09 April 2011

Ketua Umum PKR Digelar Anwar 007

5 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


MIRI, 9 Apr: Mulai sekarang semua rakyat boleh memanggil Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gelaran Anwar007 kerana pelbagai jenis agen yang dituduh ke atas beliau.

Dengan gelaran ini diharapkan Anwar akan berada dalam keadaan tersepit dan akan dipandang hina oleh rakyat terutamanya pengundi.

Perkara ini diucapkan sendiri oleh Anwar dalam satu ceramah anjuran Keadilan Senadin yang turut disertai ramai pemimpin PR.

(Gambar: Anwar sedang menceritakan bagaimana beliau dituduh dengan pelbagai tuduhan oleh pemimpin BN dan media mereka termasuk pelbagai jenis agen asing. Jadi nama beliau sekarang adalah Anwar007 sebagaimana agen James Bond dalam filem Ingggeris)

"Dulu mereka tuduh saya agen Amerika, Yahudi, Israel, Kristian, Arab dan Cina," tegasnya.

Lokasi program di Morsjaya, dekat sini menjadi sesak dengan kehadiran ribuan rakyat berbagai kaum terutama Cina.

Antara pimpinan turut berucap adalah Setiausaha DAP, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim Abdullah dan YDP PAS Kawasan Miri, Haji Jofri Jaraaie.

Calon Pakatan, Dr Teo Yu Kheng, Naib Presiden Keadilan, Tian Chua, Ketua Pemuda, Shamsul Iskandar Akin dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke turut hadir.

Dalam masa sekitar satu jam itu, Anwar menjelaskan keperluan Sarawak untuk berani membuat perubahan terutama di dalam pilihan raya 16 April ini.

"Kita berharap kesediaan rakyat berubah dari BN dengan memilih PR pada kali ini akan membuahkan hasil yang baik.

"Malah kita juga amat berharap dengan perubahan yang dimulai dengan Sarawak menjadi laluan PR untuk merampas Putrajaya," tegasnya.

Sementara itu, Lim mendedahkan kedudukan Malaysia berada di tempat kelima antara negara seluruh dunia yang terlibat di dalam rasuah.

Negara ini, jelas Lim, terrlibat di dalam rasuah dengan jumlah wang sebanyak RM888 bilion seperti didedahkan sebuah majalah Amerika.

Dikatakan dalam masa sama, kehadiran rakyat di dalam ceramah yang diadakan serentak di hadapan klinik Dr Teo berhadapan BSN, dekat sini melebihi lima ribu hadirin.

H/daily

Manisfesto Jom Ubah Sarawak

5 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


KUCHING, 8 April — Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan manifesto bertemakan “Jom Ubah Sarawak”, yang menggariskan 10 dasar, secara serentak di Kuching dan Sibu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melancarkan bersama manifesto itu di Kuching.

Di Sibu, Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, mewakili pakatan pembangkang mengumumkan 10 dasar, iaitu kebebasan kepercayaan; Pentadbiran yang baik; Reformasi Tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputera; Pembasmian Kemiskinan; Hubungan Persekutuan-Negeri; Sarawak yang lebih hijau; Layanan adil kepada semua rakyat Sarawak; Kebudayaan dan Pendidikan; Hak Wanita dan Melabur Dalam masa Depan.

Bernama Online menyebut dalam manifesto dua muka surat itu, pakatan pembangkang memberi jaminan kebebasan beragama dan mengekalkan status Sarawak sebagai sebuah negeri bersifat sekular.

Bagi dasar pentadbiran yang baik, pakatan pembangkang berjanji melaksanakan pentadbiran berdasarkan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus; pengagihan adil kekayaan Sarawak; menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat tuduhan kekayaan diperoleh secara haram; menubuhkan sebuah ombudsman untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa; dan mengadakan semula pilihan raya untuk semua pihak berkuasa tempatan termasuk adat memilih ruai, ketua kampung atau ketua masyarakat. 

Namun, satu perkara yang benar-benar berkaitan Sarawak dalam manifesto itu ialah mengenai tanah, dengan pakatan pembangkang menjanjikan semua pajakan telah luput akan diperbaharui untuk 99 tahun tanpa syarat; semua notifikasi Seksyen 47 Kanun Tanah Negeri lelap secara automatik selepas dua tahun pewartaan; pemberi milikan tanah dilakukan melalui tender terbuka dan membentuk Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputera untuk menyiasat semua tuntutan Tanah Hak Adat (NCR).

Bagi membasmi kemiskinan, pakatan pembangkang berjanji menubuhkan Dana Pembasmian Kemiskinan RM1 bilion untuk memastikan tiada keluarga di Sarawak hidup di bawah garis kemiskinan serta mempercepatkan pembinaan jalan raya di samping meningkatkan kemudahan awam seperti sekolah, perkhidmatan perubatan dan telekomunikasi bagi menjana ekonomi luar bandar.

Sekali lagi, pakatan pembangkang menjanjikan akan mengurangkan harga minyak dan meningkatkan royalti petroleum daripada 5 peratus kepada 20 peratus jika parti itu mengambil alih kerajaan pusat.

Manifesto itu turut menjanjikan pendaftaran segera orang Sarawak yang tiada kerakyatan; menyumbang RM200 kepada setiap kanak-kanak Sarawak memulakan Tahun Satu; dan memberi bantuan kebajikan tahunan RM600 kepada semua warga emas Sarawak berusia 60 tahun ke atas.

Bagi pelaburan masa depan, PKR-DAP-PAS berjanji menyelesaikan masalah banjir dalam masa dua tahun dan menyediakan kemudahan Internet WiFi secara percuma.

M/insider

Guru retak hidung ditumbuk murid tingkatan dua sebuah sekolah di Kangar

05 jamadilawal 1432H. [MOD] -

KANGAR 7 April - Seorang guru wanita sebuah sekolah menengah di Bukit Ketri dekat sini patah hidungnya apabila ditumbuk oleh seorang pelajar lelaki sekolah itu hari ini.

Jurucakap Jabatan Pelajaran Perlis berkata kejadian itu berlaku apabila seorang pelajar tingkatan dua dikatakan menumbuk muka guru berkenaan, Mariati Mat Ail, 37, semasa beliau cuba meleraikan pergaduhan sekumpulan pelajar di hadapan sebuah kelas.

Kejadian berlaku pada pukul 12.40 tengah hari semasa waktu pertukaran kelas dan ketika melalui koridor sekolah, guru itu ternampak pergaduhan tersebut dan cuba meleraikannya, katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.

Media semakin jadi pengampu BN.

05 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Kenyataan Media 9 April 2011

Saya mengalu-alukan pengumuman pihak Polis yang mengumumkan telah meluluskan 200 permit ceramah dalam tempoh 2 hari sejak hari penamaan calon.

Namun begitu saya rasakan pengumuman itu adalah sesuatu yang lucu dan semacam mahu menggambarkan demokrasi pilihanraya di malaysia sekarang berada dalam keadaan yang baik.

Alangkah sesuatu yang memalukan bila sejak sekian lama dan memuncak pada setiap kali pilihanraya media milik rakyat adakah tv, radio dan akhbar disalahguna sedemikan rupa untuk menggambarkan kebaikan BN dalam segala aspek.

Lebih malang mereka menggunakan media yang sama untuk menghentam dan memburuk-buruk Pakatan Rakyat(PR) secara terang dan tidak bersindung.

Lagi memalukan saya menyokong istilah baru kepada media BN yang telah bertukar wajah menjadi "media porno" .

Namun saya yakin gelaran itu mempercepatkan teori yang mengatakan media lama seperti itu akan terus terpinggir dari arus perdana dan makin tidak dipercayai paparan beritanya.

Oleh tidak ada sesuatu yang malang kalau rakyat malaysia terus menerus ditipu dengan gambaran seolah demokrasi dimalaysia sudah begitu baik. Sedangkan realitinya media ternyata berat sebalah dan semakin memihak kepada BN.

Walaupun hak PR dinafikan namun begitu saya tegaskan kemunculan media baru seperti website, blog, twitter , facebook dan sebagainya mendaji media alternatif kepada rakyat yang dahagakan maklumat yang sebenarnya.

Pesanan buat kakitangan Kastam, Ubah sebelum parah.

05 Jamidilawal 1432H. [MOD] -
Oleh: WFAUZDIN NS

SEKALI lagi saya ucapkan takziah buat keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, Pegawai Kastam yang ditemui mati di perkarangan bangunan SPRM Wilayah Persekutuan semalam. Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Allah SWT dan kita sebagai manusia suka atau tidak, terpaksa menerima ketentuanNya dengan penuh insaf dan redha.

Sudah tentu pemergian Allahyarham ditangisi oleh ahli keluarga dan waris beliau juga teman-teman rapat yang mengenali Allahyarham. Apatah lagi, ada teman rapat Allahyarham menyatakan bahawa beliau sewaktu hayatnya adalah seorang insan yang baik, periang dan pernah menjadi Imam di dalam solat bersama teman-teman setugasnya. Itulah perkhabaran baik yang sewajarnya kita patut ulang-ulangkan setelah beliau kembali menemui Rabbul Jalil.

Tragedi yang menimpa ke atas beliau hanya Allah yang tahu dan sebagai manusia biasa kita hanya mahukan agar siasatan telus dapat dilakukan segera. Apa pengajaran dari beberapa peristiwa yang `ganjil dan pelik' yang sering berlaku di negara ini? Tidak lain tidak bukan, kita harus kembali kepada ajaran Islam dan kita tidak lagi perlu mengharapkan golongan sekular atau pun mereka yang menjauhi agama untuk terus memerintah.

Bak kata pepatah Cina, "Ikan busuk selalunya bermula dari kepala". Tidak menjadi salah jika kita berani mencuba sesuatu yang lebih baik dari yang ada. Tidak mencuba, kita tidak akan tahu. Keberanian rakyat di selangor mencuba yang baru, maka lihatlah hasilnya. sehubungan itu, kita mesti berani mencuba di peringkat Pusat pula agar kita boleh lihat samada masih adakah lagi kejadian `pelik dan ganjil' ini berlaku di dalam pentadbiran kerajaan.

Khusus buat semua kakitangan Kastam, marilah kita bersama-sama rakyat yang lain bangun untuk mengubah negara ini. Jadikan lah negara ini sebuah negara yang aman, selamat dan makmur. "Kepala ikan yang busuk, kita buangkan untuk dijamah oleh kucing di jalanan"./wfauzdin.blogspot.com

Serangan balas Anwar menyebabkan Kabinet 'tarik handbreak'

05 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Oleh: WFAUZDIN NS

JERAT yang dipasang oleh DS Anwar mengena dan berkesan. Saya telah menulis bagaimana mereka terjerat apabila terus mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Bebas menyiasat kes video seks kununnya yang melibatkan Anwar dengan seorang pelacur.

Nazri Aziz orang yang paling bersemangat untuk mendesak agar Suruhanjaya Bebas ini ditubuhkan, begitu juga dengan beberapa pencacai yang lain termasuk raja katak dari Pasir Mas. Apabila Najib bersuara semalam yang seolah-olah bersetuju dengan Nazri, maka inilah yang ditungu-tunggu oleh Anwar.

Satu `ledakan peluru' tepat ke muka Najib apabila Anwar menyebut beliau tidak hairan sedikit pun tentang hajat mereka untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas berkenaan. Tetapi menurut Anwar, ada kes yang lebih besar dari itu iaitu kes wanita Monggolia yang dibom dengan menggunakan C4, kes moral tokoh penting negara di sebuah hotel Port Dickson dan terbaru kes kematian Pegawai Kastam di bangunan SPRM. Kesemuanya itu hendaklah ditubuhkan juga Suruhanjaya Bebas sebelum mahu bercerita pasal video seks lelaki berperut boroi itu.

Sekarang kita menanti apa jawapan Najib. Ternyata, serang balas Anwar mengejutkan Najib dan terbaru kabinet hari ini memutuskan kes video lucah itu akan dibawa ke Suruhanjaya Bebas SEKIRANYA pelakunnya telah dikenalpasti. Dilaporkan kenyataan Nazri, "Kerajaan akan hanya menubuhkan sebuah Suruhajaya Diraja (RCI) bagi menyiasat video seks yang didakwa membabitkan seorang lelaki yang dikatakan mirip ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas polis mengenalpasti pelaku dalam rakaman pita berkenaan" (Malaysiakini).

Jika sudah dikenalpasti pelakunnya, perlu apa lagi Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat? Mahu siasat apa lagi? Adakah jika pelakun yang berperut boroi itu dikenalpasti bukan Anwar, maka tiada Suruhanjaya Bebas? Jika mereka anggap sememangnya Anwar, baru tubuh Suruhanjaya Bebas? Kita hairan, Suruhanjaya Bebas ini untuk apa sebenarnya? Perlukah wujud Suruhanjaya Bebas semata-mata mahu selamatkan air muka mereka yang sudah semakin jelek itu?

Apa pun, jelas cabaran Anwar agar ditubuhkan juga Suruhanjaya Bebas di dalam kes Altantuya khususnya berkenaan `siapa yang mengarahkan' wanita Monggolia itu dibunuh amat memberi kesan sehingga ada `tarikan handbreak' pada keputusan kabinet hari ini. Syabas Anwar./wfauzdin.blogspot.com

Sarawak dan Pembangunan Di Bawah Bekas Ketua Menteri

5 Jamadilawal 1432H. [MOD] -









Pembangunan di bawah bekas Ketua Menteri, Taib Mahmud tidak sedikit pun berganjak dikala banyak bangunan pencakar langit telah dibina di kotaraya namun tidak pula di kawasan kampung dan pedalaman. Rakyat di Sarawak bagaikan telah dipisahkan pembangunan antara kroni dan penduduk setempat.

Ketika tinjauan di Sebuyau, keadaan rumah mereka tidak terurus dangan baik seperti tiada langsung suara mereka didengari oleh kerajaan yang memerintah pada ketika itu (Barisan Nasional). Walaupun ada yang masih menyokong BN dengan terpampangnya bendera BN di rumah mereka.

Bagi rakyat Sarawak, mereka sebenarnya tidak minat berpolitik kerana mereka tahu mereka tidak mendapat faedah daripada kemenangan bagi sesuatu wakil rakyat yang memerintah. Ada dikalangan mereka tahu politik tetapi mereka tidak pernah mengundi dan tidak ingin untuk daftar sebagi pengundi.

Masyarakat di Sebuyau bagaikan dipinggirkan tanpa ada sikap prihatin daripada Ketua Menteri yang bernama  Taib Mahmud. Penduduk di sana tidak kisah siapa yang memerintah namun bagi mereka kebajikan mereka mesti diutamakan.

Mereka meletakkan bendera juga kerana suka-suka dan bukannya kerana mereka itu menyokong parti tersebut. Mereka telah dibayar RM30,diberikan tshirt dan sebagainya oleh BN untuk mengibarkan bendera dan bila ditanya mereka hanya mahukan bendera sahaja tetapi tidak pernah mengundi serta tidak tahu politik langsung.

Sumber: kijang59

08 April 2011

3 kanak-kanak China maut selepas minum susu dicemari nitrit

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

BEIJING: Tiga kanak-kanak mati manakala 35 yang lain sakit selepas meminum susu yang dicemari nitrit di Gansu, iaitu skandal keselamatan makanan terbaru yang melanda industri tenusu negara itu.

Agensi berita Xinhua melaporkan 35 mangsa terbabit adalah kanak-kanak di bawah usia 14 tahun dan kini dirawat di dua hospital di bandaraya Pingliang.

“Siasatan awal menunjukkan semua pesakit diracuni nitrit selepas meminum susu yang dibekalkan dua ladang tenusu," menurut laporan Xinhua.
Nitrit digunakan untuk merawat daging.

Kedua-dua ladang tenusu itu ditutup dan pengurus mereka sedang disiasat.

Pada 2008, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak maut dan hampir 300,000 yang lain jatuh sakit akibat meminum susu tepung yang dicampur melamin. - Reuters

PM tegas lawan rasuah pegawai kerajaan!

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 April: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Ops 3B akan diteruskan dalam ketegasan kerajaan melawan rasuah amat menyedihkan.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat, Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata, ini memandangkan ketegasan yang sama tidak pernah kelihatan dalam melawan rasuah melibatkan pimpinan politik Barisan Nasional.

“Ini bukan kali pertama kerajaan BN lebih tegas bertindak terhadap penjawat awam berbanding pemimpin mereka sendiri,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas tragedi kematian Ahmad Sarbani Mohamed, Penolong Pengarah Pejabat Kastam Pelabuhan Klang yang mengejutkan rakyat Malaysia.

Allahyarham ditemui meninggal dunia di Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane pada 6 April yang lalu.

Tambahnya, terlalu banyak persoalan yang masih tidak terjawab tentang kematian Allahyarham Sarbani yang berlaku ketika Suruhanjaya Siasatan DiRaja tentang kematian Teoh Beng Hock sewaktu siasatan SPRM.

Kebetulan pula, ujarnya Allahyarham tinggal di kuarters Kastam yang terletak di kawasan Dun beliau, Seri Setia.

“Beberapa hari yang lalu saya mendapat maklumat bahawa pegawai-pegawai Kastam merasakan diri mereka menjadi kambing hitam dalam Operasi 3B yang dilaksanakan oleh SPRM untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan Kastam,” katanya.

Justeru, katanya Suruhanjaya Siasatan DiRaja mesti ditubuhkan untuk mensyiasat kematian Allahyarham Sarbani dengan serta-merta dengan melibatkan masyarakat sivil serta menyiasat struktur dan organisasi SPRM dalam kes ini.

Katanya lagi, kenyataan Najib bahawa Allahyarham Sarbani datang ke SPRM secara sukarela tidak masuk akal memandangkan beliau telah ditahan dalam Ops 3B pada 1 April dan dibebaskan atas ikatjamin pada 2 April yang lalu.

“Mengapa beliau hendak ke SPRM sekiranya tidak dipanggil oleh SPRM?” soalnya.

Menurutnya, sudah tersebar SMS kononnya meskipun kematian Allahyarham Sarbani dikesali namun ketegasan kerajaan menentang rasuah harus mendapat sokongan rakyat.

Soalnya, siapa yang bertanggungjawab menghantar SMS begini ketika Allahyarham Sarbani baru sahaja dikebumikan.

Tambahnya, Najib dan Nazri juga mengambil kesempatan meneruskan desakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja dalam isu video Datuk T.

Menurutnya, malang sekali pemimpin BN nampaknya lebih mahu bermain politik dan bukannya menjawab persoalan yang bermain di minda ramai penjawat awam dan rakyat umum yang cintakan keadilan dan kebenaran.

Pada masa yang sama, beliau berharap pihak Cuepacs dapat tegas memperjuangkan kebajikan penjawat awam yang disiasat oleh SPRM dan seolah-olah bersalah sebelum diputuskan oleh mahkamah.

“Kami juga berharap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang baru ditubuhkan dapat memulakan siasatan ini untuk memulihkan keyakinan penjawat awam dan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan selepas rentetan satu demi satu kes malang,” katanya.

Harakahdaily/-

PR mahu kembalikan kekayaan pada rakyat Sarawak

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KOTA SAMARAHAN, 8 April: Mohamad Sabu berkata, kesungguhan PAS menyertai pilihan raya Sarawak adalah kerana mahu membela hak rakyat negeri ini yang lebih 20 tahun ditindas BN.

Sambil mengulangi bahawa rakyat sepatutnya menikmati hasil kekayaan negeri, beliau juga mahu rakyat bangkit menghentikan segera kerakusan pemimpin negeri yang mengaut kekayaan negeri.

Rakyat, katanya harus keluar dari belengu kemiskinan dengan menukar kepimpinan negeri ini yang ternyata mengabaikan kebajikan mereka.

"Kita (PAS dan Pakatan Rakyat) datang untuk kembalikan kekayaan Sarawak kepada rakyat Sarawak. Sangat sedih apabila rakyat Sarawak antara paling miskin di Malaysia sedangkan Sarawak ada petroleum.

"Inilah dia Sarawak tanah airku," kata Mohamad (gambar) yang juga AJK PAS Pusat sinis dalam satu ceramah di Kampung Sidang Baru di sini.

Turut serta berceramah, Naib Presiden dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Idris Ahmad serta Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.

"Dari Miri ke Sibu lebih kurang 120 km, kalau di Semenanjung sejam naik kereta. Kalau saya bawa 45 minit, kena saman ekor, Mahfuz bela," katanya disambut gelak ketawa hadirin.

"Di sini, Sibu ke Miri 3 jam lebih, kerana jalan raya bukan macam naik kereta, tapi macam naik kuda," tambahnya menggambarkan kemudahan asas yang jauh ketinggalan.

Membandingkan dengan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, beliau berkata rakyat akan lebih kaya jika Pakatan Rakyat memerintah.

Beliau memberi contoh Selangor yang kaya dengan hasil negeri tetapi di bawah Pakatan Rakyat, kekayaan itu dinikmati rakyat.

Ianya termasuk 20 meter padu air percuma, wang masuk universiti RM1,000, skim warga emas dan banyak lagi.

"Dalam tempoh sekarang, rakyatlah yang menjadi raja, bukan lagi Tan Sri (Abdul) Taib Mahmud.

"Undilah Pakatan Rakyat, kalau satu penggal mereka perintah baik, sambung tugas mereka, kalau buruk lebih dari BN, patah balik undi parti yang anda mahu," katanya.

Nazri Abdullah
Harakahdaily/-

KALAU `WANITA ITU' ISTERI NAZRI, MUSTAHIL NAZRI TIDAK KENAL

04 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SIAPA orang pertama sepatutnya boleh ditunjukkan video seks yang kununnya melibatkan DS Anwar selain dari pihak Polis? Sudah tentulah isteri beliau iaitu DS Wan Azizah kerana beliau juga mahu menyedapkan hatinya akibat fitnah yang diicipta melalui video berkenaan.

Memang benar, terlalu berat buat DS Wan Azizah serta keluarga untuk menonton video lucah berkenaan dan sememangnya dari awal beliau telah menolak untuk menontonnya atas alasan ianya jelas satu fitnah, keduanya kerana hukumnya haram disisi agama jika menonton video adegan seks samada tulin atau tidak video itu.

Namun, Alhamdulillah, Allah memberi jalan kepadanya untuk mengesahkan siapa sebenar lelaki berperut boroi dan kadangkala tidak berjanggut itu. Maka, ada tangan yang gatal datang dari mana telah memuat turunkan klip video tersebut ke dalam youtube walaupun dibuat suntingan ke atas beberapa babak terutamanya babak yang memperlihatkan perbezaan susuk tubuh badan DS Anwar.

Apabila DS Wan Azizah dimaklumkan bahawa tiada adegan seks yang terdapat di dalam klip video pada youtube berkenaan, maka beliau bersetuju untuk menontonnya bersama anak-anak beliau. Akhirnya, kepastian diperolehi olehnya dan mengesahkan bahawa lelaki berperut boroi dan lenggang jalan seperti itu bukanlah suaminya.

Apabila ini terbongkar, maka amat menyulitkan pihak yang melakukan konspirasi jahat ini untuk meneruskan kerja fitnah mereka. Hajat dihati mahu melihat DS Wan Azizah melenting atau setidak-tidaknya meletakkan jawatan di dalam politik bersama suami dan anaknya. Isteri mana mahu mempertahankan suaminya yang melanggan pelacur? Anak mana yang mahu membela ayahnya yang bermain kayu tiga dengan ibunya? Adakah DS Wan Azizah lebih pentingkan politik daripada moral keluarganya?

Sehubungan itu, apabila beliau dan anaknya telah memastikan bahawa itu bukan DS Anwar yang amat dikenalinya maka menjadi kewajipan pula baginya untuk mempertahankan suaminya. Apatah lagi beliau pun tahu sewaktu rakaman itu dibuat, beliau serta anak-anaknya berada bersama DS Anwar beserta beberapa pimpinan PKR di rumahnya. Bukti Twitter dan Facebook DS Anwar juga amat kukuh sebagai alibi di dalam kes ini walaupun Utusan Meloya agak bodoh di dalam pengiraan masa 2 jam kununnya DS Anwar hilang di dalam Twitter berkenaan.

Peliknya, seorang menteri bernama Nazri pula `susah hati' dengan kenyataan DS Wan Azizah yang menolak tuduhan ke atas DS Anwar. Mengapa beliau susah hati sangat? Adakah beliau berharap sangat lelaki boroi itu adalah Anwar? Nazri Aziz berkata," Wan Azizah tidak cekap bagi kenal pasti (lelaki dalam video) kerana ia pasangannya,” kata Nazri sambil menambah terdapat percanggahan kepentingan dalam perkara tersebut (Malaysiakini).

Wahai Nazri, untuk mengenal suami sendiri tidak perlu cekap. Perlu kepada cekap adalah menangkap Rahim serta `three strooges' yang mengaku menayangkan video lucah yang tulin itu di Sri Carcosa. Perkataan `cekap' ini harus Nazri tujukan kepada KPN bukan DS Wan Azizah. Seandainya wanita yang melakukan adegan di dalam video tersebut mirip wajah isteri Nazri, mustahil Nazri tidak kenal, bukan?

Cukuplah semuanya ini. Sehingga kini semakin ramai yang tidak percaya apa yang mereka lakukan terhadap DS Anwar. Usah ditegak benang yang basah. Kita tunggu siasatan Polis untuk mengenalpasti siapa lelaki boroi itu, sementara itu juga kita tunggu sejauh mana geng `three strooges' ini mahu diselamatkan atas kesalahan menayangkan video lucah.

Oleh: WFAUZDIN NS

Mufti: Letak jawatan tanda protes, ada media sendiri

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KUCHING, 8 April: PAS mencadangkan Jabatan Mufti negeri-negeri seluruh negara mengeluarkan media sendiri bagi menyuarakan pandangan mereka agar tidak lagi dipermainkan oleh Umno melalui media mereka.

Mufti juga dicadangkan agar meletakkan jawatan sebagai tanda protes, kerana tiada guna ujud jabatan mufti kalau sekadar untuk dilihat mengiakan pandangan kerajaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kanan) berkata, kejadian yang berlaku terhadap Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar bawah) amat jelas bagaimana para mufti dipermainkan oleh media Umno khasnya Utusan Malaysia.

Ekoran tindakan media Umno menggelapkan kenyataan mufti mengenai sikap mereka dalam isu video seks, para mufti telah difitnah seolah-olah memperkatakan isu remeh seperti poco-poco sahaja.

Padahal, Harussani sendiri berkata, beliau telah membuat kenyataan mengecam tindakan mengedarkan video itu kepada Utusan tetapi kenyataan itu tidak disiarkan oleh akhbar itu.

Antara mangsa salah lapor ini adalah Tuan Ibrahim sendiri yang tidak tahu sikap sebenar Harussani dalam isu ini.

"Bagi mengelak buruk sangka umum kepada jabatan Mufti dicadangkan sabuah akhbar jabatan mufti bagi memuatkan pandangan, pendirian dan fatwa mufti diujudkan, di samping ianya dapat menyelaraskan pandangan terhadap beberapa isu berkaitan agama," cadang Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Kata Tuan Ibrahim, PAS menyanjung tinggi beberapa kenyataan tegas yang dikemukakan oleh para Mufti berhubung isu klip video ini.

Beliau merujuk kenyataan sebenar para mufti yang disiarkan oleh media alternatif tetapi digelapkan oleh media tradisional yang dikawal Umno dan BN.

Kenyataan begini amat dinanti oleh rakyat kerana ketegasan mereka akan dilihat pendirian rasmi para mufti. Sayangnya kenyataan begini jarang dikeluarkan oleh media tradisional kerana ianya bertentangan dengan agenda tersembunyi UmNo, kata Tuan Ibrahim.

Bagi beliau, tindakan media tradisional ini sekali lagi membuktikan isu video adalah agenda Umno bagi mematikan karear politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekaligus merencatkan perubahan politik yang sedang berjalan di Sarawak.

Katanya, apa yang membimbangkan ada ura-ura pihak tertentu yang akan mengedarkan klip video ini di Sarawak, khususnya di kawasan Melayu bagi tujuan jahat mereka ini.

Memandangkan tiadanya senbarang tindakan phak polis bagi mengambil tindakan kepada Trio Umno yang menayangkan klip ini dan tindakan media perdana menyiarkan klip ini, maka tindakan ini tidak mustahil, tambahnya.

"PAS melihat para mufti bukan lagi menjadi rujukan kerajaan, bahkan mereka hanya diminta pandangan dan dihormati sekiranya ianya menguntungkkan pemerintah," katanya.

Kata Tuan Ibrahim, sehubungan tindakan biadab kerajaan Umno kepada mufti maka disarankan;

1. Mufti mengadakan muzakarah segera bagi mengeluarkan ketetapan agar tuduhan berupa qazaf dapat dihentikan, agar tidak ada lagi yang menanggung dosa setiap hari di kalangan rakyat.

2. Mufti mendesak kerajaan negeri-negeri agar mewartakan larangan melakukan tuduhan berupa elemen qazaf, kerana ianya termasuk dosa besar yang kesaksiannya tidak boleh diterima sampai bila- bila. PAS melahirkan kebimbangan mereka yang jatuh dalam katagori ini menjadi saksi perkahwinan dan muamalah lain, menyebabkan urusan tersebut tidak sah, dan menanggung dosa sampai mati.

3. Mufti mestilah memboikot mana-mana majis pemimpin Umno yang gagal mengambil perhatian terhadap kesahan besar dan telah dibuat teguran oleh para mufti. Ini alan mencerminkan ketegasan para mufti sebagaimana yg dikehendaki oleh hadis Rasulullah "Bilamana zahir penyelewengan dalam urusan agama, hendaklah orang alim di kalangan kamu menzahirkan pendirian dan ilmunya (sikapnya)."

4. Meletakkan jawatan tanda protes, kerana tiada guna ujud jabatan mufti kalau sekadar untuk dilihat mengiakan pandangan kerajaan, namun bilamana ianya tidak menguntungkan kerajaan Umno, pandangan itu disembunyikan oleh media perdana, sehingga rakyat biasa tidak mengetahui pandangan mufti.

Harakahdaily/-

Baru Bian KM Sarawak jika BN ditumbangkan

04 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak jika Pakatan Rakyat menumbangkan BN pada pilihanr raya negeri ke-10, 16 April ini.

Persetujuan itu diputuskan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan diumumkan di Kuching ketika pelancaran manifesto mereka yang 'Ketuanan Rakyat'.

Hadir ketika pengumuman itu adalah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan ahli jawatankuasa pusat PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin serta calon-calon Pakatan yang bertanding pada pilihan raya ini.

Malaysiakini/-

Kes Teoh, Sarbani adalah sama, kata MP Pakatan

04 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak silap ketika mendakwa tiada persamaan antara kematian Teoh Beng Hock dan penolong pengarah Kastam, Ahmad Sarbani Mohamed, kata beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini.

Dengan menolak persamaan antara kedua-dua kes berkenaan, Najib sebenarnya cuba memperlihatkan ketidak-seriusan dalam kematian Ahmad Sarbani ketika dalam jagaan Suruhanjaya Pencegahan Rasiah Malaysia (SPRM).

"Najib adalah salah kerana ada persamaan dengan kematian Teoh Beng Hock. Kedua-dua mereka mati di bangunan kerajaan kettika dalam tahanan agensi pihak berkuasa,” kata ahli parlimen Klang, Charles Santiago.

Santiago dan tiga lagi ahli parlimen - MP Shah Alam Khalid Samad, MP Teluk Intan M Manogaran dan MP Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud hari berjumpa dengan pengarah SPRM Selangor bagi melahirkan kebimbangan mereka berhubung keselamatan orang ramai kepada suruhanjaya itu.

Malaysiakini/-

Pastikan siasatan kematian pegawai Kastam adil

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR,: Anggota Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salahudin Ayub, berjanji akan mempastikan siasatan yang adil dilakukan ekoran kematian seorang pegawai kanan Kastam pagi ini di perkarangan bangunan SPRM Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS dan anggota Parlimen Kubang Kerian memberi reaksi segera terhadap kematian Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang berkhidmat sebagai pembantu pengarah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor.

"Sebagai salah seorang Anggota Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai pihak yang berwajib bagi memastikan satu penyiasatan yang adil dapat dilaksanakan dengan segera ke atas kes ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Bagi beliau, kematian seorang pegawai Kastam yang membantu siasatan kes rasuah yang dikatakan jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi ini sangat menyedihkan.

"Sebagai anggota Parlimen, saya akan memastikan ia disiasat dengan cara yang telus dan diberikan penjelasan yang wajar oleh SPRM.

"Kita bimbang, ketika kematian Teoh Beng Hock masih lagi sedang disiasat oleh Suruhanjaya Diraja, kematian pegawai Kastam ini akan memberikan persepsi yang lebih buruk kepada SPRM," kata Salahudin. (gambar bawah)

Kematian pegawai kanan Kastam yang dikatakan jatuh dari tingkat 3 bangunan SPRM ke gelanggang badminton berhampiran pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur mengejutkan banyak pihak.

Pegawai kanan itu membantu siasatan membabitkan cukai tidak berbayar dan telah dibebaskan dengan ikat jamin dua hari lalu.

Pengarah Penyiasatan SPRM Mustafar Ali berkata, Allahyarham Ahmad Sarbani ditahan pada 1 April lalu di Klang berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, dia kemudiannya dilepaskan pada 2 April lalu pada jam 12.30 petang.

Lelaki itu datang semula ke pejabat SPRM di Jalan Cochrani di Kuala Lumpur untuk bertemu seorang pegawai penyiasat berhubung kesnya hari ini, kata Mustafar lagi.

Pegawai penyiasat telah memintanya menunggu di situ sementara pergi mengambil fail kes tersebut.

Bagaimanapun, apabila balik semula ke situ, dia mendapati pegawai Kastam itu sudah tidak ada.

Mayat Ahmad ditemui terbaring di atas gelanggang badmintion pada jam 10.15 pagi, kata Mustafar.

Siasatan ke atas Allahyarham dijalankan ekoran penahanan sejumlah 62 orang pegawai Kastam dalam satu operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

Operasi berkenaan dijalankan oleh satu tindakan bersama oleh SPRM, JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Seorang lagi dikesan mempunyai lebih RM1 bilion manakala dua lagi yang ditahan mempunyai lebih RM500,000 di dalam akaun masing-masing.

Salah seorang pegawai kastam yang ditahan dalam operasi itu dikesan mempunyai wang berjumlah beberapa juta di dalam akaunnya.

Harakahdaily/-