31 Julai 2008

MB Perak : Solat adalah penyelesai kepada masalah sosial muda mudi

IPOH, 29 July :- Perlaksanaan solat yang sempurna adalah penyelesai kepada masalah muda-mudi di Perak dan dalam keadaan unsur-unsur menjauhkan rakyat dari sembahyang sangat banyak maka menjadi tanggungjawab kerajaan merapatkan umat kepada aktiviti yang memperbanyakkan pahala kepada Allah SWT.Demikian antara isi ucapan YAB Menteri besar perak, Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar jamaluddin semasa meresmikan Program Bulan Galakan Sembahyang Anjuran Jabatan Agama Islam Perak di Dataran Bandaraya Ipoh hari ini.



Progran yang julungkali diadakan itu menarik warga setempat yang melebihi 1000 orang pengunjung dengan didahului dengan Sembahyang Isya berjemaah yang diimamkan sendiri oleh YAB. Menteri Besar.




Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah JAIP, Dato' Jumry bin Sury, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk bandar ipoh, Tn. Hj. Roshidi.

30 Julai 2008

UMNO tersepit, ulang tawaran lama.

Tersebar berita dalam akhbar arus perdana dan media yang lainnya kononnya pendirian PAS berhubung cadangan penubuhan kerajaan gabungan dengan UMNO di Perak akan ditentukan pada Khamis ini. katanya lagi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dijadual diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di sini, Khamis ini bagi membincangkan isu tersebut.

Mengejutkan juga didakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka mengumumkan keputusan yang dicapai selepas mesyuarat itu. Menurut sumber itu , isu penggabungan untuk membentuk kerajaan negeri baru di Perak itu adalah antara beberapa ‘perkara yang memerlukan keputusan kepimpinan tertinggi Pas’. Selain isu penggabungan, topik hangat yang turut dibincangkan ialah mengenai muqabalah yang dijangka bakal menyaksikan satu keputusan dibuat oleh parti itu, kata sumber tersebut.


Berita-berita dan khabar angin yang disebutkan diatas hanya ribut dalam "cangkir" UMNO dan BN sahaja. beritanya hebat tapi "menipu".

Saya menafi sekeras-kerasnya akan ada perbincangan dari pimpinan tertinggi PAS mengenai ajakan "orang gila talak" itu.

Sebenarnya tawaran lapuk BN inilah yang telah kami terima seawal mungkin pada malam kemenangan DAP, PKR dan PAS pada 8 Mac 2008. Pada masa itu pimpinan PAS termasuk Ir. Nizar dan saya sendiri tidak putus-putus dihubungi pihak tertentu, tapi kata orang perak "menjeling pun tidak" pada tawaran itu.

Setelah melangkau 100 hari dan kami telah mengenal hati budi antara kami, sudah puluhan program bersama kerajaan kami duduk bersama, sudah puluhan mesyuarat sudah kami lakukan berserta braistromingnya sekali, masakan kami mudah sahaja menerima tawaran itu. Lagi tidak menjeling.

Buktinya bila ditanya kepada MB, dengan tegas beliau mengatakan tidak akan berkerjasama dengan UMNO dan kami akan tetap dalam pakatan Rakyat.

Tidak ada isu sebenarnya melainkan sudah pecah tembelang UMNO dan Tajol Rosli bahawa gimiknya pada 31 0gos Kerajaan Perak berubah adalah bohong sama sekali.

Sayalah orang pertama akan menentang pengabungan dengan UMNO sekiranya dicadangkan sekiranya UMNO masih dengan dasar lama nya. Kalaulah UMNO sudah bubar dan menerima Islam sebagai dasar sebagaimana yang dilakukan PAS, menginsafi segala penyelewengan, penindasan dan kezaliman sebelum ini, lain cerita pula pada masa itu. Tidak ada sebab PAS dan teman dapam PR menolak pelawaan UMNO.

Nizar : Pas negeri akan kekal dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

IPOH, 28 Julai :- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memberi jaminan Pas negeri akan kekal dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri itu berkata, pihaknya sentiasa memberikan komitmen untuk terus bersama-sama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menerajui kerajaan pembangkang di negeri ini.

''Tidak mungkin Pas negeri bekerjasama dengan UMNO negeri ini kerana rakyat telah memilih kita dan kami akan bersama-sama untuk berkhidmat kepada penduduk selama-lamanya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tawaran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali kepada Pas untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Mohammad Nizar menjelaskan, beliau tidak dimaklumkan mengenai tawaran tersebut dan hanya mengetahuinya selepas diberitahu oleh pemberita.

''Dia (Tajol Rosli) boleh sudi macam-macam tetapi kita tidak setuju dan sama sekali tidak akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

''Kami tidak akan melayan mana-mana tawaran daripada parti politik di luar pakatan dan kami akan kekal dalam pakatan ini," katanya.

Ketika ditanya, apakah Pas akan bekerjasama dengan UMNO di Perak jika diminta berbuat oleh pimpinan peringkat Pas pusat, beliau berkata:''Pas adalah sebahagian daripada pakatan pembangkang dan perlu mendapat persetujuan daripada pakatan untuk menimbang sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO."

Beliau turut ditanya kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang mahu pakatan pembangkang menimbang secara serius keanggotaan Pas dalam pakatan.

''DAP tidak seharusnya meragui Pas kerana parti kita belum mengadakan sebarang muzakarah dengan UMNO. Muzakarah yang diperkatakan itu hanya pertemuan biasa atau muqabalah,'' katanya.

29 Julai 2008

Johan Qari dan Qariah diraikan.

IPOH, 28 July :- Johan Qari dan Qariah Perak, Shamsul Ariffin Supian dan Sharifah Khasif Fadzilah Badiuzzaman yang memenangi Ujian Tilawah Quran peringkat Kebangsaan kali ke 51 yang diadakan di Kedah baru-baru ini diraikan dalam majlis Perhimpunan Executive Talk disni hari ini.Sebelum ini Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan untuk menyampaikan penghargaan kepada mereka berdua dengan kesediaan memberikan saguhati kepada mereka setiap orang RM 10,000.

Johan Qari memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al Quran dari Surah al Mulk sebelum majlis bermula.

Johan Qari dan Qariah bergambar kenangan dengan YAB. Menteri Besar , YB. Dato' Dr. Hassan dan Dr. Abdul Rahman Hashim.

Johan Qariah menerima cenderamata.


Johan Qari menerima cenderamata dari MB Perak.

Ir.Nizar : Tunaikan solat.

IPOH, 28 July :- Mari lah kita berikhtiar dengan penuh keikhlasan untuk tunaikan solat 5 waktu yang barangkali sebelum ini ada kecuaian, marilah kita sudahi baki-baki kehidupan yang masih ada dengan sesempurna mungkin. Demikian antara kandungan ucapan YAB. Menteri Besar perak, Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin semasa menyampaikan kata-kata aluan bersempena Majlis Perhimpunan Executive Talk Bil 3/2008 disini hari ini.

Majlis tersebut mengundang Exco Agama Negeri Selangor, YB. Dato' Dr. Hassan Mohd Ali sebagai penyampai motivasi sebagai sifatnya seorang pakar motivasi yang tidak asing lagi.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 1000 kakitangan awam itu turuh dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Jamalludin Al Amini b. Haji Ahmad, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta wakil-wakil pegawai-pegawai kerajaan dari seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan.

Ir. nizar juga mengharapkan supaya dijadikan solat yang merupakan tiang seri dalam agama itu sebagai benteng diri semua pihak dari unsur-unsur fahsya dan mungkar sebagai langkah mempersiapkan diri bertemua dengan Allah SWT.

Diakhir ucapannya, berliau mengharapkan kepada yang hadir untuk menyampaikan seruan yang diberi kepada orang bawahan di tempat masing-masing.

Terang lagi bersuluh...

Umno Perak hari ini menawarkan kerjasama dengan Pas untuk membentuk kerajaan negeri itu sebagai Menteri Besar kononnya sebagai langkah permulaan ke arah penyatuan kedua-dua parti berkenaan.

Namun saya berpandangan ini adalah suatu bukti nyata, terang lagi bersuluh bahawa cerita dan gimik mantan MB itu yang mengatakan diserata ceruk negeri bahawa akan berubahnya tampuk pemerintahan pada 31 Ogos sebagaimana dicanang adalah rekaan semata-mata.

Kalaulah itu suatu realiti yang telah disebutkan kepada rakyat dan tersiar dimedia, mana mungkin perlu tawarkan diri untuk bergabung dengan parti PAS. Tunggu sahaja tarikh tersebut apalagi hanya sebulan lebih sedikit saja.

Setahu saya usaha yang dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab ini semakin nampak kegagalannya. Dari tawarkan harga serendahnya RM 5 juta, naik sehingga RM 15 juta, naik lagi kepada RM 20 Juta dan paling tinggi RM 30 Juta. Semuanya tawaran jijik dan kotor dan benar-benar rasuah seperti yang dilaporkan oleh Setiasaha BBC yang juga ADUN Canning dan rakan-rakan lain kepada BPR.Kami tidak sambut malah kami semakin hari semakin berpegang kuat kepada amanah meneraju Kerajaan Perak dengan pakatan Rakyat ini.

Tawaran untuk saya cuma dicuba melalui pemandu, kata pemandu saya kepada yang menalifon itu "hubungi YB sendiri la"namun sekali sahaja mereka manalifon dan terhenti disitu dan sampai sekarang saya tidakpun dihubungi oleh mereka, tidak sempat sebut harga cuma main acah-acah saja.

Tajol Rosli Ghazali, berkata tawaran itu bagi menyahut saranan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Umno dan Pas dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak, termasuk bukan Islam.
Yang diminta oleh PAS ialah Bubarnya UMNO dan bersama dengan PAS yang telah meletakkan Islam sebagai dasarnya dasarnya. kalaupun PAS dibubarkan sama tentu sekali dasar PAS yang akan diletakkan kembali tidak lain Islam yang kita yakini sekarang. PAS yang baru akan sama dengan PAS yang lama.
Realitinya kenyataan Mursyidul Am adalah supaya semua orang melayu berjuang dengan nama Islam bukan dengan nama Melayu, yang telah diterima oleh rakan dalam PR iaitu DAP. Sudah lama PAS berjuang dengan nama Islam, segala tomahan dan momokan untuk menakutkan PAS kepada orang Cina dan India ternyata gagal setelah 50 tahun. Sebelumnya isue ini memenangkan BN dan mengalahkan kami. Sampai pada satu tahap orang Cina dan India sudah tidak percaya lagi.
Kali ini Nik Aziz ingin menyelamatkan Malaysia dan orang Melayu yang tersasar jauh dari ajaran agamanya. Kalaulah UMNO bubar dan bergabung dengan PAS, PAS itulah yang telah diterima oleh orang Cina dan India dalam PR yang lepas, iaitu yang menggunakan Islam sebagai dasarnya.
Bukan hendak menduga namun sudah kedengaran dari pimpnnan UMNO sendiri, mustahil mereka menerimanya. Saya juga menduga perkara demikian.

Tawaran dari Umno dengan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta seorang dari MCA untuk bekerjasama dengan PAS yang mempunyai 6 Adun bagi membentuk kerajaan negeri berlaku seawalnya di malam kejatuhan BN dalan PR ke 12 pada 8 Mac yang lalu.

Kalimat yang sama pada malam tersebut diucapkan lagi oleh Tajol Rosli, hari ini katanya,“Umno Perak sanggup menerima Menteri Besar dari Pas". Beliau juga pada masa itu dan pada hari ini sekali lagi menawarkan kepada PAS jawatan Exco.

InsyaAlah kerajaan Negeri perak Pakatan Rakyat yang ada sekarang akan terus kekal. "Peluru getah "yang cuba dihalakan kepada kami pasti tidak akan menumbangkan kerajaan ini. InsyaAllah.

Semua Adun BN Pulau Pinang keluar Sidang DUN

GEORGETOWN, 28 July :- Semua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) bertindak keluar Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak berpuas hati dengan sikap Exco Kerajaan negeri, Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) yang enggan memberi laluan bertanya soalan ketika sesi penggulungan, petang tadi.

Mereka keluar dewan kira-kira jam 6.10 petang, iaitu kira-kira setengah jam sebelum persidangan ditangguhkan. Anggota BN akan masuk semula ke dewan apabila sesi penggulungan bersambung hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata mereka bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan sikap Phee yang tidak membenarkan wakil rakyat pembangkang bertanyakan soalan atau meminta penjelasan.

Katanya, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri itu sebagai pengecut kerana tidak berani menerima soalan daripada pembangkang.

Beliau berkata selama 18 tahun menjadi wakil rakyat, tidak pernah berjumpa dengan Exco yang begitu penakut untuk menerima soalan dari wakil rakyat pembangkang pada sesi penggulungan.
"Beliau yang berpengalaman dalam persidangan DUN tidak sepatutnya bertindak demikian. Jelas menunjukkan yang beliau hanya pandai bercakap besar di dalam dewan tetapi berhati kecil untuk menerima soalan.

"Beliau sepatutnya memberi ruang untuk kami bertanya kerana ia membabitkan kepentingan rakyat," katanya.

Azhar berkata, beliau kecewa kerana Phee kerana hanya memberi peluang kepada wakil rakyat pembangkang bertanya.

Namun begitu tindakan yang dilakukan oleh Phee adalah hak nya sendiri yang sah dari segi peraturan persidangan, samada dia ingin memberi laluan atau tidak.

Kejadian yang berlaku untuk sidang DUN di Pulau Pinang hari ini melengkapi kejadian tindakan pembangkang keluar dewan di beberapa negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat .

Sidang DUN di Perak dan Kelantan menyaksikan pembangkang keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan speaker, namun sekali ini lain pula kerana tidak puasa hati dengan exco yang tidak memberi laluan, pembangkang mengosongkan kerusinya di Sidang DUN Pulau Pinang.

28 Julai 2008

Mercedes : Guna terus pun tidak ada masalah !

Ahli Exco dan pegawai kanan Kerajaan Terengganu akan menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi buat sementara waktu sehingga selesai siasatan kes perbelanjaan penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pada masa ini, Perdana V6 itu tidak dapat digunakan semula kerana BPR telah mengambil kereta-kereta berkenaan untuk tujuan siasatan.

''BPR telah ambil kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri. Jadi mereka kena pakai dululah (kereta Mercedes). Perdana Menteri pun kata sekali-sekala boleh pakai kereta Mercedes ini," ujarnya.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam dan ramah mesra dengan pemimpin empat sayap bahagian-bahagian UMNO di sini malam tadi.


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dua hari lepas menegaskan kesemua 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang telah dibeli kerajaan Terengganu hanya untuk kegunaan membawa tetamu-tetamu kerajaan negeri dan keputusan itu adalah muktamad.


Saya berpandangan kalau kereta itu digunakan teruspun tidak ada massalahnya kerana ianya sudah menjadi milik sah kerajaaan negeri. Ia dibeli dengan sah bukannya dicuri.

Cuma pertikaian mengenai pengunaaan untuk tamu adalah sesuatu yang boleh di tafsirkan kembali. Adakah ramai sangat tetamu yang datang ke Terengganu sehingga melayakkan 14 buah kereta itu tidak dijual dan disimpan hanya untuk tujuan tersebut saja.

Manalah tahu orang yang datang jumpa dan berurusan dipejabat SUK semuanya dianggap tamu dan melayakkan mereka dihantar balik pakai Mercedes ?

Sebenarnya persoalan dan percaturan mengenai kereta di Terenganu ini adalah percaturan dua pihak iaitu kumpulan Idris Jusoh yang ditolak oleh istana untuk menjadi MB dan kumpulan Ahmad Said yang mendapat restu istana. Saya jangka kalaulah Idris jadi MB beli apapun tidak jadi masalah termasuk membazirkan wang ratus juta ringgit.
Sebab itulah Ahmad Said sudah habis-habisan dengan segala hujah dan fakta adakah pekeliling perbendaharaan dan lainya, tetapi tetap ditolak.

Nasib kamulah Ahmad Said.......Sabar saje la.....

Ann Wan Seng : Orang Melayu lambat berubah.

IPOH, 27 July :-Orang Melayu ambil masa untuk berubah, sebab itu calon Melayu yang bertanding di kawasan majoriti Cina, namun saya rasa pelik ada calon Melayu bertanding dikawasan Melayu tidak menang. Demikian antara ucapan Sdr. Ann Wan Seng semasa membentang kertas kerja dalam Konvensyen PAS Perak ke 13 disini hari ini.



Beliau juga berkata dan mempersoalkan kenapa hanya Cina sahaja dipanggil Cina Muaalaf bila masuk Islam, sedangkan orang India dipanggil India Muslim bila mereka masuk Islam, sambil disambut dengan gelak-ketawa dari hadirin.

Katanya lagi, Kalau orang Melayu pergi ke negeri China dia akan dipanggil muaalaf kerana dinegeri China jumlah orang Islam disana ikut maklumat yang saya dapat berjumlah 130 Juta orang.

Ann Wan Seng menyarankan supaya PAS mengadakan program dan kerjasama dengan Ahli Perniagaan Cina. Katanya lagi maklumat mengenai orang Cina mestilah ada untuk mendapatkan sokongan multiracial khusus dari orang Cina.

Orang bukan Melayu mempunyai kesedaran politik yang tinggi termasuk dalam isu rasuah. Sedangkan orang Melayu sangat sensitif dengan skandal seks.

Beliau berpendapat, kalau kita hendak "tackel" orang cina kita kena memahami budaya orang Cina. Antaranya kita belajar dari akhbar Cina dan ambil seorang yang boleh baca akhbar Cina.

Nik Aziz: Bubar Umno dan PAS, tubuh parti baru

MACHANG, 27 July :-Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan supaya Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam

Beliau berkata Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar."Umno bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan ke-37 di Markaz Dewan Ulama Kelantan (MADU) Machang hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Umno tidak ada sebab untuk menolak dasar Islam yang dicadangkan oleh PAS melalui parti itu kerana Islam milik semua kaum termasuk bukan Melayu di negara ini."Kalau tidak kena dengan Islam di mana-mana, cuba beritahu dan kalau Umno itu benar dan tidak bertentangan dengan agama cuba beritahu," katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayangkan kemungkinan diadakan kerjasama politik dengan PAS suatu masa nanti.

Nik Abdul Aziz berkata dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam."Islam untuk semua kaum, bukan untuk orang Melayu sahaja atau Cina, India dan Orang Putih, semua perlu bersatu di bawah Islam," katanya."

Presiden Teras : Memasarkan politik, merakyatkan pemerintah

IPOH, 27 July :- Hari kedua Konvensyen PAS Perak ke 13 pada hari ini melibatkan dua pembentangan Kertas Keraja. Kertas Kerja yang pertama dibentang oleh Presiden Teras, Hj . Mohd Azmi Abdul Hamid yang berjudul Mamasarkan politik ,merakyatkan pemerintah.

Kertas kerja yang kedua akan dibentangkan oleh Sdr. Ann Wan Seng, berjudul Sokongan mulracial mengekalkan kemenangan.
Antara kandungan kertas kerja yang dibentang oleh Presiden teras ialah pantang larang dalam politik dalam politik Islam iaitu :
1.Merebut jawatan dan melobi untuk jawatan yang dianggap memberi peluang lebih selesa untuk mendapat keistemewaan.
2.Membiarkan aktivis politik dalam keadaan tidak terbina dan berada dalam zon selesa.
3.Lupa diri dengan kuasa dan leka dengan jawatan yang disandang namun tidak menghasilkan kerja yang konkrit.
4.Bersikap sempit dada dan dangkal dalam pemikiran untuk menafaatkan kelompok diluar lengkongan sesama rakan seangkatan.
5.Berputik rasa besar diri dan angkuh dengan kuasa sehingga menyebabkan rakyat mula menyedari dan mengambil sikap bebal terhadap pemerintah dan wadah siyasah yang diceburi.
6.menjalar Firqah sesama sendiri sehingga ujud kema atau berpuak-puak dalam jemaah.
7.Timbul rasa tidak perlu mendengar teguran dan merasa cukup dengan keupayaan sendiri sehingga mengakibatkan rakan yang ikhlas ngin membantu menjauhkan diri.
8.Terjangkit dengan sindrom formaliti dan gaya eliitis yang menyebabkan kemesran dengan rakyat semakin menipis.
Beliau berharap supaya Perak berusaha untuk mewujudkan akademi kepimpinan untuk menentukan hala tuju generasi muda, katanya "pernah satu masa saya dihubungi oleh Pemuda PAS Pusat untuk berbincang mengenai hasrat menubuhkan akdemi pemuda tetapi tidak lagi dihubungi sesudah itu.

Pemimpin politik boleh masuk IPTA

BANGI, 26 July :- Pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dalam proses bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Ogos ini, diluluskan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka dibenarkan berbuat demikian dengan syarat memberi ceramah mengenai isu yang ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa.

Beliau berkata, pindaan yang sudah diluluskan Kabinet itu, masih tidak membenarkan mahasiswa menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik, tetapi mereka boleh menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik.

Katanya, pindaan itu dibuat bagi memberi mahasiswa dan universiti persekitaran lebih kondusif dan kebebasan dalam mencapai tahap kecemerlangan.

"Terserah kepada mahasiswa atau pihak universiti jika hendak menjemput pemimpin pembangkang. Apakah maknanya seorang pelajar universiti jika mereka hanya dibenarkan jemput satu pihak saja.

"Kalau tidak dibenarkan pun mahasiswa boleh mengakses laman web, jadi lebih baik kerajaan benarkan dalam keadaan terpelihara, terkawal. Kita berada dalam dunia maklumat, setakat penguasaan ilmu saja tidak cukup kerana mahasiswa mesti ada 'talent' serta pemikiran yang tajam. "Soalnya bukan hendak jemput parti politik kerajaan saja. Misalnya, jika mahasiswa mahu mendapatkan pandangan mengenai krisis minyak dunia dan kebetulan penceramah yang dijemput adalah daripada parti politik termasuk pembangkang, pindaan AUKU itu akan membenarkannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 serta pelancaran buku Majlis Kepimpinan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (Maklum), dekat sini, semalam. Minggu lalu, beliau dilaporkan berkata, pindaan AUKU itu dibuat bagi membolehkan mahasiswa membuat keputusan dan menentukan sendiri perkara yang baik dan buruk untuk mereka.

Mohamed Khaled berkata, melalui pindaan AUKU itu juga, mahasiswa yang melakukan kesalahan mengikut AUKU tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah. "Jika dulu kesalahan mengikut AUKU boleh diambil tindakan mahkamah tetapi dengan pindaan ini semua penguatkuasaan kesalahan mahasiswa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada universiti.

"Tetapi tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak tertakluk pada undang-undang negara. Jika mereka buat kesalahan mengikut Kanun Keseksaan mereka masih lagi tertakluk di bawah undang-undang negara. Contohnya, jika seseorang mahasiswa terbabit dalam demonstrasi tanpa permit, maknanya tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pindaan baru AUKU juga membolehkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin termasuk digantung oleh pihak universiti untuk mengambil peperiksaan.

27 Julai 2008

Mahathir seru ahli Umno 'paksa' Abdullah letak jawatan segera

KUALA LUMPUR, 26 Julai : - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru ahli dan pemimpin Umno supaya 'memaksa' Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya segera bagi memulihkan Umno dan BN.

"Janganlah tunggu Pilihan Raya Umum ke-13 untuk kalahkan BN dan Umno supaya Abdullah jatuh. Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah Abdullah," katanya dalam satu komentar yang tersiar dalam lama web beliau hari ini.

"Jika ahli Umno hendak melihat parti dan BN dipulih semula, 'paksalah' Abdullah letak jawatan sekarang. Jangan calon Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian," katanya.

Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri, katanya.

Mahathir mendakwa bahawa beliau masih dipersoal setiap kali mengeluarkan kritikan terhadap Abdullah.

"Tiap kali saya mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata, "Awak yang lantik dia"," kata Dr Mahathir dalam ulasan terkininya berhubung pergeseran antara beliau dan Abdullah.

"Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah sebagai pengganti saya. Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah," ujarnya sinis.

Abdullah pernah sebelahi Ku Li lawan Mahathir

Menurut Dr Mahathir, Abdullah memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Musa Hitam dalam usaha untuk menjatuhkan beliau pada tahun 1986-1987.

"Apabila Team B kalah dan Umno diharamkan, Abdullah tidak menyertai Semangat 46 tajaan Ku Li. Sebaliknya dia pilih untuk menjadi ahli Umno baru yang saya pimpin.

"Saya tidak berhak menolaknya sebagai ahli Umno Baru. Tetapi saya gugurkannya daripada Jemaah Menteri," katanya.

Dalam pemilihan Majlis Tertinggi yang menyusul Abdullah bertanding untuk ahli Majlis Tertinggi, dan ketika itu katanya Mesyuarat Agung Umno memilih Abdullah sebagai ahli Majlis Tertinggi.

"Saya masih tidak terima dia balik jadi Menteri. Di Mesyuarat Agung selepas itu dia bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Dia menang dengan undi kedua terbesar jumlahnya berbanding Dato' Seri Najib Tun Razak.

"Saya berpendapat Umno hendakkan kepimpinan Abdullah. Walau apa pun perasaan saya terhadap orang yang bersubahat untuk jatuhkan saya, saya tidak berhak untuk menolak kehendak Umno," katanya.

Justeru itu ujar Mahathir, beliau kembalikan Abdullah sebagai Menteri dalam Kabinet.

Dari 'Mr Clean' kepada pemimpin yang lemah "Puji-pujian didengar merata-rata yang Abdullah adalah "Bersih", "Mr Clean". Oleh itu apabila saya terpaksa gugurkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pilih Abdullah untuk mengisi jawatan itu walaupun Najib adalah Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi," katanya.

Kenapa tidak dipilih Najib? Menurut Mahathir, beliau tidak memilih Najib kerana TPM itu lebih muda dan beliau berharap selepas satu atau dua penggal sebagai Perdana Menteri, Abdullah akan serahkan jawatan itu kepada Najib.

Kerana itu katanya beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan Abdullah pilih Najib sebagai timbalannya.

"Pemilihan Naib Presiden bukan yang pertama sebagai timbalan pernah berlaku. Saya Naib Presiden yang ke-tiga tetapi Tun Hussein Onn pilih saya jadi Timbalan Perdana Menteri.

"Seperti juga dengan diri saya, Mesyuarat Agung Umno mengesahkan pemilihan Abdullah sebagai Timbalan Presiden parti dalam pemilihan yang berikut," katanya.

Selepas itu beliau anggap penyerahan kuasa kepada Abdullah bukanlah sesuatu yang tidak dikehendaki oleh Umno dan ketika itu tiada sesiapa yang membantah.

"Saya jelaskan latarbelakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya. Saya rela dihukum jika saya salah.

"Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.

"Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir," tegasnya.

Kerosakan yang dibuat Abdullah terhadap Umno teruk Malah kata Mahathir, kenyataan Abdullah bahawa beliau kan serahkan jawatan dalam parti dan kerajaan pada bulan Jun 2010 disambut baik bahkan dengan gembira oleh hadirin serta orang ramai, Melayu dan bukan Melayu.

"Tiada siapa yang merayu supaya dia teruskan pimpinannya. Dari ini agak jelas yang semua pihak hendak Abdullah letak jawatan.

"Tetapi meletak jawatan dua tahun dari sekarang bermakna penggantinya hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan parti untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
Barisan Nasional dan parti-parti komponennya amat teruk. Masa yang lebih panjang diperlukan," katanya.

Jika Abdullah benar-benar sayang kepada Umno, Mahathir menyeru supaya Abdullah rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan Umno.

Alasannya bahawa Abdullah ingin mengawasi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadiran Presiden Umno itu menyebabkan Umno dan Barisan Nasional jadi lemah, kata Mahathir lagi.

Beliau seterusnya mengakui kesilapan kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya pada tahun 2003 lalu 'Mr Clean' tidak begitu 'clean'

"Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean. Saya percaya ahli dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama," katanya.

Hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno, katanya.

Ahli Umno akan bertanggungjawab terhadap kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa orang Melayu dan negara Malaysia, katanya.

Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan BN di bawah kepimpinanAbdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," ujarnya

Kawalan keselamatan amat penting untuk menjayakan Sukan Olimpik Beijing

Akhbar Renminribao China menyiarkan rencana seorang penulis hari ini yang menegaskan bahawa kawalan keselamatan untuk Sukan Olimpik Beijing tidak sepatutnya dibantah oleh mana-mana pihak.

Menurut rencana tersebut, semasa Sukan Olimpik Athens dahulu, penulis itu telah melihat sendiri peluru berpandu Partriot siap untuk dilancarkan dan kapal perang NATO giat menjalankan rondaan. Tindakan tersebut disanjung tinggi oleh pelbagai pihak. Pada masa sekarang, apabila China mengambil beberapa langkah untuk menjamin keselamatan sepanjang berlangsung Sukan Olimpik Beijing, beberapa pihak telah membantah usaha China tersebut. Mereka mengaitkan isu itu dengan masalah politik.

Menurut rencana itu, kawalan keselamatan amat penting untuk menjayakan Sukan Olimpik dan China tetap berusaha menjamin keselamatan untuk temasya sukan tersebut.

Perkampungan Media Sukan Olimpik Beijing Dibuka

BEIJING, 25 July:-Dua perkampungan media dibuka secara rasmi hari ini untuk mengalu-alukan seramai 7000 orang wartawan yang berdaftar dari seluruh dunia untuk membuat liputan tentang Sukan Olimpik Beijing.

Dalam tempoh Sukan Olimpik Beijing, pihak penganjur menyediakan dua perkampungan media, iaitu Rumah Hijau dan Huiyuan yang memberikan perkhidmatan kepada seramai 7000 orang wartawan yang berdaftar.

Ketua Pengarah Kumpulan Pentadbiran Perkampungan Media, Puan Zhao Jinfang menyatakan: "Perkampungan Media Rumah Hijau dibuka secara rasmi dan telah menerima seramai 427 orang wartawan hari ini. Kami akan menerima seramai lebih 6000 orang wartawan berdaftar lagi dari lebih 70 buah negara."

Difahamkan bahawa pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing telah membuat persiapan yang terperinci untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada wartawan dari pelbagai tempat di dunia. Penginapan dan keperluan hidup seharian para wartawan di kampung media ini terjamin.

Setiap wartawan yang akan tinggal di perkampungan media ini dijamin sebuah bilik seorang dengan kelengkapan yang mencukupi. Wartawan Britain, Mattew Leach yang telah melalui proses mendapatkan penginapan dalam perkampungan media ini menyatakan: "Baik sekali. Semua yang saya harapkan ada di sini. Televisyen, alat penyaman udara ada dan katil besar sekali. Bilik ini amat terang dan selesa."

Di samping itu, kedua-dua perkampungan ini juga menyediakan perkhidmatan makan minum sepanjang 24 jam dengan makanan yang mempunyai yang berlainan dari pelbagai tempat di dunia untuk memenuhi selera wartawan yang berbeza-beza.

Selain itu, kemudahan pengangkutan juga disediakan 24 jam untuk kegunaan wartawan yang tinggal di kedua-dua perkampungan media ini.

Dengan mengambil kira sesetengah wartawan mungkin perlu bekerja selepas balik ke perkampungan media, pihak penganjur telah membina bilik kerja di kedua-dua perkampungan tersebut. Bilik kerja itu dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan faks, internet, telefon jarak jauh, televisyen dan lain-lain. Petugas Bilik Kerja Perkampungan Media Rumah Hijau, Encik Zhang Xiangdong memberitahu wartawan bahawa fungsi bilik kerja ini seperti sebuah pusat media utama (MPC) yang kecil.

"Bilik kerja ini menawarkan perkhidmatan internet, mengedit dan lain-lain kepada para wartawan secara percuma. fungsi bilik kerja ini boleh dikatakan amat lengkap dan seperti MPC yang kecil."

Selain itu, perkampungan media Rumah Hijau juga mempunyai dua buah kedai runcit dan sebuah kedai yang menjual barang-barang dagangan francais daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik, dua gimnasium, bank, kolam renang dan lain-lain untuk memberikan perkhidmatan yang menyeluruh kepada para wartawan.

Ketua Pengarah Kumpulan Pentadbiran Perkampungan Media Rumah Hijau, Puan Zhao Jinfang menyatakan bahawa matlamat perkampungan media adalah untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada para wartawan supaya keperluan asas mereka dipenuhi dan mereka dapat bekerja dengan selesa dan mudah semasa membuat liputan tentang Sukan Olimpik Beijing.