25 April 2011

40,000 liter diesel subsidi nelayan ditemui di Bukit Puchong

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya mengesan 40,000 liter diesel dipercayai daripada penyelewengan subsidi Persatuan Nelayan Teluk Intan di Kawasan Perindustrian Bandar Bukit Puchong dekat sini awal pagi ini.

Dalam operasi kira-kira 2 pagi itu, KPDNKK turut menahan tiga lelaki termasuk penjaga setor di kawasan itu untuk siasatan, kata Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya Mohd Roslan Mahayudin hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, pasukan itu mengekori sebuah treler dari Teluk Intan, Perak dan memberkas pemandu dan kelindannya ketika sedang mengepam masuk kira-kira 25,000 liter diesel dari sebuah tangki dalam treler ke dalam sebuah tangki di kawasan perindustrian itu.

Hasil pemeriksaan lanjut, katanya pasukan itu turut menemui 15,000 liter diesel lagi di dalam sebuah tangki di kawasan perindustrian berkenaan.

"Kami menerima aduan daripada orang awam minggu lalu dan kemudian mengekori treler kargo ini untuk menahan pemandu dan kelindannya," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Roslan berkata, pasukan itu mendapat aduan awam minggu lalu bahawa Persatuan Nelayan Teluk Intan menyeleweng minyak diesel subsidi apabila membekalkannya kepada pihak industri di kawasan Puchong.

"Diesel subsidi yang diberikan kerajaan untuk kegunaan mereka telah disalahgunakan...ini perbuatan yang serius.

"Kita dapati hal ini kerap berlaku khususnya di kawasan-kawasan nelayan.

Saya meminta kerjasama orang ramai untuk membuat aduan demi membanteras perbuatan ini," katanya.

Ketiga-tiga lelaki itu, yang berumur dalam lingkungan 40-an, akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: