19 Ogos 2010

Kakitangan awam Pulau Pinang dapat bonus RM400

9 Ramadhan 1431H.

Semua 3,577 kakitangan awam di Pulau Pinang akan menikmati bonus istimewa RM400 bagi menyambut Aidilfitri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri, geran kewangan istimewa yang membabitkan perbelanjaan RM 1.5 juta diluluskan oleh exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini.

Pembayaran RM400 itu akan dibuat pada 3 September ini, iaitu kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri.

“Pembayaran istimewa sekaligus sebanyak RM400 sempena Aidilfitri tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang.

“Exco negeri Pulau Pinang berharap penjawat awam negeri akan terus berazam untuk bekerja lebih gigih untuk meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan memberi perkhidmatan lebih baik,” kata ketua menterinya, Lim Guan Eng.

Menurut Lim, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran, usaha yang jitu lagi berterusan dilaksanakan bagi mencorakkan penjawat awam profesional ke arah bertaraf dunia.

Katanya, Pulau Pinang tidak mampu untuk melonjak kepada status Bandaraya Antarabangsa tanpa usaha penjawat awam negeri memacu ke arah menjadi penanda aras antarabangsa.

Tindakan populis ini bukan yang pertama diambil oleh Lim sejak DAP menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut menghadiahkan RM500 dan anugerah negeri kepada pekerja bawahan yang bekerja keras membersihkan longkang dan parit di negeri itu. Selain itu, bayaran RM100 juga dibuat kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas di negeri itu.

Dengki, punca dinar Kelantan ditentang - Nik Aziz

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 18 Ogos: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan mempolemikkan penggunaan dinnar emas dan dirham perak di Kelantan adalah disebabkan sifat hasad dengki dan pihak tertentu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak melihat penentangan penggunaan dinar dan dirham tersebut mempunyai asas yang kuat selain dendam politik Umno terhadap kerajaan PAS negeri itu.

“Tetapi kerana hasad dengki menyebabkan mereka menentang walaupun yakin perlaksanaan itu betul.

“Mereka pertikai atas dasar politik semata-mata walaupun dengan hujah yang kabur,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Jelasnya, sepatutnya perkara itu tidak menjadi isu apatah lagi kepada orang Islam kerana dinnar emas dan dirham perak sudah diguna sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di JKR 10, di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan yang berhasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam.

Namun menurutnya, mungkin kerana sikap anti Islam dan hasad dengki yang mendalam, mereka terpaksa melawan dan menentang pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

“Mereka terus melatah kerana berasa sengal dengan usaha kerajaan Kelantan berusaha melaksanakan syariat Islam termasuk sistem kewangan,” ujarnya.

Usaha Kelantan mengeluarkan dinnar emas dan dirham perak jelasnya adalah bagi menjaga sistem kewangan agar tidak berterusan dimonopoli barat.

Negara Islam katanya perlu membuktikan kepada barat bahawa Islam mempunyai mata wangnya sendiri.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan sebuah buku mengumpulkan pandangan-pandangan alim ulama berhubung penggunaan dinnar emas dan dirham perak.

Buku yang bakal disusun oleh kerajaan negeri itu juga akan mengumpulkan hasil tulisan dari kitab-kitab jawi dan Arab yang telah mendedahkan masaalah kewangan dalam Islam.

Masyarakat Kelantan antara yang gemar membeli dinnar dan dirham untuk simpanan terutama golongan wanita.

Dalam usaha menggalakkan penggunaannya, Tuan Guru memberitahu akan membayar zakat fitrahnya tahun ini dan masa akan datang menggunakan dinnar.

Harakahdaily/-

Pakatan perlu menang besar di Kedah

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Ali Hashim

ALOR SETAR, 18 Ogos: Pakatan Rakyat (PR) perlu menang besar di negeri Kedah bagi mengukuhkan pemerintahan negeri yang sedia ada dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi (gambar) berkata, antara langkah yang akan diambil ialah kemungkinan meletakkan calon bukan Islam bagi bertanding mewakili PAS di beberapa kawasan yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu.

Namun begitu, kata putus adalah terletak kepada keputusan oleh PAS Pusat selepas diadakan perbincangan dengan komponen PR melalui Jawatankuasa Pembahagian Kerusi.

Beliau yang juga Exco Kerajaan negeri berkata, faktor sokongan dan penerimaan pengundi serta keputusan perbincangan yang dibuat dalam PR adalah satu perkara yang diberi prioriti.

"Inilah peluang bagi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk terpilih mewakili PAS. Walau bagaimana pun ia akan bergantung kepada keperluan parti dan PR.

"Tidak juga dinafikan kemungkinan peluang bagi calon bukan Islam dari PAS untuk diletakkan sebagai calon memang ada. Tiada juga kuota yang ditetapkan bagi calon bukan Islam bertanding di negeri Kedah," katanya.

Tambahnya lagi, pertambahan penyertaan bukan Islam dalam DHPP adalah kerana keyakinan mereka terhadap perjuangan yang dibawa oleh PAS yang berteraskan Islam serta bebas dari korup dan penyelewengan.

