22 September 2011

Najib tak 'cool', kata Anwar

24 Syawal 1432H. [MOD] -

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya yang mahu mengketepikan sepina yang mengkehendaki mereka menjadi saksi pembelaan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak 'cool'.

Sebelum ini, Najib berkata beliau akan memberi keterangan pada perbicaraan liwat II jika disepina yang bermaksud beliau bersedia berdepoan dengan Anwar di mahkamah.

"Najib pilih untuk berundur sebelum bertempur. Ini tidak 'cool'.

"Najib hari ini mahu ketepikan sepina kami untuk jawab di mahkamah. Perkembangan ini tentunya kurang menyenangkan kerana pada peringkat awal, Najib berkata dia akan hadir sekiranya disepina. Tetapi sekarang beliau tak mahu hadir pula," kata Anwar.

Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, membenarkan permohonan pasukan pembelaan menemuramah 71 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan termasuk Najib dan Rosmah.

Najib dan Rosmah sebelum ini berkata, mereka berdua hanya akan hadir jika pasukan pembelaan mengemukakan sepina.

"Saya tidak tahu apa sebab. Najib kata beliau tidak terlibat. Semua orang tahu beliau ada berjumpa dengan Saiful (pengadu) sebelum ini dan beliau juga ada menghubungi polis. Itu penting bagi kita, maklumat dan keterangan mengenai penglibatan Najib," kata Anwar.

Najib sebelum ini dihambat kontroversi apabila tindakannya berjumpa Saiful Bukhari Azlan sebelum pengadu membuat laporan polis terhadap Anwar pada tahun 2008.

Anwar, 64, menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

malaysiakini/-

Kurangkan pengaruh syarikat tembakau

24 Syawal 1432H. [MOD] -



Di Malaysia dan seluruh dunia, merokok semakin meningkat dalam kalangan penduduk. Kita kelihatan semakin kalah dalam perjuangan memandangkan lebih ramai orang yang mengamalkan tabiat menagihkan ini.

‘Perang’ antara aktivis prokesihatan yang mendedahkan bahaya merokok dan industri tembakau yang berpengaruh dalam lingkungan anggota kerajaan dan ahli politik begitu berat sebelah. Tidak hairanlah merokok semakin meningkat di sebalik semua usaha yang dilakukan.

Merokok membunuh lebih lima juta orang setiap tahun dan kematian tahunan global diramalkan meningkat kepada lapan juta menjelang 2030. Di Malaysia, terdapat lima juta perokok, daripadanya 0.7% adalah gadis berusia 13 hingga 18 tahun atau 35,000.

Adalah dianggarkan lebih 50% lelaki dewasa merokok dan 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan merokok seperti kanser, penyakit jantung, strok dan penyakit pernafasan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wanita merupakan kira-kira 20% daripada anggaran 1 bilion perokok dunia. Di mana sahaja mereka menjadi sasaran yang berpotensi dan bilangan mereka semakin meningkat.

Asap tembakau dipenuhi dengan ‘racun’ dan fakta ini telah lama dibuktikan dan didedahkan, di sebalik kempen media yang besar oleh industri tembakau untuk mengaburi kebenaran ini.

Program pendidikan kesihatan awam berhubung risiko kesihatan daripada merokok amat penting tetapi ia mestilah selari dengan langkah yang lebih kukuh bagi memaksimumkan kesan untuk membalas iklan oleh syarikat tembakau.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang terhadap peraturan dan penguatkuasaan yang longgar terhadap merokok di Malaysia. Ini menimbulkan persoalan serius berhubung kod etika dan tingkah laku kerajaan dalam menangani perkara yang berkaitan dengan syarikat tembakau. Oleh sebab itu, CAP menggesa supaya langkah segera diambil untuk menghalang daripada meningkatnya tabiat merokok.

A.    Mengadakan Kod Tingkah Laku Bagi Wakil Kerajaan

Untuk ketelusan dan menyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan serius dalam membasmi merokok, seharusnya terdapat kod tingkah laku untuk mengawal semua pegawai kerajaan yang ada kaitan dengan syarikat tembakau.

Komunikasi antara pihak mestilah jelas dan terbuka bagi mengawal sebarang pengaruh daripada ahli politik dan pegawai kerajaan terhadap industri atau untuk mengelakkan sebarang kemunculan perbuatan yang tidak sewajarnya.

Ini juga dapat mencegah ‘tanggungjawab sosial korporat’ digunakan oleh syarikat tembakau sebagai muslihat untuk mengadakan acara yang menggambarkan imej positif merokok.

Melalui langkah seperti itu, orang awam dan perokok akan menerima bahawa kerajaan mengambil serius dalam memerangi wabak merokok dan tidak hanya sebagai menunjuk sedangkan mereka berpakat secara sulit dengan syarikat tembakau untuk mempromosikan nama jenama mereka.

Menteri kerajaan, dan wakil kerajaan negeri dan persekutuan lain seharusnya tidak menghadiri atau merasmikan sebarang acara yang disokong, ditaja atau dianjurkan oleh syarikat tembakau kerana ini menunjukkan pengesahan atau pengiktirafan secara tersirat produk mereka.

B.    Hapuskan Pengenalan Jenama Pada Bungkusan

Perokok telah menjadi begitu jelak dengan amaran grafik yang tidak lagi menarik perhatian mereka. Pada Jun tahun ini, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengeluarkan lebih banyak label amaran grafik yang baru untuk kotak rokok, termasuk imej pesakit dengan kanser mulut dan lelaki dengan asap rokok keluar daripada trakeotomi stoma.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan merancang supaya kotak rokok menggunakan label amaran grafik baru pada Januari. Orang telah menjadi muak dengan amaran, tidak kira bagaimana menakutkan amaran bergambar itu. Kebanyakan perokok melihat sepintas lalu pada kotak sambil terus menyalakan rokok.

Di Australia, undang-undang telah diluluskan bagi mencegah syarikat tembakau daripada memaparkan warna tanda dagangan mereka, reka bentuk dan logo pada kotak rokok. Semua kotak akan menggunakan satu warna dan nama jenama akan dikurangkan dengan tanda amaran meliputi 75% daripada bahagian depan berbanding 40% bahagian depan di Malaysia.

C.    Jadikan Merokok Sebagai Tidak Glamor

Kerajaan perlu melaksanakan aktiviti kawalan tembakau yang menjauhkan orang ramai daripada memulakan tabiat merokok, meningkatkan usaha berhenti merokok, dan mengurangkan pendedahan kepada asap pasif memandangkan matlamat kita adalah untuk gaya hidup bebas merokok.

Kita perlu menjadikan merokok sesuatu yang tidak biasa dan menjadikannya sebagai tidak glamor bagi mengurangkan berlakunya dalam kalangan belia dengan menggunakan selebriti dan melarang sebarang acara, konsert, festival yang melibatkan belia dianjurkan atau ditaja oleh syarikat tembakau.

Semakin ramai mereka yang merokok di sebalik bahayanya. Di samping glamor, mereka merokok untuk menghilangkan stres, dan mitos merokok sebagai pelepas tekanan mestilah dihapuskan.

D.    Naikkan harga rokok

Kerajaan mestilah menaikkan harga rokok agar tidak mampu dibeli oleh rakyat Malaysia atau mengurangkan aktiviti merokok dengan mengenakan duti eksais yang tinggi ke atas produk tembakau. Ia juga perlu selari dengan penguatkuasaan yang tegas untuk menghentikan penyeludupan rokok murah haram. Rakyat Malaysia menghisap sembilan bilion batang rokok haram setiap tahun.

E.    Kawal kedai yang menjual tembakau

Kerajaan perlu menghadkan kedai yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau. Hanya kedai tembakau yang perlu diberikan lesen untuk menjual produk ini, manakala penjualan rokok di kedai bebas cukai, kedai runcit dan lain-lain tempat perlu diharamkan.


S. M. Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

H/daily

Negeri Lain Wajar Contohi Selangor Laksana Gaji Minima

24 Syawal 1432H. [MOD] -

SUNGEI WAY 22 SEPT: Langkah kerajaan negeri Selangor memperkenalkan skim gaji minima yang bermula Januari tahun hadapan disambut baik Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Pelaksanaannya yang sekian lama dinantikan, akhirnya kini dapat direalisasikan seterusnya dapat membantu meringankan beban rakyat di negeri ini, kata Presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason.

Bahkan menurut beliau, pelaksanaan skim gaji minima ini sekaligus dapat memacu ekonomi negara ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Saya rasa dengan gaji minima ini apa yang akan kita boleh menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi. Bila kita memberikan gaji yang sepatutnya seseorang itu patut dapat, saya pasti produktifnya akan meningkat.

" Bila anda beri gaji rendah sangat, dia bukan nak kerja. Habis waktu kerja, mereka akan cari kerja lain seperti potong rumput atau pergi kerja tempat lain. Jadi biar mereka dapat satu kerja yang berpatutan supaya mereka akan memberikan produktiviti yang sepenuhnya,"katanya kepada Tv Selangor.

Menurut beliau lagi, sebelum ini pihaknya pernah mencadangkan gaji minima diletakkan pada paras RM1,200 sebulan berdasarkan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Namun kerajaan negeri pada pelancaran Agenda Selangorku, Pelan dan Visi Untuk Tiga Tahun mengumumkan, ia akan melaksanakan skim gaji minima kepada semua kakitangan anak syarikat kerajaan negeri dengan gaji paling rendah RM1,500 sebulan.

Dalam pada itu, diuja sama ada tindakan kerajaan negeri memperkenalkan skim gaji minima akan menjejaskan kewangan negeri, ia disanggah oleh Marimuthu.

Malah ujarnya, pelaksanaan skim gaji minima ini hakikatnya akan menguntungkan kerajaan negeri dan negara kerana ia dapat meningkatkan produktiviti kakitangannya dalam menjalankan tugas.

tv news/-

Gugur tuduhan, pandangan Mohd Sabu bukan jenayah

24 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 21 Sept: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa kerajaan menggugurkan segera tuduhan bermotifkan politik terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kerana pandangannya mengenai sejarah bukan jenayah.

Penyelarasnya, Yap Heng Lung berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan berhenti daripada menakut-nakutkan mana-mana individu yang menyuarakan pandangan yang berlainanan tentang sejarah rasmi dan ideologi.

Justeru, tegasnya Suaram mengutuk tindakan pendakwaan terhadap Mohamad Sabu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas sebab mendatangkan khianat awam selepas beliau memberikan pandangan yang berbeza tentang insiden Bukit Kepong dalam sebuah ceramah pada 21 Ogos lalu di Padang Menora, Tasek Gelugor.

“Suaram berpendirian bahawa setiap individu mempunyai hak untuk bebas bersuara dan menyuarakan pandangan seperti yang termaktub dalam artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan artikel 19 dalam Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia,” ujarnya.

Menurutnya, hanya seminggu selepas Pperdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan proses reformasi dalam pentadbirannya, namun kejadian pada hari ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dengan proses reform yang disebut-sebutkannya.

Jelas sekali, ujarnya kerajaan Najib juga tidak menunjukkan inisiatif untuk menambahbaikkan kebebasan bersuara dan keadaan hak asasi manusia serta pihak polis yang sering menyalahgunakan kuasa.

Suaram juga, katanya mengutuk keras tindakan polis yang bertindak berat sebelah.

“Mengikut penjelasan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob bahawa polis mendakwa Mat Sabu disebabkan terdapat 1,000 laporan polis terhadap Mat Sabu dan sebab itu pihak polis bertindak demikian,” katanya.

Namun demikian, katanya polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam penangkapan PSM EO6 walaupun terdapat 424 laporan polis yang telah dibuat oleh orang awam.

“Apakah tindakan polis terhadap laporan orang awam mengenai kenyataan berunsur perkauman oleh Presiden Perkasa selaku ahli parlimen Pasir Mas,  Ibrahim Ali?

“Mengapa sikap berat sebelah ini diamalkan sedangkan pihak polis seharusnya bersikap neutral dan bertindak ke atas semua laporan polis tanpa mengira pihak yang terlibat?” soalnya.

Justeru, ujarnya Suaram berpendapat bahawa pendakwaan terhadap Mat Sabu atas kenyataannya mengenai sejarah adalah tidak betul dan tidak profesional.

Katanya, perbincangan dan dialog perlu diadakan untuk menyelesaikan konflik terhadap fakta sejarah secepat mungkin.

H/daily

Bersedia untuk Mati

24 Syawal 1432H. [MOD] -

Kita tidak tahu bilakah masanya kita akan mati.

Hanya Allah jua yang maha mengetahui.

Adalah lebih selamat jika kita sentiasa bersedia untuk mati.

Antara persediaan yang boleh dilakukan :

- Sentiasa melakukan amalan yang memberi pahala.

- Sentiasa jauhi dari melakukan dosa.

- Sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah.

- Mohon maaf dari orang yang kita ada kesalahan.

- Sediakan wasiat.

- Banyakkan amal jariah.

- Ajarkan ilmu yang bermanfaat.

- Didik anak agar menjadi anak soleh dan solehah.

- Lunaskan hutang piutang.

- Lazimkan zikir La ila ha illAllah moga menjadi akhir kalam nanti.

- Sentiasa berperasaan khauf dan raja' (harap-harap cemas).

- Sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Klik Sini

Rasulullah bersabda maksudnya: "Apabila mati anak Adam maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu: 1. Sedekah jariahnya 2. Ilmu yang bermanfaat 3. Anak yang soleh yang akan mendoakannya." (HR Muslim)

Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus ra. dari Nabi saw, beliau bersabda: Orang yang CERDIK ialah orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati.(HR Tirmidzi)

"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barangsiapa yang terjauh daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

tazkirah/-

Permohonan sepina Najib, Rosmah didengar hari ini

24 Syawal 1432H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka memutuskan hari ini untuk mendengar permohonan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, untuk mengketepikan sepina yang mengkehendaki mereka hadir memberi keterangan pada perbicaraan kes liwat II.

Empat peguam - bekas timbalan pendakwa raya Salehuddin Saidin, peguam-peguam kanan jenayah Hisyam Poh Teik, M Athimulan dan Ghazi Ishak - memfailkan permohonan itu semalam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dituduh dalam perbicaraan itu, menyifatkan perkembangan terbaru perdana menteri sebagai tidak "cool", dan membidas usaha Najib yang cuba menukar imejnya sebagai 'sempoi' selaras dengan usaha mendekati rakyat, khususnya golongan muda.

Anwar juga dijangka memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan Najib dan Rosmah. Di samping itu kedua-dua mereka - bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof - juga dipanggil sebagai saksi pembelaan.

Pada perbicaraan hari ini, DNA Australia Dr Brian McDonald akan diperiksa-balas hari ini oleh peguambela Ramkarpal Singh setelah dua hari berturut-turut disoal-balas oleh pihak pendakwaan.

Semalam, pihak pendakwaan cuba mempertikaikan kredibiliti Dr McDonald apabila mengungkitkan semula kes-kes mahkamah yang telah menolak keterangannya.

malaysiakini/-

Bekas Adun Umno turut kritik Najib

24 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 21 Sept: Pengumuman sama ada pekerja dari Bangladesh diberi kerakyatan untuk mengundi lebih dinantikan dari apa yang diumumkan dalam perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Malaysia baru-baru ini, kata blogger ahli Umno, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Bagi beliau, jika dibuat pendedahan sepenuhnya mengenai perkara sedemikian, akan dapat diselesaikan cakap-cakap mengelirukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya senarai pengundi yang kemaskini ada para mereka dan senarai yang boleh dilihat oleh umum tidak kemaskini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis dalam kawasan Parlimen Pekan itu mempersoalkan, mengapa daftar pengundi yang terkini dan kemaskini tidak boleh dilihat oleh umum?

"Saya tak mahu atendan pam minyak Bangladesh mempunyai hak mengundi yang sama dengan saya," tegas beliau ketika mengulas perutusan Datuk Seri Najib Tun Razak itu yang beliau sifatkan "tidaklah luar biasa".

Mohd Ariff menyifatkan dakwaan SPR kononnya senarai pengundi yang kemaskini hanya untuk edaran dalaman sebagai terkeluar dari apa jua ukuran kesopanan dan memperbodohkan kita.

Walaupun beliau mengakui pengumuman Najib seperti penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga penting, tetapi beliau membangkitkan tentang "harapan rakyat untuk mendengar pengistiharan yang membawa perubahan substantif ke dalam kehidupan harian mereka".

"Besar mana bahagian rakyat negara ini yang tertakluk dengan pembubaran ISA? Adakah ISA menjadi faktor penting dalam kehidupan harian rakyat yang berdepan dengan harga barangan yang kian meningkat, korupsi yang meluas, urusniaga kerajaan yang di rahsiakan tapi menguntungkan mereka yang terpilih?" kata beliau dalam blognya http://sakmongkol.blogspot.com

Mengulas lanjut ucaopan Najib itu, Mohd Ariff berkata, jika kita mahu isitiharkan sesuatu yang berani dan menggegarkan dalam media umum seperti siaran TV, rakyat sebenarnya mengharapkan perkara yang melibatkan kehidupan seharian mereka.

Beliau memberikan beberapa contoh perkara yang dinanti-nantikan oleh rakyat.

"Orang Melayu misalnya mahu melihat apakah program konkrit untuk merealisasikan agenda ekonomi Bumiputera.

"Jika kita telah pun mengistiharkan bahawa wadah mencapai agenda tersebut ialah Model Ekonomi Baru- atau market driven affirmative action, apa jadah nya komponen MEB tersebut? Adakah penjualan asset stratejik negara merupakan cara terpenting meliberalisasikan ekonomi Malaysia? Pertukaran saham MAS dengan saham Air Asia mendekatkan lagi pencapaian agenda ekonomi Bumi?," beliau mempersoalkan.

Mohd Ariff mengingatkan, jika diletakkan pemimpin yang tidak berjiwa Melayu dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bangga pula dengan pemujaan mereka kepada factor ‘merits’, sampai bila pun agenda ekonomi Bumiputera tidak akan tercapai.

"Sebab itu, saya mengharapkan ucapan PM akan melibatkan antara lain pengistiharan kita bubarkan Khazanah Berhad dan saham yang mereka pegang dan portfolio pelaburan yang ada dalam tangan mereka dipindahkan kepada institusi Amanah Pelaburan Bumiputera.

"Juga saya ingat saya akan dengar bahawa urusan jual beli dan pemindahan saham oleh PNB sebagai pengurus pelbagai Amanah Pelaburan Bumi akan di perketatkan dan urusniaga mereka akan lebih telus dan terang.

"Saya ingatkan PM akan beri amaran kepada institusi ini bahawa mereka memegang asset pencipta pulangan bagi pihak rakyat dan bukan bagi pihak beberapa syarikat milik bumi yang kaya raya dan terkenal," katanya.

Sebagai contoh, kata Mohd Ariff, ada rakyat kita sedar yang Sapura sebagai contoh sedang membuat bidaan untuk membeli saham UMW yang di miliki oleh PNB?

"Saham inilah yang memberi pulangan yang baik kepada PNB yang kemudian nya membolehkan PNB membayar pulangan yang baik kepada pemegang saham PNB. Sapura yang sudah kaya dan akan bergabung dengan Kencana (yang ber’front’kan anak Dr Mahathir sedangkan pemilik sebenar nya ialah tauke Singapura) tidak perlu jadi tamak dan mahu mengaut segala sumber pulangan yang baik.

"Apa akan tinggal untuk golongan bumiputera yang lain? Jika kerajaan membenarkan pembelian oleh Sapura bererti benarlah fahaman saya mengenai istilah Bumiputera itu; Bumi di belakang, putera( bangsawan, yang terkenal, yang bertalian) berada di barisan depan, ambil dulu segala nya," beliau mempersoalkan.

Blogger Umno gelar Muhyiddin 'anak paria'

24 Syawal 1432H. [MOD] -



"DI BAWAH pentadbiran Muhyiddin Yassin, Umno Wilayah (Persekutuan) sudah jadi macam parti mak bapak dia..Dia buat apa dia suka..Kerana dia penyamun besar yang berselindung atas nama nasionalisme Melayu dan Islam..Maka dilantiknya jawatan kanan Umno bahagian bdr tun razak semuanya banduan politik wang."

"Muhyiddin Yassin itu anak paria," tulis Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin yang juga bloger Sang Kelembai dalam laman Facebook (FB) beliau.

Beliau menulis lagi,"16 September 2011 bermula konspirasi hendak menjatuhkan PM Najib oleh Muhyiddin Yassin, dgn perlantikan setiausaha dan bendahari bekas banduan politik wang dan seorang yd diadukan melanggar perlembagaan Umno, maka dengan sendiri Parlimen Bandar Tun Razak yg dinamakan sempena bapa PM Najib dgn mudah akan dimenang oleh pembangkang. Maka Muhyiddin Yasin akan minta PM Najib letak jawatan saperti yg pernah dia lakukan kpd Abdullah Hj Ahmad."

Apa yang ditulis Zaharin menunjukkan politiking dalam Umno memang hebat. Sentiasa panas dan bergolak. Selalunya kemelut dalaman Umno tidak diketahui rakyat kerana ia dapat disembunyikan oleh media tali barut Umno. Bila dibongkarkan satu-persatu mereka kata, ianya hanya ibarat 'ribut dalam secawan kopi.'

Ribut dalam Umno kali ini memang hebat dan tidak dapat dibendung. Ia diluahkan dan didedahkan secara terbuka oleh bloger-bloger dan facebookers Umno. Laman sosial FB menjadi tempat mereka melepaskan geram terhadap seteru politik dalam Umno.

Zaharin begitu berani mengambil risiko menghentam dan mengecam Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin digelar sebagai anak paria, penyamun besar dan perosak Umno. Lebih hodoh lagi, Zaharin yang juga Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak mendakwa beliau ada maklumat bahawa Muhyiddin terbabit hendak menjatuhkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam tulisannya di laman FB, Zaharin berkata, beliau akan mendedahkan hal tersebut tidak lama lagi.

Zaharin melepaskan geramnya kepada Muhyiddin dipercayai kerana terdapat usaha TPM selaku Pengerusi Umno untuk meletakkan 'orangnya' menggantikan beliau sebagai Setiausaha Umno Bahagian.

Malah dalam laman FBnya, Zaharin terus menyerang Muhyiddin kerana melantik orang-orang bermasalah dan yang jelas terbabit dalam politik wang seperti Dato' Mokhtar Samad dan Amil Salleh di bahagian tersebut.

Menulis mengenai Zaharin bukan bermakna menyokong beliau. Sebab Zaharin memang jenis out-spoken. Dalam posting beliau selalu menyerang PAS dan Pakatan Rakyat. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering menjadi 'ulam' beliau.

Saya ketepikan soal serangan Zaharin terhadap Pakatan Rakyat buat seketika. Yang penting sekarang bukan soal Zaharin sebagai penulis dalam blog atau FB. Beliau ada jawatan. Selaku Setiausaha Umno Bahagian dan Setiausaha BN Bahagian, kuasanya agar besar dan berpengaruh. Beliau juga terbabit sebagai AJK Umno Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana itu serangan dan kecaman beliau terhadap TPM memang ada weight yang tersendiri. Sebab apa seorang yang berjawatan sanggup menyerang Timbalan Presiden Umno yang juga Pengerusi Umno negeri? Kata-kata yang dihamburkan pula bukannya kritikan biasa.

Gelaran 'anak paria' terhadap Muhyiddin yang berbangsa Melayu dan beragama Islam adalah sedahsyat-dahsyat gelaran. Jika ada kalangan orang India pun tidak setuju jika ungkapan paria digunakan kepada mereka walaupun ia ada dalam kamus mereka, inikan pula orang Melayu-Islam menerima geralan sedemikian.

'Anak paria' yang dikatakan Zaharin bukan sekadar paria, dia adalah penyamun besar, pembela golongan rasuah dan bermasalah dalam Umno. Lebih dahsyat lagi 'anak paria' itu dituduh merancang hendak menjatuhkan PM kesayangan Zaharin.

Sudah tentu serangan Zaharin terhadap Muhyiddin tidak dapat diterima juak-juak Muhyiddin. Melalui blog Cucu Tok Selampit mereka menyerang Zaharin dan menggesa Umno memecatnya.

