25 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR 25 APRIL : Peguam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa mahkamah untuk berlaku adil dan saksama dalam menghakimi kes fitnah membabitkan anak guamnya.
Seraya mengingatkan mahkamah agar bergantung kepada hujah dan bukti yang telah dikemukakan di mahkamah.
"Bukan media atau apa yang dikatakan oleh perdana menteri," kata Karpal ketika memulakan penghujahan beliau pagi tadi.
Malah Karpal sekali lagi mengingatkan mahkamah supaya memastikan kredibiliti setiap saksi pendakwa.
Bahkan ujarnya, pihak pendakwaan juga mestilah membuktikan setiap bukti yang ada.
"Tidak sepatutnya ada sebarang jurang bahan. Ujian di akhir kes pendakwaan ialah prima facie.
"Ia mestilah membuktikan setiap bukti boleh dipercayai, unsur-unsur kesalahan ditentukan dan mahkamah mesti memberi penilaian maksimum terhadap semua itu," tambahnya.
Terdahulu Karpal dalam hujahnya berkata, pada hari kejadian bertempat di unit kondominium Desa Damansara, pengadu yang juga bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan berpeluang untuk meninggalkan lokasi sebelum Anwar dituduh memaksa beliau melakukan seks luar tabii tanpa rela.
Namun kata Karpal, Saiful mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian.
Kata Karpal pengadu sebaliknya hanya menuruti permintaan Anwar walaupun beliau mengakui dipaksa tertuduh.
Malah katanya, Saiful bukanlah seorang yang 'tidak berpelajaran' kerana mempunyai kelulusan pengajian tinggi dari Kolej Taylor.
Karpal kemudian turut menyentuh secara terperinci apa yang berlaku pada hari kejadian berdasarkan testimoni Saiful.
Selepas membangkitkan tentang beberapa adegan seks seperti yang didakwa Saiful, Karpal kemudiannya mendakwa, Saiful tidak memperlihatkan tanda-tanda emosi seperti menjadi mangsa liwat.
Ini kerana selepas perlakuan seks tersebut, Saiful berkata, beliau makan karipap dan berada di dalam bilik berkenaan selama 20 minit.
Menurut Karpal lagi, sehari selepas kejadian tersebut (27 Jun 2008), Saiful pergi ke ibupejabat PKR di Tropicana, malah juga pergi ke rumah Anwar.
Peguam itu mendakwa, tindakan itu bukan tingkah laku oleh seseorang yang didakwa telah diperlakukan sedemikian.
Karpal juga berkata, Saiful turut menemui bekas pembantu Anwar, Ezam Mohd Nor pada hari yang sama beliau membuat laporan polis di mana tindakannya itu mengundang pelbagai spekulasi.
Malah Saiful juga didakwa ada berjumpa dengan Perdana Menteri dan isteri, Rosmah Mansor.
Tv Selangor/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan