pimpinan utama Jamaat Islami Bangladesh;

3.) Mengembalik hak-hak asasi demokratik dan kebebasan sivil kepada parti pembangkang khususnya Jamaati Islami Bangladesh serta keseluruhan rakyat Bangladesh.

Justeru, kami menjemput semua rakyat Malaysia, NGO dan parti politik untuk sama-sama menyertai demonstarasi aman ini bagi menyatakan bantahan terhadap pencerobohan hak asasi manusia di Bangladesh. Maklumat lanjut sila hubungi Koordinator MTF4B saudara Abu Qassim Azmi di talian 019-3865805.

DR. RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS

Berita Norhashimah Mohamad hina polis ditarik balik

3 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Para blogger Umno mendakwa akaun facebook yang dimiliki oleh Norhashimah Mohammad yang menghina polis adalah rekaan semata-mata.

Gambar yang digunakan oleh status orang ini pula adalah milik seorang pekerja Rumah Kebajikan Seri Kenangan Kangar.

Semakan Harakahdaily ke atas akaun Facebook yang dimilki oleh Norhashimah Mohammad ini sudah tidak ada lagi.

Sebaliknya, satu fan page (gambar) telah dibuka atas nama Norhashimah Mohamad ini.

Harakahdaily dengan ini menarik balik berita yang disiarkan sebelum ini dan memohon maaf kepada pihak yang berkenaan termasuk pasukan polis.

Mapim seru generasi muda belajar dari Arab Spring

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyarankan generasi muda perlu mengambil iktibar dari Arab Spring yang berlaku di abad ini.

Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bukan sahaja ia penting sebagai suatu lonjakan kebangkitan rakyat malah adalah suatu anjakan sikap generasi muda yang sudah muak dengan pemerintah yang menyalahguna kuasa dan memperkayakan kerabat keluarga.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyarankan generasi muda perlu mengambil iktibar dari Arab Spring yang berlaku di abad ini.

Bukan sahaja ia penting sebagai suatu lonjakan kebangkitan rakyat malah adalah suatu anjakan sikap generasi muda yang sudah muak dengan pemerintah yang menyalahguna kuasa dan memperkayakan kerabat keluarga.
Generasi muda tidak harus merasa takut dan berpandangan negatif terhadap kebangkitan yang disaksikan berlaku di abad ini kerana banyak yang boleh dipelajari dari proses bagaimana ia berlaku dan ke mana arah tujunya.
Arab Spring tercetus sememangnya berwajahkan kebangkitan anak muda . Merekalah yang menjadi barisan depan menyuarakan hak rakyat untuk menyingkir pemimpin yang korup yang bermewahan membolot khazanah kekayaan negara ditengah penderitaan rakyat.

Rakyat Arab bangkit sebetulnya bermula penyuaran hak mereka oleh generasi muda yang menyanggah kebobrokan pemerintah. Ia menjadi ganas apabila regim yang sudah lama berkuasa mula mengguna tentera dan polis untuk melakukan keganasan terhadap rakyat. Ia juga menjadi tidak terkawal apabila golongan elit yang sudah lama selesa dan mendapat segala kemewahan hidup dari regim yang korup dilagakan dengan rakyat bawahan yang menderita akibat polisi kerajaan yang berpihak kepada golongan elit dan pegawai tentera.
Generasi muda di negara ini perlu memahami inti dari kebangkitan Arab di Asia Barat juga dari sudut penolakan mereka terhadap sistem kapitalis dan kuasa imperialis dunia terutama dari Barat yang mencengkam Negara mereka. Mereka menolak pemimpin mereka yang menjadi boneka kuasa Barat. Mereka menyuarakan kemarahan mereka terhadap pemimpin yang korup dan zalim yang mendapat perlindungan dari tentera yang juga disokong penuh oleh kuasa Barat.

Ketika PM dalam Konvensyen Pemimpin Pelajar 2012 kelmarin menyatakan Malaysia tidak perlu kepada kebangkitan Arab Spring, kami mengingatkan bahawa generasi muda jangan lupa bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menolak sistem yang korup dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin yang menjadi inti kebangkitan tersebut.

Sememangnya buah dari sebuah revolusi rakyat memakan masa untuk dituai. Ini harus difahami lantaran pemerintahan yang sudah berpuluhan tahun berkuasa dan didokong sepenuhnya oleh tentera dan golongan elit politik tidak mudah ditukar seluruhnya dengan sekelip mata.

Sistem yang sedemikian lama mengawasi dan mengawal rakyat yang telah dikukuhkan dalam pentadbiran negara memerlukan masa secara bertahap untuk dirubah seluruhnya.

Sistem birokrasi yang tidak mesra rakyat, pentadbiran agensi kehakiman yang korup, perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai yang merugikan negara, sistem ekonomi dan pengurusan kewangan negara yang penuh kepincangan,  peranan media perdana yang hanya berpihak kepada pemerintah, sistem pendidikan yang mengongkong, semua ini telah berjalan selama berpuluhan tahun dibawah regim tiranikal.

Semua persoalan yang melengkari peristiwa Arab Spring ini penting difahami dan dianalisa oleh generasi muda terutama dikalangan pemimpin pelajar.

Generasi muda tidak boleh dikaburi hanya dengan model pembangunan yang bercorak material dan melupakan tanggungjawab membanteras kepincangan serta menolak kebatilan dalam semua bentuk.

Generasi muda seharusnya menjadi elemen sedar dikalangan rakyat lantaran mereka berpeluang menempatkan diri di menara gading. Dengan ilmu yang dikuasai, mereka terbeban dengan amanah besar untuk membela hak rakyat. Mereka harus mewakli suara rakyat jika berlaku kepincangan di kalangan  pemimpin negara. Mereka semestinya mempertahankan kebenaran dan tidak berkompromi dengan kezaliman. Mereka perlu peka kepada isu-isu rakyat dan soal urus tadbir negara.

Inilah yang sepatutnya dipelajari dari Arab Spring . Pemuda Arab Spring adalah pemuda yang berani berhadapan dengan penguasa yang zalim. Mereka tegar berhadapan dengan kuasa tentera. Gambaran di Medan Tahrir melambangkan kekuatan suara generasi muda tidak mahu berkompromi dengan pemerintah kuku besi.

Kami khuatir generasi muda di negara ini jika dihanyut dengan keselesaan dan hidup manja oleh sogokan pemerintah, akan merosakkan masa depan negara. Tipisnya kepekaan generasi muda kepada isu-isu rakyat adalah natijah dari hidup selesa dan gaya hidup manja.

Erti perubahan sebenar yang harus diperjuangkan oleh generasi muda hendaklah merujuk kepada pemerkasaan semula kepada nilai hidup insan berteraskan kepada akhlak dan pegangan kukuh kepada hidup beragama. Bermula dari memahami teras ini dan berasaskan  pengukuhan nilai hidup ini, generasi muda boleh melihat kepincangan negara secara kritikal.

Dengan itu segala isu kepimpinan, polisi urustadbir dan undang-undang negara dapat dianalisa dengan mendalam. Kerosakan yang berpunca dari kepincangan nurani pemimpin itulah yang perlu diperhatikan oleh generasi muda. Jika tidak, maka generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara akan menyambung kerosakan yang dimula oleh pemimpin hari ini

harakahdaily/-

Perak perlu jadi kubu penting tawan Putrajaya

3 Safar 1433H. [MOD] -



PARIT: Pakatan Rakyat perlu menawan Perak dengan majoriti meyakinkan dalam usaha untuk menguasai Putrajaya dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).

Demikian penegasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perak di Padang SEDC, Bandar Seri Iskandar, malam tadi.

Justeru, katanya Pakatan Rakyat terutama PAS dan PKR perlu menambahkan kerusi di negeri ini pada PRU13 nanti bagi mencapai hasrat tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, antara tindakan yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat sekiranya berjaya menawan Putrajaya nanti ialah menyediakan pendidikan percuma dari sekolah rendah hingga peringkat universiti.

“Kita mahu memberikan pendidikan terbaik kepada anak muda, pendidikan percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti.

“Pakatan Rakyat juga akan menghapuskan bayaran PTPTN, negara tak bankrap, insya Allah,” ujarnya kepada kira-kira 20,000 hadirin.

Katanya lagi, Pakatan Rakyat tidak mahu anak-anak muda menganggur atau bekerja dengan gaji yang tidak mencukupi.

Anwar juga menjelaskan hasrat Pakatan Rakyat untuk menghapuskan monopoli permit teksi oleh pemimpin Umno.

“Insya Allah, permit teksi hanya boleh dipegang oleh orang yang membawa teksi sahaja, yang ini pun Umno tak berani nak ubah,” ujarnya.

Mengenai Himpunan 1 Juta Rakyat pada 12 Januari tahun hadapan, beliau mengulangi penegasan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang berucap sebelum itu bahawa ia bertujuan untuk membersihkan PRU13.

Justeru, katanya rakyat perlu turun ke himpunan tersebut untuk menyampaikan mesej tersebut kepada kerajaan BN agar jangan ada penipuan dalam PRU13 nanti.

harakahdaily/-