Sebelum ini, katanya kerajaan negeri yang diterajui PAS sering dipersalahkan dalam banyak isu yang sengaja dibangkitkan oleh Umno dan Barisan Nasional bagi menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Isu sampah, pembalakan, bekalan air, pembuangan pekerja di kawasan perindustrian Taman Teknologi Tinggi Kulim dan kini yang terbarunya ialah banjir yang melanda beberapa daerah di Sik dan Baling turut dituding jari kepada kerajaan Negeri oleh Umno BN.

Walau bagaimana pun, ujarnya dengan tindakan bijak kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, semua dakwaan Umno dan BN itu telah berjaya disangkal.

Harakahdaily/-

PERPADUAN BN: SINGKIR MCA JIKA BERANI

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mencabar Umno yang menjadi tunjang kepada kompenan Barisan Nasional (BN) untuk menyingkir MCA keluar daripada kompenan itu jika ia benar-benar berani dan serius ingin membuktikannya sebagai pejuang kepada bangsa Melayu sepertimana hasrat yang dinyatakan oleh Gagasan Melayu Perak (GMP).

Bagi DPPN Pk, kenyataan yang telah dinyatakan oleh Presiden GMP Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail jelas bahawa Umno perlu membuat satu keputusan keras terhadap MCA. Jika Umno hanya berduduk diam sahaja maka nyatalah bahawa Umno gagal memperjuangan bangsa Melayu itu sendiri.

Di dalam konteks Negeri Perak yang mana Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Negeri Perak Datuk Seri Dr Chua Soi Lek adalah Ahli Jawatankuasa Penyelaras BN Negeri Perak. DPPN Pk berharap Pengerusi BN Negeri Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga dapat bertegas dan berani membuat pendirian dan mengambil tindakan disiplin terhadap kepimpinan MCA Perak demi mempertahankan hak dan keistimewaan bangsa Melayu.

DPPN Pk yang sudah mengenali Datuk Seri Zambry ketika pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak dulu amat meragui keberaniannya untuk berdepan dan mengatakan kebenaran. Sikapnya samalah dengan Ketua Pemuda Umno sekarang Maslin Sham Razman, yang tidak ada kemampuan untuk bertegas di dalam mempertahankan bangsa Melayu kepada siapa sahaja.

MELAHIRKAN PARA HUFFAZ DALAM RAMADAN

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: sapidin amran

Kami mengajak seluruh kaum Muslimin untuk turut serta dalam menghulurkan sumbangan amal bagi kerja - kerja dakwah. Matlamat kami ialah untuk melahirkan seramai mungkin para huffaz dan dalam masa yang sama menjaga kebajikan para huffaz dan anak - anak yatim.

Terlalu banyak yang perlu dilakukan. Hanya dengan kerjasama dan sumbangan dari kaum Muslimin sahaja yang akan menjadi penentu kejayaan ini.Maka kami berseru. Bersempena dengan kehadiran Ramadan ini.

Marilah kita bersama - sama melakukan sebanyak mungkin amal soleh, khususnya dengan melakukan amalan bersedekah, infak, zakat dan sumbangan kewangan bagi melaksanakan tuntutan fardu keatas kita.

Pihak kami amat mengalu - alukan sumbangan kewangan bagi menjayakan program dan projek ini.

Segala sumbangan hendaklah disalurkan kedalam akaun Maybank atas nama - PUSAT TAHFIZ AL QURAN SOFIUDDIN. Nombor akaun: 562272302070.

TERIMA KASIH didahului atas sumbangan ikhlas anda.

Yang Menjalankan Amanah:

Ustaz Sofiuddin Bin Haji Amran.

Mudir / Pengarah KOMTAS.

0122776404.

Projek perindustrian di S'gor tertinggi di M'sia

8 Ramadhan 1431 H

Selangor mencatatkan pelaburan perindustrian dan jumlah projek perindustrian yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pelaburan yang diperolehi dalam tempoh tersebut membabitkan 120 projek, kata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok.

Katanya, ia berdasarkan statistik terkini Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) mengenai pelaburan perindustrian di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Statistik MIDA tersebut, katanya, menunjukkan Selangor telah mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM2.47 bilion bagi tempoh tersebut -jumlah projek perindustrian yang tertinggi.

Sebanyak 120 projek telah diluluskan di Selangor dan angka tersebut merupakan 36 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

Di belakang Selangor ialah Johor dengan 65 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 44 projek, kata Teresa dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada 120 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor, 68 adalah projek baru manakala baki 52 merupakan projek yang diperkembangkan.

Di samping itu, Selangor juga telah mencatatkan jumlah peluang pekerjaan yang tertinggi dengan 7,602 pekerjaan.

Menurut Teresa, RM942 juta atau 38 peratus daripada pelaburan di Selangor adalah terdiri daripada pelaburan asing.Manakala RM 1.52 bilion atau 62 peratus adalah pelaburan tempatan.

"Ini menunjukkan pelaburan tempatan amatlah penting bagi kerajaan negeri Selangor. Pelabur tempatan masih kekal melabur di Selangor di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat," tambahnya.

Di kalangan pelaburan asing di Selangor, Jepun membuat pelaburan tertinggi sebanyak RM366 juta, diikuti Singapura (RM 121 juta) dan Jerman (RM116 juta).

"Bilangan projek perindustrian yang tinggi di Selangor itu menunjukkan ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur asing dan tempatan," katanya.

Malaysiakini/-

Pemuda PAS cabar Ridhuan Tee sertai Umno

8 Ramadhan 1431 H

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Pemuda PAS mencadangkan agar Dr Ridhuan Tee menyertai Umno dan mengishtiharkannya secara terbuka ekoran tuduhan penulis itu terhadap PAS.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Azman Shapawi Abd Rani dalam satu kenyataannya sangat kesal dengan tulis Ridhuan yang mendakwa "PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir".

Sehubungan itu, Azman berkata, "inilah akibat apabila belajar Islam dengan Umno yang memisahkan politik dengan agama yang mengakibatkan ramai yang kabur dengan Islam sebenar termasuk Dr. Ridhuan Tee sendiri."

Ridhuan Tee adalah pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional. Semasa menjadi pelajar di UKM, beliau adalah pemimpin pelajar di sana. Selepas belajar, beliau pernah bertugas di Harakah sebagai pegawai kawalan kredit akhbar PAS itu.

Kata Azman, kenyataan Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dalam tulisannya dalam akhbar Umno, Utusan Malaysia, tidak mencerminkan tahap pencapaian pendidikan yang beliau perolehi.

Beliau yang merupakan seorang yang berkelulusan BA(Hons)Political Science (UKM), MA Strategic Studies (UKM), PhD Politics and Government (UPM), Dip. Islamic Studies (UIA) sepatutnya agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan, katanya.

Beliau merujuk kepada artikel yang ditulis oleh beliau yang bertajuk ‘Jangan terlalu berani mencabar’ yang dikeluarkan dalam Mingguan Malaysia yang bertarikh 15 Ogos 2010

Antara isi kandungannya berbunyi ‘Walaupun PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam’.

"Ini merupakan satu pertuduhan yang serius yang boleh mencemarkan nama baik PAS sebagai parti yang berjuang menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Atas dasar apa kenyataan ini dikeluarkan?" katanya.

PAS satu parti yang sejak dari dulu berjuang bukan sahaja atas nama Islam malah setiap tindak tanduk dan keputusan mestilah berlandaskan al quran, hadis, qias dan ijma’ ulama, katanya.

Dalam kuliah-kuliah agama dan ceramah-ceramah, katanya, PAS hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur sebagai panduan kepada umat Islam agar tidak tergelincir daripada hukum syarak walaupun dalam berpolitik kerana Islam itu syumul dan tidak boleh dipisahkan dari kehidupan dunia.

"DPPP mencabar agar dibuktikan individu mana yang pernah PAS kafirkan?
Beliau seharusnya mempelajari Islam dengan lebih mendalam sebelum menuduh PAS atas tuduhan yang sebegitu rupa," katanya.

Harakahdaily/-

Inkues Teoh: Bukan bunuh diri, kata Pornthip

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: Aidila Raza

Ahli patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand mula memberi keterangan di bangunan mahkamah di Shah Alam, jam 9.31 pagi bagi menyambung keterangan inkues kematian Teoh Beng Hock.

a merupakan sambungan kepada keterangan yang diberikannya hujung tahun lalu, yang tidak dapat diteruskannya ketika itu apabila beliau tidak hadir di Mahkamah Koroner, dikatakan berikutan terdapat ancaman terhadap keselamatan dirinya.

Pada keterangannya tahun lalu, Pornthip menyuarakan pendapat terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera, dan mahkamah kemudiannya membenarkan mayat Teoh dibedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor, pada 22 November lalu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Pornthip, sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan mendakwa hasil pemerhatiannya mendapati kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah kerana dibunuh manakala 20 peratus lagi akibat bunuh diri.

Kehadirannya di mahkamah pagi ini disambut tepukan gemuruh oleh penyokong Teoh yang memenuhi bilik perbicaraan hari ini.

Aktivis telah berkumpul bagi menghadiri inkues ini bukan sahaja sebagai sokongan kepada Teoh dan mendengar keterangan terbaru Pornthip tetapi juga untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pejabat Peguam Negara berhubung sekeping 'nota misteri'.

Bekas ketua forensik Unit Siasatan Lokasi Jenayah, Amidon Anan, juga berada di mahkamah hari ini. Beliau hadir atas kapasiti peribadi.
Saksi pertama

Koroner Azmil Munthapa Abas memulakan prosiding dengan memanggil Pornthip sebagai saksi pertamanya.

Beliau kemudian disoal oleh peguam, Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor dengan meneliti laporannya dan beberapa gambar yang diambil pada bedah siasat kedua.

Pornthip berkata beliau mendapati pendarahan di tengkuk Teoh sehingga ke bahagian otot mangsa. Kesan berkenaan juga, katanya lebih luas daripada kesan dicekik kerana cengkaman fizikal di bahagian leher adalah lebih kuat.

Menurut Pornthip berdasarkan 34-35 kes kajiannya hasil jatuh daripada tempat tinggi sebelum ini, - tidak ada yang mempunyai kesan seumpama itu.Katanya, dia berpendapat tidak mungkin lebam adalah kerana impak akibat jatuh.

Pornthip juga menolak kemungkinan lebam itu disebabkan keretakan tulang belakang. Beliau mempertahankan pemerhatiannya sebelum ini bahawa ia adalah kecederaan sebelum jatuh yang dilakukan dengan “tekanan dan kuasa yang lebih besar” berbanding dicekik.

Katanya, ia mungkin “ seseorang meletakkan sesuatu di tengkuk Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu”.

Tak sependapat dengan Dr Vaneziz

Merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku 'cerebral edema'.

Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia, di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau

trakea yang tersumbat.

Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu. Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada.

Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.

Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh.

Pornthip berkata kesan koyak di bahagian dubur dan kecederaan pada bahagian punggung adalah disebabkan akibat kejatuhan dan bukan kerana dipukul seperti yang disangkanya sebelum ini.

'Ini adalah protokol'

Sehubungan itu, Pornthip mempertahankan pendapatnya berhubung kecederaan sebelum kejatuhan tetapi tidak dapat mengesahkan bahawa Teoh sedar semasa jatuh. Beliau juga tidak mahu memberi peratusan punca kematian kerana kesimpulan berdasarkan laporan bedah siasat. Namun Porhthip pasti, kejadian itu bukan percubaan bunuh diri.

Malik (kanan) selesai menyoal pakar patologi Thailand itu pada jam 10.45 pagi dan perbicaraan disambung dengan giliran peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh pula untuk bertanyakan soalan.

Pornthip berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penyiasat lokasi jenayah dan juga ahli sains forensik, sebarang nota yang dijumpai mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan pada kadar segera dan kemudiannya dihantar untuk ujian analisis tulisan. “Ini adalah protokol.”

Bagaimanapun bota sedemikian tidak memberi kesan ke atas siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi. Justeru, katnya, beliau lebih gemar bergantung kepada sains.

Ketua pendakwa SPRM, Abdul Razak Musa memulakan sessinya dengan cuba mempersoalkan kelayakan Pornthip sebagai saksi yang mempunyai kewibawaan.

Abdul Razak mencadangkan bahawa keterangan Pornthip adalah bersarkan imaginasinya. Pornthip menafikan perkara itu dan berkata kesimpulannya adalah berdasarkan pemerhatian dan kerjanya.

Abdul Razak berkata berdasarkan kelayakan Pornthip, ahli patologi Thailand itu tidak layak bergelar pakar di Malaysia kerana universiti di mana beliau belajar tidak diiktiraf di negara ini.

Pornthip menjawab bahawa universiti tempat beliau belajar adalah satu daripada lima yang terbaik di Thailand - mereka yang berada di mahkamah memberikan tepukan.

Cekik diri sendiri

Razak kemudiannya mencadangkan kepada Pornthip bahawa Teoh mencekik dirinya sendirinya. Katanya, ini kerana empat daripada doktor telah mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan Teoh dicekik.

Gobind bangkit dan mengarahkan Razak (kanan) menunjukkan bagaimana seseorang mencekik diri sendiri. Razak menyahut cabaran itu dan cuba mencekik diri sendiri sambil digelakan daripada mereka di mahkamah itu."Saya cadangkan bahawa anda datang ke mari untuk serang SPRM,” katanya.

Beliau memberi beberapa kesilapan yang didakwa dilakukan oleh Pornthip tetapi dinafikan oleh pakar patologi Thailand itu. Menurut Pornthip, laporan yang dikemukakannya disokong dengan bukti saintifik.

Razak: Awak kata 80 peratus pembunuhan.

Pornthip: Saya telah terangkan. Awak mesti terima...

Razak: Apabila awak beri keterangan 80 peratus adalah kes pembunuhan, ia dilaporkan di semua media negara ini.

Pornthip berulang-kali menggesa Razak supaya membaca laporannya, tetapi ketua pendakwa SPRM itu berkata: “Saya habiskan masa tiga hari membacanya.”

Orang ramai yang mengikuti perbicaraan kemudian mula berbisik yang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara soalan Razak.

Razak kemudiannya bertanya sama ada objek tumpul yang dirujuk oleh Porthip pada awal inkues pagi ini merujuk kepada kerusi atau benda lain.

Pornthip: Saya ingin tanya sama ada awak seorang peguam?

Razak: Mungkin, saya lebih muda daripada awak tetapi saya telah berkhidmat sebagai peguam untuk 24 tahun.

Ini disambutan dengan cemuhan 'wah' daripada mereka yang hadir.Pengalaman terjun bangunan

Razak kemudian mengajukan soalan kepada Pornthip, bagaimana Teoh boleh mati pada tingkat 14 (lokasi pejabat SPRM Selangor yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam) tetapi masih bernyawa apabila sampai di bawah.

Soalan Razak semakin bercelaru dan menyebabakan koroner terketawa kecil. Azmil kemudian menjelaskan kepada Razak apa yang Pornthip maksudkan ialah Teoh berkemungkinan sedar semasa jatuh dan belum mati.

Razak: Dari Tingkat 14, 99 kaki dari atas tanah - dia tidak sedarkan diri, jadi badannya semestinya lebih berat.

Pornthip: Tiada perbezaan. Secara saintifik, bagaimana boleh berlaku kehilangan berat berdasarkan tahap kesedaran?

Razak juga bertanya kepada Pornthip sama ada dia mempunyai pengalaman terjun dari bangunan. Ini kerana ahli patologi itu dalam keterangannya berkata mayat yang dijumpai itu didadapti lebih jauh daripada bangunan berkenaan berbanding kes lazim membunuh diri dengan melompat.
Satu lawan empat

Malik bangkit dan berkata Razak cuba 'memasukkan perkatan' dalam mulut Pornthip. “Cara dia mengajukan soalan seolah-olah mahu kami sendiri terjun!”

Razak kemudiannya mengulangi soalan kepada Pornthip bahawa pendapatnya adalah berlainan dengan empat orang doktor yang hadir pada bedah siasat kedua.

Razak: Satu lawan empat...

Pornthip: Awak perlu hormat hakim (koroner) yang akan membuat keputusan.

Razak: Kita bekerja berdasarkan majoriti.

Selepas Razak, giliran kerajaan yang dilantik oleh kerajaan Tan Hock Chuan memulakan soalannya.

Menjawap soalan Tan, Pornthip memaklumkan beliau tidak sependapat dengan keterangan Dr Shahidan bahawa kecederaan pada tengkuk Teoh adalah konsisten dengan kejatuhan.

Mahkamah koroner selesai menyoal-balas Porntip sebagai saksi pada jam 12.25 tengah hari.

Koroner Azmil Munthapa kemudiannya mengumumkan perbicaraan ditangguhkan sehingga 1 September ini.

Malaysiakini/-

Awasi strategi Chua Soi Lek

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: Selena Tay

Pada 29hb Julai 2010, Chua Soi Lek telah memulakan rancangan strateginya untuk meraih undi Cina dalam PRU-13 yang akan datang dengan menyeru semua Anggota Parlimen MCA dan ADUN-ADUN MCA supaya memulakan blog dan Twitter untuk membongkar kesalahan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat (PR) dengan memberi maklumat yang benar di alam cyber.

Sejak tarikh 29hb Julai itu, Chua telah mengeluarkan beberapa kenyataan. Diantaranya ialah:-

1) Jika PR menang PRU-13, yang akan menjadi Perdana Menteri ialah orang PAS, bukannya orang dari PKR atau DAP;

2) Negara-negara Islam tidak progresif; dan

3) DAP mesti menyoal Tuan Guru Nik Aziz mengenai matawang dirham dan dinar.

Dalam Kongres Ekonomi Cina yang baru berlangsung minggu yang lepas, Chua telah bertungkus-lumus memuji pentadbiran Najib dan menyeru orang Cina untuk menyokong Barisan Nasional (BN) sebab masa depan orang Cina terletak di tangan BN.

Pada 15hb Ogos 2010, Chua telah memberi taklimat kepada ahli-ahli MCA terutama Ssayap Wanita dan Pemuda supaya bekerja keras untuk mendaftarkan ahli baru dan pengundi baru terutamanya dari golongan muda.

Penulis yang tinggal di Kepong dan biasa pergi ke pasar pagi pada hari Ahad sentiasa berpeluang berbual-bual dan bersembang dengan para peniaga di pasar di situ dan para peniaga ini berpendapat Chua hari-hari mesti mengatakan sesuatu supaya akan nampak mukanya di kaca TV ataupun dalam suratkhabar Cina.

Kata seorang penjual sayur, "ekonomi negara sudah jatuh, cari makan pun susah, tak usahlah Cina ini pokpek pokpek sana sini hari-hari, dah muaklah tengok muka dia."

Penulis berpendapat bahawa Chua sedang berhempas-pulas mahu menjadi 'The Last Great Action Hero' yang memainkan peranan yang penuh dramatis untuk menarik perhatian kaum Cina dan ingin memberi amaran kepada Pakatan Rakyat supaya jangan pandang rendah terhadap strategi Chua.

Walaupun terpalit dengan skandal seks, beliau masih berjaya memenangi pilihanraya MCA dan menjadi pemimpin MCA. Beliau adalah seorang pakar strategi yang amat licik dan pintar dan oleh itu beliau telah berjaya menghidupkan kerjaya politiknya yang pada suatu masa hampir terkubur.

Strategi yang digunakan oleh Chua untuk menyerang PR ialah:

a) Strategi Semut Dalam Dubur - tujuan strategi ini ialah untuk menggangu fikiran para pemimpin Pakatan Rakyat. Dalam bahasa Inggeris ia dihuraikan sebagai 'to unsettle and irritate the enemy'.

b) Strategi Gadis Senyum Manis Menyembunyikan Pisau - tujuan strategi ini ialah untuk memberi gambaran bahawa penggunanya lemah dan tidak merbahaya padahal ia adalah sebaliknya. (Strategi Smiling Girl Hides A Dagger adalah strategi yang sering digunakan dalam zaman dinasti Cina dalam peperangan lebih dari 1,600 tahun.)

Penulis berharap amaran ini akan diberi perhatian sepenuhnya oleh pakar-pakar strategi Pakatan Rakyat. Ingat! Jangan leka, terpedaya nanti!

Harakahdaily/-

Kerajaan dulu kira nak tutup sekolah agama

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: Kamarina

SUBANG, 17 Ogos: “Jika dibandingkan dengan pemerintahan yang dulu hanya tahu nak tutup sekolah agama tapi kerajaan sekarang menghargai sekolah agama,” ujar Pengetua Ma'had Tahfiz An-Nur, Desa Subang Permai, Ustaz Sobri Mohd Nor.

Beliau menyatakan demikian pada majlis ringkas menerima sumbangan kerajaan negeri yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali, pagi ini.

“Saya tidak pernah menerima sumbangan seperti ini sebelum ini. Ini merupakan rezeki dari Allah,” ujarnya yang merakamkan perghargaan kepada pemerintahan Pakatan Rakyat.

Dr Halimah menyampaikan cek bantuan tersebut untuk membaik pulih fizikal sekolah agama.

Majlis utama fasa satu mengenai bantuan itu kepada sekolah agama rakyat telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Ma'had Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar Kampung Asahan, Batang Berjuntai, Kuala Selangor pada 10 Ogos lalu.

Pada majlis itu, seramai 120 daripada 136 penerima hadir sementara yang selebihnya disampaikan sendiri Dr Halimah dengan pergi ke sekolah berkenaan di samping meninjau masalah yang dihadapi.

Kerajaan negeri telah meluluskan RM2.666 juta daripada RM6 juta yang diperuntukkan untuk sekolah agama rakyat pada tahun ini.

Harakahdaily/-

Muslimat PAS, Harakah bergabung imarah Ramadhan

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: Saidah Hairan

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Dewan Muslimat PAS Pusat dengan kerjasama Bilik Berita Harakah berganding bahu menghulurkan bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal, anak yatim piatu dan golongan tidak bernasib baik sempena Ramadan ini.

Kerjasama itu membuktikan kesungguhan unit editorial Harakah serta Dewan Muslimat bagi menjayakan agenda kebajikan rakyat tanpa mengira fahaman politik dan perbezaan agama.

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman berkata, program bantuan itu telah bermula sehari sebelum Ramadan dan berterusan selagi ada masyarakat yang perlu dibantu.

Katanya, Bilik Berita Harakah akan memberi sokongan kepada Dewan Muslimat untuk membuat laporan di sepanjang program kebajikan itu dijalankan.

Beliau berharap golongan korporat, swasta dan badan bukan kerajaan turut berganding bahu menghulurkan bantuan bagi mencapai misi agenda kebajikan rakyat tercapai.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, program kebajikan itu telah bermula 10 Ogos lalu iaitu sehari sebelum Ramadan dengan edaran kurma dan bubur lambuk di stesen komuter di Bandar Tun Razak, Cheras.

Program itu juga bukan hanya memberi bantuan di bulan Ramadan tetapi akan digunakan untuk sumbangan membantu mangsa bencana alam, kematian, selain meraikan golongan terpinggir menjelang musim-musim perayaan dan sebagainya.

Beliau mengingatkan kebajikan merupakan menghidup-suburkan amalan bersedekah terutamanya di dalam bulan ramadan di kalangan masyarakat yang mana pahala bersedekah pada bulan ini diberikan pahala yang berlipat ganda oleh Allah.

Menurutnya Islam sememangnya daripada awal mementingkan kehidupan saling bantu membantu antara anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Hujung minggu lalu, edaran bubur lambuk, iftar dan ziarah dilakukan di kawasan DUN Lenggeng dan DUN Senaling, Negeri Sembilan di mana keadan amat memilukan kerana terdapat rumah yang terlalu daif.

Di DUN Senaling, Nuridah menyampaikan barang makanan asas beras, tepung, gula dan milo di rumah ibu tunggal, orang miskin serta orang cacat (OKU) di 30 buah rumah.

Bermula 10 Ogos lalu, empat negeri sudah dijejaki iaitu Wilayah Persekutuan; Negeri Sembilan; Melaka; DUN Semanggol Perak dan kampung Johan Setia DUN Kota Raja, Selangor.

Selepas itu DMPP bersama wakil bilik Berita Harakah akan menjejaki golongan miskin di Pulau Pinang; Sarawak; Shah Alam; Sepang; Johor; Perlis; Terengganu dan Pahang.

Lebih menarik DMPP serta bilik Berita Harakah akan mengedarkan kuih raya kepada pengguna jalan raya di Tol Sungai Besi; Tol Jalan Duta pada 5 September dan selepas itu akan ke DUN Ulu Bernam, Selangor.

Pada 6 September pula penyampaian sumbangan kepada fakir miskin dan ibu tunggal di Parlimen Rantau Panjang, Kelantan dan edaran kuih raya di Tol Karak pada 8 september.

Sesiapa sahaja boleh beramal jariah dengan memberi sumbangan terus kepada akaun Maybank 564025400533 atas nama Parti Islam Semalaysia.

Harakahdaily/-

PAS Perak rakam takziah pada Pesuruhjaya

8 Ramadhan 1431 H

IPOH, 17 Ogos: PAS Perak merakamkan ucapan takziah buat keluarga pesuruhjaya, Ustaz Abu Bakar Hussain di atas pemergian isteri beliau ke rahmatullah sebentar tadi.

“Sesungguhnya bagi PAS Perak pemergian Allahyarhamuha adalah satu kehilangan besar buat PAS,” ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dalam satu kenyataan.

Katanya, Allahyarhamuha merupakan individu yang telah mewakafkan dirinya untuk membantu Pesuruhjaya PAS Perak dalam menegakkan perjuangan Islam semenjak dari awal perkahwinan.

Beliau menambah, PAS Perak melihat, walaupun pemergian Allahyarhamuha menemui Allah SWT adalah satu kehilangan besar bagi Pesuruhjaya dan PAS Perak, tetapi Allahyarhamuha telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup di atas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah Allah SWT.

“Semoga Allah SWT meletakkan rohnya bersama para anbiya, syuhada’ dan solihin,” ujarnya.

Ustazah Rafeah Ramli, 56, meninggal dunia kira-kira 2.20 petang tadi di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh akibat kanser payudara.

Jenazah Allahyarhamuha akan disolatkan di Masjid Raja Nazrin di Rapat Jaya tambahan selepas solat Isyak malam ini.

Harakahdaily/-

Keganasan polis dibawa ke Suhakam

8 Ramadhan 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Aduan berhubung keganasan polis di dua tempat berbeza iaitu di Pasir Salak dan Batu Pahat pada 31 Julai lalu dibawa ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Aduan tersebut berkenaan tindakan pihak polis mengganggu dan melakukan tangkapan terhadap peserta himpunan warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak dan program ceramah anjuran pakatan Rakyat di Rengit.

Aduan diketuai Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria (kanan gambar atas) dan ketua pemuda Dewan Pemuda PAS Johor Khairul Faizi Ahmad Kamil serta Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Dalam aduannya Razman berkata, meskipun himpunan tersebut diadakan secara tertutup atas tanah persendirian dengan mensasarkan orang-orang tertentu sahaja, namun ianya tetap diganggu oleh pihak polis.

Permit polis juga jelasnya telah dipohon sebanyak dua kali namun ditolak atas alasan penganjur tidak mempunyai kelulusan untuk menggunakan premis persendirian itu.

"Kita mendapat kebenaran daripada pemilik tanah melalui surat dan kami sertakan sekali geran tanah pemilik," katanya.

Beliau turut mempertikai tindakan polis mengadakan sekatan jalan hampir di seluruh jalan masuk ke tapak premis dan tangkapan hanya dibuat ke atas petugas program yang memakai pakaian PAS tanpa alasan yang nyata.

Selain itu, turut dipersoal tangkapan yang dibuat terhadap petugas di luar kawasan premis.

Dalam kejadian 1 Ogos lalu, seramai 16 orang ditahan dan dilepaskan pada malam yang sama dan tiga lagi direman selama beberapa hari.

Khairul Faizi (kanan gambar bawah) juga dalam aduannya menceritakan situasi yang hampir sama iaitu pihak polis menyerbu markaz PAS di Rengit.

Sekurang-kurangnya 50 anggota unit simpanan persekutuan (FRU) dan puluhan lagi anggota polis menyerbu pentas Ceramah Pakatan Rakyat di Rengit.

Serbuan dibuat sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berceramah di pentas itu.

Polis bertindak mengosongkan pentas, merampai pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah dan sekurang-kurangnya sembilan ditangkap terdiri dari tujuh lelaki dan dua wanita.

"Saya mewakili PAS Batu Pahat Pihak telah sediakan dokumen berkaitan kejadian ini dan minta pihak Suhakam mengambil tindakan yang sewajaranya," katanya.

Sementara itu, Mazlan menyifatkan larangan mengadakan himpunan aman semakin ketara di era pemerintahan perdana menteri Datuk Sri Najib Razak.

"Sebelum ini Datuk Seri Najib pernah kata, jangan buat demonstarasi jalanan. kalau nak buat, buatalah di tempat tertutup. Gunalah stadium, gunalah balai raya.

"Tapi bila kita minta nak guna stadium, tak boleh. Minta guna balai raya pun tak boleh juga.

"Jadi di manakah kita boleh buat berhimpun? Saya minta pihak polis nyatakan secara jelas di mana tempat yang boleh kita berhimpun," katanya.

Dalam pada itu, pengerusi Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah yang mendengar aduan itu dalam responnya berkata, insiden gangguan dan keganasan polis bukan perkara baru dan pernah dikritik oleh Suhakam sendiri.

Beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap pihak polis yang menafikan hak rakyat untuk berhimpun.

Justeru, beliau berjanji akan memanjangkan aduan itu ke mesyuarat suruhanjaya selain akan mengatur pertemuan dengan pihak berwajib agar perkara yang sama tidak berulang lagi.

Harakahdaily/-

Catatan Kuliah Subuh : Kematian.

8 Ramadhan 1431H.
Oleh : Md Zainal mzd

Di pagi hari kelapan Ramadhan ini saya ingin berkongsi ilmu sebagaimana yang disampaikan dalam Kuliah Subuh di sebuah mesjid yang saya hadiri..

• Setiap insan atau manusia akan menemui mati dan mati itu akan datang tepat pada masanya, tidak terawal awal terlewat sedetik pun.

• Setiap manusia Islam yang menemui kematian akan dibangkitkan semula dan pasti bertemu Allah di hari perhitungan.

