17 Disember 2012

Peranan Dan Tanggungjawab Jawatankuasa Kariah Masjid

3 Safar 1433H. [MOD] -

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

وَأَنَّ ٱلْمَسَـٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدًا ﴿١٨﴾

– سورة الجن : 18

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Saudara Sidang Jumaat Sekalian,
Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak sedang mengeluarkan watikah pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh Negeri Perak bagi mengantikan Jawatankuasa Kariah Masjid yang sedia ada. Perlantikan ini pastinya mengundang reaksi yang berbagai daripada segenap lapisan masyarakat. Ada yang amat bergembira kerana namanya atau orang yang disukainya terus disenaraikan untuk dilantik atau menerima perlantikan baru. Ada yang bermuram dan bersedih kerana nama mereka atau orang yang disukainya digugurkan daripada perlantikan. Suasana ini amat jauh bezanya dengan suasana ketika perlantikan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah Islam yang pertama. Baginda dengan penuh tawadhuk mengatakan :
أَيُّهَا الناَّس، إِنِّي قَدْ وُلِّيْتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِيْنُوْنِيْ، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوْنِيْ، اَلصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَاْلكِذْبُ خِياَنَةٌ، وَالضَّعِيْفُ فِيْكُمْ قَوِيٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ لَهُ إِنْ شَاءَ اللهِ، وَالْقَوِيٌّ فِيْكُمْ ضَعِيْفٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللهُ، لاَ يَدْعُ قَوْمٌ الجِهَادَ فِيْ سَبِيْلِ اللّهِ إِلاَّ ضَرَّبَهُمُ اللهُ بِالذُّلِّ، وَلاَ تَشِيْعَ الْفاَحِشَةَ فِيْ قَوْمٍ قَطٌّ إِلاَّ عَمَّهُمُ اللهُ بِالْبَلاَءِ، أَطِيْعُوْنِيْ ماَ أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَلاَ طاَعَةَ لِيْ عَلَيْكُمْ

Sesungguhnya aku telah dilantik sedangkan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Maka jika aku berbuat baik maka bantulah aku, namun jika aku berbuat salah maka perbetulkanlah aku. Kebenaran itu adalah amanah sedangkan pendustaan adalah khianat. Golongan yang lemah di sisi kamu adalah kuat di sisiku kerana aku akan memberikan kepada mereka apa yang mereka berhak mendapatkannya dengan izin Allah. Golongan yang kuat di sisi kamu adalah lemah di sisiku kerana aku akan mengambil daripada mereka untuk aku berikan kepada golongan yang berhak mendapatkannya dengan izin Allah. Tidak ada sesuatu puak yang meninggalkan jihad melainkan Allah akan menimpakan kehinaan ke atas mereka. Tidak tersebar kejahatan di kalangan sesuatu puak melainkan Allah akan menimpakan bala ke atas mereka secara menyeluruh. Maka taatilah aku selama mana aku taat kepada Allah dan Rasulnya, dan jika aku menderhakai Allah dan RasulNya maka tidak perlu kamu mentaatiku.


Sidang Jumaat Sekelian,
Umat Islam hari ini asyik mendakwa bahawa kitalah yang terbaik dan hanya kita yang mampu melaksanakan amanah yang amat berat ini. Malah ada antara kita yang hanya mengunjungi masjid seminggu sekali, tetapi merasakan dialah yang paling layak memimpin atau menganggotai Jawatankuasa Kariah Masjid. Ini adalah lantaran kepimpinan sudah disalahanggap sebagai suatu tasyrif iaitu kemegahan bukan taklif iaitu amanah dan beban.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Betapa sukarnya kita membina rumah Allah, namun jauh lebih sukar bagi membuat pengisian dan pengimarahannya. Apalah maknanya bangunan yang tesergam indah jika tiada memberi sebarang makna terhadap ahli kariah. Baik buruk sesebuah masjid dinilai melalui fungsi dan pentadbirnya, bukan berdasarkan bangunan dan perhiasannya yang mahal dan mewah. Dalam surah al-Taubah ayat 107-109 Allah berfirman :
وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًۢا بَيْنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَآ إِلَّا ٱلْحُسْنَىٰ ۖ وَٱللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ ﴿١٠٧﴾ لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ ﴿١٠٨﴾ أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَـٰنَهُۥ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَ‌ٰنٍ خَيْرٌ أَم مَّنْ أَسَّسَ بُنْيَـٰنَهُۥ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَٱنْهَارَ بِهِۦ فِى نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ﴿١٠٩﴾
Dan di antara mereka (orang munafik) ada yang membina masjid untuk menimbulkan kemudharatan, kekufuran dan perpecahan (kepada orang yang beriman), sambil menanti orang yang memerangi Allah dan Rasulnya semenjak dahulu. Mereka bersumpah dengan mengatakan bahawa kami tidak menghendaki kecuali kebaikan. Dan Allah menjadi saksi terhadap pembohongan mereka. Dan janganlah kamu bersembahyang di masjid itu selamanya. Sesungguhnya Masjid Quba’ yang dibina atas dasar taqwa semenjak permulaan pembinaannya lebih berhak bersembahyang di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri, dan Allah menyukai orang-orang yang bersih. Apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa dan keredhaan Allah itu lebih baik atau orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi curang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka jahannam. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Walaupun tidak seberat tugas sebagai Khalifah yang memerintah Negara, namun pesanan Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq itu amat wajar dijadikan panduan tatkala menerima sesuatu pelantikan. Setiap kita pasti ada kelemahan dan kesilapan masing-masing maka jangan mendabik dada kononnya kita sudah membuat yang terbaik. Walaupun diakui oleh Rasulullah sebagai manusia yang terbaik di zaman itu, malah dijanjikan syurga oleh Allah kepadanya namun Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq masih meminta agar diperbetulkan kesalahannya dan ketaatan kepadanya hanya diberikan selama mana dia tidak menderhakai Allah dan RasulNya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saiyidana Abu Bakar As-Siddiq telah meletakkan satu kayu ukur yang amat jelas sebagai panduan bagi kita melaksanakan tanggungjawab. Benar dalam segala urusan adalah penentu kepada kejayaan kita melaksanakan amanah. Segala bentuk pendustaan adalah merupakan pengkhianatan terhadap tanggungjawab yang diamanahkan. Maka kita wajib melakukan sesuatu yang benar dan tidak melakukan sebarang pendustaan terhadap segala tindakan kita. Jawatankuasa mestilah benar dan segala aktiviti yang dirancang, benar dalam pengurusan kewangan dan benar dalam memastikan agar masjid berfungsi dan berperanan sebagaimana yang dekehendaki oleh Allah.  Masjid hendaklah menjadi tongkat kepada golongan yang lemah dan memerlukan di kalangan ahli kariah sebelum mereka mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak.  Masjid hendaklah adil dalam memberikan segala bantuan kepada anak kariah yang memerlukan tanpa melihat kepada faktor politik, puak dan keturunan. Masjid tidak seharusnya menjadi badan pengumpul sumber kewangan yang akhirnya hanya menguntungkan pihak bank tanpa digunakan pada urusan yang dibenarkan.


Sidang Jumaat Sekalian,
          Ancaman Saiyidana Abu Bakar As-Siddiq ini amat wajar kita hayati dan bimbangi. Kita akan ditimpa kehinaan jika jihad kita tinggalkan. Kita layak menerima bala jika kejahatan merata di qaryah kita. Maka Ahli Jawatankuasa Qaryah wajib memastikan semangat jihad bersemarak di kalangan semua ahli qaryah yang ada. Ahli Jawatankuasa Qaryah wajib bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membenteras segala kejahatan dan maksiat daripada berlaku di dalam sempadan qaryah kita.

Sidang Jumaat Sekelian,
          Semua tanggungjawab ini hanya mampu dilakukan jika ada ilmu dan ketaqwaan. Kedua-duanya hanya akan kita perolehi dengan menuntut ilmu dan berusaha mengamalkan segala ilmu yang kita pelajari. Kita hendaklah memastikan budaya ilmu menjadi budaya di kalangan ahli qaryah kita. Kita bukan hanya sekadar merancang dan mengatur kelas pengajian malah hendaklah sama-sama menghadirinya. Jika sekiranya pentadbir dan ahli qaryah melaksanakan peranan masing-masing pastinya kita mampu melahirkan masyarakat yang beriman dan bertaqwa yang akan mengecapi keredhaan Allah SWT.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Setelah kita menyedari betapa beratnya tugas pengimarahan masjid ini maka marilah kita saling membantu dalam melaksanakannya. Allah menggariskan ciri-ciri orang yang layak melaksanakannya sebagaimana firman Allah dalam surah al-Taubah 17-18 :
مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَن يَعْمُرُوا۟ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ شَـٰهِدِينَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِم بِٱلْكُفْرِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ وَفِى ٱلنَّارِ هُمْ خَـٰلِدُونَ ﴿١٧﴾ إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ ﴿١٨﴾
Ertinya :
Tidak layak orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah sedangkan mereka sendiri dapat menyaksikan kekufuran mereka. Mereka itulah orang yang terbatal amalan mereka dan akan kekal di neraka Allah. Hanya yang layak mengimarahkan rumah-rumah Allah adalah mereka yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat serta tidak takut kecuali kepada Allah. Mudah-mudahan mereka akan tergolong dalam golongan yang mendapat petunjuk.

Sidang Jumaat Sekalian,
          Takutlah kita kepada Allah dalam berurusan dengan manusia. Dan Janganlah kita takut kepada manusia ketika melaksanakan urusan dan perintah Allah. Sentiasalah kita mengadu kepada Allah mengenai masalah kita dengan sesama manusia.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.



خطبة كدوا
اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ وَسَعَىٰ فِى خَرَابِهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَن يَدْخُلُوهَآ إِلَّا خَآئِفِينَ ۚ لَهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌ وَلَهُمْ فِى ٱلْءَاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿١١٤﴾
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang nama Allah disebut di dalamnya dan berusaha pula untuk meruntuhkannya, mereka tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid kecuali dengan rasa takut, bagi mereka kehinaan di dunia dan akhirat. - surah al-Baqarah 114.

 أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di antara peranan dan fungsi masjid yang banyak menimbulkan kontroversi adalah dalam bidang pengajian ilmu fardhu ain. Zaman kebangkitan Islam hari ini memperlihatkan masyarakat Islam berduyun-duyun datang ke masjid bagi menghadiri majlis-majlis ilmu. Oleh kerana kesibukan dunia hari ini menyebabkan umat Islam tidak lagi mempunyai masa untuk menuntut ilmu kecuali di antara maghrib dan isya’.  Sebagai umat Islam kita mesti melaksanakan tugas khalifah Allah di muka bumi iaitu menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Tugas ini tidak akan mampu dilaksanakan tanpa ilmu agama yang mencukupi. Oleh yang demikian masjid mesti merancang dengan teliti agar ahli kariah dapat memperolehi ilmu agama secukupnya. Malang bagi kita kerana sekian lama pengajian di masjid dilaksanakan namun tidak ada satu kitab pun yang habis dibaca. Akhirnya umat Islam amat asing dengan ajaran Islam hingga sebahagian ajarannya dirasakan bukan daripada Islam. Akhirnya sebahagian kita membenci pengajian Islam. Lebih parah lagi terdapat sebahagian jawatankuasa yang terlalu memikirkan bagaimana untuk mengurangkan pengajian yang ada. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang disebut oleh Allah dalam ayat yang dibacakan sebentar tadi.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،   وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ .
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف
عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.



Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak

Tiada ulasan: