21 September 2011

Zaman pemimpin negara serba tahu sudah berlalu

23 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebarang pembaharuan yang hendak dilakukan oleh Perdana Menteri memerlukan usaha bersama antara kabinet mahupun secara memorandum kepada rakyat di luar dan bukannya secara kuasa peribadi.

"Sebarang bentuk pembaharuan yang ingin dilakukan oleh mempunyai muafakat bersama antara kabinet dalaman mahupun pendapat rakyat dan cara sedemikian dilihat akan menghasilkan satu pembaharuan yang lebih baik.

"Perdana Menteri tidak boleh merasakan apa idea yang dikeluarkan untuk suatu pembaharuan adalah yang terbaik, malah kenyataan Pak Lah kerana beliau tidak bertegas dan mahukan Najib lebih bertegas adalah tidak tepat.

"Zaman ketua mahupun pemimpin negara serba tahu sudah berlalu dan dalam keadaan sekarang sebarang bentuk pembaharuan perlu wujudkan satu komuniti yang melibatkan rakyat kerana hasil pembaharuan melalui perbincangan komuniti lebih berkesan daripada idea dari seorang pemimpin dan inilah yang terbaik untuk negara kita," jelasnya ketika dihubungi.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) dalam kenyataannya semalam mengharapkan tidak akan ada pihak dalaman yang akan menentang secara senyap seperti ‘gunting dalam lipatan’ dalam sebarang usaha pembaharuan yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh beliau apabila melihat kembali zaman pemerintahannya bahawa sebarang pembaharuan yang ingin beliau lakukan sentiasa ada pihak yang cuba menentang serta menggagalkan usaha beliau itu.

Malah beliau mahukan Najib akan lebih bertegas dengan rancangan-rancangan pembaharuannya sekiranya beliau jelas dengan apa yang dimahukannya.

Tambahnya lagi, sudah menjadi lumrah dalam budaya Umno bahawa idea yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin adalah yang terbaik sedangkan mereka tidak tahu hakikat sebenar idea yang diutarakan oleh mereka.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa pentadbiran Najib Razak sangat jelas mengenai agenda pembaharuan yang hendak dibawa termasuk kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang bakal dimansuhkan berbanding di bawah pentadbiran Abdullah.

"Saya tidak pasti kenapa perkara tersebut diluahkan oleh Pak Lah sekarang, mungkin beliau kecil hati dengan segala tohmahan dan juga tekanan yang dihadapi olehnya.

"Mungkin ini masa untuk beliau menyatakan bahawa selama ini memang wujud individu seperti "gunting dalam lipatan" yang telah menggagalkan pentadbirannya sehingga berlaku peralihan kuasa. Seperti mana yang kita tahu tekanan yang dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamed sebelum ini.

"Malah apa yang disuarakan oleh Mahathir itu sentiasa berjaya dan ada pihak dalaman Umno mahupun kabinet terpengaruh dan ini juga mula dihadapi oleh pemerintahan Najib yang mana Mahathir mula menyatakan pentadbiran Najib tidak akan memberi kemenangan kepada Umno pada pilihan raya nanti.

"Tapi kita jangan lupa selain Mahathir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah terlibat sama menjatuhkan Pak Lah dulu dan ini jelas pada kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin di Singapura yang mahukan Pak Lah meletak jawatan lebih awal.

"Adalah tidak mustahil Muhyiddin sekali lagi bekerjasama dengan Mahathir mendesak agar Najib meletak jawatan dengan alasan mengembalikan kembali sokongan rakyat kepada Umno terutamanya Barisan Nasioanal pada pilihan raya nanti," sambungnya lagi.

Dalam kenyataan Abdullah di Kota Bharu semalam, beliau amat jelas dengan rancangan-rancangan pembaharuan yang hendak dibawanya semasa memegang jawatan Perdana Menteri.

Malah menyifatkan sudah tentu apabila seseorang pemimpin berhasrat membawa pembaharuan, pasti ada kumpulan yang menyokong dan ada juga kumpulan yang menentang.

Bagaimanapun sekiranya pemimpin itu jelas dan tegas, bahawa apa yang hendak dilakukannya adalah sesuatu yang betul, beliau perlu berusaha melaksanakannya.

Muhammad Faizal
HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: