21 September 2011

Gaddafi didakwa guna Mercedes canggih

23 Syawal 1432H. [MOD] -


KERETA Mercedes ML yang merupakan model sama yang dimiliki Muammar Gaddafi.

PARIS - Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berjaya melarikan diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda paling canggih yang telah dibekalkan oleh Presiden Nicolas Sarkozy (gambar kecil), lapor sebuah akhbar kelmarin.

Presiden Perancis tersebut memberikan lampu hijau kepada Gaddafi untuk menerima kenderaan jenis Mercedes ML berharga £3.5 juta (RM17.2 juta) yang telah diubah suai itu pada 2008.

Kenderaan kalis peluru dan kalis bom itu dilengkapi sistem komunikasi canggih yang membolehkan Gaddafi sentiasa berhubungan dengan tenteranya tetapi pada masa yang sama, ia mampu mengelak daripada dikesan sistem radar pemberontak.

"Pada 2007, Sarkozy yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri meluluskan penjualan kenderaan tersebut kepada Gaddafi," kata laman web tempatan, Mediapart

Mengulas mengenai laporan Mediapart, sumber tentera menyatakan, pendedahan itu boleh menjejaskan kredibiliti Sarkozy yang selama ini dianggap pemimpin dari Eropah yang mahu Gaddafi berundur daripada jawatannya.

Gaddafi kini diburu tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) selepas rejimnya yang berkuasa selama 42 tahun berjaya ditumbangkan menjelang Hari Raya Aidilfitri lalu. - Agensi

Khutbah Jumaat : TAQWA

23 Syawal 1432H. [MOD] -

(25 Syawal 1432 / 23 September 2011)

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿١٠٠﴾

Maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu beroleh kejayaan - Surah Al Maidah:100

أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah sekelian!

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Masa terus berlalu dan meninggalkan kita dan sedar atau tidak kita telah berada di akhir bulan Syawal. Sampailah masanya kita bermuhasabah apakah kita telah mencapai matlamat akhir Ramadhan yang telah kita tinggalkan iaitu taqwa. Taqwa adalah asas kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat. Inilah yang menyebabkan taqwa adalah menjadi rukun dalam khutbah Jumaat dan dilaung-laungkan oleh para khatib setiap minggu.

Muslimin yang berbahagia,

Dari segi bahasa Taqwa bermaksud mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan. Manakala menurut istilah Syara’, Taqwa bermaksud1:

“Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.

Rasulullah saw. juga pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda2 :

أَنْ يُطَاعَ فَلَايُعْصَى وَأَنْ يُذْ كَرَفَلَايُنْسَى وَأَنْ يُشْكَرَفَلَايُكْفَرَ

Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya.

- Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha)

--------------------------------------------------------------------------------

1 Kitab Mempertajam Mata Hati, Ibnu Athoillah As-Sakandari (Penggubah; Abu Jihaduddin Rifqi Al-Hanif), hlm. 76.

2 Kitab Raudhatul Muttaqin , Syarah kitab Riyadhus Salihin , jilid. 1, bab at-Takwa.

Saudaraku muslimin yang dikasihi Allah,

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka’ab r.a. mengenai makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Saidina Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”. Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.3 Menurut Ibnu Abbas r.a. :

“Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”. 4

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri menyebutkan bahawa taqwa mempunyai tiga martabat 5 :

Martabat Pertama : Membebaskan diri dari kekufuran.

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

....فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَعَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَأَلْزَمَهُمْ كَلِمَةَ ٱلتَّقْوَىٰ ....﴿٢٦﴾

“…Lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu’min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …” - Surah Al-Fath:26

3 Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah

4 Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah

5 Al-Muqthathaf min ‘Uyun at-Tafasir, karangan al-Allamah Mustafa al-Khairi, hal. 27.

Sidang Jumaat Sekelian,

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah لاإله إلا الله محمد رسول الله atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.

Martabat Kedua : Menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat Ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah Taala.

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu benar-benar sebagai seorang Islam - Surah Ali Imran. Ayat : 102

Muslimin yang berbahagia,

Di dalam meneruskan kehidupan seharian di zaman serba moden yang menyaksikan keruntuhan akhlak, moral dan aqidah ummah yang kini di paras yang amat membimbangkan, tingkatan taqwa yang tinggi amat diperlukan bagi membina kembali struktur asas umat Islam yang kian runtuh. Sebagai umat Islam kita berkewajipan memperjuangkan dan mengembalikan umat Islam ke landasan asal.

Taqwa adalah penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya di kalangan mereka yang mengaku sebagai seorang Islam. Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan umat Islam turut terjebak dalam kancah pergolakan akhlak, moral dan aqidah. Saksikanlah, bagaimana dunia kini amnya dan Negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban keinsanan, sehingga hilang perikemanusiaan sebaliknya ciri-ciri kebinatangan yang menguasai minda sebahagian besar umat manusia.

Hadhirin yang dirahmati Allah sekelian,

Menyedari realiti dunia dan ummah hari ini, marilah kita bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk membina syakhsiyyah muslim yang bertaqwa dengan mendidik jiwa, minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. Kita wajib bersedia menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini. Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri, ummah dan dunia dari cara hidup yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi. Kita wajib menjadi pejuang yang dilengkapi sifat taqwa sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur, hak dan batil serta Islam dan Jahiliyyah.

Muslimin mukminin yang dikasihi sekelian,

Firman Allah swt:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. - Surah Al A’raf:96

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Gunung Berapi Meletup Di Alaska

23 Syawal 1432H. [MOD] -

ANCHORAGE: Gunung di Kepulauan Aleutian, Alaksa meletup dan mengeluarkan lahar.

Laporan pemerhatian Gunung Alaska memaklumkan bahawa Gunung Cleveland meletup dengan mengeluarkan lahar yang banyak di kepulauan berkenaan kira-kira 1,512 kilometer barat daya Anchorage.

Data satelit minggu lalu menunjukkan "haba yang janggal" memberi petanda bahawa lahar sedang memuncak. - AP

Burhanuddin Rabbani maut dalam serangan

23 Syawal 1432H. [MOD] -



KABUL 21 Sept. - Bekas Presiden Afghanistan yang dilantik mengetuai rundingan damai dengan pemberontak Taliban, maut dalam serangan berani mati yang dilancarkan di rumahnya di sini, semalam.

Burhanuddin Rabbani, yang menjadi Presiden negara ini pada 1992 sehingga 1996, dilantik menjadi ketua Majlis Perdamaian Tertinggi oleh Presiden Hamid Karzai pada tahun lalu.

"Satu letupan kuat berlaku di dalam rumah Burhanuddin menyebabkan dia maut dan beberapa yang lain cedera," kata jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai. - AFP

Nik Aziz : Golongan tolak Hudud jahil

23 Syawal 1432H. [MOD] -

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang cuba menolak ajaran Islam termasuk menolak pelaksanaan hukum Hudud adalah golongan yang jahil.

Beliau menegaskan hukum Hudud telah disalah ertikan oleh kerana terdapat golongan yang jahil tentang undang – undang Islam itu dalam memberi pandangan. “Saya menyebut hakikat ini kerana kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan dalam negara kita bahawa hudud ertinya hukuman ke atas pesalah.”

“Justeru, hudud diwajahkan dengan wajah yang begitu buruk dan mengerikan. Seolah-olah apabila hukum hudud dilaksanakan, semua tangan akan dipotong dan semua batu akan dijadikan lontaran untuk pesalah,” katanya.

MALAYSIA TODAY/-

Memaafkan

23 Syawal 1432H. [MOD] -

"Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan, serta tidaklah seorang hamba merendahkan diri karena Allah melainkan Allah meninggikan darjatnya". (HR. Muslim)

Nabi s.a.w bersabda, "Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Nabi bersabda, "Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia." [HR. Muslim]

Allah berfirman, ”Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya di waktu senang maupun di waktu sempit, dan orang-orang yang menahan marah dan memaafkan kesalahan orang. Allah suka kepada orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran : 133-134)

Nabi yang pernah bersabda: "Dilaporkan kepada Allah semua perbuatan manusia pada setiap hari khamis dan Isnin, lalu Allah 'Azza Wa Jalla mengampuninya pada hari itu juga, diampunkan setiap orang yang tidak syirik (menyengutukan) sesuatu dengan-Nya,

kecuali sesiapa yang sedang bermusuhan, iaitu Allah berfirman untuknya: Tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai , tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai." (HR Muslim)

"Dan jika kalian memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang". (At Taghobun: 14)

"Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu ? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (al-Nuur: 22)

tazkirah/-

Aku sedang diperhatikan oleh Allah

23 Syawal 1432H. [MOD] -

Kita perlu SENTIASA SEDAR bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

SENTIASA INGAT bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

Jangan lupa, leka, lalai bahawa kita sedang diperhatikan oleh Allah.

Ini adalah antara cara asas untuk mendapat kekuatan iman.
Ini juga antara cara agar lebih khusyuk dalam ibadah.
Ini juga antara cara agar dapat hindari maksiat.

LATIHlah hati supaya selalu berkata , “Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.

“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.
“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.
“Aku sedang diperhatikan oleh Allah”.

Iman paling afdhal ialah apabila kamu mengetahui bahwa Allah selalu menyertaimu di mana pun kamu berada. (HR Ath-Thobari)

tazkirah/-

Mohamad Sabu didakwa, bebas dengan jaminan RM15,000

23 Syawal 1432H. [MOD] -


BUTTERWORTH, 21 Sept: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu didakwa di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini ekoran ucapannya mengenai Bukit Kepong.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Pihak pendakwa meminta Mohamad dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden, mahkamah membebaskan Mohamad dengan jaminan RM15,000 sehingga perbicaraan.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Malam tadi, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata Mohamad ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada jam 7.30 petang tadi dan dibawa ke IPK Pulau Pinang.

Mohamad tiba di IPK Pulau Pinang pada 8.30 malam dan dilihat meninggalkannya ibu pejabat polis itu pada 9.05 malam selepas keterangan beliau diambil.

Menurut Ayub, pemimpin PAS itu akan didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan dibuat terhadapnya berikutan ucapan kontroversialnya pada sebuah ceramah di Tasek Gelugor pada 19 Ogos lalu.

"Laporan dibuat oleh waris polis yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu,” katanya pada sidang media di Georgetown.

“Saya gesa semua pihak supaya bertenang agar proses undang-undang dapat dijalankan,” katanya.

Sebelum itu, peguam pemimpin PAS itu, Mohamed Hanipa Maidin berkata, anak guamnya dimaklumkan pihak polis bahawa beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Pelbagai pihak membuat bantahan terhadap dakwaan ini dan menyifatkan ianya sebagai penyalahgunaan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Datuk Mahfuz Omar berkata, jika berdasarkan kenyataan yang mengguriskan hati, kenyataan beberapa profesor yang mengatakan negara ini tidak pernah dijajah juga wajar diambil tindakan.

H/daily

Penyamun Geng Dol berkubur

23 Syawal 1432H. [MOD] -


IPOH - Keseronokan empat anggota Geng Dol menikmati hasil rompakan dari sebuah rumah banglo milik seorang ahli perniagaan di Menglembu di sini hanya bertahan sehari apabila kesemua mereka mati ditembak di Batu Gajah dekat sini malam kelmarin.

Sebelum mati ditembak, kumpulan perompak warga Indonesia itu melarikan dua komputer riba, tiga telefon bimbit, barangan kemas, dua utas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM1,870 dari rumah mangsa di Menglembu pada pukul 2.30 pagi.

Namun belum sempat penjenayah itu berseronok, mereka telah ditembak mati kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mereka melakukan jenayah.

Geng Dol yang mengambil nama sempena nama seorang pemimpin kumpulan itu mula aktif melakukan samun dan pecah rumah pada awal tahun ini dengan menumpukan lokasi jenayah mereka di Ipoh, Batu Gajah, Manjung dan Perak Tengah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, episod malang keempat-empat penjenayah itu bermula apabila sebuah kereta peronda polis terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja dinaiki suspek pada pukul 9.30 malam kelmarin di Jalan Kampung Changkat Larang di Batu Gajah di sini.

"Polis berhenti dan cuba menahan kereta suspek untuk pemeriksaan. Malangnya, pemandu kenderaan tersebut memecut laju sehingga melanggar bahu jalan.

"Polis kemudian mengejar kereta itu sehingga ia memasuki jalan mati. Suspek yang panik kemudian mengundur kenderaan itu dan melanggar bahagian depan kereta peronda polis," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Ketua Pengarah Al-Jazeera letak jawatan

23 Syawal 1432H. [MOD] -



DOHA 21 Sept. - Ketua Pengarah Al-Jazeera, Wadah Khanfar semalam meletak jawatan selepas lapan tahun menjadi ketua stesen televisyen satelit tersebut, lapor kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web Al-Jazeera.

"Saya telah lama berbincang dengan pengerusi syarikat mengenai perletakan jawatan ini dan dia memahami kehendak dan keputusan saya ini," katanya.

Pengganti yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wadah, bagaimanapun, masih belum diumumkan.

Beliau dilantik menjadi Pengarah pada 2003 sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah. - AFP

Warga emas terima rasuah atur poligami dijel, denda

23 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR – Seorang warga emas terpaksa meringkuk di penjara sehari selain didenda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM2,300 kononnya bagi mengaturkan perkahwinan poligami tanpa mengikut prosedur yang sah.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Osman Nandood, 64, yang kelihatan sugul di dalam kandang tertuduh.

Sekiranya gagal membayar denda, Osman bakal berhadapan hukuman penjara selama setahun. Osman membayar denda itu.

Tertuduh yang bekerja sendiri itu mengaku menerima wang berkenaan daripada Mohamad Adib Ab. Rahman, 27, di No. 39, Jalan 2A/6, Taman Setapak Indah, Sentul di sini pada pukul 2.37 petang, 13 Februari 2011.

Wang itu adalah sebagai upah bagi membantu menguruskan perkahwinan Mohamad Adib untuk berpoligami dengan pasangannya, Nor Fariha Rosli tanpa mengikut prosedur di bawah Seksyen 23 Akta Undang-Undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Peniaga kedai kopi diserang kumpulan lelaki mabuk

23 Syawal 1432H. [MOD] -



PULAU PINANG 21 Sept. – Seorang pemilik kedai kopi cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang dipercayai mabuk di Lorong Delima 5, Greenlane di sini malam senmalam.

Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku setelah peniaga tersebut menegur sekumpulan lelaki yang membuat bising tidak jauh dari kedainya.

Mangsa yang berusia 60 tahun cedera teruk di pergelangan tangan termasuk seluruh anggota badan akibat dipukul tujuh lelaki berkenaan.

Selain dipukul tanpa belas kasihan, suspek turut melarikan wang tunai bernilai RM1,000 dari mesin juruwang di premis itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mangsa didatangi sekumpulan lelaki berusia antara 18 hingga lingkungan 20-an yang bersenjatakan parang dan kayu ketika mangsa sedang berniaga.

Beliau memberitahu, suspek turut bertindak membaling kerusi dan meja di premis terbabit sebelum salah seorang daripada mereka datang menyerang mangsa.

“Mangsa kini di rawat di Hospital Pulau Pinang. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut mendapati kesemua suspek memakai topi keledar,” katanya di sini semalam.

Selain itu, sebatang besi keluli turut ditemui anggota unit forensik di lokasi kejadian.

Polis sudah mengenal pasti identiti kesemua suspek yang berasal dari Gelugor dan Padang Tembak.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata ketika merusuh.

550 peneroka Felda Bera tuntut RM300 juta

23 Syawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 20 Sept: Seramai 550 peneroka dari Felda Gugusan Bera hari ini menuntut pihak Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi RM300 juta hasil penjualan sawit mereka sejak 16 tahun lalu.

Writ tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam-peguam Nasar Mirbas Khan dan Hanipa Maidin.

Ketika bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Nasar Khan berkata tuntutan peneroka ialah  berkaitan kadar perahan gred (KPG) yang dibayar kepada peneroka dengan terdapat unsur penipuan kerana dibayar lebih rendah daripada gred sebenar.

“Selain daripada itu peneroka selaku plaintif menuntut wang isi rong sawit, tandan yang ditolak tetapi diproses, keladak minyak dan abu tandan sawit yang semuanya mempunyai nilai tetapi tidak dibayar atau dikembalikan oleh Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan.

“Untuk tahun 2008 sahaja, kerugian yang dialami peneroka kerana tidak dibayar hasil yang disebutkan ialah RM19 juta dan tuntutan bermula sejak tahun 1995. Jadi kita jangka peneroka sepatutnya dibayar sekitar RM300 juta lagi,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda Keadilan Pusat Suhaimi Said serta pemimpin-pemimpin peneroka.

Sementara itu Tuan Ibrahim ketika diminta berucap, berkata para peneroka hanya menuntut keadilan terhadap hak mereka sendiri tanoa meminta hak orang lain.

“Berdasarkan kes-kes saman yang sama dibicarakan di mahkamah sebelum ini, keputusan-keputusannya menyebelahi peneroka. Ini menunjukkan mereka benar.

“Ini muafakat mereka bersama tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang jadi isu ini merupakan kepentingan bersama,” katanya.

Suhaimi Said pula memberitahu, sebelum ini 1,061 peneroka daripada Felda Gugusan Jengka telah tampil menuntut kerugian yang serupa daripada Felda dan anak syarikatnya di mahkamah yang sama.



H/daily

20 September 2011

Mat Sabu ditahan sebelum dibebas dengan jaminan polis

22 Syawal 1432H. [MOD] -

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, ditahan untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

NONEKetua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub (kiri), berkata Mohamad ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada jam 7.30 petang tadi dan dibawa ke IPK Pulau Pinang.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tiba di IPK Pulau Pinang pada 8.30 malam dan dilihat meninggalkannya ibu pejabat polis itu pada 9.05 malam selepas keterangan beliau diambil.

Menurut Ayub, pemimpin PAS itu akan didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan dibuat terhadapnya berikutan ucapan kontroversialnya pada sebuah ceramah diTasek Gelugor pada 19 Ogos lalu.

"Laporan dibuat oleh waris polis yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu,” katanya pada sidang media di Georgetown.

“Saya gesa semua pihak supaya bertenang agar proses undang-undang dapat dijalankan,” katanya.

mingguan malaysia 280811 mat sabu dikecamPetang tadi, peguam pemimpin PAS itu, Hanipa Maidin berkata, anak guamnya dimaklumkan pihak polis bahawa beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok.

Ini berikutan ucapannya berhubung isu Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong yang akan dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu melaporkan pemimpin parti Islam itu dalam ceramahnya di Pulau Pinang sebagai berkata, Mat Indera wira sebenar dalam tragedi itu dan bukannya "polis British".

Ucapan itu mencetuskan kontroversi besar dan dikritik pelbagai pihak, terutamanya pemimpin BN dan meleret kepada polemik kemerdekaan negara dan sama ada negara ini pernah dijajah.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali. MK/-

Ulasan :

Tahniah diucapkan diatas kecekapan polis dalam menangani kes Mat Sabu, tetapi jangan ingat rakyat tidak boleh menilai apabila banyak kes lain yang semacam dibiarkan berlarutan terutamanya dari pemimpin BN dan umno.

Seperkara lagi, janganlah kerana laporan yang salah dan fitnah oleh akhbar "pecacai" umno seseorang didakwa dengan berbagai tuduhan, yang buat fitnah dibiarkan lepas.

Nasib Bekas Prajurit Sarawak Yang Tidak Beri Perhatian oleh Pemerintah

22 Syawal 1432H. [MOD] -
PAS Miri

PAS Sarawak sangat simpati dengan nasib dan masalah yang dihadapi oleh bekas prajurit (Sarawak Ranger Veteran Association) seperti yang dilapor oleh akhbar ‘Borneo Post’.

Sepatutnya pihak kerajaan menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh bekas-bekas renjar Sarawak yang bertugas semasa Darurat di Tanah Melayu dari 1948-1960. Mereka membantu askar tanah Melayu dari ancaman pengganas komunis dan memastikan negara ini selamat daripada peperangan.

Mereka sudah lama memohon agar diberi tanah lot dan juga kenaikan elaun bulanan yang berpatutan dengan keadaan hidup semasa bukan hanya diberi RM100 sebulan. Sepatutnya elaun mereka dinaikkan sekurang-kurangnya setanding dengan indeks kemiskinan nasional
sebanyak RM700.

Pihak kerajaan kena bertindak dan mengambil perhatian dengan segera akan nasib yang menimpa bekas prajurit dan veteran ranjer ini agar mereka juga dapat menikmati kebebasan yang mereka perjuangkan selama ini dari ancaman komunis. Jangan hanya pihak komunis yang menyerah diri saja dapat pengampunan dan diberi kemudahan sedang pejuang kemerdekaan dipinggir begitu saja, adakah mungkin disebabkan mereka berlainan fahaman politik dengan parti pemerintah? Adalah tidak adil bagi bekas prajurit ini yang bermatian berperang menentang musuh negara sedangkan musuh yang menyerah diri pula diberi keistimewaan.

Jangan hanya waktu dekat pilihanraya baru sibuk nak minta para prajurit menyokong mereka (BN) sedangkan selama ini nasib mereka terabai begitu saja tanpa sebarang bantuan yang sepatutnya. Kalau pun diberi elaun bulanan sebanyak RM100 ini bukan sesuai lagi untuk hidup pada masa sekarang dimana kos kehidupan semakin meningkat dan bekas prajurit pun bukan minta banyak dan sudah tentu mereka pun bukan boleh hidup lama lagi untuk menikmati erti kemerdekaan yang mereka perjuangkan selama ini. Kita minta pihak kerajaan jangan biarkan bekas veteran prajurit dan bekas polis yang pernah berkhidmat untuk negera dipinggir begitu saja tanpa sebarang bantuan dan perhatian.

Ingat lah mereka ini juga yang patuh dan taat setia menurut perintah semasa berkhidmat dengan pemerintah tetapi apabila mereka sudah tidak berkhidmat dengan pemerintah mereka langsung tidak hargai terutama sekali golongan atau anggota bawahan. Mungkin hanya segelintir saja yang diberi keistimewaan kerana mempunyai kepentingan tertentu.

Ramai lagi anggota-anggota bawahan yang menerima nasib yang malang cuma tidak dilaporkan mungkin disebabkan mereka takut atau tidak tahu ke mana hendak mengadu. Kita minta pihak kerajaan bersikap adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Jofri Jaraiee
PAS Miri