Jamadilawal 1432H. [MOD] -
HULU TERENGGANU: Ada pihak tidak bertanggungjawab sanggup memotong beduk berusia 105 tahun di Masjid Kampung Dusun di sini, selepas terpengaruh dengan dakwaan kononnya ia boleh dijadikan pelaris dalam perniagaan.
Kejadian itu disedari imam masjid berkenaan, Abdullah Othman, 73, apabila melihat beduk di masjid itu berlubang selepas solat Asar minggu lalu dan dipercayai dicuri seorang lelaki warga Thailand ketika datang bersolat di masjid itu.
Beliau mendakwa, sebelum beduk itu berlubang, ada seorang peniaga dari Thailand datang bersolat pada waktu Zuhur dan percaya lelaki terbabit menggunakan pisau untuk mengambil sedikit belulang lembu yang dijadikan penutup beduk berkenaan.
“Saya kesal dengan tindakan peniaga terbabit merosakkan beduk lama itu dan menyebabkan ia tidak boleh digunakan sehingga sekarang,” katanya.
Abdullah yang menjadi imam di masjid itu sejak 1959 berkata, belum pernah sesiapa berani memotong kulit lembu yang menjadi penutup beduk untuk dipalu apabila masuk waktu solat.
Katanya, selepas tersebar perbuatan tidak bertanggungjawab itu, ada beberapa individu dari bandar Kuala Terengganu datang meminta sedikit kulit lembu itu untuk dijadikan pelaris dalam perniagaan.
“Saya memberi kebenaran kepada mereka untuk memotongnya dibawa pulang namun tidak menyangka perkara itu menjadi semakin besar sekarang,” katanya.
Difahamkan, kegiatan mencuri kulit beduk masjid lama di Terengganu pernah berlaku sebelum ini dan dipercayai untuk kegunaan ilmu hitam.
Hanya beberapa masjid lama saja masih menggunakan beduk terutama di kawasan pedalaman daerah ini manakala masjid baru tidak lagi memilikinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan