17 Disember 2012

Selangor laksana dasar wanita seminggu selepas tadbir

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Pakatan Rakyat telah melaksanakan tuntutan minimum 30 peratus kepimpinan wanita dalam barisan tertinggi kerajaan tidak sampai seminggu selepas memerintah Selangor.

Exco Selangor, Rodziah Ismail (gambar) berkata sebaik memerintah Selangor, kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat di negeri itu telah mengumumkan barisan kabinetnya yang mengandungi 40 peratus Exco dan seorang Timbalan Speaker wanita.

Tambahnya, keutamaan meletakkan wanita dalam barisan pembuat keputusan sangat wajar diambil serius dan segera dikotakan.

"Dalam mengumumkan bakal-bakal barisan kabinet di Putrajaya, Pakatan Rakyat akan mengotakan pertambahan ketara dalam barisan menteri sebaik diberi mandat mentadbir di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, era pemerintahan Pakatan Rakyat negara Malaysia ini akan menyaksikan barisan pembuatan keputusan yang akan dianggotai paling ramai wanita secara mendadak dalam sejarah Kerajaan Malaysia.

Katanya, dasar dan dokumentasi berkaitannya sudah berdekad di wujudkan oleh Kerajaan Umno BN, namun Malaysia hari ini berada di tangga corot dalam arena pembuatan keputusan.

Malaysia ditangga ke 120 daripada 135 negara; di belakang Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Bangladesh, Vietnam, China, Kazakhtan, Uruguay dan banyak  negara lain.

Tegasnya, apa yang perlu dilaksanakan bukanlah lagi mewujudkan mekanisme pemantauan dasar minimum 30% itu, tetapi segera mendahulukan pelaksanaan yang hanya memerlukan kesanggupan barisan politik yang berkuasa (political will).

Malangnya, pemerintahan Umno BN selama lebih setengah abad ini, telah menyaksikan kemorosotan yang menjolok mata dalam bilangan dan peratusan anggota kabinet yang boleh dianggap sebagai meremehkan kedudukan dan status wanita yang mewakili hampir 50% penduduk di Malaysia.

"Hanya seorang saja wanita daripada 30 orang Menteri yang disenaraikan kini; Menteri itu bukan pula yang mengetuai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, satu-satunya kementerian yang paling cocok disandang oleh seorang wanita Malaysia – hanya perlu memilih seorang dari ribuan wanita yang berkaliber untuk tujuan tersebut.

"Wanita Malaysia diseru untuk meneliti dan bersikap jujur serta terbuka dalam menilai apa yang dikatakan dan dilaksanakan," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: