23 Syawal 1432H. [MOD] -
SEPANG : Seramai 47 pelajar Malaysia yang menuntut di Syria selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira- kira jam 3 petang tadi.
Kesemua mereka dibawa pulang dengan menaiki pesawat yang diterbangkan khas oleh Wisma Putra, ekoran pergolakan di Syria yang semakin meruncing.
Ketibaan mereka disambut oleh ahli keluarga masing- masing yang menunggu seawal jam 12 tengahari tadi.
Suasana pilu menyelubungi KLIA, apabila ahli keluarga yang menunggu dengan penuh sabar tidak dapat menahan sebak didada.
Bagi Mat Yusuf Latif yang datang dari Pulau Pinang memberitahu kepulangan anakndanya yang tercinta sangat dinanti- nantikan sejak dari awal berita pergolakan di Syria tersebar.
"Saya rasa alhamdulillah bersyukur dan kita masuk (laman sosial) Facebook pun kawan-kawan kata harap-harap apa yang dirancang berjalan dengan baik," katanya.
Katanya lagi beliau masih belum ada apa-apa perancangan bagi anaknya yang mengikuti pengajian syariaah di Universiti Ahmad Al-Quff Tarur.
Bagi Omar Farouk Ali Rejab, pelajar Universiti Mujama' Al Fatah Islami menyifatkan pergolakan di Dama Circus tidaklah seperti yang berlaku di Mesir beberapa bulan lalu.
"Sebenarnya keadaan di sana taklah seteruk seperti yang kita tengok dalam kaca televisyen, propaganda sahaja, cuma mungkin di luar Dama Circus keadaan teruk. Tak seperti di Mesir," jelasnya.
Bagi Mohd Afifuddin Tahar yang mengambil kursus Bahasa Arab dan Pengajian di Mahaddauni pula memberitahu para pelajar di sana mengalami kesukaran dalam mengeluarkan wang selama dua bulan.
"Masalah mahu keluarkan duit tak boleh jadi macam pelajar yang tidak mendapat tajaan mengalami kesukaran untuk membayar wang pengajian, rumah sewa jadi ramai yang tak ada duit," katanya.
TV Selangor difahamkan proses membawa pulang kesemua 220 pelajar yang menuntut di sana akan dibuat melalui dua kali penerbangan.
Wisma Putra sebelum ini menyatakan, tindakan membawa pulang kesemua pelajar tersebut diambil setelah rusuhan rakyat Syria semakin memuncak dan mula membahayakan keselamatan pelajar Malaysia di sana.
Syria adalah negara Arab yang turut menerima tempias revolusi rakyatnya selepas kejatuhan kerajaan Mesir dan Tunisia.
Kebangkitan rakyat Syria adalah berpunca daripada konflik dalaman yang berterusan sejak Mac 2011.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila kerajaan pemerintah yang dipimpin oleh Presiden Bashar Al-Assad enggan tunduk kepada desakan rakyat agar beliau melepaskan tampuk pemerintahan.
Lebih jelek, Bashar bertindak mengarahkan agar rejim tenteranya memerangi rakyatnya sendiri dan membunuh mereka yang tidak berdosa secara membabi buta.
Tv Selangor pada 18 Ogos lalu telah menyiarkan keluh kesah pelajar Malaysia di Syria yang tertanya- tanya apakah usaha yang dilakukan pihak kedutaan dan Wisma Putra bagi membela nasib mereka.
Berita berjudul “Kami Pun Rakyat Malaysia, Jangan Sisihkan Kami – Pelajar Syria”, berkongsi pengalaman beberapa pelajar Malaysia disana termasuk Presiden Persatuan
Pelajar Malaysia di Syria, Mohammad Hazuanuddin Sofuan.
Pendedahan itu juga membawa kepada kunjungan Duta Besar Malaysia ke Syria, Mat Dris Yaacob ke rumah salah seorang pelajar disana, Hairul Faizal pada 31 Ogos lalu.
Ketika kunjungan itu berlangsung, Mat Deris sempat mengulas laporan berita Tv Selangor bersabit hubungan dua hala pihak kedutaan dan pelajar.
Tanpa menafikan bahawa pihak kedutaan sentiasa melakukan tugas dengan baik, Hairul mewakili semua pelajar disana menyatakan harapan mereka agar pihak kedutaan meluangkan lebih masa untuk melihat sendiri permasalahan yang terpaksa ditanggung mereka.
tv news/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan