25 April 2011

2 pelajar UM bebas tuduhan palsu cuti sakit

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 April: Dua mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang digantung satu semester bermula akhir Mac lalu atas dakwaan memalsukan dokumen cuti sakit hari ini bebas daripada pertuduhan tersebut.

Pihak Jawatankuasa Rayuan UM mengeluarkan keputusan rasmi hari ini setelah sebulan keputusan tersebut tergantung.

Selain digantung pengajian selama satu semester, Tan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee, masing-masing penuntut Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera sebelum ini juga dikehendaki membayar denda RM200 kerana didakwa memalsukan dokumen cuti sakit yang dikemukakan bagi tujuan pengecualian menghadiri bengkel persediaan calon yang dilaksanakan pihak Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) pada fasa pilihan raya lepas.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM), Mohd Syahid Mohd Zaini, pihaknya akan berusaha membantu mendapatkan slip peperiksaan bagi kedua-duanya bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan akhir semester seperti biasa.

"Pihak MPMUM akan bertindak segera membantu mereka mendapatkan slip peperiksaan supaya mereka boleh menjalani peperiksaan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Syahid juga berkata, memandangkan Tiong merupakan salah seorang ahli jawatankuasa MPMUM sebelum ini, namanya akan diserapkan kembali ke organisasi MPMUM.

Beliau turut menyatakan rasa gembira dengan keputusan itu dan berkata ianya membuktikan kedua-dua mahasiswa tersebut tidak bersalah.

"Keputusan ini di luar jangkaan kami dan saya amat gembira dengan keputusan ini dan sekali gus membuktikan bahawa mereka tidak bersalah.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua mahasiswa yang memberikan sokongan kepada mereka sehingga kes ini selesai," katanya.

Sebelum ini, Pro Mahasiswa (Pro M) UM mendesak pihak pentadbiran universiti menarik semula hukuman tatatertib ke atas kedua-duanya.

Mereka turut mempertikai prosedur mahkamah universiti yang dilaksanakan terhadap kedua-duanya apabila mereka tidak boleh membawa sesiapa kecuali diwakili pekerja atau pelajar sedangkan mereka mempunyai saksi yang boleh membantu dalam sesi pembelaan.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria

Polis Siasat Empat Nama Yang Disebut RPK

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 APRIL : Empat individu termasuk pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kolonel Azmi Zainal Abidin yang didedahkan Raja Petra Kamarudin dengan akuan bersumpahnya disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung kes jenayah.

Turut disiasat editor Malaysia Today itu kerana akuan bersumpahnya Jun 2008 yang mengaitkan Perdana Menteri dan isterinya dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibu.

Dipetik Berita Harian, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan yang dilakukan pihaknya lebih menjurus kepada empat individu yang didedahkan Raja Petra.

Mereka ialah Kolonel Azmi iaitu bekas pegawai risikan ATM, penulis blog Din Merican, selain Nik Azmi Nik Daud dan John Pang masing-masing dari pejabat veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

“Sebenarnya Raja Petra banyak membantu dengan menyalurkan maklumat kepada polis untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar kepada Pejabat Peguam Negara.

“Sebaik keterangan Raja Petra diambil, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaannya dan pendedahannya (mengenai empat lelaki terbabit),” kata beliau.

Kelmarin, dua pegawai polis dari Bukit Aman menemui Raja Petra di Bangkok untuk mendapatkan kenyataannya.

Bagaimanapun mengikut tulisan Raja Petra dan peguamnya Haris Ibrahim semalam, kenyataan dimaksudkan belum diambil memandangkan beliau tidak mahu bertemu anggota polis di Kedutaan Malaysia di Bangkok.

Pihak polis mahu mengambil kenyataan Raja Petra di Kedutaan Malaysia.

Tv Selangor/-

Laporan Kematian Ahmad Sarbani Diserah Kepada Peguam Negara

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 APRIL : Polis sudah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian pegawai Kastam Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini kepada pejabat Peguam Negara, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Kami sudah berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibuat dan sudah melengkapkannya, kami sudah hantar kepada Pejabat Peguam Negara," katanya.

Menurutnya, walaupun laporan itu ditumpukan kepada siasatan berhubung laporan kematian mengejut, namun polis akan meneruskan lagi siasatan jika diminta.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM itu pada 6 April lalu selepas dilapor ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

BERNAMA.

Pemuda PAS perlu kerap turun padang

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

PULAU PINANG, 25 April: Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah meminta semua anggota dewan itu sesi ini kerap turun padang bagi menceriakan program kemasyarakatan.

Sebelum ini, katanya walaupun terdapatnya program demikian tetapi masih belum kuat terpahat di hati masyarakat tentang peranan Dewan Pemuda itu sendiri.

Katanya, banyak program yang dilaksanakan kurang pendedahan sehingga ada orang belum mengenali kepimpinan apatah lagi ahli jawatankuasa yang diamanahkan mengetuai lajnah.

Kali ini, semua gerak kerja mesti diperhalusi mempunyai strategi dan jauhkan pertelingkahan kecil yang boleh memberi ruang untuk musuh memecah belahkan dalaman parti.

"Sesi depan kita wajar kerap turun padang mendekati masyarakat kerana ia adalah perkara wajib sebagai pemimpin. Dulu bukan tiada tetapi masih kurang memadai," tambahnya ketika berucap pada muktamar dewan itu kali ke-31 yang diadakan di Dewan Kompleks An Nahdhoh, Penanti semalam.

Muktamar bertemakan 'Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan' dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi.

Sebagai anggota Dewan Pemuda, katanya seseorang pemimpin itu kena belajar menghadapi tekanan dengan cekap dan pantas selari dengan kemelut sekarang yang mahukan perubahan yang mendadak untuk bersama mengecapi kemenangan yang mutlak pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Unit Amal dan Pasti jelas berjaya meneroka satu fenomena baru dalam masyarakat sehingga sudah dikenali ramai.

Namun yang kurang menonjol ialah lajnah-lajnah yang boleh menjadi tautan masyarakat yang sudah muak terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Kita akui Pasti dan Unit Amal dah menampakan kejayaan tetapi yang kurang menyerlah ialah lajnah-lajnah. Kali ini lajnah akan diperkemaskan, dijitukan dan diperbaharui sesuai dengan slogan PAS 'Anak Muda Geng Kita'," tegas beliau.

Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri mengekalkan jawatan ketua dan timbalannya, Ustaz Yusni Mat Piah dan Helmi Haron manakala naibnya, Nor Azman Ishak adalah muka baru.

Ketiga-tiganya menang tanpa bertanding.

Ia juga menyaksikan 10 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa sesi 2011 -2013 mereka ialah Reduan Ramli, Hasbul Nizar, Shanaz Asri, Ahmad Taufiq, Zamadi Omar, Afnan Hamimi, Asri Haron, Shafirol Rozali, Fahmi Ahmad dan Faruq.

Kali ini menyaksikan beberapa anugerah disampaikan antaranya, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) diperolehi oleh 'PASTI Intanku' dari Permatang Tok Gelam dari Parlimen Tasek Gelugor,

Jabatan Amal terbaik dimenangi oleh Unit Amal Kepala Batas, Dewan Pemuda PAS Kawasan terbaik juga dimenangi oleh Kepala Batas, Tokoh Terbaik Negeri, Abdullah Saad dan Tokoh Khas diberikan kepada Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Mohd Noor Harun.

Turut hadir dalam muktamar tersebut ialah Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Amir Ghazali, Naib Ketua AMK Negeri, Syed Mikail Rizal Aidid serta wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Pulau Pinang, Siva.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said

Malaysia menuju negara Kleptokratis?

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Mungkin besar peratusannya Negara kita sudah menjengah ke tahap negara kleptokratis sebagaimana ungkapan yang ditulisan oleh Prof Madya Dr Syed Farid Alatas sebagai pengantar buku Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi karya Syed Hussain Alatas.

Istilah kleptokratis dipopularkan oleh Stanislav Andreski (1970) dalam menghurai ciri-ciri negara yang sarat dengan aktiviti dan budaya hidup rasuah serta nepotisme.

Antara yang jelas bagi sesebuah negara kleptokratis adalah sebarang pertolongan dan bantuan diasaskan atas nama wang, ganjaran dan hadiah. Malah sebenarnya negara tersebut bukan menjunjung aspirasi dan tradisi perintah demokrasi, sebaliknya segala sudut dan sendi masyarakat digenggam oleh sekelompok oligarkis baik daripada peringkat kabinet, legeislatif,

pendidikan, hiburan dan sukan. Malah komuniti kampung seumpama JKKK pun mampu dihinggapi oleh wabak oligarki. Ada banyak kampung di negara ini yang tidak membawa cara tadbir demokrasi sebaliknya keputusan dan pekuang ditentukan oleh kelompok oligarki yang bermaharajalela walaupun hanya di peringkat kampung.

Apa maknanya oligarki dalam sesebuah negara? Negara atau masyarakat yang sarat dengan budaya oligarki akan dikuasai oleh segelintir kleptokrat egoistik yang elit, berharta, berpengaruh serta sentiasa mengambil kesempatan atas pihak yang lemah.

Secara umum rasuah di negara ini boleh diketogarikan sebagai rasuah egoistik dan rasuah solidaristik. Rasuah egoistik banyak menjangkiti para pemodal, golongan kaya, produser, ahli korperat yang memperkudakan golongan politik, pemimpin dan perlaksana seumpama jurutera, arkitek mahupun guru dan doktor.

Manakala rasuah solidaristik cukup banyak mengasai para menteri, ahli parlimen amlah sehingga ke peringkat ketua kampung yang membantu sanak saudara melalui pintu belakang atas nama membantu keluarga, membantu bangsa atau lebih jelek melegitimasikan rasuah atas nama bumiputera.

Budaya pentadbiran dan kehidupan di malaysia kini cukup menyuburkan budaya rasuah defensif di mana rakyat, ahli perniagaan, kontraktor mahupun artis terpaksa menyediakan sogokan untuk menerima habuan tender, projek, peluang untuk ke hadapan. Ia berasal dari gejala rasuah pemerasan extortive corruption yang diamalkan oleh para oligarki. Oligarki ini tidak mengenal apa itu demokrasi,

pengagihan kekayaan dan kesaksamaan peluang sesama rakyat. Yang ada di fikiran mereka adalah bagaimana mengaut keuntungan ke atas bakat dan upaya pihak lain dengan menapis (mark up) wang dan ganjaran sebelum meluluskan peluang kepada pihak yang diperas. Kaibatnya golongan berbakat, golongan peniaga dan sebagainya terpaksa menyuburkan budaya rasuah defensi untuk hidup di muka bumi ini. Bukankah ia tetap rasuah?

Rasulullah bersabda; “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah). Di Malaysia masih ramai para Haji dan Hajjah yang ingin mengaut projek tertentu memulai projek dengan merasuah dahulu semata-mata untuk medapat perhatian dato’ dato’ tertentu walauapun projek tersebut melakukan pekerjaan halal seperti projek menyediakan makanan dan sebagainya.

Akhbar Sinaar Harian 18 April 2011 mungkin melakukan kelainan kerana memaparkan satu temubual dengan beberapa artis Malaysia berkenaan rasuah dan sogokan yang berlaku di kalangan artis, produser dan pengarah. Datuk Aziz satar yang berpengalaman luas mengakui gejala rasuah berlaku dalam dunia artis dan hiburan.

Pekaon Abby Abadi pula mengaakui pernah mendengar desas desus adanya artis wanita menjual tubuh untuk mendapat peluang berlakon, menerbit album dan sebagainya. Manakala jawapan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Mat London mungkin mengecewakan kerana beliau menganggap layanan dan siap mesra artis terentu terhadap penerbit dan pengarah bukan bermakna rasuah sebaliknya digelar ‘bijak mencari peluang’.

Yang menjadi perhatian di sini adakah cara pencarian peluang tersebut mengikutia syarak? Tidak mendedah aurat, tidak melayani seperti pasangan sah dan sebagainya. Kerosakan akhlak para artis atas nama mencari peluang atau atas nama ‘mencari rezeki halal’ tidak bermakna dan ia adalah fasad.

Dalam akhbar yang sama Dr Ridhuan Tee mungkin jelas menyelar golongan yang menjadi punca rasuah iaitu golongan perasuah extortive yang menyebabkan beberapa anggota Kastam dan penjawat awam negara ini terpaksa menerima rasuah untuk melakukan perkara menyalahi undang-undang.

Semua penjawat awam sedar implikasi rasuah yang merosakkan negara. Tetapi mengapa masih ada pihak menerima rasuah? Jika diteliti lagi jelas ia menjadi lumra dan kebiasaan akibat rasuah-rasuah mega yang dilakukan oleh para pemimpin masih banyak tidak dibongkar dan diselesaikan.

Firman Allah dalam An Nisa’ ayat 135, Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri,

atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa),

kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

Allah jelas melarang kita membezakan golongan yang patut diberikan penyaksian atau memilih pangkat dan keturunan. Jika rasuah wujud di kalangan rakyat ikan bilis sehinggalah golongan oligarki yang besar umpa jerung tetap perlu disiasat dan diberi penyaksian atas rasuah mereka.

Menurut Ramli Abdul Samad aliran pendapatan negara sepanjang 10 tahun lalu menunjukkan bahawa hampir 34% daripada 1.3 juta pekerja memperolehi kurang RM700 sebulan sedangkan garis kemiskinan adalah RM720 sebulan. Sementara itu negara dengan jumlah penduduk seramai 27 juta orang telah berjaya menghasilkan seramai 22 orang bilioner.

Peruntukan sebanyak RM52 bilion selama beberapa Pelan Rancangan Malaysia sebelum ini untuk ekuiti orang Melayu telah hangus atas angin dan menjadikan orang Melayu masih memegang lebih kurang 2-3% ekuiti. Jika tidak impian kerajaan melihat ekuiti orang Melayu sebanyak 30% sudah tercapai. Ketirisan wang sebanyak RM28 bilion berlaku setiap tahun.

Lebih sedih ada yang beralasan, biarkan ketirisan wang berlaku bukankah yang mendapat habuan adalah golongan rakyat negara ini yang bakal membayar cukai kepada kerajaan dan negara? Bukankah faedahya akan kembali kepada rakyat?

Persoalannya tujuan wang dilabur dan disalurkan melalui projek-projek tertentu adalah untuk merealisasikan matlamat dan mencapat KPI tinggi keberhasilannya dan bukan sekadar indah di kertas kerja sahaja. Jika alasan faedah cukai kembali ke negara digunakan tidak pelrulah projek-projek indah dilaksanakan atas nama kebajikan kepada rakyat.

Salurkan terus kepada si oligarki penagih wang tertentu. Lagipun, wang yang tiris ke tangan penagih rasuah selalunya disimpan ke bank luar negara yang menyebabkan kurangkan faedah kembali ke dalam negara.

Tidak hairan jika Prof Datuk Hassan Ahmad pernah berkata dalam makalah tetapnya dalam Dewan Masyarakat, orang Malaysia yang sebenarnya miskin dan papa bukannya rakyat bawahan yang cukup makan dan pakai.

Sebaliknya golongan jutawaan yang papa kedana kerana seringkali menagih perhatian pemimpin tertentu untuk hidup dan mendapat kemewahan hidup. Inilah golongan miskin sebenar negara kita.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011

Roboh Pasti: Umno jangan berlagak samseng

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

BUKIT KATIL, 25 April: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) mengingatkan Umno supaya tidak berlagak macam 'samseng' meroboh dan merampas bangunan Pasti atas apa juga kelulusan.

"Kita ingatkan Umno supaya jangan bertindak macam hero atau samseng boleh buat apa yang mereka suka di atas dunia ini. Mereka bermaharajalela ingin merobohkan institusi pendidikan yang terbukti berjasa ini.

"Jangan kita buat sesuka hati bangunan Pasti ini bukannya dibina dengan duit judi, duit rasuah atau duit penipuan, ia dibina dengan air mata oleh masyarakat marhain, dhuafak, orang miskin dan sebagainya," katanya yang merujuk kepada bangunan Pasti Bukit Katil yang akan dirobohkan.

Beliau berkata demikian pada ceramah di perkarangan Pasti Jaya Insan,Bukit Katil malam tadi.

"Jangan kamu ingat kamu berkuasa boleh buat sahaja, kami akan terus menentang kezaliman.

"Kalau kamu ada duit, tenaga dan sumber untuk menekan rakyat, ingatlah kami ada Allah sebagai tempat kami mengadu," ujarnya dengan tegas.

Beliau juga menjelaskan PAS konsisten bahawa video fitnah untuk menjatuhkan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat dikeluarkan semata-mata atas tujuan politik.

"Mungkin video ini dikeluarkan atas nasihat APCO yang dibayar oleh kerajaan Malaysia bagi mengalihkan tumpuan rakyat dari isu-isu besar seperti kenaikan harga barang dan kejayaan PR pada pilihan raya Sarawak," jelasnya.

Beliau juga mengharapkan penyokong dan petugas PAS supaya meneruskan gerak kerja pilihan raya bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang menurutkan paling lewat akan diadakan pada November 2013.

Turut sama berceramah pada program tersebut ialah Pengarah Komunikasi PKR Melaka, Khairi Ismail dan Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.

Harakahdaily/-
Oleh : Ahmad Danial

Presiden Yaman setuju serah kuasa

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

PENUNJUK perasaan Yaman melekatkan mesej 'undur, ini peluang terakhir' pada kain lilit di kepalanya ketika protes di bandar Taiz, Jumaat lalu.

Ali Abdullah letak jawatan dalam tempoh 30 hari

SANAA: Presiden Yaman bersetuju dengan cadangan pengantara untuk meletak jawatan dalam masa 30 hari dan menyerah kuasa kepada timbalan beliau sebagai pertukaran daripada kekebalan daripada didakwa, perubahan pendirian mengejutkan selepas 32 tahun memerintah.

Tujuh parti pembangkang, berkata semalam bahawa mereka juga bersetuju dengan perjanjian itu tetapi dengan syarat.

Walaupun berbeza pendapat, parti terbabit enggan bercakap kepada beratus ribu penunjuk perasaan yang mahukan Presiden Ali Abdullah Saleh disingkirkan dan ada tanda-tanda bahawa persetujuan beliau tidak bermakna konfrontasi jalanan akan berakhir.

Sehari sebelumnya, penunjuk perasaan melakukan dua demonstrasi terbesar selama dua bulan, memenuhi dataran di ibu negara itu yang dipenuhi dengan beratus ribu manusia.

Dari sehari ke sehari, penunjuk perasaan berkurangan atas sebab tertentu termasuk serangan penembak curi dan pembunuhan lebih 130 orang.

Kebangkitan rakyat dan sekutu termasuk komander tentera tertinggi, menyebabkan Ali Abdullah hampir hilang kuasa dan ia akan menjadi faktor mendesak beliau berkompromi selepas sebelum ini enggan berundur sebelum tamat penggal pentadbiran pada 2013.

Selama beberapa dekad, bekas pegawai tentera itu berhadapan dengan pelbagai cabaran, berurusan dengan baik di kalangan yang berkuasa dalam politik negara itu dan menggunakan pasukan keselamatan untuk menjatuhkan penentangnya.

Unit paling aktif al-Qaeda turut menyerang tentera Yaman di utara negara itu dan melakukan pergerakan di bahagian selatan.

Pada waktu yang sama negara itu berhadapan masalah kekurangan air dan minyak serta disifatkan sebagai paling miskin di dunia Arab.

Amerika Syarikat menyaksikan kebangkitan itu dengan penuh kebimbangan kerana Ali Abdullah adalah sekutu dalam kempen memerangi al-Qaeda di Semenanjung Arab dan melakukan beberapa cubaan dalam menentang Amerika Syarikat dan sasaran lain di luar negara.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Mark Toner, berkata bahawa Washington menyambut baik cadangan untuk mengakhiri krisis dan menggesa diadakan dialog segera membabitkan kedua pihak memindahkan kuasa.

“Kami tidak buat spekulasi mengenai pilihan penduduk Yaman atau keputusan dialog politik mereka.

“Terpulang kepada rakyat Yaman bagi memutuskan bagaimana negara mereka perlu diperintah,” katanya.

Satu kenyataan Rumah Putih menggesa semua pihak di Yaman melaksanakan perjanjian mengenai penyerahan kuasa. – AP

Presiden Yemen Undur, 30 Hari Kuat Kuasa Pelan Peralihan

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SANAA 24 APRIL : Presiden Yemen Ali Abdullah Saleh bersetuju untuk meletakkan jawatan di bawah pelan peralihan kuasa 30 hari, sekali gus menamatkan rusuhan terhadap 32 tahun pemerintahannya.

Pegawai-pegawai di Sanaa, ibu negara Yemen mengesahkan kerajaan telah menerima rancangan yang dirangka oleh negara-negara Teluk.

Ali Abdullah akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada naibnya dalam tempoh sebulan selepas perjanjian ditandatangani dengan pembangkang bagi mendapatkan kekebalan daripada pendakwaan.

Sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh sepanjang protes.

Jika Ali Abdullah meletakkan jawatan sebagaimana diharapkan, beliau menjadi pemimpin Arab ketiga berbuat demikian, selepas Zine al-Abidine dari Tunisia dan Hosni Mubarak sejak awal tahun ini.

Tv Selangor/-


NATO Bom Pejabat Gaddafi

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Pejabat pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, di Tripoli musnah dalam serangan udara NATO awal pagi Isnin.

Seorang pegawai Libya yang membawa wartawan melihat tempat kejadian itu berkata, 45 orang cedera dengan 15 parah dalam serangan itu.

Katanya, beliau tidak tahu sama ada terdapat mangsa terperangkap di bawah runtuhan banguan itu. “Ia adalah cubaan membunuh Kolonel Gaddafi,” katanya.

Bilik mesyuarat Gaddafi yang menghadap bangunan itu rosak teruk akibat letupan bom itu.

Pesawat NATO sejak Jumaat lalu mensasarkan Bab Al-Aziziya, kawasan yang menempatkan pejabat presiden. -AFP

Momentum Sarawak, PRU13 BN bakal diranapkan

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

PARTI-parti gabungan dalam Pakatan Rakyat tidak seharusnya berasa terlalu hampa dengan keputusan Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak 16 April lepas.

Diakui memang sukar untuk Pakatan Rakyat memerintah Sarawak pada waktu ini. Ada banyak faktor yang harus dibuat post-mortem, antaranya, persediaan yang tidak maksimum, kekuatan jentera, kedudukan muka bumi yang luas dan jauh di pedalaman, mentaliti rakyat Sarawak, serta suasana kempen yang lebih memihak kepada Barisan Nasional.

Namun, jika diukur dengan kekuatan Pakatan Rakyat berbanding BN, penurunan undi popular BN daripada 63 peratus pada PRN tahun 2006 kepada 55 peratus tahun 2011, menunjukkan graf sokongan rakyat terhadap BN semakin menjunam.

Pilihan raya tersebut sebenarnya merupakan suatu lonjakan yang besar kepada Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya pada PRU ke-13 nanti.

Pada PRU-12 2008, Pakatan Rakyat menerusi DAP hanya menang satu kerusi Parlimen Bandar Kuching. Manakala pada PRK Sibu pada 16 Mei 2010, DAP berjaya merampas kerusi tersebut daripada BN.

Sabah dan Sarawak merupakan kerusi 'stock-pile' BN. Daripada 222 kerusi Parlimen keseluruhan, Sabah mewakili 25 kerusi, manakala Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen. Kedua-dua negeri ini mempunyai 56 kerusi Parlimen.

Daripada 56 kerusi tersebut, hanya 3 diwakili Pakatan Rakyat, iaitu Bandar Kuching dan Sibu(Sarawak) serta Kota Kinabalu (Sabah).

Komposisi kekuatan Pakatan Rakyat berbanding BN di Semenanjung hampir seimbang. Daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, Pakatan Rakyat mempunyai 79 kerusi berbanding 87 kerusi BN.

Daripada pecahan undi popular BN secara keseluruhan yang dicatat pada PRU ke-12, bagi 222, kerusi Parlimen BN memperolehi 51.4 peratus undi popular berbanding Pakatan Rakyat dan bebas memperolehi 49.6 peratus.

Manakala bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, keseluruhan BN mendapat undi popular sedikit menyusut iaitu sebanyak 51.3 peratus. Maknanya asas kekuatan Pakatan Rakyat berbanding BN pada PRU ke-12 adalah seimbang.

Dalam apa keadaan pun, ketika itu (2008) peluang untuk menguasai Putrajaya pada asasnya adalah 50:50. BN tiada kelebihan yang mutlak.

Sokongan kepada BN semakin menurun

Senario ini sebenarnya sudah banyak berubah. Walaupun kuasa pemerintahan Kerajaan Pusat bertukar Perdana Menteri pada 2009, namun sehingga kini (selepas dua tahun), keadaan masih tidak memihak kepada BN. Dengan erti kata yang jelas, keadaan untuk BN tidak berubah, malah sokongan rakyat semakin menurun.

Semua fakta ini diperkukuhkan dengan kemenangan 15 kerusi Dun di Sarawak dan 45 peratus undi popular keseluruhan kepada Pakatan Rakyat.

Data ini, jelas menunjukkan hampir separuh kerusi Parlimen di Sarawak yang dikuasai BN (29 kerusi) akan terancam. Ia menunjukkan dengan jelas, para PRU ke-13 nanti, Pakatan Rakyat hampir pasti memenangi 10 hingga 13 kerusi Parlimen.

Harus diingat bahawa pola pemikiran yang membentuk trend pengundian bagi Sarawak dan Sabah adalah sama. Jika 45 peratus rakyat Sarawak mengundi Pakatan Rakyat, tidakkah mungkin peratusan yang hampir sama boleh dihasilkan di Sabah? Memang ada tendency kecenderungan pengundi Sabah ke arah yang sama dengan Sarawak.

Pakatan Rakyat hanya memerlukan 30 kerusi lagi untuk melangkah ke Putrajaya, jika pola pemikiran dan kecenderungan pengundi Sabah sama dengan Sarawak, ada kemungkinan Pakatan Rakyat boleh menang separuh daripada 56 kerusi.

Pada pandangan penulis, setakat ini, jika unjuran data-data ini diambil kira dan pola kecenderungan pengundi Sabah serta Sarawak konsisten hingga PRU ke-13, Pakatan Rakyat boleh menang sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen di sana.

Bagaimanapun ianya masih belum mencukupkan bilangan kerusi Pakatan Rakyat. Untuk mendapat simple majority, Pakatan Rakyat harus memenangi 112 kerusi. Maknanya, Pakatan Rakyat masih perlu memenangi 10 hingga 15 kerusi tambahan di Semenanjung.

Justeru, ditimbulkan persoalan, dari mana dan bagaimana kerusi-kerusi ini boleh diperolehi? Bagaimana jika diandaikan 79 kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat (di Semenanjung) berada dalam keadaan stagnant atau mungkin dimenangi oleh BN.

Faktor kekuatan BN tidak berasas

Harus dilihat, apakah barangkali faktor-faktor yang boleh mendorong kerusi-kerusi Pakatan Rakyat dimenangi oleh BN?

Ada analisis mengatakan bahawa wujud kecenderungan pengundi Melayu dan India, trend mereka kembali kepada BN. Ini diunjurkan daripada beberapa pilihan raya kecil seperti di Manek Urai dan Galas (Kelantan), Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Hulu Selangor (Selangor), Tenang (Johor) dan Kerdau (Pahang).

Persoalan yang dibangkitkan di sini adalah, pertama; Berapa peratuskah undi kaum Melayu dan India, kembali kepada BN? Dan kedua; apakah kenaikan undi BN tersebut, menyebabkan undi Pakatan Rakyat menyusut?

Malangnya kenaikan beberapa peratus undi terhadap BN pada PRK-PRK tersebut gagal menyebabkan undi Pakatan Rakyat merosot. Di sebalik tekanan hebat BN, termasuk sebaran fitnah media talibarut dan rasuah kepada pengundi semasa kempen pilihan raya, Pakatan Rakyat berjaya menokok undi. Yang hairannya di sini ialah bagaimana undi kepada calon BN boleh meningkat dengan mendadak?

Menganalisis faktor ini, penulis mengunjurkan pola atau trend pengundian sejak tahun 1990, di mana, didapati bahawa kecenderungan pengundi memilih parti pembangkang semakin meningkat berbanding parti pemerintah.

PRU 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 menunjukkan trend yang hampir sama, iaitu mereka yang sudah mengundi PAS dan parti pembangkang yang lain, akan tetap tidak akan memberikan undi kepada BN atas apa faktor sekalipun.

Faktor sementara (temporary) yang dibentuk oleh isu yang cuba digasak untuk mengubah pola pemikiran pengundi hanya boleh mempengaruhi pengundi atas pagar sahaja. Hanya pengundi yang tiada ideologi sahaja boleh cenderung mengundi BN, manakala pengundi yang sudah komited dengan idealisme pembangkang, akan tetap mengundi apa sahaja parti pembangkang.

Hanya tiga faktor yang boleh menyebabkan undi BN bertambah, iaitu dari golongan atas pagar,
pengundi yang tidak mengundi tetapi keluar pada hari pengundian PRK dan pengundi dua kali (double entry) seperti yang dikesan berlaku di Terengganu dan beberapa tempat yang lain.

Faktor kedua dan ketiga boleh dipertikaikan kesahihannya kerana ia barangkali dicetuskan oleh fenomena sementara, yang boleh berlaku dalam bentuk penipuan seperti pemalsuan kad pengenalan dan sebagainya.

Bagi faktor pertama, jika BN hendak menyandarkan kononnya kesedaran Melayu dan India yang dikatakan kembali menyokong BN, daripada kajian penyelidikan badan bebas, hanya sekitar 3 hingga 5 peratus sahaja yang kembali menyokong BN (berdasarkan keputusan beberapa PRK).

Apakah peratusan ini boleh kekal pada PRU ke-13 atau apakah mungkin ia boleh dijadikan asas untuk BN menambah kerusi di Semenanjung?

Sudah tentu peralihan 3 hingga 5 peratus ini terlalu kecil untuk mengubah nasib BN ke arah yang lebih baik.
Lagi pun umum mengetahui bahawa kaum Melayu dan India antara yang mudah dimanipulasi BN.

Manipulasi wujud dengan membiarkan faktor kemiskinan membelenggu mereka. Kemiskinan dan kesusahan untuk mencari makan, boleh dijadikan sebagai umpan setiap kali pilihan raya. Oleh dengan sebab itu tidak hairan jika mereka yang sepanjang tahun hidup dalam kesempitan, akan memberikan undi kepada BN hanya dengan upah RM200 atau RM300 dalam tempoh pilihan raya yang singkat.

Teori dan faktor 'bread and butter' inilah yang menjadi kunci kejayaan BN sekian lama.

Namun faktor ini tidak mampu mempengaruhi semua pengundi atau semua kaum dalam semua keadaan. Ianya terhad kepada kaum tertentu dalam keadaan yang tertentu sahaja. Secara keseluruhannya, anjakan kecil yang diperolehi BN pada beberapa PRK yang lepas, tidak mampu menyambung talian hayat mereka untuk PRU ke-13 nanti.

Kecenderungan pengundi Cina

Satu faktor besar yang bakal mencorakkan perubahan kepimpinan negara adalah faktor pengundi Cina. Jika dilihat kepada PRN Sarawak, calon-calon Pakatan Rakyat yang menang di kawasan Cina, majoritinya sangat besar.

Data-data ini juga boleh dilihat berdasarkan kemenangan calon Pakatan Rakyat di kawasan-kawasan bandar di Semenanjung misalnya, mencecah angka puluhan ribu majoriti.

Faktor inilah yang bakal membantu Pakatan Rakyat, iaitu faktor pengundi Cina. Hasil daripada PRU 2008 dan PRN Sarawak 2011, data-data menunjukkan bahawa kaum Cina sangat konsisten menolak BN. Penolakan tersebut bukannya sedikit, ianya penolakan yang mutlak berasaskan perolehan majoriti besar calon Pakatan Rakyat dalam kawasan majoriti Cina.

Berdasarkan keadaan ini, daripada 87 kerusi yang dimenangi BN di Semenanjung, terdapat lebih daripada separuh kawasan Parlimen berkenaan, mempunyai terdapat 30 hingga 40 peratus pengundi Cina.

Ini yang merunsingkan BN sebenarnya. Kenaikan kecil 3 hingga 5 peratus pengundi Melayu dan India kepada BN, akan gagal menampung penolakan pengundi Cina terhadap BN. Pengundi Cina pada waktu ini (sejak 2008) tidak pernah balik kepada BN, malah ia semakin bertambah ke arah Pakatan Rakyat.

Maka, jika trend pengundi Cina kekal kepada Pakatan Rakyat dan menokok beberapa peratus pada PRU ke-13 di Semenanjung, apakah sasaran 15 kerusi tambahan untuk ke Putrajaya, seperti yang diunjurkan tidak boleh menjadi kenyataan? Sudah tentu boleh dan sudah tentu unjuran ini relevan.

Impak besar yang ditunjukkan pada 'kemenangan membanggakan BN' di Sarawak dengan mendapat lebih dua pertiga majoriti adalah kuasa politik dalam BN sudah tidak lagi seimbang.

PRN Sarawak menunjukkan bukan sahaja SUPP, malah parti-parti Cina seperti MCA, Gerakan dan Parti Cinta Malaysia, sudah tiada masa depan dalam BN (sudah tidak ada future).

Kata apek-apek di pasar Satok, parti SUPP, MCA, Gerakan dan lain-lain 'sudah boleh bungkus' macam Pek Mo (Tan Sri Taib Mahmud), 'sudah tak laku'.

Trend pengundi Cina ini cuba dijelekkan pemimpin Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mendakwa kaum Cina mengundi BN kerana faktor rasis.

Mereka cuba memesongkan hakikat bahawa kaum Cina sudah tidak lagi boleh menerima BN dengan memutarbelitkan fenomena ini kepada permusuhan kaum yang semakin menajam.

Mereka buat-buat lupa, kaum Cina yang mengundi calon BN dahulu adalah juga dari parti yang mewakili kouta Cina seperti SUPP, MCA dan Gerakan.

Apakah semasa pengundi Cina mengundi calon BN dari parti Cina SUPP, MCA dan Gerakan sebelum ini, mereka juga bersikap rasis? Menolak BN dan memilih DAP (Pakatan Rakyat) bukannya rasis. Ianya adalah suatu trend konsisten dan anjakan minda kaum Cina yang semakin muak dengan temberang pemimpin Umno-BN.

Hakikat yang harus diakui oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak adalah BN tidak lagi boleh menjadi parti pemerintah di masa hadapan kerana kuasa politik kaum sudah tidak lagi seimbang.

Dalam hal ini tiada pertikaian mengenai kuasa orang Melayu. Orang Melayu masih lagi menjadi peneraju utama. Tetapi sesebuah kerajaan seperti BN, dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, tidak lagi boleh memerintah dengan baik, tanpa sokongan semua kaum.

Nasihat penulis kepada SUPP, MCA dan Gerakan tidak perlu 'bising' untuk menjuarai perjuangan kaum Cina, mereka harus bersedia untuk dibubarkan kerana, mereka sudah kehilangan ground support.

Terimalah hakikat bahawa masa depan kaum Cina, malah semua kaum di Malaysia adalah bersama Pakatan Rakyat. Hakikat ini tidak ditentukan oleh andaian penulis, ianya adalah kehendak rakyat dan pola kecenderungan rakyat yang dianalisis daripada data-data pilihan raya.

Justeru, pada PRU ke-13 nanti, BN akan diranapkan dan masa depan rakyat Malaysia, adalah bersama Pakatan Rakyat, insya-Allah.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Rashidi Hassan

Peguam : Perlakuan Saiful Bukan Seperti Mangsa Liwat

25 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 APRIL : Peguam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa mahkamah untuk berlaku adil dan saksama dalam menghakimi kes fitnah membabitkan anak guamnya.

Seraya mengingatkan mahkamah agar bergantung kepada hujah dan bukti yang telah dikemukakan di mahkamah.

"Bukan media atau apa yang dikatakan oleh perdana menteri," kata Karpal ketika memulakan penghujahan beliau pagi tadi.

Malah Karpal sekali lagi mengingatkan mahkamah supaya memastikan kredibiliti setiap saksi pendakwa.

Bahkan ujarnya, pihak pendakwaan juga mestilah membuktikan setiap bukti yang ada.

"Tidak sepatutnya ada sebarang jurang bahan. Ujian di akhir kes pendakwaan ialah prima facie.

"Ia mestilah membuktikan setiap bukti boleh dipercayai, unsur-unsur kesalahan ditentukan dan mahkamah mesti memberi penilaian maksimum terhadap semua itu," tambahnya.

Terdahulu Karpal dalam hujahnya berkata, pada hari kejadian bertempat di unit kondominium Desa Damansara, pengadu yang juga bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan berpeluang untuk meninggalkan lokasi sebelum Anwar dituduh memaksa beliau melakukan seks luar tabii tanpa rela.

Namun kata Karpal, Saiful mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian.

Kata Karpal pengadu sebaliknya hanya menuruti permintaan Anwar walaupun beliau mengakui dipaksa tertuduh.

Malah katanya, Saiful bukanlah seorang yang 'tidak berpelajaran' kerana mempunyai kelulusan pengajian tinggi dari Kolej Taylor.

Karpal kemudian turut menyentuh secara terperinci apa yang berlaku pada hari kejadian berdasarkan testimoni Saiful.

Selepas membangkitkan tentang beberapa adegan seks seperti yang didakwa Saiful, Karpal kemudiannya mendakwa, Saiful tidak memperlihatkan tanda-tanda emosi seperti menjadi mangsa liwat.

Ini kerana selepas perlakuan seks tersebut, Saiful berkata, beliau makan karipap dan berada di dalam bilik berkenaan selama 20 minit.

Menurut Karpal lagi, sehari selepas kejadian tersebut (27 Jun 2008), Saiful pergi ke ibupejabat PKR di Tropicana, malah juga pergi ke rumah Anwar.

Peguam itu mendakwa, tindakan itu bukan tingkah laku oleh seseorang yang didakwa telah diperlakukan sedemikian.

Karpal juga berkata, Saiful turut menemui bekas pembantu Anwar, Ezam Mohd Nor pada hari yang sama beliau membuat laporan polis di mana tindakannya itu mengundang pelbagai spekulasi.

Malah Saiful juga didakwa ada berjumpa dengan Perdana Menteri dan isteri, Rosmah Mansor.

Tv Selangor/-

Beri Kebebasan Sepenuhnya Bukan di Bibir Sahaja

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 25 April: PAS mahu kerajaan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada penulis blog Pakatan Rakyat untuk menulis mengenai sesuatu isu berdasarkan fakta.

Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim berkata, PAS yakin penulis blog Pakatan Rakyat sentiasa menulis berdasarkan fakta, bukan menabur fitnah seperti yang dilakukan penulis blog pro Umno BN.

"Sekiranya kebebasan diberikan sepenuhnya kepada kami para blogger, blogger pro Pakatan sentiasa mengeluarkan kenyataan dengan fakta, bukannya mengfitnah seperti yang dikatakan (Datuk Seri) Najib (Razak)," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan tidak pernah takut dengan kehadiran penulis blog, malah sebaliknya ingin menjadi sebahagian daripada mereka serta mengetahui pandangan mereka, termasuk yang bersifat membina.

Najib berkata demikian dalam ucaptama beliau pada Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama di ibu negara, semalam.

Khalil yang juga ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak mengalukan-alukan kenyataan itu namun hairan dengan beberapa tindakan yang pernah dikenakan kepada blog-blog Pakatan Rakyat yang mengkritik kerajaan namun tidak pula mengenakan tindakan kepada penulis blog Umno BN yang hebat menabur fitnah kepada Pakatan Rakyat.

"Saya mengalu-alukan kenyataan pihak kerajaan yang tidak pernah takut dengan kehadiran penulis blog namun saya begitu saya hairan dengan tindakan yang pernah dikenakan kepada kes beberapa orang penulis blog  pro Pakatan sedangkan dalam kes blogger pro Umno masih bebas mengfitnah pimpinan (Pakatan) tanpa tindakan yang sewajarnya dari pihak berwajib," katanya.

Beliau juga menyifatkan kenyataan itu sebagai "manis di mulut" namun realitinya kerajaan menggunakan pelbagai agensi penguatkuasa untuk menakutkan dan bertindak kepada blog pro Pakatan.

"Saya lihat kenyataan Najib itu  sebagai manis dimulut namun penuh dendam kesumat dan yang akan kena nanti adalah blog pro Pakatan.

"Ini ialah kenyataan yang cuba melunakkan blog yang tidak mesra BN," katanya.

Namun tegasnya, tindakan menakut-nakutkan penulis blog Pakatan Rakyat tidak melemahkan semangat mereka untuk terus menyebarkan maklumat yang benar.

"Namun saya lihat ianya tidak akan menghentikan tindakan kami untuk bersama rakyat Malaysia yang dahagakan maklumat yang sebenar," katanya.

Mac lalu, seorang seorang blogger pro-Pakatan Rakyat, yang dikenali sebagai Hanief ditahan polis dan komputer ribanya dirampas.

Tangkapan itu turut disertai pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Hanief terkenal di kalangan penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat marhaen berikutan sentuhan krevitivitinya dalam mengupas isu politik tanah air melalui youtube.

H/daily

476 Banduan Penjara Afghanistan Loloskan Diri

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

[penjara]


KABUL: Sejumlah 476 banduan meloloskan diri dari penjara Kandahar, Afghanistan menerusi laluan terowong, kata Pengarah Penjara, Jeneral Ghulam Dastageer Mayar, hari ini. 

“Sebuah terowong sepanjang ratusan meter digali dari selatan penjara menuju ke arah penjara. Seramai 476 tahanan politik melarikan diri malam tadi,” katanya. 

AFP

Gempa 6.2 Gegar Pulau Sulawesi

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


SINGAPURA: Gempa bumi bermagnitud 6.2 melanda pulau Sulawesi di Indonesia hari ini, menurut agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS). 


Menurut USGS, gempa bumi itu berlaku pada 2307 GMT (7.07 pagi waktu Malaysia) 108 kilometer ke timur of Baubau pada kedalaman 10 kilometer. - Reuters

40,000 liter diesel subsidi nelayan ditemui di Bukit Puchong

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya mengesan 40,000 liter diesel dipercayai daripada penyelewengan subsidi Persatuan Nelayan Teluk Intan di Kawasan Perindustrian Bandar Bukit Puchong dekat sini awal pagi ini.

Dalam operasi kira-kira 2 pagi itu, KPDNKK turut menahan tiga lelaki termasuk penjaga setor di kawasan itu untuk siasatan, kata Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya Mohd Roslan Mahayudin hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, pasukan itu mengekori sebuah treler dari Teluk Intan, Perak dan memberkas pemandu dan kelindannya ketika sedang mengepam masuk kira-kira 25,000 liter diesel dari sebuah tangki dalam treler ke dalam sebuah tangki di kawasan perindustrian itu.

Hasil pemeriksaan lanjut, katanya pasukan itu turut menemui 15,000 liter diesel lagi di dalam sebuah tangki di kawasan perindustrian berkenaan.

"Kami menerima aduan daripada orang awam minggu lalu dan kemudian mengekori treler kargo ini untuk menahan pemandu dan kelindannya," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Roslan berkata, pasukan itu mendapat aduan awam minggu lalu bahawa Persatuan Nelayan Teluk Intan menyeleweng minyak diesel subsidi apabila membekalkannya kepada pihak industri di kawasan Puchong.

"Diesel subsidi yang diberikan kerajaan untuk kegunaan mereka telah disalahgunakan...ini perbuatan yang serius.

"Kita dapati hal ini kerap berlaku khususnya di kawasan-kawasan nelayan.

Saya meminta kerjasama orang ramai untuk membuat aduan demi membanteras perbuatan ini," katanya.

Ketiga-tiga lelaki itu, yang berumur dalam lingkungan 40-an, akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sinar Harian/-