21 September 2009

"Hua She Tian Zu" : Menambah Kaki pada Ular Ketika Melukis



Pada Zaman Negeri-Negeri Berperang, seorang bangsawan di Negeri Chu memberikan sebotol arak kepada para pembantunya selepas upacara memuja nenek moyangnya berakhir. Ada seorang pembantu mengemukakan cadangan:

"Kita hanya diberi sebotol arak sahaja. Ini pastinya tidak cukup untuk melayan kita semua, dan hanya cukup untuk diminum oleh seorang saja. Bagaimana, kalau kita setiap orang melukis seekor ular di lantai, siapa yang paling cepat selesai melukis ular itu, akan layak minum arak ini."

Pembantu-pembantu yang lain semuanya bersetuju dengan cadangannya tersebut. Lalu, mereka mula melukis ular pada lantai.

Menurut ceritanya, ada seorang antara mereka yang paling cepat menyiapkan lukisan ularnya, dan dia ingin minum arak itu. Namun, melihat orang lain masih sibuk melukis, dia berkata dengan sombong:

"Lambatnya awak semua melukis. Aku masih ada masa yang mencukupi untuk menambah sepasang kaki pada ular dalam lukisanku."

Lalu, dia mengambil berus, dan ingin menambah kaki pada ular yang sudah siap dilukisnya pada lantai. Namun, apa yang terjadi kemudiannya sangat di luar sangkaannya. Sebelum dia siap melukis kaki pada ular itu, ada seorang yang lain sudah pun menyiapkan lukisannya. Dia pun mengambil botol berisi arak itu, dan berkata:

"Siapakah yang pernah jumpa ular yang mempunyai kaki? Yang awak lukis itu bukanlah ular. Jadi, arak ini patut aku minum."

Lalu, dia terus minum arak itu.

Melihat arak itu habis diminum, orang yang menambah kaki pada ular itu berasa amat kesal. Namun, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Inilah asal usul peribahasa "Hua She Tian Zu", yang memberikan pengajaran kepada kita supaya mematuhi arahan dan mempunyai tujuan yang jelas ketika membuat sesuatu kerja, dan jika kerja itu selesai dibuat, jangan berlagak sombong, jika tidak, kita juga akan mengalami kerugian.
CRI/-

Lebih 1500 dijangka hadir di majlis bersama PERANTAU

KOTA BHARU:- Kerajaan negeri Kelantan menjangkakan lebih 1500 warga Kelantan yang tinggal di luar Kelantan akan hadir di majlis Mesra Aidilfitri Bersama Pimpinan Kerajaan negeri yang akan diadakan pada hari raya kedua ( 2 Syawal) bertempat di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre(KTC) bersebelahan Stadium Sultan Muhammad ke-IV,bermula jam 8.45 malam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan,Pembangunan Maklumat,Sains dan Teknologi Dr.Muhammad Fadzli Hassan, Majlis sebegini adalah merupakan program tahunan kerajaan negeri bagi menghargai warga Kelantan yang berada di perantauan.

"Program ini diadakan pada setiap tahun dan memasuki tahun ke tujuh belas mendapat kerjasama sepenuhnya dari PERAKAN iaitu Persatuan Anak Kelantan." ujar beliau.

"Pengisian program tersebut ialah penayangan multimedia tentang pembangunan dan pentadbiran Kelantan di bawah kepimpinan Ulamak dan Konsep Membangun Bersama Islam." katanya lagi.

Dr.Muhammad Fadli juga berkata kerajaan negeri amat berharap agar pertemuan yang diadakan pada setiap tahun ini menjadi satu jalinan kemesraan diantara hubungan kerajaan negeri dan juga rakyat negeri ini yang berada di seluruh negara.

Sementara itu menurut Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan Ustaz Abdul Rahman Yunus, Program sebegini melibatkan seluruh Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat di negeri ini dan pada pertemuan tersebut anak Kelantan boleh beramah mesra bersama wakil-wakil rakyat mereka dan bertukar-tukar pendapat terutamanya melibatkan pembangunan setempat._

Harakahdaily/-

Ziarahi kubur amalan positif di pagi Syawal

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Amalan menziarahi kubur di pagi Aidilfitri merupakan satu amalan yang positif, namun boleh bertukar kepada bida'ah jika ia dijadikan kewajiban kepada seseorang untuk melakukannya.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan, berkata amalan menziarahi kubur itu bagi mengingatkan manusia kepada kematian, namun terdapat sebahagian ulama yang meletakkan amalan tersebut sebagai bida'ah apabila mereka mewajibkan diri mereka untuk melakukannya.

"Melainkan jika seseorang itu pulang ke kampung dan mengambil peluang menziarahi kubur orang tuanya, maka ia bukanlah satu bida'ah," jelas beliau.

Tambah Ustaz Nasruddin lagi, sudah menjadi kelaziman bagi orang ramai untuk mengenang ketiadaan orang yang disayangi pada pagi raya, dan kemudiannya melanjutkan ingatan tersebut ke tanah perkuburan dengan menziarahi pusara.

Jelas beliau, amalan tersebut bukanlah satu kesalahan memandangkan ia mengingatkan kita semua kepada kematian, selain menjadikan Syawal itu bukanlah waktu bergembira tanpa batasan.

Ustaz Nasruddin turut mengingatkan amalan di hari Aidilfitri lebih baik dan penting dengan membanyakkan takbir, tasbih dan tahmid kerana ia merupakan hari kemenangan melawan nafsu di bulan Ramadan.

Harakahdaily/-

ADUN Titi Serong menyampaikan khutbah raya di Mesjid Parit Hj.Wahab.

Drs. Khalil sedang menyampaikan khutbah Hari Raya Aidil Fitri.


TITI SERONG, 20 Sept. :- Kemeriahan hari raya pada tahun di Kampung Parit Hj. Wahab yang terletak dalam DUN Titi Serong dimulai dengan kunjungan ADUNya, Drs. Khalil Idham Lim bersama isteri dan kesemua 3 anaknya untuk berkhutbah Raya di Mesjid kampung berkenaan.

Menurut maklumat yang diperolihi, inilah hari raya yang kedua digunakan oleh Drs. Khalil untuk berhari raya bersama rakyat sejak beliau dipilih menjadi ADUN dikawasannya. Pada Hari Raya Aidil Fitri yang lepas beliau telah menyampaikan khutbah raya di Mesjid Tebuk Jawa. Hari raya yang pertama setelah menjadi ADUN digunakannya untuk berkhutbah di Puast Tarbiyah PAS di Titi Serong.

Pada kesempatan itu beliau telah gunakan untuk beramah mesra dan makan bersama dalam jamuan tahunan sempena hari raya yang dianjurkan dan menjadi tradisi mesjid berkenaan. Antara juadah yang disedia termasuklah mee dan mee hon goreng, ketupat, laksa dan beberapa jenis minuman.

Drs. Khalil juga mengedarkan kad ucapan hari raya kepada semua jemaah selepas menyampaikan khutbah raya.






Gambar keluarga di pagi raya....

Gambar keluarga dipagi lebaran di rumah ibunda di Parit Tok Ngah pagi tadi. Semuga kedatangan Syawal pada kali ini membawa erti yang lebih besar kepada keluarga Cina Islam.....

Gempa bumi 5.4 magnitude di barat daya China

BEIJING 19 Sept. - Satu gempa bumi dengan kekuatan 5.4 magnitude telah berlaku di barat daya China hari ini, tetapi tidak ada sebarang kemusnahan dilaporkan berlaku, kata Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat.

Gempa bumi itu meletus di kawasan sempadan antara wilayah Sichuan dan barat laut Gansu, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Laporan itu berkata, pusat kejadian gempa itu berlaku kira-kira 50 kilometer ke barat laut bandar Guangyuan di wilayah Sichuan. - AFP/Utusanonline.

Mercun....

ANGKARA MERCUN ... Beginilah nasib Mohamad Akmal Mohd Rozi terpaksa menahan sakit apabila terkena mercun pada kedua belah matanya dan lebih malangnya terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Perlis. - UTUSAN/ Faizal Abu Hassan

Runtuh lagi.....

RUNTUH LAGI ... Keadaan persekitaran kawasan tempat letak kereta Pangsapuri Wangsa Height di Bukit Antarabangsa di mana berlakunya kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 5.30 petang semalam, dipercayai berlaku disebabkan hujan lebat yang mengakibatkan cerun terbabit runtuh. - BERNAMA

Orang Yang Paling Tinggi di Dunia

Kosen mengambil gambar untuk mempromosi buku Guinness World Records 2010.



Sultan Kosen, warga Turki yang diisytiharkan sebagai orang yang paling tinggi di dunia, mengambil gambar di London pada 16 September 2009.

Kosen yang tingginya 2.465 meter ini juga mempunyai dua rekod dunia yang lain, iaitu tangan yang paling besar dan kaki yang paling besar.



Selamat Hari Raya, Maaf zahir dan batin.......

Allahuakbar, Allahhuakbar, Allahuakbar, walillahilhamd.....

Sempena dengan tibanya 1 Syawal,saya dengan ini memohon kemaafan kepada semua pengunjung blog cina islam diatas kekhilafan dan kesalahan yang mungkin saya lakukan , dan saya juga dengan hati yang ikhlas memaafkan kekilafan semua pihak dimasa yang lalu. Sengaja atau tidak disengajakan.

Kalaulah saya bersalah maafkanlah saya, begitu juga saya memaafkan kesalahan mereka yang melakukan kesalahan pada diri ini kerana mudah-mudahan dengan itu Syawal yang disambut punya arti yang tersendiri. Namun yang paling berarti kelak di Masyar kita tidak saling tercari-cari dek kerana sedikit kesalahan yang tidak sempat kita ucapkan kemaafan semasa hayat di dunia.

Setelah itu saya tidak lupa mengucapkan ucapan segunung terima kasih atas sokongan semua pihak atas amanah sebagai Ketua Penerangan Negeri Perak, ADUN Titi Serong, PAS Kawasan dan semua pihak lain termasuklah yang dikasihi semua pengunjung setia blog ini , atas kerjasama sokongan anda sehingga semuanya berjalan dengan lancar dan blog ini terus dipacu sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa..

Tidak lupa kepada rakan blogger dan rakan-rakan media yang menjadi peniup semangat untuk terus memacu blog ini.

Demikianlah kalau ada kekurangan menerusi blog ini saya sekali lagi mohon kemaafan diatas ketidak sengajaan yang berlaku dalam tempoh itu.

Marilah kita sambut Hari Kemenangan ini dengan bayak mebesarkan Allah SWT dengan takbir, tasbih dan tahmid.

Sesudah menyempurnakan Ramadhan, marilah sempurnakan Solat sunat Aidil Firi dengan menhayati khutbah Hari Raya yang diperdengarkan oleh Khatib.

Sesudah itu eratkan silaturahim dengan berkunjung kerumah sanak saudara dan rakan taulan. Rapatkan hubungan yang tewlkah tetak dan pecah mudah-mudahan Syawal ini penuh berarti.

Salam AidilFiri

Dari:

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Ketua Penerangan PAS Perak/
ADUN Titi Serong.

Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Lagi kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Dalam kejadian petang semalam sebuah kereta Ford yang diletak di tempat meletak kenderaan kondominium Wangsa Heights di Jalan Wangsa 7, Bukit Antarabangsa di sini tertimbus akibat di hempap batu cerun yang runtuh. Demikian seperti berita yang dilaporkan oleh utusan online hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.00 petang itu disebabkan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, bagaimanapun polis hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 8.30 malam oleh salah seorang penghuni.

Menurut beliau, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada IKRAM dan MPAJ untuk tindakan susulan.

"Berdasarkan laporan awal, kami difahamkan kejadian runtuhan ini tidak menjejaskan struktur bangunan berhampiran," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, setakat lewat malam tadi, polis belum mengarahkan mana-mana penduduk berhampiran untuk berpindah.

Himpunan AidilFitri Anak Perantau Parit Buntar.




Umat Islam Di New Zealand Sambut Raya esok.

WELLINGTON, 19 Sept :- Umat Islam di New Zealand akan menyambut Hari Raya Aidilfitri Isnin ini, menurut Persatuan Gabungan Islam New Zealand (Fianz) pada hari Sabtu.

"Anak bulan tidak kelihatan. Oleh itu Aidilfitri akan disambut pada Isnin, 21 Sept," kata persatuan itu dalam laman webnya Fianz.co.nz.

Semalam, baGi pihak Jawatankuasa Hilali Fianz, Sheikh Mohammad Amir mengingatkan umat Islam di negara ini supaya memerhatikan anak bulan Syawal hari ini, bersamaan 29Ramadan 1430 Hijrah.

Tinjauan Bernama mendapati Sheikh Mohammad Amir, iman di Pusat Islam Wellington, Kilbirnie, di sini, juga memimpin umat dalam mengerjakan sembahyang akhir tarawih sempena bulan Ramadan.

Kira-kira 30,000 orang merangkumi 42 negara daripada jumlah 3.9 juta penduduk New Zealand adalah beragama Islam.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dijangka mengadakan sembahyang Hari Raya dan majlis perhimpunan di kalangan rakyat Malaysia di premisnya Isnin ini.

-- BERNAMA

20 September 2009

Kos bedah, bantulah kami !

YDP PAS Kawasan Lenggong, Hj. Razman bergambar bersama keluarga pesakit berkenaan.



Oleh Mohd Syamil Azhar

LENGGONG: Ibu serta bapa lima anak yang menghadapi masalah jantung, strok dan lain-lain memerlukan bantuan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan kedua-duanya, yang dijangka pada Oktober depan.

Norwaida Ismail, 42, dan suaminya Shahabudin Ariffin, 50, yang tinggal di Kampung Luat dekat sini, memerlukan turutmemerlukan bantuan sara hidup kerana tidak upaya bekerja selain kos untuk biaya pembedahan, tidak termasuk perbelanjaan lain untuk hospital.

Suami isteri terbabit, ketika ditemui di rumah mereka semasa program ziarah-bantuan Pas cawangan Luat baru-baru ini, berkata kedua-dua mereka tidak lagi mampu untuk bekerja kuat dan tidak ada sumber pendapatan untuk menyarai keluarga sejak awal tahun ini

"Saya tidak boleh menoreh lagi, manakala Aida (Norwaida) tidak mampu lagi untuk menyediakan kueh untuk dijual sejak tahun lalu.

"Jadi kami tidak ada sumber pendapatan, kecuali bantuan Baitulmal sebanyak RM200 sebulan dan itu pun untuk kos ubat-ubatan Aida," kata Shahabudin yang tidak lagi dapat bertutur dengan fasih sepertimana sebelum diserang strok.

Program sepetang itu yang turut disertai Yang Dipertua Pas Lenggong merangkap Ketua Pas cawangan berkenaan, Razman Zakaria, diserta berbelas AJK dan ahli cawangan.

Sebanyak 40 keluarga menerima bantuan berupa beras 10 kilogram, gula, jus minuman, buah kurma,manakala Razman sendiri menyampaikan hadiah peribadinya berupakain pelekat dan kain batik kepada setiap ketuakeluarga di Kampung Luat.

Shahabudin berkata, selain dia sendiri tidak mampu menoreh, isterinya juga tidak lagi mampu membuat kueh sejak awal tahun ini untuk dijual sepertimana biasa, menyebabkan kedua-duanya kehilangan sumber pendapatan.

Katanya, isterinya tidak mampu membuat kueh lagi sejak doktor menasihatkan supaya berehat kerana dia telah disah menghidapi sakit jantung selepas menghadapi masalah buah pinggang, darah tinggi, kencing manis dan lain-lain.

Katanya, dia sendiri akan dibedah juga di bagagian kepalanya pada awal Oktober ini dan turutmemerlukan bantuan untukkos pembedahan itu nanti.

"Selepas pembedahan buah pinggang pada 2000, pembedahan hempedu pada 2003, baru-baru ini doktor pakar mengesahkan isteri saya, Aida perlu dibuat pembedahan pundi-pundi kencing pula yang dijangka pada Oktober nanti.

"Dengan apa kami hendak bayar apabila tidak lagi ada sumber pendapatan, dimana kos bedah untukisteri saya saja sebanyak RM2,500, tidak termasuk kos untuk pembedahan kepala saya? Jadi kami sekeluarga benar-benar mengharapkan simpati orang ramai yang sudi menghulur derma untuk kos pembedahan itu," katanya.


Shahabudin berkata, selain menghadapi masalah biaya perubatan isterinya dan dia sendiri, mereka juga menghadapi masalah pembiayaan empat daripada lima anak yang masih bersekolah.

Setakat ini,katanya lagi pembiayaan persekolahan salah seorang anaknya, Kamaluddin, 15, dibiayai oleh Razman sendiri, di mana sebelum ini anaknya itu tidak dapat meneruskan persekolahan kerana masalah kewangan.

Sehubungan itu kepada siapa yang ingin membantu boleh menghantar terus kepada Shahabudin Ariffin atau Norwaida Ismail di alamat B-7, Kampung Sandarhalu Luat, 33400 Lenggong, Perak atau memasukkan wang ke akaun Norwaida (BSN) no. 08218-29-00000183-5.
Sementara itu, Razman berkata, golongan berada wajar menghulurkan bantuan kepada mana-mana pihak yang sangat memerlukan bantuan sepertimana keluarga Shahabuddin dan Norwaida.

Katanya, sepatutnya di negara yang kaya dengan pelbagai hasil mahsul seperti Malaysia, dimana turut memiliki sumber petroleum, itidak ada golongan yang daif lagi dan sekiranya ada rakyat yang menderita sakit, sentiasa ada peruntukan untuk kos rawatan dan sebagainya.

PERUTUSAN HARI RAYA KETUA KELAB PENYOKONG KERAJAAN DUN KEDAH - YB Ustaz Yaakub Husin

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ramadhan Al Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri.

1 Syawal bakal bertamu menggantikan Ramadan yang melabuhkan tirainya sehari dua lagi, sekali gus mengisytiharkan hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpantang daripada makan minum dan kehendak nafsu.Hari kebesaran itu disyariatkan Allah kepada umat Islam untuk merayakannya dengan penuh kesyukuran.Bagi masyarakat kita, hari raya itu digelar Aidilfitri atau Hari Raya Puasa.

Dalam istilah Arab 'Idulfitri' iaitu rangkai kata 'id dan al-fitr. Kata 'id' (hari raya) berasal daripada perkataan 'aud' ertinya yang berulang-ulang, iaitu peristiwa berulang pada setiap tahun membawa rahmat dan menggembirakan umat Islam, manakala 'fitr' bermakna fitrah atau semula jadi.Semuanya termasuk bukan Islam bergembira kerana dapat menyambut hari raya, malah sebelum ketibaannya sudah ada yang bersiap sedia dalam segala aspek, tidak sabar menanti fajar heningnya menyinsing. Dalam Islam cara untuk menyambut 1 Syawal juga diterangkan dengan menyeluruh sebagai panduan kepada umatnya, seperti menghiasinya dengan takbir (ucapan membesarkan Allah) dan tahmid (memuji Allah) sebagai menandakan kesyukuran.

Satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w, bersabda, maksudnya: "Hiasilah hariraya kamu dengan takbir." (Riwayat Tabrani)Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumiddin, berkata takbir itu dimulai pada malam hari raya puasa sampai waktu mengerjakan solat. Malam raya adalah antara malam yang diberkati. Daripada Abu Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: "Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu. (Riwayat Ibn Majah)

Doa pada malam raya diperkenankan Allah, sebagaimana jelas Imam Syafie dalam kitab Al-Umm: "Dinyatakan kepada kami, doa sangat mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaban."Pada hari yang mulia itu Nabi s.a.w dan sahabat bertakbir, malah bersolat hari raya secara berjemaah.

Menurut sebuah hadis (riwayat Nafi' dari Abdullah), Rasulullah s.a.w biasanya keluar pada pagi kedua-dua hari raya bersama-sama sahabat baginda sambil bertakbir beramai-ramai sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat solat.Di antara sahabat baginda yang turut serta ialah Saidina Ali, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Harithah dan kedua-dua cucu baginda, Saidina Hasan dan Hussain r.a.Begitulah caranya yang boleh dijadikan panduan bagi mereka yang menyambut hari raya sebagai ibadat. Tetapi yang mengikut adat, warna sambutannya sungguh berlainan sekali kerana yag penting ialah asalkan 'beraya sakan'.

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan Al Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawadhuk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan Eid Mubarak kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ikhlas dari,

YB Ustaz Yaakub Husin
ADUN Bandar Baharu, Kedah /Ketua Kelab Penyokong Kerajaan DUN Kedah
http://yaakubhusin.blogspot.com