21 September 2011

Khutbah Jumaat : TAQWA

23 Syawal 1432H. [MOD] -

(25 Syawal 1432 / 23 September 2011)

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿١٠٠﴾

Maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu beroleh kejayaan - Surah Al Maidah:100

أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah sekelian!

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Masa terus berlalu dan meninggalkan kita dan sedar atau tidak kita telah berada di akhir bulan Syawal. Sampailah masanya kita bermuhasabah apakah kita telah mencapai matlamat akhir Ramadhan yang telah kita tinggalkan iaitu taqwa. Taqwa adalah asas kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat. Inilah yang menyebabkan taqwa adalah menjadi rukun dalam khutbah Jumaat dan dilaung-laungkan oleh para khatib setiap minggu.

Muslimin yang berbahagia,

Dari segi bahasa Taqwa bermaksud mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan. Manakala menurut istilah Syara’, Taqwa bermaksud1:

“Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.

Rasulullah saw. juga pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda2 :

أَنْ يُطَاعَ فَلَايُعْصَى وَأَنْ يُذْ كَرَفَلَايُنْسَى وَأَنْ يُشْكَرَفَلَايُكْفَرَ

Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya.

- Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha)

--------------------------------------------------------------------------------

1 Kitab Mempertajam Mata Hati, Ibnu Athoillah As-Sakandari (Penggubah; Abu Jihaduddin Rifqi Al-Hanif), hlm. 76.

2 Kitab Raudhatul Muttaqin , Syarah kitab Riyadhus Salihin , jilid. 1, bab at-Takwa.

Saudaraku muslimin yang dikasihi Allah,

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka’ab r.a. mengenai makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Saidina Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”. Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.3 Menurut Ibnu Abbas r.a. :

“Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”. 4

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri menyebutkan bahawa taqwa mempunyai tiga martabat 5 :

Martabat Pertama : Membebaskan diri dari kekufuran.

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

....فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَعَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَأَلْزَمَهُمْ كَلِمَةَ ٱلتَّقْوَىٰ ....﴿٢٦﴾

“…Lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu’min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …” - Surah Al-Fath:26

3 Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah

4 Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah

5 Al-Muqthathaf min ‘Uyun at-Tafasir, karangan al-Allamah Mustafa al-Khairi, hal. 27.

Sidang Jumaat Sekelian,

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah لاإله إلا الله محمد رسول الله atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.

Martabat Kedua : Menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat Ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah Taala.

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu benar-benar sebagai seorang Islam - Surah Ali Imran. Ayat : 102

Muslimin yang berbahagia,

Di dalam meneruskan kehidupan seharian di zaman serba moden yang menyaksikan keruntuhan akhlak, moral dan aqidah ummah yang kini di paras yang amat membimbangkan, tingkatan taqwa yang tinggi amat diperlukan bagi membina kembali struktur asas umat Islam yang kian runtuh. Sebagai umat Islam kita berkewajipan memperjuangkan dan mengembalikan umat Islam ke landasan asal.

Taqwa adalah penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya di kalangan mereka yang mengaku sebagai seorang Islam. Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan umat Islam turut terjebak dalam kancah pergolakan akhlak, moral dan aqidah. Saksikanlah, bagaimana dunia kini amnya dan Negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban keinsanan, sehingga hilang perikemanusiaan sebaliknya ciri-ciri kebinatangan yang menguasai minda sebahagian besar umat manusia.

Hadhirin yang dirahmati Allah sekelian,

Menyedari realiti dunia dan ummah hari ini, marilah kita bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk membina syakhsiyyah muslim yang bertaqwa dengan mendidik jiwa, minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. Kita wajib bersedia menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini. Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri, ummah dan dunia dari cara hidup yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi. Kita wajib menjadi pejuang yang dilengkapi sifat taqwa sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur, hak dan batil serta Islam dan Jahiliyyah.

Muslimin mukminin yang dikasihi sekelian,

Firman Allah swt:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. - Surah Al A’raf:96

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Tiada ulasan: