08 Februari 2011

Mubarak mungkin ke Jerman untuk 'lawatan perubatan'

5 Rabiul Awal 1432H.

BERLIN: Majalah Jerman, Der Spiegel hari ini melaporkan bahawa persiapan sedang dibuat untuk lawatan Presiden Mesir, Hosni Mubarak ke negara itu bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut kesihatannya.

Khabar angin bahawa Mubarak akan tiba di Jerman untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bertambah kuat sejak beberapa hari lalu, lapor majalah itu dalam edisi online.

“Perbincangan dengan beberapa hospital yang sesuai sedang diusahakan, khususnya di Klinik Max-Grundig di Buhl di Wilayah Bade-Wurtemberg," kata akhbar itu yang memetik sumber yang rapat dengan klinik berkenaan. Bila ditanya mengenai kemungkinan lawatan Mubarak, jurucakap kerajaan Jerman, Steffen Seibert berkata: “Setakat ini tiada permintaan rasmi atau tidak rasmi mengenai kedatangannya."

Mubarak, yang masih berdepan dengan kempen penunjuk perasaan yang memintanya berundur, sebelum ini pernah menjalani rawatan sekurang-kurangnya dua kali di Jerman. - AFP

Lebih 5,000 pelajar Mesir akan dihantar pulang dari Jeddah sebelum Ahad

5 Rabiul Awal 1432H.

JEDDAH: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berusaha mengeluarkan lebih 5,000 pelajar dari Mesir yang ditempatkan di Pusat Transit Haji, Madinatul Hujjaj di sini, sebelum Ahad ini.

Setiausaha MKN, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab, berkata bagi menghargai jasa baik kerajaan Arab Saudi, pihak sekretariat yang bertanggungjawab membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir cuba menamatkan misi ini lebih awal.

"Ini adalah kali pertama kerajaan Arab Saudi mengeluarkan visa pada hari ketibaan atas semangat hubungan baik Kuala Lumpur dengan Riyadh. "Namun kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempergunakan kemudahan yang disediakan untuk melengahkan usaha membawa keluar rakyat kita di negara ini," katanya ketika dihubungi di Jeddah hari ini.

Beliau yang tiba dengan penerbangan terakhir misi membawa keluar pelajar menggunakan pesawat Hercules C130 TUDM semalam berkata, meskipun operasi di Mesir sudah ditamatkan, ia tidak bermakna Kerajaan tidak memantau perkembangan keselamatan di negara itu.

"Masih ramai pelajar kita yang mengambil keputusan tidak mahu pulang kerana misi ini adalah sekadar mengeluarkan mereka dari sana secara sukarela," katanya.

"Kita akan membuat keputusan lain andai keadaan bertambah buruk termasuk langkah memaksa mereka keluar dari Mesir. Bagaimanapun ketika ini keadaan di sana masih terkawal," kata beliau.
Tajudeen berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan dihantar pulang dalam masa terdekat kerana sudah tiada lagi keperluan untuk mereka berada di sini.

"Andai keadaan memaksa kita tiada masalah untuk menggerakkan mereka semula ke sini, berpandukan kepada pengalaman kita sebelum ini sewaktu Operasi Piramid bermula," menurutnya.BH/-

SPR pamer daftar pemilih mulai esok

5 Rabiul Awal 1432H.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Keempat 2010 mulai esok hingga 15 Februari di 1,006 tempat pameran di seluruh negara.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said, berkata pameran itu dibuat selaras dengan Peraturan 13(5A), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Rang Daftar Pemilih itu akan dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri (15 tempat), Pejabat Pos Berkomputer (476 tempat), Kompleks/Pejabat Kerajaan (104 tempat), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (156 tempat), Majlis Daerah/Perbandaran (51 tempat), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (174 tempat) dan lain-lain tempat (30 tempat). Sabri berkata, dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Keempat (Oktober hingga Disember) 2010, SPR menerima 292,444 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan suruhanjaya itu.

"Mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihat supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 yang dipamerkan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sabri berkata, warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.

Pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam rang daftar pemilih itu pula boleh mengisi Borang C, katanya.
"Borang-borang tuntutan itu hendaklah diserah kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan itu dipamerkan," katanya.

Beliau berkata, nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih atas sebab telah meninggal dunia, lucut hak kewarganegaraan dan telah bersara daripada angkatan tentera atau polis, yang bermakna mereka hilang kelayakan sebagai pengundi pos juga akan dipamerkan.

Selain itu, katanya, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, SPR menasihatkan pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran mereka.

Sabri berkata, ini bertujuan memastikan pemilih-pemilih berkenaan didaftar di lokaliti yang betul dan bagi mengelak tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih ataupun menukar lokaliti seseorang pemilih tanpa dipohon.

"Sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti serta maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR melalui sistem aduan SPR di www.spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke ibu pejabat SPR di Putrajaya.

"Jika keadaan itu berlaku menjelang sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Bagi tujuan membersihkan Daftar Pemilih daripada nama pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia, SPR memohon kerjasama waris simati untuk melaporkan kematian kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan JPN mengemaskini pangkalan datanya.

"Tanpa memperoleh pengesahan daripada JPN bahawa seseorang pemilih itu telah meninggal dunia, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada pangkalan data Daftar Pemilih," katanya.

Bagi pemilih berdaftar yang bertukar alamat tempat bermastautin pula digalak untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi berdekatan tempat kediaman masing-masing.

Permohonan pertukaran alamat pusat mengundi boleh dibuat di pejabat pos berkomputer, melalui kaunter bergerak SPR, kaunter ibu Pejabat SPR, Putrajaya ataupun kaunter di pejabat pilihan raya negeri.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara itu boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88856500 atau faks 03-88889117 atau menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri selain melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010.BH/-

Undur atau mati!

05 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : M Hafizuddin Ikhsan.

ZULIYARANA menunjukkan hanya pasport dan satu beg berisi pakaian yang sempat dibawa pulang ke tanah air, dua hari lalu.

Pelajar cerita detik cemas kenderaan ditembak

KUCHING: Undur atau mati! – Itulah pilihan diberikan anggota tentera Mesir kepada tiga pelajar perempuan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, selepas kenderaan dinaiki mereka ditembak ketika cuba memasuki sempadan Iskandariah-Kaherah pada hari kedua perintah berkurung dikeluarkan di seluruh Mesir, baru-baru ini.

Sehari sebelum perintah berkurung dikeluarkan, ketiga-tiga pelajar berasal dari Sarawak, Zuliyarana Fauzi, 23; Siti Sarah Dahari, 23 dan Shahida Rashidi, 25, mengikut rakan mereka melawat perpustakaan di Universiti Iskandariah.

Ketiga-tiga mereka kemudian terpaksa berlindung tiga hari di rumah rakan sebelum berpindah ke Rumah Sabah di Iskandariah. Mereka tiba di sini, pagi kelmarin, dengan menumpang pesawat yang membawa pelajar tajaan Yayasan Sabah.

Menceritakan detik cemas itu, Zuliyarana berkata, mereka bercadang ke Iskandariah selama tiga hari dan tidak menyangka akan terperangkap selepas laluan kereta api dan lebuh raya ditutup.

"Kami nekad untuk pulang kerana semua pakaian dan kelengkapan lain berada di asrama Rumah Sarawak, Kaherah, namun sebaik tiba di kawasan tol berdekatan sempadan pada jam 10 pagi, kenderaan kami ditembak.

“Kami semua terpaksa tunduk selepas menyedari kenderaan ditembak sebelum beberapa anggota tentera mengarahkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota dinaiki tujuh penumpang segera berpatah balik ke Iskandariah jika mahu selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Asajaya di sini, semalam.

Apabila memeriksa kenderaan itu kemudian, mereka menemui tiga kesan tembakan pada bahagian lampu, sisi kenderaan serta pintu penumpang, namun mujur kenderaan masih mampu bergerak dan tiba di Iskandariah.

Siti Sarah yang berasal dari Kota Samarahan, berkata mereka panik ketika kenderaan ditembak menyebabkan mereka bertiga menjadi trauma sehingga tidak boleh melelapkan mata pada setiap malam sepanjang tempoh perintah berkurung.

Berita Harian/-

'Pelantikan Isa Samad buruk untuk pasaran'

05 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Aidila Razak.

Pelantikan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda menyebabkan pasaran menjadi tidak menentu, kata ketua pegawai eksekutif, Maybank Investment, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Terdapat banyak GLC yang mempunyai bekas ahli politik dilantik sebagai pengerusi tetapi bagi Felda, adalah kes yang jarang berlaku di mana pasaran bimbang dengan pelantikan itu. Ia memberi isyarat yang salah,” katanya.

Bercakap di forum anjuran badan pemikir, Ideas, Tengku Zafrul bagaimanpun berkata pelantikan berkenaan mungkin disebabkan kekurangan calon di mana jawatan utama di syarikat-syarikat berkepentingan kerajaan mesti diisi oleh calon bumiputera.

Meskipun Tengku Zafrul agak berdiplomasi ketika memberika alasannya, rakan panel Anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC), Zainal Aznam Mohd Yusof berkata rekod Mohd Isa yang terpalit dengan gejala rasuah adalah punca kebimbangan pasaran.

Mohd Isa didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang ketika pemilihan parti itu dan digantung jawatannya oleh lembaga disipin Umno pada 2005.

“Adalah hari yang sedih apabila Isa dilantik sebagai pengerusi Felda,” kata Zainal Aznam.

Malaysiakini/-

Bekas duta kecam Najib kerana ketegangan kaum

05 Rabiul Awal 1432 H.

Mantan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia John Malott mengecam kemunafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung slogan 1Malaysia dalam sebuah artikel pedas yang diterbitkan di Asia Wall Street Journal, hari ini.

Malott, seorang pengkritik kerajaan sejak menamatkan jawatannya selama tiga tahun sebagai duta besar Amerika pada tahun 1998, berkata Najib perlu "merenung lama di cermin" jika beliau serius mahu melihat matlamat 1Malaysia tercapai.

"Di sebalik slogan baru kerajaan, ketegangan perkauman dan agama hari ini adalah lebih tinggi hari ini berbanding ketika Najib dilantik pada 2009.

"Malah, ia lebih buruk daripada bila-bila masa sejak 1969, ketika sekurang-kurangnya 200 orang dibunuh dalam pergaduhan kaum antara masyarakat majoriti Melayu dan minoriti Cina," kata Malott dalam komentarnya di AWSJ.

Malott mempersalahkan peningkatan ketegangan kaum dan agama yang tercetus baru-baru ini kerana sikap "toleransi kerajaan dalam beberapa kes memprovokasi dan faksionalisme etnik melalui kata-kata dan tindakan kerajaan".

Sambil memberi beberapa contoh, beliau juga mengimbas kejadian di mana seorang pembantu kanan Najib - Hardev Kaur menyarankan supaya tidak ada salib dipamerkan semasa perdana menteri mengunjungi rumah terbuka hari Krismas di kediaman Paderi Besar Katolik Kuala Lumpur.
500,000 tinggalkan Malaysia

"Ms Kaur kemudian berkeras berkata saranannya itu satu permintaan dan bukannya arahan, seolah-olah seperti rakyat Malaysia boleh menolak permintaan daripada pejabat perdana menteri," keluh Malott.

Contoh lain berhubung ketidak sensitif kerajaan, kata Malott, termasuk tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien yang membela tindakan sekumpulan penduduk yang berarak membawa kepala lembu sebagai membantah pemindahan sebuah kuil Hindu di kawasan kejiranan mereka.

Malott juga menyentuh mengenai kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mempersoalkan "kurangnya patriotisme"di kalangan masyarakat Cina dan India di negara ini.

Turut dibidas bekas duta itu adalah akhbar Utusan Malaysia, milik Umno yang didakwa mencetuskan kebencian perkauman dengan secara teratur menyerang "ahli politik Malaysia berbangsa Cina dan bahkan mencadangkan seorang daripada mereka, ahli parlimen Teresa Kok, harus dibunuh".

Akibat ketegangan perkauman yang semakin memuncak, sebanyak 500,000 rakyat Malaysia meninggalkan negara itu antara tahun 2007 dan 2009 - jumlah itu kecam Malott, adalah lebih dari dua kali ganda jumlah profesional Malaysia yang tinggal di luar negeri.

Beliau juga berkata Najib terpikat untuk mempertahankan kumpulan pelampau seperti PERKASA yang secara terang-terangan menentang pembaharuan ekonomi atas nama 'ketuanan Melayu'.

Malaysiakini/-

Budak muntah makan coklat berulat

05 Rabiul Awal 1432 H.

AHMAD SAIFOL menunjukkan coklat yang sudah rosak.

TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dikejarkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) di sini akibat muntah dan mengadu sakit perut selepas memakan coklat berulat serta mempunyai serangga.

Ahmad Saifol Alimi, dari Kampung Langkap, dekat sini menjamah coklat berjenama terkenal yang dibeli bapanya dari sebuah pasar mini berdekatan rumahnya tanpa menyedari coklat itu sudah berada dalam keadaan tidak baik.

Bapa Ahmad Saifol, Alimi Tamin, 32, berkata anaknya begitu gembira ketika menjamah coklat itu pada 29 Januari lalu tetapi mengadu sakit perut dan terus muntah kira-kira 15 minit kemudian.

“Sebaik melihat dia muntah, saya terus membawa dia ke hospital dan doktor yang merawat Ahmad Saifol memaklumkan anak saya mengalami keracunan makanan.

“Apabila tiba di rumah, saya terus memeriksa tarikh luput coklat itu dan hairan apabila mendapati tarikh luputnya pada 11 Disember 2011.

“Isteri saya yang memeriksa coklat itu terkejut apabila mendapati sebahagian coklat yang saya beli itu sudah rosak, berkulat serta menemui beberapa ekor ulat dan serangga seperti anak kumbang di dalamnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Alimin yang berniaga gerai makanan berkata, dia setakat ini gagal mendapat penjelasan sewajarnya daripada pemilik pasar mini berkenaan.

Berita Harian/-

Nik Aziz anggap Jamil Khir keliru

05 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa hairan apabila membaca kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Jamil Khir Baharom di dalam Berita Harian hari ini.

“Jelas beliau keliru dengan rentetan isu ini,” tulis beliau di laman twitter.

Akhbar berkenaan melaporkan Jamil Khir Baharom berkata Nik Aziz tidak perlu mengheret pihak lain, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menegakkan kebenaran memadai berhadapan dengan Mohd Noor.

“Selesai dulu dengan Mohd Noor, soal agama ini bukan kira setaraf, layak atau tidak, dia (Nik Aziz) tak perlu babitkan orang lain, Majlis Fatwa kalau minta bagi fatwa bolehlah, tapi bukan atas permintaan individu tapi Raja. Itu peraturan fatwa, kalau dia nak cabar Majlis Fatwa, maknanya dia tidak faham fungsi dan peranan majlis,” kata Jamil.

Justeru, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengingatkan bahawa bukan beliau yang mengheret nama Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi orang lain yang mencadangkan pandangannya dibincangkan oleh Majlis Fatwa.

“Saya hanya menyatakan persetujuan apabila ditanya oleh wartawan,” jelasnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Harakahdaily/-

Peniaga raih RM20,000 sehari

05 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA TERENGGANU - Cuti Tahun Baru Cina yang bermula Khamis lepas memberi durian runtuh kepada peniaga keropok keping dan keropok lekor di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Keropok Losong Kuala Terengganu, Abu Bakar Yusof berkata, sepanjang cuti itu, peniaga berjaya meraih pendapatan sehingga RM20,000 sehari berbanding RM3,000 pada hari biasa.

“Itu bagi peniaga besar, manakala bagi peniaga kecil pula mereka menjual antara RM2,000 hingga RM3,000 sehari berbanding RM300 sahaja pada hari biasa,” katanya.

Abu Bakar berkata, sejak Khamis lalu, orang ramai terutama pengunjung luar yang datang bercuti di negeri ini tidak putus-putus mengunjungi gerai keropok di Kampung Losong menyebabkan jalan di kawasan itu menjadi sesak dengan kenderaan.

Malah, pembeli juga terpaksa beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan keropok bagi dijadikan buah tangan.

Sementara itu, seorang peminat keropok, Maamor Junus, 54, dari Setiawan Perak, berkata, ini pertama kali dia datang membeli keropok di Kampung Losong setelah mendapat tahu daripada rakannya, keropok di kawasan itu amat popular.

Katanya dia terpaksa berbaris dan menunggu kira-kira satu jam sebelum dapat membeli keropok lekor untuk memenuhi pesanan adiknya.

Sinar Harian/-

BN biarkan rakyat merana, Tidak Peduli Hak Rakyat

05 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Hafizi Pauzi.

IPOH, 8 Feb : Malaysia sedang diterajui oleh kerajaan yang menganggap diri mereka adalah golongan elit dan hanya mereka sahaja yang pandai memerintah . Sifat ini hanya layak berlaku di Negara yang tidak bertamadun. Demikian penegasan oleh ADUN Titi Serong, YB Drs. Khalil Idham Lim

“Realiti sebenarnya BNlah yang tidak pandai tadbir negara. Dan Rakyat perlu bertindak dari sekarang bagi menyebar berita mengenai keadaan semasa negara yang sedang menuju ke arah kemusnahan, berbagai isu penindasan terhadap rakyat telah dilakukan oleh BN terhadap rakyat, namun kesedaran tersebut masih belum mendominasi keadaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Jelas Khalil, berdasarkan Laporan sebuah Yayasan untuk Kebebasan yang telah membuat kajian dalam soal melindungi hak asasi manusia, Malaysia terus teruk yang mana ia telah jatuh menjunam daripada 5 mata pada 2009 kepada 1.72 mata pada 2010.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak menambah, berdasarkan laporan, kebebasan mahkamah masih kuat dipengaruhi kerajaan melalui badan eskekutif dan ini tidak selari dengan slogan BN “rakyat didahulukan” seperti diperkenal oleh PM Malaysia.

Rakyat telah menyaksikan betapa tidak adilnya Malaysia dari segi amalan undang sivil melalui mahkamah di Negara ini dalam kes-kes serta pertuduhan yang berlaku dalam kalangan pemimpin BN.

"Apabila ada tuduhan dilemparkan ke atas Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim dan juga ke atas Ketua Menteri Sarawak ,Taib Mahmud, pihak berwajib seperti SPRM lambat bertindak," soalnya.

Menurutnya lagi, di Malaysia dalam masa yang sama, jika terdapat sebarang pertuduhan yang membabitkan rakyat, SPRM mahupun mana-mana pihak yang terlibat amat pantas melaksanakan siasatan terperinci terhadap tertuduh.

“Hak asasi rakyat Malaysia terus dibelasah oleh BN dengan sewenang-wenangnya, perkembangan ini tidak boleh terus berlaku, rakyat perlu buat sesuatu untuk tukar mereka (BN),” katanya.

Jelas Khalil, kedaulatan undang-undang kini sedang dilanyak oleh BN, pihak yang menjadi mangsa ialah rakyat, segala saman, kompaun, serba segi yang melibatkan denda kesalahan akan dirasai oleh rakyat dikeluarkan tanpa belas ihsan kerajaan terhadap rakyat, “benarlah rakyat didahulukan”, tempelaknya.

Dalam pada itu, beliau juga mengkritik tindakan Kementerian Pelajaran yang memansuh bantuan RMT di sekolah seluruh Malaysia sambil menyifatkan ia adalah satu lagi detik sedih bagi golongan yang kesempitan kewangan.

“Sudahlah hak rakyat tidak dihormati, nafi pula hak mereka yang miskin untuk makan, pemimpin PR dan rakyat tidak boleh hanya menunggu dan melihat sahaja isu ini , gerakkan tenaga untuk mencetus kesedaran kepada orang yang paling hampir dengan kita,” jelasnya ketika menutup sesi temubual

Rakyat Perlu Tolak Pemboros Negara

05 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Hafizi Pauzi.

IPOH, 8 Feb : Drs. Khalil Idham Lim, Ketua Penerangan PAS Perak menegaskan PR menolak sekeras-kerasnya terhadap sebarang bentuk pembaziran wang Negara, lebih-lebih lagi pembaziran berlaku pada waktu Negara berada dalam situasi memerlukan wang yang lebih untuk kebajikan rakyat.

“Saya rasa pelajar sekolah rendah pun tahu membanding harga sebelum membeli barang, pemimpin Malaysia sudah buta hati dan tak pandaio metametik untuk fikir cara belanja berhemah, akibatnya wang rakyat dibazirkan,” kata YB Khalil ketika ditemui di sini.

Tambahnya, Kementerian Pertahanan dikatakan bersedia membayar RM6 bilion bagi mendapatkan enam kapal tentera laut, harga tersebut adalah 870 peratus lebih mahal daripada bayaran negara lain untuk kapal yang sama sebagaimana yang disebut ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Malaysia juga sedang berada dalam keadaan bahaya dengan tindakan Najib Razak membiarkan isterinya menginap di hotel dengan bayaran menginap di sebuah bilik mewah (suite) yang harganya mencecah UDS35,000 atau menyamai RM106,000 semalam dalam satu sesi lawatannya ke luar Negara baru-baru ini.

“Beliau (Rosmah) menyatakan bahawa lawatannya adalah mewakili rakyat walhal tindakan ini langsung tidak selari dengan hasratnya konon mahu mewakili hak rakyat Malaysia,” tempelaknya.

Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, pembaziran seperti ini tidak dapat diterima, harga minyak RON 97 sahaja sudah 4 kali dinaik secara sesuka hati oleh BN tanpa ada kawalan, rakyat terus dihimpit dengan kesan kenaikan harga minyak terhadap barangan lain.

“Adakah Najib mahu melihat rakyat bangkit seperti mana di Tunisia dam Mesir, patutnya BN ambil pengajaran dari Rakan sejawatnya dari Tunisia diguling oleh rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khalil menempelak respon PM terhadap situasi mesir baru-baru ini dengan mengeluar kenyataan bahawa kerajaan sentiasa menjaga kemahuan rakyat kerana telah timbul rasa khuatir BN rakyat bangkit kerana ditindas oleh pemerintah.

“BN hakikatnya tidak ambil pengajaran, mereka terus menipu rakyat dengan fakta-fakta palsu bagi mempamer imej bersih serta adil BN terhadap rakyat Malaysia,” tambahnya.

Beliau juga mengingatkan terhadap rakyat Malaysia betapa perlunya kerajaan yang telah leka memerintah selama 53 tahun ini ditukar dengan kadar segera sambil menyatakan PRU 13 lah medan terbaik rakyat untuk melakukan perubahan ke arah Malaysia yang selamat.

Segerakan muzakarah Majlis Fatwa-PAS

05 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyokong dan menggesa agar muzakarah di antara Majlis Fatwa Kebangsaan dengan PAS yang diketuai Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat segera diadakan bagi menjernihan kekusutan dan menyelesaikan perselisihan yang berlaku.

Ketuanya, Nasrudin Hasan At-Tantawi (gambar) berkata, ini kerana DPPP yakin segala pertelingkahan, pertikaian, perselisihan faham mesti diselesaikan secara muzakarah dengan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas penyelesaian.

“Ini sangat penting supaya kebenaran dapat ditegakkan dan memastikan sebarang kekeliruan, tohmahan serta fitnah dapat dipadamkan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Malah, ujarnya DPPP ingin menegaskan bahawa bukan sahaja satu atau dua isu yang berkait dengan Al-Mursyidul Am PAS tetapi masih banyak perkara-perkara lain yang menyentuh aqidah ummah perlu dimuzakarahkan.

DPPP juga, tambah nya turut mengalu-alukan penyertaan ulama-ulama Umno justeru mereka adalah pendokong kerajaan yang dipimpin oleh Umno bagi menyelesaikan isu-isu agama.

Menurutnya, DPPP melihat, sekian lama Umno dan Barisan Nasional menguasai agen penyebaran massa utama seperti televisyen, radio dan akhbar arus perdana di dalam negara sudah terlalu banyak fitnah dan tohmahan telah dilemparkan terhadap Al-Mursyidul Am PAS khususnya dan PAS amnya.

“Inilah peluang dan platform terbaik bagi rakyat menilai apa yang ditohmah oleh media arus perdana ini benar ataupun salah,” ujarnya.

Justeru itu, katanya muzakarah antara kedua-dua pihak suatu peluang dan platform yang sangat baik sekiranya Majlis Fatwa Kebangsaan atau mufti-mufti bersama ulama-ulama Umno menganggap apa yang pernah disebut atau dipraktikkan oleh Al-Mursyidul Am dan PAS bercanggah dengan Islam.

Harakahdaily/-

MB arah Khusrin jaga hartanah Selangor

05 Rabiul Awal 1432 H.

Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya mengadakan pertemuan sulung dengan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru Datuk Khusrin Munawi di pejabatnya di Shah Alam pada jam 5 petang tadi.

Bagaimanapun, menurut kenyataan daripada Pejabat Menteri Besar sebentar tadi, kerajaan negeri masih berpendirian bahawa Sultan Selangor dan menteri besar seharusnya berperanan dalam pelantikan SUK.

"...pertemuan ini diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam pertemuan tersebut, Khalid juga mengarahkan Khusrin memberi keutamaan kepada hartanah milik kerajaan Selangor.

"Seterusnya, menteri besar mengarahkan Khusrin menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik kerajaan Selangor, demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah," kata kenyataan itu.

Arahan lain Khalid kepada Khusrin:
Menteri besar memberitahu Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik.

Khalid menyarankan supaya Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Khusrin diminta meneruskan usaha-usaha Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh menggangu pendapatan kerajaan negeri.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut langsung sama ada Khalid membenarkan Khusrin mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapannya bagi membolehkan SUK yang dilantik secara kontroversi itu menghadiri meyuarat exco dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Malaysiakini/-

Ambil iktibar pergolakan di Mesir, hargai keamanan

05 Rabiul Awal 1432 H.

KANGAR - Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman berkata, pergolakan politik yang berlaku di Mesir seharusnya menjadi iktibar kepada para penuntut supaya sentiasa menghargai keamanan.

"Mereka pastinya bersyukur apabila dapat meninggalkan negara yang bergolak akibat rusuhan dan tunjuk perasaan itu untuk menikmati kehidupan harmoni di negara sendiri," katanya.

Kumpulan pelajar dari Perlis itu adalah antara 778 penuntut dan rakyat Malaysia yang dikeluarkan dari Mesir dan tiba di KLIA di Sepang semalam melalui Ops Piramid.

Sinar Harian/-

Cubaan bisukan media

05 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH - Terpaksa berpatah balik ke Jeddah selepas menempuh perjalanan selama tiga hari untuk ke Kaherah, Mesir, adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

Penulis dan rakan media lain diarahkan pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, malam kelmarin di mana kamera dan peralatan penting kami dirampas pihak imigresen Mesir.
Kerajaan Mesir kini galak menyasarkan petugas media yang tiba di negara itu bagi menghalang sebarang liputan dan berita mengenai protes di Kaherah, Iskandariah dan Suez ditontonkan kepada dunia.

Pihak berkuasa negara itu menapis kemasukan orang ramai ke Mesir seawal pesawat mendarat dan kami sendiri menyaksikan perkara ini apabila dilarang membuat liputan penghantaran pulang pelajar Malaysia di Mesir semasa mereka sedang menaiki pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Masalah pertama timbul apabila bas yang sepatutnya membawa kami dari landasan ke terminal lapangan terbang dihalang hanya kerana kami cuba merakam gambar pelajar sedang menaiki pesawat tentera.

Bantuan dan kecekapan pihak TUDM mengendalikan keadaan dan atasi masalah itu dengan pegawai Mesir di landasan membolehkan kami melepasi halangan pertama itu dan dibawa ke terminal tanpa masalah lagi.

Kemudian timbul masalah kedua. Pihak imigresen Mesir nyaris tidak membenarkan penulis dan seorang lagi rakan media daripada Astro Awani melepasi pemeriksaan imigresen kerana terdapat bukti kami pernah memasuki Genting Gaza, Palestin, pada pasport kami.
Namun nasib menyebelahi kami apabila akhirnya dilepaskan selepas perbincangan dibuat antara pegawai imigresen Mesir sendiri, tetapi barangan penting seperti kamera tetap dirampas.

Melangkah keluar daripada lapangan terbang, penulis melihat khemah putih besar disediakan Kerajaan Malaysia bagi menempatkan ratusan pelajar Malaysia yang sedang tunggu giliran untuk naik pesawat ke Jeddah.

Dalam suasana malam yang sejuk di Kaherah, penulis dimaklumkan kami perlu melepasi 25 sekatan jalan raya untuk menuju ke bandar dari lapangan terbang kerana perintah berkurung di Mesir adalah dari jam 6 pagi sehingga 5 petang.

Kebanyakan sekatan jalan raya ini dilakukan oleh penduduk Mesir sendiri dan beberapa sekatan lain dikawal pihak tentera.

Penulis dimaklumkan mengenai nasib wartawan lain dari Malaysia di Kaherah lebih awal. Mereka ditahan, diacukan parang dan peralatan elektronik hampir dirampas penduduk.
Ramai petugas media dari negara lain, termasuk negara Barat di Kaherah, turut ditahan berkali-kali dan diarah meninggalkan negara itu secepat mungkin.

Seolah-olah tidak cukup dengan itu, perkhidmatan teksi dan hotel di Kaherah juga sukar didapati menyebabkan kami terpaksa bermalam semalaman di lapangan terbang, sementara menunggu penerbangan pulang.

Lebih mengecewakan, kami dilarang sama sekali oleh pihak berkuasa daripada mengambil sebarang gambar di kawasan lapangan terbang, walaupun hanya menggunakan kamera biasa.

Menurut cerita rakan media lain yang ditemui di lapangan terbang, wartawan mahupun orang awam, juga tidak boleh merakam sebarang gambar di kawasan konflik di Kaherah. Saluran internet di bandar itu juga tidak stabil, menyebabkan kami mengambil keputusan tidak meneruskan perjalanan ke destinasi utama, Dataran Tahrir.

Syukur kepada Allah ... hari yang penuh dengan kekecewaan tamat juga akhirnya. Penulis berasa lega dan gembira apabila dihantar pulang ke Jeddah menaiki pesawat bersama-sama lebih 300 pelajar Malaysia, keesokan harinya.

Karenah birokrasi luar biasa pihak berkuasa Mesir membuktikan betapa kerajaan negara itu berusaha memutuskan hubungan Mesir dengan dunia luar dengan menjadikan petugas media sebagai sasaran bagi mengekang sebarang maklumat disampaikan kepada masyarakat antarabangsa.