06 Jun 2009

Siapakah yang akan terpilih ?

Lebih 1,000 perwakilan akan menentukan nasib Datuk Husam dan Musa Mohamad Sabu yang mencabar Nasharuddin Mat Isa dalam persaingan mereka merebut jawatan timbalan presiden PAS.

Bagi jawatan naib presiden, lima tokoh parti itu merebut tiga kekosongan yang ditinggalkan oleh Husam, Mohamad dan Ahmad Awang, pesuruhjaya PAS Perak.

Calon-calon itu: bekas ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan tiga ahli jawatankuasa pusat Dr. Mujahid Yusof Rawa, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim dan Nik Amar Nik Abdullah.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Agung PAS, Dato' Mustafa Ali menjelaskan mengikut perlembagaan parti beberapa jawatan penting perlu dipertandingkan antaranya Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, AJK dan Pemeriksa kira-kira.

Beliau berkata, di antara jawatan itu ada yang telah dimenangi tanpa pertandingan antaranya Pengerusi Tetap yang terus dipegang oleh Ustaz Abu Kasim Abdullah tanpa pertandingan.

Selain itu katanya, jawatan Presiden menang tanpa bertanding manakala untuk jawatan Timbalan Presiden terdapat tiga pencalonan, Naib Presiden lima calon dan AJK 54 calon dan hanya dipilih 18 orang. Sementara itu Pemeriksa Kira-kira tiada pertandingan.

Beliau memaklumkan jumlah pengundi 1044 orang termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap, Ahli Majlis Syura, AJK PAS Pusat, Pesuruhjaya dan perwakilan Kawasan-kawasan.

"Saya harap insya-Allah perjalanan pemilihan akan berjalan lancar dan jawatankuasa pemilih memutuskan segala keputusan pengundian akan diumumkan pagi esok," jelasnya.

Ucapan Dasar Presiden PAS



Muat turun :-

1. Muat turun ucapan dasar Presiden PAS versi Bahasa Melayu

2. Muat turun ucapan dasar Presiden PAS versi Bahasa Inggeris

3. Muat turun ucapan dasar Presiden PAS versi Bahasa Arab

-sumber ajijoi

Hadi: Bersih nama PM dalam isu Altantuya

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi gesaan kepada kerajaan agar mengambil tindakan terhadap beberapa media asing yang mencemarkan imej perdana menteri dengan skandal kontrak pertahanan dan kes bunuh Altantuya Shaariibuu.

Tanpa menyebut nama Datuk Seri Mohd Najib Razak atau kes khusus yang dihadapi pemimpin negara itu, presiden PAS dalam ucapan dasarnya di muktamar pagi ini berkata:

"PAS ingin menggesa pihak kerajaan untuk mengambil langkah berani dengan memulakan tindakan (undang-undang) bagi membersihkan pemimpin utama negara yang dipaparkan oleh media asing sebagai mempunyai bebanan kes rasuah dan jenayah.

"Tindakan saman ini adalah perlu supaya imej Malaysia yang tercalar akibat berita yang sangat memalukan ini dapat dipulihkan."

Abdul Hadi bersama dua lagi tokoh utama Pakatan Rakyat - Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang masing-masing bagi pihak PKR dan DAP - membuat gesaan yang sama kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum Najib dilantik perdana menteri keenam, 3 April lalu.

"Sekiranya tindakan pembetulan ini tidak diambil, maka sebenarnya maruah dan masa depan negara akan menjadi bahan momokan masyarakat dunia," kata Abdul Hadi di depan kira-kira 3,000 perwakilan, pemerhati dan tetamu jemputan.

PAS melangsungkan muktamar tahunan ke-55 selama tiga hari sehingga Ahad di Stadium Malawati, Shah Alam.

Mengulas kemelesetan ekonomi dunia, Abdul Hadi menyifatkan BN masih mengalami "sindrom sangkalan" terhadap amalan urus tadbir yang rakus, boros dan sarat dengan penyelewengan.

