29 Januari 2013

Kifalah: 146,000 berdaftar, RM50j sudah diagih

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



(Gambar: Jumlah warga emas yang mendaftar setakat September 2012 )

KOTA BHARU: Sejak diperkenalkan kerajaan Kelantan pada tahun 2007, skim bantuan Takaful Kifaalah Warga Emas kini mempunyai lebih 146,000 peserta berdaftar di seluruh negeri.

Sehingga Disember 2012 lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM50 juta dibawah skim itu sebagai bantuan berupa pampasan kepada ahli keluarga atau wasi peserta yang telah meninggal dunia.

(Gambar: Warga Tioghua turut mendapat manfaat dari skim ini)

Pengurus Takaful Kifalah Sdn Bhd, Abdul Syakur Sha'ari berkata, pihaknya sangat komited untuk terus memperkasakan Kelantan sebagai negeri berkebajikan seperti yang digagaskan kerajaan negeri.

"Tahun 2013 adalah tahun keenam program ini berjalan. Dengan moto 'Menggapai keberkatan dan berkebajikan' kita juga telah merancang untuk memperkenalkan beberapa lagi skim bantuan serupa kepada seluh lapisan masyarakat negeri ini bukan sahaja tertumpu kepada warga emas," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Abdul Syakur, pihaknya kini sedang berusaha untuk menawarkan beberapa lagi produk baru termasuk Skim Kifalah As-Syabab untuk anak muda berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, mereka juga akan memperkenalkan Skim Khairat Kematian Takaful Umah serta Skim Takaful Aulad bagi kanak-kanak khususnya murid-murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Untuk rekod, Skim Takaful Kifaalah Warga Emas adalah produk skim takaful percuma yang ditawarkan oleh kerajaan Kelantan melalui Kifaalah Sdn Bhd iaitu anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Skim ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan terbuka untuk disertai oleh seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira kaum, lelaki dan perempuan yang berumur 60 tahun ke atas.

Rakyat negeri lain yang berumur 60 tahun yang bermastautin di Kelantan juga layak menyertai skim ini.

harakahdaily/-

Banglo: Fauzi telus, sedia disiasat SPRM

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari hari ini menyatakan kesediaan untuk disiasat berhubung banglo miliknya yang dimainkan bloger Umno.

Katanya, beliau mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan sekiranya ada pihak ragu-ragu terhadapnya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan banglo dua tingkat setengah miliknya di Seksyen 10, Shah Alam itu dibelinya pada 2004 dengan harga RM15 setiap kaki dengan harga istimewa sebagai kakitangan awam ketika itu.

“Ketika itu nilai tidak sampai RM1juta pun. Malah, pembinaan rumah itu dibuat secara berperingkat-peringkat dengan mengamalkan penjimatan ketika bekerja dalam kerajaan termasuk wang simpanan bersama isteri.

“Saya juga turut menjual dua buah rumah teres di kawasan Gombak dan Shah Alam untuk membina rumah dua tingkat setengah itu,” katanya dipetik Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut, Fauzi menjelaskan, walaupun hampir 10 tahun berlalu, rumah itu pun masih belum siap sepenuhnya dan walaupun beliau bersama keluarga telah menduduki banglo terbabit setahun lalu.

“Harga dulu berbeza dengan sekarang dan logiklah jika orang ramai tertanya-tanya dengan satu-satunya harta saya itu. Empat anak lelaki saya turut membantu memberi dana,” katanya.

Pendedahan itu juga jelasnya tidak sedikitpun menjejaskan reputasinya kerana beliau mendakwa telus dalam perkara itu.

“Saya langsung tidak berasa risau dengan pendedahan itu dan tidak menjejaskan gerak kerja saya untuk memenangi hati pengundi-pengundi di Parlimen Larut.

“Malah, tiada istilah takut dengan pengundi kerana saya telus terhadap perkara ini dan rakyat lebih memahami pemimpin mereka,” katanya.

harakah/-

PRU13: Agama pula jadi cagaran Umno

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: “Sekarang Umno terpaksa mengikut rentak PAS di dalam memperjuangkan agama,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, dahulu Umno sering menuduh PAS menggunakan agama untuk kepentingan politik sehingga ada cadangan supaya nama Islam pada parti PAS dibuangkan.

Jelasnya, PAS sememangnya wajib memperjuangkan Islam kerana tertera dengan jelas di dalam Perlembagaan PAS Fasa 3 "Dasar PAS ialah Islam".

Justeru, ujarnya apabila Umno bercakap tentang Islam, ianya agak janggal seperti pepatah "cakap tidak serupa bikin".

Menurutnya, oleh kerana Umno wajib mendapat sokongan Melayu, maka pemimpin Umno terpaksa berlakon untuk menunjukkan mereka pembela agama.

Contohnya, kata beliau dalam isu kalimah Allah, Umno berlagak mempertahankan nama Allah, tetapi Umno melawan hukum Allah dan kempen mereka kepada orang Melayu, kononnya bimbang gejala murtad berlaku.

“Peliknya mana suara Umno ketika Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin, Lina Joy meninggalkan agama Islam. Umno membisu seribu bahasa.

“Mereka mendakwa mereka mempertahan nama Allah, tetapi ulama yang hendak mempertahankan ajaran Allah, Umno hendak tangkap.

“Ini yang terjadi kepada Datuk Dr Harun Din, Almarhum Datuk Ishak Baharom, Datuk Ismail Kamus ketika Umno berkuasa di Selangor,” ujarnya.

Oleh kerana itu, menurutnya lagi, benarlah pemimpin Umno sejenis makhluk yang boleh menyerupai berbagai warna demi kepentingan politik.

Begitu juga, katanya Najib hendak menunjuk juara Palestin sedangkan semua dunia tahu kepimpinan Najib tidak mengiktiraf Hamas.

“Tetapi demi kepentingan undi Melayu, Najib pergi mengadap pemimpin Hamas.

“Apabila balik ke Malaysia, tukang juak Najib mengarahkan untuk menyambut Najib sebagai wira Palestin. Semua dilakukan demi kepentingan undi orang Melayu kepada Umno,” katanya lagi.

harakah/-

'Kaki minum' kantoi

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

'Kaki minum' kantoi
“Port’ kaki mabuk yang diserbu pegawai penguat kuasa Jaip hasil aduan masyarakat setempat berhubung aktiviti teguk arak bungkus di Padang Tengku, Lipis, kelmarin.
 
KUANTAN-  Kehadiran sekumpulan lelaki datang melepak di sebuah taman permainan kanak-kanak sambil membawa minuman bungkus saban malam menimbulkan tanda tanya penduduk Padang Tengku, Lipis sejak beberapa bulan lalu.

Kecurigaan penduduk itu berasas apabila mereka mendapati kumpulan terbabit melepak dalam keadaan mabuk sedangkan tiada botol arak di temui di kawasan itu sebaliknya hanya plastik bungkusan minuman yang bertaburan.

Susulan kecurigaan mereka itu, penduduk tampil membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) untuk memantau dan mengambil tindakan lanjut berhubung aktiviti kumpulan tersebut.

Hasil aduan penduduk, seramai 15 pegawai penguat kuasa diketuai Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jaip, Mohd Anis Mohd Azmi  dengan kerjasama polis menjalankan pemeriksaan di kawasan taman permainan itu sebelum menahan 13

lelaki berusia antara 25 hingga 65 tahun untuk siasatan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa-an Jaip, Ahmad Raffli Ab Malek berkata, dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, pihaknya mendapati 10 daripada mereka berada dalam pengaruh alkoho.

Menurutnya, agak mengejutkan apabila minuman yang ditemui mendapati ianya mengandungi minuman keras yang dipercayai dibungkus terlebih dahulu sebelum dibawa ke lokasi itu bagi mengaburi masyarakat.

“Kita tidak pasti sama ada mereka membeli minuman keras itu dan membungkus sendiri atau ada kedai yang menyediakan arak bungkus untuk pelanggan beragama Islam.

“Ini kali pertama kita berdepan dengan taktik ini namun atas kerjasama masyarakat dan polis kita berjaya mengesan dan membongkar aktiviti itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ahmad Raffli berkata, semua yang ditahan termasuk seorang warga emas itu dibawa ke Balai Polis Padang Tengku sebelum dihantar ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Lipis untuk siasatan lanjut atas kesalahan meminum arak mengikut Seksyen 136

Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

“Semua yang terlibat berdepan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun dan tidak kurang enam sebatan,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berlainan, tiga lelaki termasuk seorang warga emas berusia 68 tahun  ditahan kerana berjudi.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan hasil serbuan ke atas premis judi nombor ekor berlesen di Pekan Benta, Lipis, petang kelmarin.

“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) dan jika sabit kesalahan individu terlibat boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga

satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ahmad Raffli berkata, operasi yang melibatkan pegawai penguat kuasa seluruh daerah itu sebahagian daripada operasi berjadual Jaip dalam usaha menangani kes-kes jenayah syariah di negeri ini.

“Kita juga akan meneruskan operasi bersepadu dan operasi khas sekiranya ada keperluan dan aduan," katanya.

Beliau berkata, sepanjang Januari tahun ini, seramai 22 individu ditahan atas kesalahan minum arak hasil beberapa operasi yang dijalankan pihaknya.

sinar/-

Dewan Kuin dikenali Dewan Permaisuri Hajah Haminah

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -





BALING: Dewan Induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang terletak di Kuala Ketil kini dikenali sebagai 'Dewan Permaisuri Hajah Haminah'.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah mengisytiharkan demikian sempena Perasmian Kampus Kuin dan Istiadat Konvokesyen Khas, pagi tadi.

Dewan yang berkapisiti 5,000 orang itu kini megah di laluan pintu masuk kampus  yang berkeluasan 360 ekar yang mampu menempatkan 7,000 pelajar.

Hadir sama dalam konvokesyen bertemakan 'Penerokaan Ke Arah Kebijaksaan' itu ialah semua Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Pro Canselor, Datuk Affifudin Omar dan Rektor Kuin, Datuk Wira Dr Jamil Osman.

harakah/-

15 lelaki dicekup leka berjudi

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

15 lelaki dicekup leka berjudi

Serbuan yang dijalankan di sebuah premis kerana disyaki menjalankan kegiatan perjudian secara haram.
MARAN - Dua remaja lelaki berusia 14 dan 18 tahun antara 15 yang ditahan ketika sedang leka bermain judi internet, manakala 42 set komputer dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Sungai Kertam, Sri Jaya dan Felda Jengka 8, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam serbuan pertama jam 9.40 malam itu, enam ditahan termasuk seorang penjaga premis berusia 31 tahun.

Menurutnya, sebanyak 21 set komputer dirampas bersama peralatan lain dalam premis berkenaan kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan kegiatan perjudian.

“Manakala serbuan kedua jam 11.20 malam di premis tidak bernombor belakang sebuah restoran di Jalan Besar Jengka 8, sembilan ditahan termasuk dua remaja.

“Pemeriksaan mendapati kesemua set komputer dalam dua serbuan bersama penguat kuasa Majlis Daerah Maran (MDM) itu terpapar gambar disyaki berunsur perjudian. Turut dirampas wang tunai pelbagai dominasi berjumlah RM506 daripada penjaga premis,” katanya.

Sulaiman berkata, polis akan melakukan pemantauan secara berterusan bagi memerangi kegiatan tersebut dengan kerjasama MDM.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui wujud aktiviti perjudian di kawasan mereka.

sinar/-

Tercampak dari jejambat

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

 pix_topright

Pengguna Jalan Kepong berhampiran Taman Desa Jaya, di sini terkejut apabila satu objek yang jatuh dari atas jejambat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) ke kawasan tempat letak kereta berhampiran lokasi kejadian adalah mayat seorang lelaki.

Mangsa, V Adrian Thrishen, 28, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan apabila terjatuh pada ketinggian 21 meter dalam kemalangan membabitkan kereta yang dipandunya dengan sebuah lori membawa muatan biskut di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari di Kilometer 2.7 MRR2 itu, mangsa yang juga jurulatih kecergasan di sebuah gimnasium di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Melawati ke tempat kerja.

Sumber polis berkata, siasatan mendapati kereta dipandu mangsa dilanggar lori berkenaan dari sisi sebelah kanan sebelum hilang kawalan. Katanya, akibat rempuhan itu kereta mangsa terbabas dan melanggar tembok sebelah kiri jalan manakala lori berkenaan terbalik menyebabkan pemandu parah.

“Siasatan awal, mangsa tercampak keluar melalui cermin hadapan keretanya yang pecah sebelum terjatuh ke kawasan tempat letak kereta di lokasi kejadian. Polis belum mengambil keterangan pemandu lori terbabit kini dilaporkan kritikal,” katanya.

Seorang pekerja swasta yang ditemui di tempat kejadian dikenali sebagai Wong, 29, berkata, ketika kejadian itu, dia sedang menuju ke sebuah bank di persimpangan jalan berkenaan.

Katanya, dia terdengar bunyi objek terjatuh disusuli jeritan orang ramai mengerumuni lokasi kejadian.

metro/-

‘Mengapa dia mati?’

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

pix_topright


“Saya mati pun tidak apa kerana sudah tua. Mengapa dia (cucu) mati begitu saja. Saya sering tidak dapat tidur, makan dan minum kerana kehilangannya,” rintih Chee Chou Moi, 68, nenek kepada William Yau Zhen Zhong, 6, yang ditemui mati selepas lebih seminggu dilaporkan hilang di Subang Jaya, Selangor, 16 Januari lalu.

Mayat kanak-kanak yang dibawa menggunakan van jenazah tiba di Melaka Memorial Park, Bukit Jelutong di sini, kira-kira jam 12.55 tengah hari dengan diiringi kedua-dua ibu bapanya, William Yau Kok Kang, 32, dan Goh Ying Ying, 28.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan kawasan itu apabila upacara sembahyang dan keagamaan dilakukan sebelum mendiang dimasukkan ke dalam tempat pembakaran, kira-kira jam 2 petang.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Tahir Hassan.

Bagaimanapun, sejurus ibu bapa mendiang yang enggan ditemu bual media beredar, suasana kembali pilu apabila nenek kanak-kanak itu tiba di kawasan berkenaan sambil meronta-ronta menangis dan meraung kesedihan.

Chee yang ditemani seorang anak lelakinya dikatakan turut merintih hiba apabila urusan pengebumian itu tidak dimaklumkan kepadanya dan tidak sempat melihat mendiang cucunya buat kali terakhir.
Wanita warga emas itu bagaimanapun ditenteramkan Mohd Ali.

Terdahulu, Mohd Ali ketika menemui Kok Kang dan Goh Ying Ying mengucapkan takziah selain meminta mereka sekeluarga bersabar atas apa yang berlaku.

“Bagi meringankan beban keluarga mendiang, kerajaan negeri turut menyalurkan sumbangan RM5,000 untuk tanggungan kos perbelanjaan upacara pengebumian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak terutama parti pembangkang tidak mempolitikkan kejadian berkenaan kerana keluarga mendiang masih bersedih.

“Ia termasuk tindakan Lim Kit Siang (Penasihat DAP) yang melemparkan tuduhan kepada Barisan Nasional (BN) mengenai keselamatan kanak-kanak di negara ini sedangkan kejadian berlaku di Selangor iaitu di bawah negeri pembangkang.

“Saya amat berharap kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa depan terutama membabitkan kanak-kanak,” katanya.

metro/-

Suburkan ilmu di 'fan page' Dewan Ulamak PAS Pusat

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Tidak mahu ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi semasa, Dewan Ulamak PAS Pusat turut memanfaatkan medium jaringan sosial Facebook untuk menyampaikan dakwah mereka kepada masyarakat.

Dengan pendekatan ini, mereka yang sering kali dipersepsikan dengan gambaran kumpulan berjubah dan berserban, kini cuba untuk lebih dekat dengan masyarakat agar lebih mengenali mereka.

Terbaru, mereka telah mewujudkan laman peminat (fan page) atas nama Dewan Ulamak PAS Pusat.

Sehingga berita ini ditulis, laman ini sudah mempunyai lebih 11,000 peminat.

(Gambar: Antara grafik kempen yang dimuat naik oleh dewan ulamak untuk dikongsi bersama)

"Selain menyalurkan kenyataan rasmi Dewan Ulamak dalam isu politik, kita juga akan sentiasa berkongsi mutiara ilmu khususnya berkaitan dakwah melalui medium ini.

"Ayuh bersama Dewan Ulamak PAS Pusat, memimpin umat berpandukan wahyu. 'Follow' dan 'Like' kami untuk kita sama-sama berkongsi kebaikannya," kata setiausahanya Dr. Khairudin Aman Razali kepada Harakahdaily.

Menurut Khairudin, laman peminant ini akan diuruskan oleh kumpulan media dewan itu yang diketuai penolong setiausahanya Ust Nazmi Nik Din.

Beliau juga yakin, pendekatan ini mampu membawa suara Dewan Ulamak ke tengah-tengah masyarakat khusnya kepada generasi muda.

Dewan Ulamak PAS Pusat diterajui ketuanya Datuk Tuan Guru Harun Taib, timbalan ketua Datuk Ustaz Haji Ahmad Yakob, naib ketua Datuk Dr. Ustaz Haji Mahfodz Mohamad serta ketua penerangan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh.

"Kita akan cuba untuk memastikan laman ini sentiasa dikemaskini. Saya juga mengalu-alukan masyarakat diluar sana untuk sama ada bertanya soalan mahupun memberi pandangan di fan page ini.

"Kita akan cuba menjawab setiap persoalan yang diajukan dan berkongsi pandangan demi kebaikan semua" ujar Khairudin.

harakah/-

Kakitangan kerajaan jangan takut kerajaan baru 60 hari lagi

17 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -




UMNO semakin meroyan. Fitnah semakin  menjadi-jadi. Semuanya kerana sudah sampai bulan, 

cuma tak nampak tarikh lagi. Najib sudah ikut cara Barrack Obama dalam berkempen. Lagaknya "Wira Dunia", semuanya untuk menutup diri yang gundah gulana. 

Bukan lama paling kurang 60 hari lagi kita semua mendapat kerajaan baru. Insya Allah segala isu basi yang dimainkan UMNO BN tidak meninggalkan bekas. Bagi kakitangan kerajaan jangan takut kita mempunyai Perdana Menteri baru tidak sampai 60 hari lagi.

harakahdaily/-