25 April 2011

Tiga ditahan Kes Seleweng Diesel

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -




KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya mengesan 43,000 liter diesel dipercayai daripada penyelewengan subsidi Persatuan Nelayan Teluk Intan di Kawasan Perindustrian Bandar Bukit Puchong dekat sini semalam.

Dalam operasi pukul 2 pagi itu, KPDNKK turut menahan tiga lelaki termasuk penjaga setor di kawasan itu untuk siasatan, kata Ketua Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya, Mohd. Roslan Mahayudin.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, pasukan itu mengekori sebuah treler dari Teluk Intan, Perak dan memberkas pemandu dan kelindannya ketika mereka sedang mengepam masuk kira-kira 25,000 liter diesel dari sebuah tangki treler ke dalam sebuah tangki di kawasan perindustrian itu.

Katanya, pasukan itu turut menemui 18,000 liter diesel seleweng di situ.

"Kami menerima aduan daripada orang awam minggu lalu. Dengan mengekori treler kargo ini, kami dapat menahan pemandu dan kelindannya," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd. Roslan berkata, pasukan itu mendapat aduan awam minggu lepas bahawa Persatuan Nelayan Teluk Intan menyeleweng minyak diesel subsidi apabila membekalkannya kepada pihak industri di kawasan Puchong.

Ketiga-tiga lelaki itu yang berumur dalam lingkungan 40-an akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Tiada ulasan: