17 Disember 2012

Penempatan haram Israel

3 Safar 1433H. [MOD] -

Penempatan haram Israel
$entry.content.caption.value
Masalah penempatan haram Israel terus menjadi isu hangat dan menarik perhatian masyarakat antarabangsa baru-baru ini, selepas mereka mengumumkan untuk meluaskan projek pembangunan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Tindakan dilihat sebagai provokasi segera Israel itu, dikecam negara sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat (AS). Penjajahan Israel ke atas Tebing Barat dan Baitulmaqdis dikatakan bermula selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan untuk membahagikan populasi di Palestin pada tahun 1947.

Pada tahun 1948 pula, Israel dengan angkuh mengisytiharkan ‘kemerdekaan’ negara mereka tanpa menetapkan garis sempadan. Dalam tempoh dua tahun sahaja, Israel menduduki 78 peratus tanah milik Palestin.

Difahamkan, peratusannya terus meningkat selepas tercetusnya Perang Enam Hari pada 1967. Susulan daripada peperangan itu, sebahagian besar tanah Palestin dirampas hingga menyebabkan kira-kira 330,000 penduduk negara tersebut terpaksa menjadi pelarian di kampung halaman mereka sendiri.

Pada masa tersebut, Bukit Golan di Syria dan Semenanjung Sinai di Mesir turut ditawan rejim Zionis. Israel berjaya menguasai 60 peratus kawasan di Tebing Barat dan merampas 30 peratus tanah di Semenanjung Gaza.

Rentetan daripada peristiwa itu, dua parti politik utama, Parti Buruh dan Likud bekerjasama mewujudkan penempatan haram Israel dari semasa ke semasa. Penempatan haram pertama dibina di bawah Parti Buruh pada tahun 1968 hingga 1977, dengan objektif utama kononnya untuk memastikan golongan Yahudi menjadi penduduk majoriti di kawasan strategik utama di Tebing Barat, Tel Aviv dan koridor Baitulmaqdis.

Israel terus membina penempatan haram mereka sewenang-wenangnya sehingga calon Parti Likud, Menachem Begin dilantik sebagai perdana menteri pada 1977. Kerajaan di bawah pimpinan beliau bertanggungjawab menyediakan insentif kewangan kepada bangsa Yahudi untuk berpindah ke Judea dan Samaria di Tebing Barat.

Tujuan asal Israel jelas menunjukkan mereka mahu mengukuhkan kedudukan di wilayah tersebut, sekali gus menghalang usaha Palestin membentuk sebuah negara. Kebanyakan golongan Yahudi pada hari ini dilabel sebagai pendatang haram dan mereka berpindah ke Tebing Barat atas sebab ekonomi kerana kerajaan Israel menjanjikan insentif kewangan untuk mereka.

Semasa rundingan damai pada akhir 1991, lebih 80 peratus kawasan di Tebing Barat tidak berpenghuni tetapi kini lebih 60 peratus penduduk Israel menetap di lima kawasan penempatan haram di Maaleh Adumin, Modiin Ilit, Ariel, Gush Etzion dan Givat Ze’ev di Tebing Barat yang hanya terletak kurang satu kilometer dari garisan hijau mengikut perjanjian sempadan tahun 1967.

Walaupun resolusi PBB mengisytiharkan penempatan golongan Yahudi itu melanggar undang-undang, jumlah penduduk Israel menetap di kawasan tersebut dilaporkan meningkat hampir dua kali ganda daripada 281,000 kepada lebih 550,000 orang sejak Perjanjian Oslo ditandatangani pada 1993.

Keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Banjamin Netanyahu meluluskan penempatan haram tambahan sebanyak 3,000 unit apartmen juga dilihat sengaja untuk menggagalkan usaha Palestin yang berhasrat menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara apabila Gaza dan Tebing Barat membentuk sebuah negara.

sinar/-

Tiada ulasan: