09 Januari 2009

Hizbullah balas serangan Israel

BEIRUT 8 Jan. - Tiga roket Katyusha dilancarkan ke utara Israel dari selatan Lebanon hari ini, disusuli dengan tentera rejim Zionis membalas serangan itu dengan tembakan mortar ke seberang sempadan Lebanon.

Pertempuran singkat itu adalah yang pertama di kawasan sempadan Israel-Lebanon sejak Israel mula melancarkan serangan besar-besaran ke atas kedudukan Hamas di Genting Gaza pada 27 Disember lalu, dalam keganasan yang telah membunuh lebih 700 rakyat Palestin.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menghentikan semua operasi bantuan di Genting Gaza berikutan serangan tentera Yahudi yang semakin mengganas

Serangan Israel hari ini turut mengorbankan dua orang pekerja bantuan UNRWA dalam satu konvoi bantuan, hari ini.

Sekolah yang diuruskan UNRWA turut musnah dibedil Israel mengorbankan 48 orang kelmarin.

Dalam pada itu, media Israel lewat hari ini melaporkan pejuang Palestin di Lebanon melancarkan satu lagi serangan roket ke utara Israel.

Belum dapat dikenal pasti pihak yang melancarkan roket dari Lebanon itu dan sama ada insiden tersebut menandakan permulaan konflik lebih luas.

Namun, pertempuran itu sudah pasti meningkatkan ketegangan antara pergerakan Hizbullah di Lebanon dengan Israel, selepas kedua-dua pihak sejak beberapa hari lalu hanya menyuarakan ancaman terhadap satu sama lain tanpa melancarkan serangan.

Kerajaan Lebanon sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak yang melancarkan roket tersebut.

Pegawai Beirut berkata, roket Katyusha itu dilancarkan ke Israel dari kawasan di sebelah utara Kampung Naqoura di tepi pantai Lebanon.

Tentera Israel membalas serangan itu dengan melepaskan enam tembakan mortar ke selatan Lebanon tetapi belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa.

Stesen televisyen melaporkan, peluru mortar itu mengenai sebuah lembah dekat sebuah kampung kira-kira tiga kilometer ke utama sempadan Israel.

Polis Israel berkata, sekurang-kurangnya tiga roket mengenai kawasan di sekitar pekan Nahariya, utara Israel pada pagi ini.

Pasukan penyelamat melaporkan sekurang-kurangnya seorang cedera ringan.

Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melancarkan roket tersebut.

Hizbullah yang merupakan sekutu rapat Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan stesen televisyennya hanya menyiarkan laporan mengenai insiden pertempuran itu.

Beberapa kumpulan pejuang Palestin juga berpangkalan di Lebanon.

Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin-Pemerintah Am memberi amaran akan membuka barisan hadapan baru bagi memerangi Israel jika Israel terus mengganas di Gaza.

Kawasan sempadan di selatan Lebanon dikawal oleh askar Lebanon dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak berakhirnya perang 34 hari antara Hizbullah dengan Israel pada 2006.

Konflik tersebut menyebabkan lebih 1,000 rakyat Lebanon dan 160 rakyat Israel terbunuh.



- AP

08 Januari 2009

Amah dakwa didera majikan dan budak disyaki mati kena dera

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga tempatan mendakwa dirogol, didera dengan kejam termasuk ditendang dan ditumbuk serta diugut bunuh oleh majikannya di rumah mereka di Villa Lagenda, Batu Caves.

Mangsa berusia 18 tahun dari Sabah dan bekerja dengan majikannya sejak Oktober tahun lalu mendakwa dirogol enam kali oleh majikan.

Deritanya semakin bertambah apabila isteri majikan itu yang mengetahui perbuatan suaminya turut menderanya secara kejam menggunakan kayu, rotan, penyidai baju serta menumbuk dan menendang mangsa hingga menyebabkannya mengalami kecederaan seluruh badan.

Mangsa juga mendakwa majikannya mengugut akan membunuhnya jika melaporkan perbuatan mereka kepada polis.

Akibat tidak tahan menanggung seksaan dan risaukan keselamatan dirinya selepas diugut bunuh, mangsa bertindak melarikan diri dari rumah majikannya serta membuat laporan polis sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata pengadu mendakwa didera isteri majikannya menggunakan pelbagai peralatan selepas mengetahui perbuatan suaminya merogol mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Selayang petang tadi (semalam) dan mangsa kini berada di HKL untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan akan dilakukan,” katanya.

Dalam satu kejadian yang lain seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia, dipercayai didera teman lelaki ibunya di Jalan Kok Doh, Taman Sejahtera, di sini, semalam.

N Easwaran, tinggal bersama ibunya selepas ibu bapanya bercerai, manakala teman lelaki ibunya dikatakan sering berkunjung ke rumah mangsa sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika cuba diberi bantuan kecemasan oleh doktor bertugas di Hospital Selayang, jam 6.20 pagi.

Katanya, mangsa dipercayai didera berikutan penemuan kesan lebam pada hampir keseluruhan badannya.

“Berdasarkan siasatan awal, ibu mangsa berusia 28 tahun meminta bantuan jiran untuk menghantar anaknya ke Hospital Selayang berikutan keadaan mangsa yang demam panas dan sakit teruk.

“Setibanya di hospital, jiran mangsa dimaklumkan kematian dan membuat laporan polis bersama doktor empat jam kemudian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zakaria berkata, pihaknya yang menerima laporan menahan ibu mangsa tetapi teman lelakinya, berusia 30-an dipercayai menghilangkan diri.

“Ibu mangsa yang bekerja sebagai jurujual kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya. BH.

Kejam! Kejam! Kejam!



Penduduk Palestin berada di ambang maut apabila bantuan ubat-ubatan, air bersih dan makanan tidak dapat disalurkan akibat sekatan Israel.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sifatkan keadaan di Gaza sangat-sangat berbahaya dan meruncing.

Semua hospital di Gaza kehabisan bekalan darah dan ubat-ubatan terutama vaksin tetanus untuk kanak-kanak.

Rejim Zionis tidak akan mengadakan gencatan senjata selagi Hamas tidak ‘berundur’ dan berhenti melepaskan tembakan roket ke wilayah Israel.-lagi berita

Awasi provokasi 'musuh' - Presiden PAS

KUALA TERENGGANU, 7 Jan-PAS mengingatkan para petugasnya agar tidak mudah terperangkap dengan sebarang usaha provokasi 'musuh' yang boleh merugikan parti.Sebaiknya, sebarang isu terutama berkaitan pengundi hantu diserahkan kepada pemimpin yang tentukan dan usah bertindak sendirian.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian pada Majlis Ceramah Pemimpin Pakatan Rakyat di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, rakyat di daerah Kuala Terengganu yang terlibat dengan pilihan raya kecil ini sedia membuat perubahan ke arah pembentukan kerajaan yang lebih adil.

"Saya bimbang jika ada provokasi oleh pihak tertentu. Isu 'pengundi hantu' biar pemimpin yang tentukan dan usah kita (rakyat) kejar (bertindak) tahan bas tanpa arahan. Bas pelajar pun kejar juga, biar pemimpin yang tentukan itu,"ujarnya.

Beliau mendapat maklumat bahawa tindakan provokasi pihak musuh akan dilakukan bagi memburuk-burukkan parti PAS yang bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Katanya, rakyat terutama para pengundi perlu berada dalam suasana yang selesa, tenang, aman dan baik sepanjang tempoh kempen ini.

Menurutnya, rakyat perlu memilih calon yang benar-benar layak serta mampu membawa suara rakyat di Parlimen.

"Pilih (undi) calon yang mempunyai kemampuan untuk membawa suara rakyat di Parlimen supaya kita hadapi pilihan raya dengan cara yang tenang, dengan cara yang aman dan baik.

"Saya melihat rakyat di Kuala Terengganu ini bersedia untuk membuat perubahan sebagaimana yang berlaku di pantai barat.

"Saya dengar cerita akan berlaku provokasi, pakai lambang bulan, pakai kopiah macam kita (PAS) tetapi bertindak di luar kawalan dan arahan pemimpin,"ujarnya.

Katanya, rakyat tidak boleh hidup dengan baik, aman dan selamat selagi negara mempunyai pemimpin parti yang rasuah.

Menurutnya, Umno merupakan sebuah parti rasuah dan rakyat yang cerdik tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik provokasi tersebut.

Justeru itu, kata Ustaz Abdul Hadi usaha mendekati rakyat perlu dilaksanakan dengan berhemah agar mereka (pengundi) tidak takut hendak keluar mengundi.

Menurutnya, jika negara mengamalkan cara pemilihan yang telus, adil dan baik semua pilihan raya yang diadakan bakal dimenangi oleh parti PAS dan Pakatan Rakyat.

Hadir sama pada majlis tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa; Pesuruhjaya PAS, Dato' Mustafa Ali dan Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden KeADILan, Tian Chua serta beberapa pemimpin lain. - mks. _ HarakahDaily

07 Januari 2009

PRK Kuala Terengganu, tiga calon sah bertanding

KUALA TERENGGANU, 6 Jan : - Proses pencalonan pilihanraya kecil P036 selesai dengan tiga calon disahkan bertanding.

Pakatan Rakyat diwakili oleh calon PAS, Abdul Wahid Endut manakala Barisan Nasional diwakili oleh calon Umno, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Seorang lagi merupakan calon bebas iaitu Azharuddin Mamat, seorang ahli perniagaan.

Pengesahan itu telah diumumkan pengurus pilihan raya kecil itu, Mat Razali Kasim kira-kira pukul 11.30 pagi.

PAS mengemukakan dua bantahan terhadap calon BN tetapi ditolak oleh Pegawai SPR. Harakahdaily.

Tiga calon bertanding di KT

Tiga calon akan bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan.

Mereka menyerahkan calon pencalonan di pusat penamaan calon di Stadium Negeri di Jalan Sultan Mahmud.

Seperti yang dijangka, calon calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut menyerahkan borang pencalonan masing-masing. Seorang lagi ialah calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Pengurus pilihanraya, Datuk Mat Razali Kassim mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding selepas proses bantahan selesai pada jam 11 pagi.



Selepas sesi penyerahan borang tamat, empat bantahan telah dikemukakan tetapi kesemua bantahan itu ditolak, kata Mat Razali.

Wan Ahmad Farid tiba sebaik sahaja pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi. Beliau diikuti oleh Mohd Abdul Wahid Endut pada kira-kira jam 9.10 pagi.

Manakala Azharudin, seorang ahli perniagaan, pula menyerahkan borang pencalonan pada saat-saat akhir pada jam 9.58 pagi. Tempoh penamaan calon berakhir jam 10 pagi.

Beliau tiba awal di pusat penamaan calon tetapi menghadapi beberapa masalah dengan borang pencalonannya, yang perlu diperbetulkan.

Naib presiden parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia, Harun Mohamad - yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk turut bertanding - memutuskan tidak tidak berbuat demikian.

Beliau masuk ke pusat penamaan calon pada kira-kira jam 9.20f pagi tetapi keluar semula dan mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Proses pencalonan bermula jam 9 pagi dan borang pencalonan diterima sehingga jam 10 pagi, diikuti sejam lagi tempoh bantahan.
Selepas itu, pegawai pengurus pilihanraya akan mengumumkan senarai calon-calon yang layak bertanding, biasanya pada jam 12 tengahari.

Selepas itu, parti-parti yang bertanding akan memulakan kempen masinhg-masing.

Pengundian akan diadakan selepas 11 hari berkempen. Pilihanraya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail dari BN pada 28 November lalu.

Seramai 80,229 pemilih layak mengundi dalam pilihanraya kecil ini. malaysiakini.

Tadika KEMAS : Fitnah Zahid dinafikan.


IPOH, 5 Dis :- Kerajaan Negeri Perak menafikan sekeras-keras dan menekan dengan setegasnya bahawa ada arahan supaya mengunci premis Tadika KEMAS seperti yang di dedah kan oleh Zahid Hamidi sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar adakah tidak benar sama sekali.

Kenyataan tersebut terkandung dalam kenyataan akhbar oleh Kerajaan Negeri Perak yang diwakili oleh Dato Ngeh Koo Ham yang mewakili YAB MB yang berada di Terengganu bagi menjawab isu berkaitan yang diadakan di bangunan SUK di sini.

"Tidak ada arahan kepada mana-mana pihak untuk mengunci tadika KEMAS dan saya berharap rakyat tidak keliru dengan kenyataan fitnah itu" tegas Dato Ngeh.


Ust. Zulkifli, Drs.Khalil,Dr. Abdul Rahman,dan Yb. Ngeh.


Beliau juga kesal dengan rekaan cerita dari menteri berkenaan dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat jelata semata-mata untuk menang di Kuala Terengganu. Sambil merujuk peranan yang sebenarnya yang patut dimainkan oleh akhbar Melayu, beliau berharap akhbar lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan sesuatu berita dan merujuk sumber yang sebenar. Dalam hal ini katanaya rujuklah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Lawatan Drs. Khalil ke Tadika KEMAS diDUN Titi Serong pagi semalam.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Exco Agama ,Hj.Zainuddin Yusuf, Timbalannya , Drs. Khalil Idham Lim, Setiausaha Kerajaan negeri, Dr. Abdul Rahman Hashim, ADUN Selingsing, Hj. Husin Din dan Pengarah Urusetia Kerajaan Negeeri, Ust.Zulkifli Ibrahim.

Dalam kenyataannya Exco Agama menjelaskan memanglah Tadika itu dikunci pada hari cuti dan dibuka pada hari ini . Katanya saluran dalam mengarahkan sesuatu keputusan adalah jelas iaitu bermula dengan keputusan Mesyuarat MMK, sesudah itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah dan penghulu.

ADUN Titi Serong pula mempersoalkan kenapakan setelah 9 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak baru sekarang isu ini diperkatakan. Beliau juga meyatakan telah melakukan lawatan di Tadika Kemas Parit Buntar dan dibuka seperti biasa.

Sementara itu Ust.Zulkifli Ibrahim melahirkan kekesalan kerana kenyataan fitnah dan bohong itu datang dari seorang yang kononnya bakal pemimpin negara dan baru saja balik dari mengerjakan haji.

YAB. Menteri Besar Perak, Ir. Muhamaad Nizar jamaluddin yang dihubungi di Kuala Terengaanu menegaskan sekali lagi tidak ada arahan dari Kerajaan Negeri seperti yang didakwa Zahid.

05 Januari 2009

Jahat sungguh...

Pagi ini saya menerima panggilan talipon dari ADUN Changkat Jong, Hj.Anuar Sudin memaklumkan dia menerima SMS dari YAB Menteri Besar mengenai satu Sidang Akhbar yang akan dilakukan di bangunan SUK dan dia dijemput sama. Katanya dia tidak sempat hadir kerana beberapa hal di kawasan yang perlu diselesaikan.

Lalu saya teringat kepada Zahid dan Bagan Datoh dan meminta beliau memberi nombor talipon pimpinan PAS di sana yang dia ada nombornya. Dengan segera beliau SMS kepada saya no talipon Hj. Haris Timbalan YDP Kawasan.

Semasa yang menalipon Hj. Haris saya memaklumkan PAS Kawasan Bagan Datoh perlu melakukan sesuatu pada pagi ini, antaranya saya cadangkan pimpinan kawasan pergi melawat beberapa tadika KEMAS ,sesudah itu saya cadangkan adakan sidang akhbar dengan akhbar Cina serta melakukan Laporan Polis dengan fitnah yang dilempar oleh Zahid itu.

Kerana Zahid orang Bagan Datoh maka saya gambarkan kerja jahatnya "mungkin" berterusan dengan dia boleh lakunkan cerita kononnya pelajar KEMAS kena halau keluar dari bangunan pada hari pertama persekolahannya. Saya ingatkan di Terengganu dia sudah pernah buat tidak mustahil berlaku di Perak .

Alhamdulillah Hj. Haris faham apa yang ana maksudkan dan akan melakukan tindakan susulan dari permohonan ana tadi.
Begitu juga kepada pemimpin Pakatan Rakyat diseluruh Perak saya berharap mereka melakukan sesuatu dan bertindak dengan sewajarnya dalam menangani permasalahan ini. Buktikan kita tidak ganggu Tadika KEMAS mereka dan semuanya adalah Fitnah dari Zahid Hamidi.

Jahat sungguh......

HAK MILIK TANAH KEDIAMAN SELAMA-LAMANYA

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang diterajui oleh Pas telah menganugerahkan 11hak milik selama-lamanya untuk kampung baru kuala Rui, Grik baru-baru ini. Terdapat 134 kampung baru seperti ini diseluruh negeri Perak (yang terbanyak di Malaysia).

Janji menganugerahkan tanah kediaman sahaja bagi kampung-kampung Tersusun (RPT) dan kampung-kampung Baru dibuat dalam tawaran PRU-12, hanya oleh Barisan Alternatif (PAS + PKR) dan bukanya oleh DAP. Bahkan DAP tiada membuat sebarang tawaranpun kerana tidak berkeyakinan bolih menang PRU-12 bagi seluruh negeri Perak.

Namun setelah bergabung (BA + DAP) bagi membentuk kerajaan Pakatan Rakyat pada 9 Mac 2008, maka kerajaan PR (DAP, PKR dan PAS) menunaikan janji tersebut disamping janji-janji yang lain yang termaktub didalam tawaran asal BA, yang mana menjadi tanggungjawab kerajaan PR untuk memenuhinya. Ketika itu diluaskan tawaran ini sehingga merangkumi kampong adat orang asli juga.

Bagi melaksanakan tawaran tanah kediaman hak milik selama-lamanya ini, ia memakan masa tak kurang 7 bulan bagi kerajaan mengkaji dan menterjemahkan serta menafsir peruntukan undang-undang serta kanun Tanah Negara dan peraturan tanah Negeri. Ini termasuk juga peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan beserta Jadual sekali.

Pandangan dari berbagai sudut termasuk (Legal Opinion) oleh pakar-pakar tanah, syarikat-syarikat guaman, Bar Council dan pentadbir tanah telah diteliti dan akhirnya membolihkan perlaksanaanya. Ini termasuk formula penetapan kadar premium yang lebih tinggi dari pajakan. (Di anggarkan jika semua memilih untuk memohon hak-milik selama-lamanya bagi kampung-kampung baru sahaja, kerajaan akan mendapat pertambahan dana tak kurang dari RM300juta, tanpa memberi tanah baru.)

Maka tawaran dibuka dan arahan dikeluarkan melalui pejabat tanah daerah bagi pemberitahuan serta mula menerima permohonan dari rakyat yang berada dikedua-dua kampung tersebut. Permohonan telah diterima diseluruh negeri khusus didaerah-daerah yang terdapat banyak penempatan kampung baru dan juga RPT. Prosesan dibuat dan kebetulan pejabat tanah daerah Grik terawal mengeluarkan hakmilik selama-lamanya yang telah dapat dianugerahkan kepada 11 orang pemohon tersebut. Pada masa yang sama hakmilik kepada orng Melayu bagi tanah pertanian yang jauh lebih luas juga dikeluarkan. bersambung.....

DAKWAAN PALSU OLEH MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

"PERAK KUNCI DEWAN 700 TADIKA KEMAS". "TINDAKAN JEJAS 11,000 KANAK-KANAK: ZAHID." OLEH Abu Bakar al-Sidek. Begitulah bunyinya laporan di muka surat 11 Berita Minggu keluaran Ahad, 4 Januari 2009.

Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dengan dakwaan dan tohmahan yang dinyatakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui laporan akhbar tersebut dan juga akhbar arus perdana bahasa melayu yang lain pada hari yang sama.

Dinyatakan dalam laporan tersebut, " kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mengunci pintu dewan yang akan di jadikan kira-kira 700 kelas bagi lebih 11,000 kanak-kanak Tadika Kemas yang akan memulakan persekolahan esok". Menteri berkenaan turut menyatakan, " tindakan kerajaan negeri gabungan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat itu menafikan hak untuk mendapat pendidikan kanak-kanak dari golongan kurang berada itu".


Kata menteri bekenaan lagi, " kerajaan negeri dibawah kepemimpinan Pesuruhjaya II Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar tidak berhak berbuat demikian kerana dewan berkenaan dibina dengan dana Kerajaan Persekutuan." Tambah menteri berkenaan lagi, " Ini perbuatan zalim dan kejam terhadap murid tadika yang tidak berdosa sekali gus membuktikan pemimpin kerajaan negeri tidak prihatin dengan rakyat".

Kenyataan dan tuduhan berbau politik ini dibuat bagi mencemarkan nama baik kerajaan Pakatan Rakyat Perak terutama menjelang PRK K Terengganu. Sebenarnya kerajaan negeri Perak tidak pernah membuat apa-apa arahan atau keputusan mengenai penggunaan dewan orang ramai sebagai premis dan kelas Tadika Kemas. Ini sengaja diada-adakan oleh Zahid melalui dakwaan beberapa ketua JKKP barangkali di Bagan Datok, Perak.

Oleh yang demikian saya telah meminta petugas saya membuat laporan polis serta mengambil tindakan mahkamah bagi menjernihkan nama baik kerajaan serta saya sebagai Menteri Besar.

Di Perak ketika ini terdapat sms yang menyatakan beberapa dewan dewan akan sengaja dikunci (oleh orang suruhan ) pada malam ini bagi mencerminkan kebenaran dakwaan Zahid, apabila persekolahan dibuka esok pagi. Persepsi ini bagi mencemarkan imej kerajaan Pakatan Rakyat.

Maka dengan ini sekali lagi saya menegaskan bahawa kenyataan Zahid itu pembohongan semata-mata dan merupakan tindakan ketua UMNO yang tenggelam punca yang akan menerima kekalahan teruk di PRK K Terengganu pada 17 Januari nanti. Saya menafikan dengan tegasnya dawaan dan tohmahan Zahid tersebut. Dia akan menerima padahnya nanti akibat fitnah yang dilemparkanya terhadap saya dan kerajaan Pakatan Rakyat.
http://kamparinn.blogspot.com/

Isu Tadika KEMAS di Perak : Kenyataan akhbar Pengerusi BBC

Kira-kira 13,000 murid tadika di negeri ini mungkin terjejas pembelajaran mereka ekoran tindakan kerajaan negeri Perak mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengosongkan 700 premis tadika milik agensi itu dakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi .

Menurutnya beberapa pegawai Kemas mendakwa mereka telah diarahkan oleh Pejabat Daerah supaya menyerahkan kunci dewan orang ramai dan pejabat Kemas kepada kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu.

Kenyataannya dalam Utusan Malaysia juga menyatakan sesetengah Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) telah menyerahkan kunci premis berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) kerana tidak mahu bertengkar dengan mereka.

Saya menafikan tohmahan yang tidak berasas yang dikeluarkan oleh Zahid Hamidi. Sesungguhnya apa yang didakwa oleh beliau saya anggap dakwaan yang tidak berasas dan kerana takut kan kepada "bayang-bayang" sendiri.

Janganlah membuat sesuatu kenyataan dan tohmahan yang standardnya sama dengan mentaliti pelajar KEMAS, atau sama mentaliti dengan pengerusi JKKP yang ada otak tapi tidak ada akal ?

Kenyataannya yang merujuk kepada "beberapa pegawai kemas", Pejabat Daerah dan Pengerusi JKKP adalah terlalu umum dan merupakan kenyataan yang tidak boleh diterima samasekali dan suautu fitnah yang tidak berasas. Apa lagi Sekira tuduhan itu dilemparkan kepada Pegawai Daerah tidakkah Zahid Hamidi sedar pegawai itu adalah Pegawai Tadbir Diplomatik yang ada kaitan langsung dengan Kerajaan Pusat.

Sekiranya beliau bertanggung jawab saya mencabar beliau mendedahkan secara specifik siapakah, dan dimana kejadian yang didakwa itu berlaku. Tunjukkan sifat haji mabrur yang diperolihi semasa Datuk Seri mengerjakan haji baru-baru ini.

Malah saya bersetuju dengan kenyataannya yang dipetik berkata "Kerajaan Perak tidak berhak mengguna dan mengendalikan program dalam bangunan yang dibina sendiri oleh Kerajaan Pusat," dan kerana itulah kami tidak melakukan apa-apa arahan dan tindakan apa lagi menganggu pentadbiran Tadika KEMAS.

Adakah setelah menunggu selama 9 bulan supaya Kerajaan Negeri Perak melakukan sesuatu tindakan balas dendam dan menganggu KEMAS tetapi ternyata tidak kami lakukan, dengan itu mereka cipta cerita mengatakan kami menganggu Tadika KEMAS.

Sebetulnya kami tidak ada masa untuk menganggu Tadika KEMAS, Nasihat saya teruskan kerja lama anda walaupun nampak sangat double standard.

Contohnya tanyalah di Parit Buntar berapa Tadika Kemas yang kami ganggu khususnya dalam DUN Titi Serong. Apa yang saya sedang rancang kan ialah akan pergi melawat semua tadika tersebut kalau mampu di awal persekolahan ini, sekadar bertanya khabar kepada guru dan ibubapa dan anak-anak yang bersekolah di situ.

YB.Drs. Khalil Idham Lim
Timbalan Exco Agama/Pengerusi BBC
Kerajaan Negeri Perak.

Gambar menarik Demo di Ipoh.

Gambar ini memberi seribu erti kepada kita semua yang mampu berfikir dengan waras.
Adakah kita masih sanggup berpeluk tubuh dan masih lagi dibuai oleh mimpi-mimpi yang indah sedangkan umat Islam di Palestin dan Gaza sedang bermandikan darah dan air mata.
Sesungguhnya kita tidak redha dengan tindakan ganas Zionis Israel dan didalangi oleh Amerika ke atas umat Islam di mana saja mereka berada. Mereka adalah saudara kita.
Marilah kita lakukan sesuatu sebagai jawapan yang jelas kepada Allah S.W.T bila dipertanyakan kelak apakah yang kita lakukan semasa umat islam ditindas dan dihina sedemikian rupa.
Mungkin OKU yang sedang berdemo di hadapan Masjid Negeri di Ipoh Jumaat lepas dengan sepanduknya "Amerika dan Israel Pembunuh Umat Islam" antara yang mampu menjawab soalan dari Allah S.W.T kelak.
Kita bagaimana?

Kerajaan Perak bertindak berdasarkan lunas undang-undang

SERI MANJUNG, 3 Jan :- Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat melakukan sesuatu tindakan dan dasar menurut lunas undang-undang serta mendapatkan nasihat yang secukupnya dari pakar undang-undang, oleh itu kita sangat bertanggung jawab dengan dasar pemberian geran kekal selama-lamanya kepada penduduk di Kampung Baru dan Kampung Tersusun. Demikian antara penjelasan Timbalan Exco Agama, Drs. Khalil Idham Lim yang mewakili YAB Menteri Besar Perak dalam ceramah Isu-Isu Semasa di sini.

Di awal ucapan beliau menyampaikan salam dari Menteri Besar yang hanya sempat berada dalam DUN Pasir Panjang itu di waktu siang dan disebabkan jadual diwaktu malamnya bertembung dengan yang hal lebih penting maka digantikan dengan ADUN Titi Serong itu.

Pada kesempatan itu beliau dengan bantuan LCD telah menjelaskan beberapa perkara yang dibangkit dan diputar belit oleh media cetak dan elektronik yang tidak bertanggungjawab.

Antara isu yang diperjelaskan ialah isu tanah, pembelian kereta Toyota Camry dan pendedahan pembaziran wang rakyat apabila kerajaan cuma menyewa bangunan Seri Perdana dan Seri Satria yang didiami oleh PM dan TPM dari Putrajaya Holding.

Antara hadirin yang hadir khusyuk mendengar penjelasan ADUN Titi Serong.


Pendedahan beliau mengenai Seri Perdana di mana sebanyak RM4.15 juta setahun atau RM345, 833.33 sebulan di sewa dari Putrajaya Holding . Sewa sehari ialah RM11,527.77 manakala kos menyelenggarakannya RM1.89 juta setahun atau RM158,051.40 sebulan artinya RM5,268.38 sehari.

Seri Satria pula disewa dengan nilai RM2.74 juta setahun atau RM228,333.33 sebulan iaitu RM7,611.11 sehari . Kos penyelenggaraannya adalah RM1.13 juta setahun iaitu RM94,156 sebulan iaitu RM 3, 138.53 sehari.

Tegas Drs. Khalil yang menyatakan fakta ini bukanlah rekaan tetapi pendedahan di parlimen , "RM27,545 sehari untuk membayar sewa dan menyelenggarakan kedua-dua istana pemimpin negara ini" siapa yang membazir ? soalnya.

Ceramah yang diadakan di Kampung Pasir Pandak yang terletak dan DUN Pasir Panjang itu mencipta sejarah kerana kali pertama diadakan ceramah penerangan dikubu kuat pembangkang itu.

Drs. Khalil menyampaikan sumbangan beg kepada seorang penerima sambil diperhati Hj. Noh dan Tazali Tamim.


Hadir sama dalam ceramah berkenaan ialah YDP PAS Kawasan Lumut, Hj. Noh Ahmad dan Timbalan Ketua bahagian Keadilan Lumut, Tazali Tamim yang menjadi penceramah pertama.

Menyampaikan sumbangan kerusi roda.


Pada kesempatan yang sama satu majlis penyerahan beg sekolah dan 2 kerusi roda sumbangan Isteri YAB MB telah disempurnakan oleh ADUN Titi Serong kepada yang terpilih.

Drs. Khalil : Palestine milik seluruh umat Islam.

SERI MANJUNG, 3 Jan :- Palestin adalah milik semua umat Islam di mana saja mereka berada, maka tunjukkan tanda simpati dengan apa cara sekalipun termasuk mengadakan demonstrasi, sembahyang hajat, menderma dan boikot barang Amerika dan Yahudi. Demikian antara kandungan Tazkirah maghrib Timbalan Exco Agama,Drs. Khalil Idham Lim yang mewakili YAB MB Perak yang tidak dapat hadir semasa memberi tazkirah di Surau MADAH di sini.

Tegasnya Islam meletakkan tali persaudaraan yang berbeza dengan agama lain, setelah mengucap dua kalimah syahadah kita jadi bersaudara.

Drs. Khalil menyeru supaya segala langkah yang perlu diambil untuk menunjukkan sikap yang sebenar ke atas kebiadaban Zionis Israel yang menyerang saudara seIslam yang tidak berdosa di Gaza.

"Sanggup kan kita berpeluk tubuh tanpa melakukan sesuatu apabila saudara kita di serang sedemikian rupa oleh Yahudi ? " Tanya beliau kepada jemaah yang hadir .

Jemaah memenuhi semua ruangan Surau MADAH.


Pada program tersebut dilancarkan kutipan derma untuk disalurkan kepada mangsa serangan Israel di Gaza, dan sesudah sembahyang Isyak diadakan sembahyang sunat hajat yang di imam kan oleh YDP PAS Kawasan Lumut, Hj. Noh Ahmad.

Hijrah

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kalau kaum itu sendiri tidak berusaha mengubah apa yang ada pada mereka” (QS. Ar-Ra‘d: 11).

Di dunia ini, manusia dituntut untuk selalu berfikir agar menghasilkan perubahan dan inovasi. Perubahan adalah sunnatullah, yang akan terjadi bila kita mahu mengusahakannya. Hal yang sama juga selalu dilakukan Rasulullah S.A.W, di antaranya, dengan melakukan hijrah.

Hijrahnya Rasulullah S.A.W dan kaumnya ke Yastrib yang kemudian dinamakan Madinah Al Munawarah adalah suatu hasil pemikiran demi mendapatkan suatu perubahan. Pada waktu itu, penduduk Makkah belum membuka diri untuk berubah ke jalan yang benar. Bahkan penentangan-penentangan besar dan keras dilakukan kepada usaha perubahan yang dilakukan Baginda Rasulullah. Menghadapi tentangan yang bahaya itu, Rasulullah S.A.W memikirkan jalan lain yang lebih selamat . Berpindah tempat dakwah adalah cadangan yang terbaik dan masuk akal. Ternyata tindakan itu menghasilkan kejayaan gemilang, sehingga Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Peristiwa itu mengajak kita untuk selalu berusaha melakukan perubahan dalam hidup ini. Pasti ada peluang-peluang untuk menuju tangga kejayaan dalam kehidupan ini. Kalau tidak berhasil merebut peluang pertama kita mesti berusaha merebut peluang kedua dengan usaha yang lebih gigih. Siapa tahu kegagalan kita pada satu peluang kerana ada sebuah peluang keemasan lain yang sedang menunggu kita.

Tentunya, peluang-peluang itu tidak pernah terlintas dalam fikiran kita. Berfikir secara kritis dan optimis adalah cara yang paling mustajab untuk mendapati peluang-peluang perubahan. Dalam Al-Quran, Allah juga berkali-kali mempertanyakan apakah kita (manusia) tidak berfikir atau tidak menggunakan akal. Kerana itu, jangan berputus asa kerana hilangnya satu peluang. Berputus asa sama artinya dengan sengaja melupakan bahawa Allah Maha Kaya, juga Maha Pengasih, yang senantiasa menghamparkan banyak peluang lain, kalau kita mahu berusaha dan mensyukurinya.