• Hari perhitungan juga dikenali sebagai hari pembalasan dan di hari tersebut ada tiga perkara yang setiap manusia pasti akan merasa takut kepadanya:

1. Ketakutan Pertama: Apakah dia akan menerima buku laporannya dengan tangan kanan atau pun tangan kiri. Tangan yang diangkat ini adalah dengan perintah Allah dan tiada boleh diubah bergantung kepada apa yang dilakukan sewaktu hidup di dunia ini. Jika baik keseluruhan pengisian hidupnya maka tangan kanan akan terangkat dan Allah akan menyerahkan rekodnya kepadanya melalui tangan kanannya maka baiklah nasibnya manakala kalau buruk pengisian hidupnya maka rekod akan dicampakkan kepada tangan kirinya dan buruklah nasibnya disisi tuhannya.

2. Ketakutan Kedua : Untuk melihat neraca atau alat pertimbangan untuknya samaada akan senget kekanan atau senget kekiri, kalau senget kekanan maka baiklah nasibnya manakala kalau senget kekiri akan buruklah nasibnya.

3. Ketakutan Ketiga: Setelah dibuat pertimbangan, apakah dia akan dijemput dan dipelawa dengan senyuman dan ucapan selamat datang ke Syurga ALLAH atau akan ditendang dan dicampakkan ke dalam neraka.

• Dihari perhitungan nanti, setiap individu tiada terkecuali akan melalui 7 pusat pemeriksaan.

1. Soalan Pertama : Bagaimana imannya, ada imankah dia , kuruskah imannya, gemukkah imannya, kosongkah imannya, berimankah isterinya, berimankah anak-anaknya, berusahakah dia menanam iman kepada anak-anak dan ahli keluarga dibawah jagaannya.

2. Soalan Kedua ; Bagaimana kesempurnaan solat lima waktunya dan ahli keluarganya, berusahakah dia menyempurnakan solat ahli keluarga dan orang-orang dibawah jagaannya..

3. Soalan Ketiga : Bagaimana pengeluaran zakat fitrah untuk diri dan ahli keluarga dibawah jagaannya. Bagaimana pula zakat hartanya, cukupkah nilai dan tepatkah tempoh pembayarannya. Ikhlaskah dia sewaktu mengeluarkannya.

4. Soalan Keempat: Bagaimana puasa Ramadhannya, cukup dan sempurnakah perlaksanaannya. Bagaimana dia mengajak dan mengasuh ahli keluarganya untuk mendirikan dan menyempurnakan puasa mereka..

5. Soalan Kelima : Sudahkah dia mengerjakan Haji dan Umrah dan bagaimanakah perlaksanaannya, sempurnakah ia dan ikhlaskah ia dalammenyempurnakan ibadat tersebut. Jika tidak mampu , apakah benar-benartidak mampu dan semua pendapatannya digunakan untuk perkara-perkara yang benar-benar diredhai Allah dan bukan kepada perkara yang tidak diredhaiNya.

6. Soalan Keenam: Berkaitan Mandi Janabah, dalam hidupnya selepas dia mencapai umur akil baligh apakah dia menyempurnakan mandi janabah dengan betul dan sempurna. Apakah dia membimbing ahli keluarganya dalam perkara berikut, ibu bertanggungjawab untuk membimbing anak perempuannya dan bapa menjadi pembimbing anak lelakinya, perkara ini perlu diasuh dan dijalankan dengan betul. Guru sekadar membantu dan mereka ada sekatan dalam memperincikannya. Jika tidak sempurna sudah tentu semua ibadat yang berkaitan dengannya akan menjadi sia-sia sahaja.

7. Soalan Ketujuh dan terakhir; Bagaimana silaturrahim antara dia dengan ahli keluarganya, dengan kedua ibubapanya , dengan kedua ibubapa isteri atau suaminya, antara dia dan guru-gurunya, antara dia dan orang-orang lebih tua darinya, antara dia dan jiran-jirannya dan antara dia dan orang yang pernah ada dalam hidupnya.

Jika ada mana-mana yang tidak sempurna atau belum sempurna, ambillah peluang Ramadhan ini dan hari-hari yang masih berbaki ini untuk memperbaiki diri kerana kita tidak tahu bila kita akan dijemput ALLAH untuk mengadapnya semula , mungkin tahun depan, mungkin bulan depan, mungkin minggu depan, mungkin esok atau mungkin sebentar lagi.

* Catatan dan penulisan ini, mungkin tidak sempurna tetapi jadikanlah ia renungan dan penghayatan kita bersama.

Presiden PAS ucap takziah kepada PJ Perak

8 Ramadhan 1431 H

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: PAS merakamkan ucapan takziah kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain di atas pemergian isteri beliau ke rahmatullah pada petang ini di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sesungguhnya pemergian Almarhumah Ustazah Rafeah Ramli yang merupakan tulang belakang kepada perjuangan Ustaz Abu Bakar dan anggota keluarga beliau, tentunya dirasai oleh seluruh ahli PAS umumnya dan pendukung Muslimat PAS di Negeri Perak khususnya.

“Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan jutaaan takziah dan berharap Ustaz Abu Bakar dan ahli keluarganya serta sahabat handai dapat bersabar dengan ketentuan Allah SWT ini.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solehah dengan izin Allah SWT, Insya Allah,” ujar beliau dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Beliau kini berada di tanah suci Makkah al-Mukarramah kerana menunaikan umrah.

Harakahdaily/-