PAS turut mencadangkan penggunaan dinar emas menangani ketidaktentuan ekonomi dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas.

Sementara itu, presiden PAS turut menegaskan perlu kefahaman Islam yang sebenarkan digunakan untuk menafsirkan maksud agama dalam Perlembagaan Persekutuan supaya keadilan Islam dapat ditegakkan.

Katanya, walaupun Umno meminda perlembagaan beberapa kali, tetapi tindakan itu "seperti tikus membaiki labu" demi mengekalkan kuasa politiknya semata-mata.

Mengulas soal penyertaan bukan Islam dalam parti itu, Abdul Hadi berkata, anggota-anggota Kelab Penyokong PAS (KPP) perlu menjalani program orientasi bagi memahamkan mereka perjuangan PAS.

Beliau mencadangkan pindaan perlembagaan bagi menaiktarafkan kelab itu sebagai sebuah dewan di samping Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Mengulas peranan tiga sayap parti, Abdul Hadi meminta penglibatan veteran PAS yang tidak lagi memegang jawatan dalam parti digembleng dan diinstitusikan.

Katanya, ia bertujuan supaya mereka yang mempunyai pengalaman yang banyak dapat terus menyumbang kepada parti. Dewan Ulama diminta melaksanakan tanggungjawab ini.

Sementara Dewan Muslimat pula diminta tidak mengesampingkan program ilmiah dan hiburan bagi mendekati generasi muda.

Katanya, kecenderungan sesetengah generasi muda kepada program-program yang berbentuk hiburan harus terarah dan dipimpin. Hiburan yang mendidik dan membina kekentalan jiwa taat kepada Allah SWT harus dipupuk.

Abdul Hadi juga menggesa Dewan Pemudanya "mengakhlakkan" program-program hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dianggap berada di luar ruang lingkup kegiatan parti.

"Usaha ini perlu bukan sekadar untuk tujuan politik, tetapi lebih utama untuk melaksanakan tugas 'penyelamat' bagi mengeluarkan mereka daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama," katanya dalam ucapan bertemakan 'Islam Memimpin Perubahan.'

"Dewan Pemuda perlu menggiatkan program tarbiyah kepada anak-anak muda untuk mencapai sekurang-kurangnya dua tujuan; pertamanya melahirkan generasi pemimpin yang akan meneruskan perjuangan yang panjang ini dan kedua; melahirkan penyokong dan penggerak yang menghayati perjuangan parti untuk menegakkan Islam."

Selain tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat dan pemimpin politik, tokoh-tokoh sastera yang terlibat dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menggerakkan demonstrasi besar awal Mac lalu, turut hadir.

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said malah dikurniakan "Anugerah Pejuang Bahasa" dalam satu majlis ringkas selepas ucapan dasar tersebut. Malaysiakini.

Kerjasama erat Pakatan Rakyat dicemburui Umno/BN - Presiden PAS

SHAH ALAM, 5 Jun : - Kerjasama erat yang diperlihatkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat amat dicemburui parti lawan yakni Umno/BN, tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Ucapan Dasar sempena Muktamar PAS Pusat kali ke-55.

Ucapan itu disampaikan Ustaz Hadi di hadapan perwakilan dan pemerhati sempena muktamar ke-55 hari ini.

Menurut Ustaz Hadi, sepanjang tempoh setahun selepas Muktamar di Ipoh Perak, pelbagai imej politik dilakarkan dan pelbagai pergolakan politik berlaku, sekali gus menjana perubahan lanskap politik negara.

Pakatan Rakyat telah berhadapan dengan beberapa pilihan raya kecil � bermula dengan Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Batang Ai dan Penanti dan akan bertemu lagi di Manek Urai.

Beliau menegaskan, kesemua pilihan raya ini sama-sama hadapi dengan semangat kerja kuat dan keserasian setiakawan Pakatan Rakyat yang tidak pernah luntur.

"Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat yang telah celik, kerana hasil maklumat yang dimerdekakan ke atas mereka oleh sumber Media Baru, sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu.

"Kejayaan ini tidak akan mampu kita capai tanpa usaha keras yang ditunjukkan oleh jentera kita dan semua pihak yang sama-sama membantu tanpa habuan wang ringgit.

"Rupanya kerjasama kita yang sebegini erat, sangat membuatkan pihak tertentu merasa iri hati dan merasa bahang kepanasannya," kata Presiden PAS.

Kemuncak daripada keangkuhan dan iri hati itu, Umno/BN melakukan tindakan tanpa susila, Umno/BN merampas kerajaan yang dipilih oleh suara majoriti rakyat yang telah sama-sama dibina di negeri Perak Darul Ridzuan, ujarnya.

Ustaz Hadi juga menyatakan Umno/BN telah mengetepikan suara dan semangat Perlembagaan menyebabkan tiadanya pemisahan kuasa dalam badan kehakiman.

Katanya lagi, kerajaan Perak pimpinan Pakatan Rakyat yang sedang berbakti kepada rakyat telah direntap dengan senjata peras ugut dan rasuah politik.

"Apa yang lebih parah lagi, bukan sahaja segala jenis peraturan dan �standing order� Dewan dilanggari bahkan kedudukan Dewan tempat bersidangnya Dewan Undangan Negeri Perak telah dicemari dengan peristiwa rampasan kuasa," katanya.

Tragedi ini merupakan satu episod hitam dalam sejarah politik di Malaysia, kata Ustaz Hadi lagi.

Begitupun kuat cabaran dan ugutan yang dihadapkan ke atas PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat, kerjasama erat yang terjalin tetap utuh menyebabkan lawan cemburu, katanya.

Justeru beliau mengingatkan kerjasama itu perlu diperkuatkan dengan temannya, PAS sendiri mendepani perubahan dengan tema 'Islam Memimpin Perubahan'. Harakahdaily.

Penganugerahan Tokoh Bahasa

Penerima anugerah tokoh bahasa bergambar di pentas utama

Presiden PAS menyampaikan sumbangan mewakili PAS sebanyak RM 150,000.00 kepada wakil Palestin

Sempena Muktamar PAS ke-55 diadakan Majlis Penganugerahan Tokoh Bahasa. Dua orang yang dipilih kali ini ialah Pengerusi GMP(Gerakan Mansuhkan PPSMI),Dato' Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, A.Samad Said


Presiden PAS lancar e-Harakah dan Projek Pembangunan Kompleks PAS Pusat

Sebentar tadi Presiden PAS baru melancarkan e-paper/e-Harakah dan melancarkan Peojek Pembangunan Kompleks PAS Pusat.


Presiden PAS baru menyelesaikan ucapan Dasar dan Merasmikan Muktamar

Shah Alam: Baru sebentar tadi Presiden PAS mengakhiri ucapan dasarnya sekaligus merasmikan muktamar PAS kali ke-55.

Ucapan merangkumi pelbagai aspek itu saya anggap merupakan gambaran menyeluruh dan suatu bukti PAS mampu merealisasikan tema "Islam Memimpin Perubahan"

TERKINI : Presiden PAS sedang menyampaikan Ucapan Peresmian Muktamar.

Sekarang ini YB. Dato' Seri Presedin PAS, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang sedang menyampaikan Ucapan Dasar sekaligus meresmikan Muktamar PAS kali ke 55.

Ucapan ini mendapat perhatian dan dianggap penting dalam menentukan hala tuju PAS untuk tempoh setahun akan datang.

Muktamar PAS kali ke-55 membuka tirai

Tempat duduk pemerhati di sebelah kiri hampir dipenuhi oleh pemerhati semasa Presiden PAS sedang menyampaikan ucapan dasar

Pembaharuan untuk pemerhati asing, skrin besar menyediakan alih bahasa ucapan dasar Presiden PAS dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris, tahniah kepada panitia muktamar ke-55


SHAH ALAM, 5 Jun : - Muktamar PAS kali ke-55 membuka tirai dengan kini para perwakilan mula memenuhi Stadium Malawati sementara menanti saf pimpinan tiba.

Kelihatan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang bersedia memulakan pemeriksaan perbarisan Unit Amal sebagai pembuka tirai perasmian Muktamar PAS Pusat.

Kira-kira 2000 tetamu mula membanjiri stadium, sementara di luar perkarangan stadium kenderaan mula berpusu masuk.Perasmian dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat oleh Tuan Guru Nik Aziz sementara Ucapan Dasar Presiden akan menyusul selepas itu.

Jam 9.20 pagi, seluruh saf kepimpinan mengambil tempat, Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Timbalan, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Husam Musa, Ustaz Ahmad Awang dan Mohamad Sabu berada di atas pentas bersama AJK PAS Pusat yang lain dan ketua-ketua Dewan sambil mendengar alunan ayat suci Al-Quran yang diperderdendangkan Qari, Ustaz Mustafa.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; wakil-wakil parti komponan Pakatan Rakyat dari DAP dan KeADILan, pemerhati, wakil NGO dan wakil dalam dan luar negara serta petugas media.

Jam 9.40 pagi, pengacara majlis menyerahkan sidang kepada Pengerusi Tetap, Ustaz Abu Kassim Abdullah bagi memulakan Muktamar yang bertemakan 'Islam Memimpin Perubahan'.Abu Kassim memulakan sidang dengan pantun yang membuatkan perwakilan dan tetamu tertawa.

Sejurus selepas itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar mengambil tempat bagi membuka muktamar dengan kata-kata aluan.

Dalam ucapannya, Kamarudin mengucapkan selamat bermuktamar kepada sidang perwakilan dan pimpinan selain mengalungkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pengelola dan tuan rumah, Selangor yang menyediakan tempat dan kemudahan untuk bermuktamar. Harakahdaily.

Muktamar PAS ke 55: PAS Memimpin Perubahan


Shah Alam: Muktamar PAS pada tahun ini dilihat sebagai muktamar yang terbesar yang pernah dianjurkan oleh Parti Islam yang telah mendapat tempat di pentas politik Malaysia sekian lama.

Mursyidul Am, Presiden dan yang lain melambaikan tangan kepada hadirin. Ketibaan mereka disembut dengan laungan takbir dan irama Selawat kepada Rasul

Pengajuran Muktamar kali ini dilihat penting dengan ucapan Presiden yang akan menjadi perhatian para tamu lehormat dari dalam dan luar negara seterusnya akan dibahas oleh para perwakilan sehingga Ahad nanti. Tema Muktamar ialah "Islam Memimpin Perubahan".

Pengacara majlis perasmian muktamar memulai majlis sebentar tadi

Semua Pemimpin utama dalam Pakatan Rakyat kelihatan hadir bersama dengan perwakilan dari jemaah Islam Antarabangsa. Selain itu hadir sama ialah perwakilan dari kedutaan asing.


Qari Jemputan memperdengarkan bacan AL-Quran dari Surah Al-Fath


05 Jun 2009

Forum Perdana sempena Muktamar.

Sempena sambutan Muktamar Tahunan PAS kali ke 55, Panatia Muktamar telah menganjurkan Forum Perdana yang membarisi ahli panelnya Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Mohd Ali, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ust. Nik Zawawi. Manakala pengerusinya ialah Ust. Solehin Mohyi.

Pada mulanya ahli Panel yang akan ditampilkan ialah Dr. harun Din dan Ust. Ismail Kamus namun keduanya tidak dapat hadir atas sebab masalah yang tidak dapat dielakkan dan tempatnya digandikan oleh Drs. Khalil dan Ust. Nik Zawawi.

Ketiga-tiga ahli panel mengupas tajuk "PAS memimpin perubahan" dan menarik perhatian kehadiran yang memenuhi dataran forum sekitar 2 jam itu.

Sebelum Forum bermula penonton dihiburkan dengan lagu-lagu kerohanian dari kumpulan nasyid jemputan termasuklah nyanyian solo oleh Renggo.

Tiada pilihan, kecuali Pakatan Rakyat

A Shukur Harun

Jumaat, 5 Jun dibukalah tirai Muktamar PAS Ke-55 selama tiga hari seperti ditunggu-tunggu. Para perwakilan dan pemerhati telah pun tiba untuk menghadiri muktamar tersebut di Stadium Malawati di tengah-tengah bandar raya Shah Alam, Selangor.

Kalaulah tidak kerana kemenangan Pakatan Rakyat pada Mac 2008 lalu, tidak mungkin PAS dapat mengadakan muktamarnya di stadium sebesar itu, dengan datarannya yang luas, rimbunan pohon di sana sini dan berhampiran pusat membeli belah, hotel dan Masjid Negeri yang menjadi kemegahan umat, bukan saja di Selangor tetapi juga seluruh Malaysia.

Selangor sebuah negeri rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, di mana ibu negerinya sangat bersifat kosmopolitan dengan puluhan institusi pengajian tinggi di dalamnya.

Para perwakilan dan pemerhati yang datang dari jauh dan dekat akan menyaksikan bagaimana Selangor Darul Ehsan, sebuah negeri terkaya di Malaysia mampu ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dengan Menteri Besarnya Tan Sri Abd Khalid Ibrahim.

Dengan sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap calon Pakatan Rakyat dalam PRU Ke-12 dulu menyebabkan ia beroleh kemenangan besar dan mampu membentuk sebuah kerajaan stabil. PAS sendiri, yang memenangi enam kerusi Dun telah diberikan peranan besar dengan mememang tiga Exco penting � Dato' Dr Hasan Ali, Dr Halimah Ali dan Iskandar Abd Samad.

Di bawah kerajaan Pakatan Rakyat ini masjid dan surau dapat dimakmurkan dengan sebaik-baiknya, di mana para pendakwah bebas menyampaikan pelbagai kuliah mereka bila-bila masa. Sementara itu pelbagai dewan yang ada di negeri ini dapat digunakan dengan bebas bukan saja untuk kegiatan kemasyarakatan, tetapi juga untuk ceramah umum dan dakwah.

Rakyat bebas menikmati kebebasan dalam batas undang-undang yang sedia ada. Kehidupan malah lebih baik walaupun dalam keadaan kemelesetan ekonomi.

Saya melakarkan kembali mengenai kejayaan Negeri Selangor Darul Ehsan ini untuk menggambarkan bagaimana penduduk Selangor dapat menikmati kehidupan yang selesa ini di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat.

Justeru itu, Muktamar PAS yang berlangsung di Selangor sekarang sewajarnya memperbaharui ikrar untuk memperkukuh lagi Kerajaan Pakatan Rakyat bukan saja di Selangor, tetapi juga di negeri lain yang diperintahnya.

Muktamar PAS Ke-54 di Ipoh tahun lalu mengambil keputusan memperkukuh Pakatan Rakyat, satu keputusan yang sangat bijaksana. Justeru selepas muktanar kali ini, siapapun yang dipilih memimpin PAS, sewajarnya memperkasa lagi Pakatan Rakyat.

Tidak ada pilihan lain bagi mereka melainkan bekerja keras untuk mempastikan kekukuhan Pakatan Rakyat. Ini kerana Pakatanlah yang menjadi 'government in waiting' � kerajaan menanti.

Jika kita mengamati, nampak jelas perbezaan Kerajaan Pakatan Rakyat dengan kerajaan BN yang ada, dari segi ketelusan, kebebasan, keadilan dan menyediakan kehidupan lebih baik.

Lebih daripada itu kejayaan besarnya ialah pendukung Pakatan Rakyat sudah melepasi batas-batas perkauman yang sangat berbahaya. Keharmonian telah terjamin dengan baik, sementara PAS sendiri sudah menunjukkan kemampuan berinteraksi dengan rakyat pelbagai kaum, begitu juga sebaliknya.

Majlis ceramah PAS, KeADILan dan DAP dihadiri oleh rakyat pelbagai kaum, malah para pemimpin tiga parti ini sudah berada di pentas yang sama dan mennyampaikan ceramah bersama di banyak tempat, sesuatu yang amat sukar kita temui pada masa lalu.

Sementara itu, hasil daripada keterbukaan PAS dan slogannya 'PAS Untuk Semua' semakin menarik perhatian pelbagai kaum, malah Kelab Penyokong PAS yang berada di bawah payung Lajnah Perpaduan Nasional yang diketuai oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa telah menunjukkan kejayaan membanggakan. Menurut laporan terkini, Kelab tersebut sudah melebihi 20,000 orang ahli, malah ramai lagi berminat menyertainya.

Baru-baru ini lajnah tersebut bersama dengan Lajnah Peringkat Pemuda dan Muslimat PAS Pusat telah mengadakan Program Konvensyen Kelab Penyokong PAS di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Klang dengan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat.

Dalam ucapannya, Tuan Guru menegaskan bahawa PAS sedia menerima Kelab Penyokong PAS sebagai sayap parti memandangkan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pelbagai kaum terutama Cina dan India.

Tuan Guru berkata, sepatutya kelab Penyokong PAS itu sudah lama dijadikan sayap parti.

"Saya kata terlewat, patut lama jadi Dewan. Umno selalu ganggu akhir sekali atas kesedaran rakyat, Umno telah digulingkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan konvensyen tersebut.

Program tersebut mendapat sambutan luar biasa di mana orang ramai telah memenuhi dewan tersebut hingga melimpah di luar dewan, suatu sambutan yang mencerminkan sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap PAS. Selain daripada kehadiran ahli Kelab Penyokong PAS, turut hadir ahli Penyokong Muda PAS seluruh negara.

Menurut Dr Mujahid, tujuan program tersebut ialah untuk memberi penerangan mengenan pelan tindakan lajnah tersebut untuk menaiktarafkan Kelab Penyokong PAS (KPP) ke taraf Dewan di dalam PAS. Insya-Allah, katanya, hasrat ini akan dapat direaliasikan.

Ini membuktikan bahawa sejak PRU ke-12 hingga kini sokongan rakyat berbilang kaum terhadap Pakatan Rakyat terus bertambah. Program mereka baik di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, malah di Perak, sentiasa mendapat sambutan.

Ini bukti bahawa Pakatan telah menunjukkan kemampuannya menjadi pemerintah yang baik di beberapa negeri yang dimenanginya. Tidak mustahil, malah berpotensi besar, insya-Allah, pada PRU ke-13 nanti, Pakatan Rakyat akan dapat menawan negeri yang kini masih lagi dikuasai oleh Barisan Nasional.

Berdasarkan perkembangan sebelum ini, sekurang-kurangnya ada dua Muktamar PAS lagi sebelum PRU ke-13 nanti, iaitu tiga tahun lagi. Namun begitu, muktamar kali sewajarnya digunakan untuk mengatur strategi bagi memperkukuh Pakatan Rakyat.

Daripada gejolak politik yang berlaku sekarag, terbukti Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan untuk menghadapi cabaran, khususnya dari Barisan Nasional. Justeru BN sentiasa mencari peluang untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Oleh itu, tidak syak lagi musuh PAS dan musuh Pakatan Rakyat sentiasa memerhatikan perjalanan Muktamar PAS ini baik ucapan mahupun perbahasan dan usulnya. Sebarang mesej yang salah disampaikan akan membawa akibat melemahkan Pakatan Rakyat dan sudah tentu merugikan PAS sendiri. Harakahdaily

Nurida kekal ketua Muslimat

Nurida Mohd Salleh berjaya mengekalkan jawatan ketua Dewan Muslimat PAS manakala timbalannya, Wan Hasrina Wan Hassan tumpas kepada muka baru.

Nurida mendapat 136 undi manakala pencabarnya Asiah Ali mendapat 100 undi.


Manakala Siti Zailah Mohd Yusof mendapat 142 undi untuk menewaskan Wan Hasrina bagi jawatan timbalan ketua. Wan Hasrina mendapat 90 undi.

Jawatan naib ketua sebelum ini telah dimenangi tanpa bertanding oleh Mumtaz Md Nawi.

Manakala 12 orang yang terpilih ahli jawatankuasa kerja Muslimat ialah Wan ubaidah omar (196), mastura mohamad (173), halimah ali (173),
Aiman Athirah al Jundi (162), Najihatussalehah Ahmad (158), Siti Mariah Mahmud (156), Rosni Adam (155), Azizah Khatib Mat (147), Salbiah Abd Wahab (147), Nurul Huda Yusof Rawa (135), Wardatul Jannah as Sofea (125) dan Fatimah@Zainab Ibrahim (122).

Jawatan pengerusi tetap pula dimenangi oleh Nor Hashimah Deraman yang mendapat 154 undi, menewaskan Noraini hussin yang mendapat 81 undi.

Jawatan timbalan pengerusi tetap pula dimenangi Wan Hamidani Wan Ahmad yang mendapat 162 undi, menewaskan Faizah Ismail yang mendapat 72 undi. Malaysiakini.

Nik Abduh antara 12 AJK Pemuda

Anak Menteri Besar Kelantan, Nik Abduh Nik Aziz mendapat undi kedua terbanyak dalam pemilihan ahli jawatankuasa kerja (AJK) Dewan Pemuda PAS Pusat yang diadakan di Taman Melawar hari ini.

Beliau mendapat 194 undi - kurang tiga undi daripada Riduan Mohd Noor yang mendapat undi terbanyak dengan 197 undi.

Keputusan tersebut diumumkan oleh pengerusi jawatankuasa pemilihan Dewan Pemuda PAS, Hassan Shukri sebentar tadi.

Turut dipilih ialah Mohd Firdaus Jaafar (176); Mohd Nazri Chik Zain (165); Suhaizan Kaiat (165); Nasir Zakaria (150); Kamal Ashaari (145); Kamalrulzaman Mohamad (139); Khairul Faizil Ahmad Kamil (139); Mohd Adram Musa (135); Abdullah Abdul Karim (127) dan Raja Iskandar Raja Yaacob (120).

Seramai 229 perwakilan telah mengundi hari ini.

Tiga jawatan utama dalam pucuk pimpinan PAS dimenangi tanpa bertanding.

Ketua Pemuda dimenangi oleh Nashruddin Hassan, Azman Shapawi Abdul Rani (timbalan) dan Ahmad Sabki Yusoff (naib). Malaysiakini.

9 SEBAB-SEBAB HATI TIDAK BAHAGIA

  • Mohd Nizam bin A. Badaruddin

    Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

    1. Pemarah paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.

    2. Pendendam tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

    3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

    4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan,pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..-derma) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui maknusia.

    5. Tamak orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut...walau berapa banyak yg diminum tetap tak abis jugak...lagipun org tamak selalu rugi..** Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

    6. Tidak sabar andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan..cthnyer time keja banyak..tetap maintain vogue walau keja bertimbun atas meja..heh..heh..)

    7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

    8. Riak terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun-lakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. -Allah marah kalau kita riak..takabbur dgn aper yg kita ada..

    9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, ...dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. biler mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah... Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

    Kesimpulan
    Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dllnya. tetapi ialah MAZMUMMAH. Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak BAHAGIA. Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. So..sama-samalah kite sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain....andai kita terleka dengan dunia buruklahh padahnya. Wallahualam"