Zaharin kata blog tersebut sebagai politikus yang tidak bermaruah. Zaharin dituduh menyerang bekas PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kemudian mencium tangan Abdullah selepas mendapat habuan yang dikehendaki. Gambar Zaharin memeluk dan mencium tangan Abdullah juga disiarkan mereka.

Bloger Umno yang marah dengan Zaharin mendakwa beliau menjalankan politik 'peras ugut'. Zaharin didakwa memeras ugut ahli politik (termasuk TPM), kemudian mereka diminta 'menghulurkan habuan' jika serangan terhadap mereka hendak dihentikan.

Bloger Umno yang tidak puashati dengan kecaman Zaharin terhadap Muhyiddin, terus menyerang beliau dan mendakwa Zaharin mempunyai kelaku yang amat buruk. Kata mereka Zaharin tidak layak menjadi ahli Umno kerana banyak komen-komennya merosakkan Umno.

Membaca komen-komen yang diposting mereka naik tergelak dibuatnya. Macamlah mereka yang duduk dalam Umno suci macam Malaikat Jibril.

Saya tidak perlu cenderung untuk membela sesiapa dalam Umno dalam perbalahan ini. Mereka hendak tuduh, hendak kata apa pun kepada seteru mereka, itu urusan mereka. Hanya mereka sahaja yang tahu dan faham perangai orang-orang Umno.

Yang jelas, tujuan saya mengutarakan isu ini, lebih kepada untuk menyedarkan rakyat dan mendedahkan kepada rakyat, bahawa Umno itu memang hodoh dan teruk. Perbalahan dalaman mereka memang teruk dna tidak mampu dibaiki lagi.

Persoalan yang harus dijawab oleh Umno hari ini bukan soal siapa Zaharin, atau apa buruk baik kelakunya. Yang tidak boleh dinafikan orang Umno ialah, didakwa wujudnya satu usaha yang didalangi Timbalan Presiden Umno untuk menjatuhkan Presiden Umno. Itu isu yang sebenarnya.

Yang menuduh atau membangkitkan isu ini bukan orang PAS. Bukan juga orang Pakatan Rakyat. Yang menuduh Muhyiddin hendak menjatuhkan Najib adalah dari kalangan Umno sendiri. Apa yang dibuat Muhyiddin, siapa penyokongnya dan bagaimana cara beliau hendak jatuhkan Najib, kita tunggu pendedahan dari orang Umno seterusnya.

Cuma yang hendak kita katakan kepada orang-orang Umno-BN, kami dari Pakatan Rakyat, sama ada yang meneraju negara itu Najib atau Muhyiddin, tidak penting bagi kami. Asalkan sahaja nama mereka Umno-BN, kami bertekad akan tumbangkan mereka pada PRU yang akan datang. Insya Allah.

H/daily

Pakatan bantah pendakwaan Mohamad Sabu

24 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 21 Sept: Pakatan Rakyat mengecam tindakan kerajaan mengenakan pendakwaan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ekoran isu kontroversi sejarah Bukit Kepong.

Bercakap dalam sidang media Pakatan Rakyat hari ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Keputusan mendakwa Mohamad Sabu, timbalan presiden PAS kita anggap sebagai bercanggah dengan apa diumumkan Datuk Sri Najib untuk mengambil sikap menerima, berbincang dengan baik.

"Walaupun diumumkan ISA dimansuhkan, namun cara rakus kasar dikenakan kepada Mohamad Sabu," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Menurut Anwar, kenyataan Mohamad yang mendakwa Mat Indera sebagai pejuang dalam serangan rumah pasung Bukit Kepong telah diakui sendiri dalam buku "Pengukir Nama Johor" yang kata pengantarnya ditulis Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

"Sebab itu kita membantah pendakwaan terpilih ini terhadap Mohamad Sabu," tegasnya.

Hari ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu didakwa di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini ekoran ucapannya mengenai Bukit Kepong.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Mahkamah bagaimanapun membebaskan Mohamad dengan jaminan RM15,000 sehingga perbicaraan.

Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajuddin menetapkan 27 Oktober ini sebutan semula kes sementara perbicaraan diadakan pada 5 hingga 9 Disember depan.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

H/daily

Pembahagian kerusi Pakatan hampir muktamad

24 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 21 Sept: Pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat hampir muktamad, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada sidang media Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS hari ini, Anwar memberitahu perbincangan di peringkat negeri sebahagiannya sudah selesai dan hanya menunggu laporan untuk tindakan selanjutnya di peringkat pusat.

Menurutnya, tidak timbul bahawa pembahagian kerusi di dalam Pakatan Rakyat menimbulkan banyak masalah.

"Hari ini kita telah berbincang tentang isu pembahagian kerusi dan semuanya telah selesai dan kita minta setiap negeri memberi pandangan kepada jawatankuasa peringkat pusat sehingga akhir bulan ini.

"Tidak benar mengatakan rundingan pembahagian kerusi ini gagal dan kita tidak nafikan bahawa rundingan ini memang mempunyai perbezaan pendapat peringkat parlimen dan dewan undangan negeri, tetapi hari ini selesai serta minta negeri menyatakan laporan untuk pertimbangan peringkat pusat, " jelas Anwar.

Dalam pada itu Setiusaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali juga memberitahu, sebahagian negeri sudah selesai mengemukakan cadangan.

"Sudah ada negeri yang telah selesai mengemukakan cadangan masing-masing dan sekarang dalam pertimbangan peringkat pusat.

"Buat masa ini kita tidak akan mendedahkan negeri mana yang telah selesai, dalam pada itu mana-mana negeri yang tidak mendapat jalan penyelesaian seperti berlakunya pertindihan maka jawatankuasa peringkat pusat akan membuat keputusan," jelas Mustafa.

Sebelum ini terdapat dakwaan mengatakan PAS mahu bertanding di kerusi parlimen PKR yang lompat.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR mendapat kemenangan terbesar di Parlimen dengan 31 kerusi, yang mana Pakatan Rakyat menang di lima negeri dan 82 kerusi Parlimen manakala PAS memenagi 23 kerusi Parlimen.

H/daily

Kongres Gerakan Mahasiswa ke-3 pada 24 Sept

24 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 22 Sept: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan menganjurkan Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional ke-3 pada 24 hingga 25 September di Dewan 3K, Subang Jaya.
Kongres yang merupakan lanjutan daripada kongres yang pertama dan kedua sebelum ini bertujuan membentuk deklarasi bersama melalui himpunan mahasiswa pasca 2011/2012 sebagai hala tuju bersama Gerakan Mahasiswa Malaysia.

Ia juga sebagai tanda pengiktirafan kepada Gerakan Mahasiswa sama ada di peringkat nasional mahupun kampus sebagai gerakan anak muda yang berperanan dalam membina dan memelihara kesejahteraan Malaysia.

Selain itu, ia bertujuan membentuk SMM sebagai sebuah koalisi yang menghimpun aktivis dan gerakan mahasiswa sekaligus menjadi titik kesatuan idealisme seluruh mahasiswa Malaysia.

Dalam kongres ini, beberapa pimpinan mahasiswa akan membentangkan kertas kerja berdasarkan kepada dasar-dasar penting negara seperti politik, ekonomi, pendidikan, undang-Undang, sosio-budaya dan hak kewanitaan.

Dalam perbentangan kertas kerja ini juga, beberapa tokoh tanah air seperti Prof Dr. Aziz Bari (pakar perlembagaan), Senator Mumtaz Md Nawi dan Prof Abu Hassan Hasbullah (pensyarah) akan memberi kritikan dan ulasan terhadap sudut pandang mahasiswa tersebut.

Selain itu, para peserta juga akan diberi peluang untuk melontarkan pandangan dan kritikan terhadap gerakan mahasiswa dan pandangan tersebut akan dibawa ke sesi 'meja bulat' mahasiswa dan ia akan dijadikan sebagai resolusi gerakan mahasiswa bagi mencorak masa hadapan negara yang lebih matang.

Selain SMM, kongres ini turut mendapat kerjasama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Malaysia Youth And Students Democratic Movement (Dema), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Pro Mahasiswa Nasional (PRO MN), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Gabungan Mahasiswa Insaniah (GMI), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Sister In Movement (SIM).

H/daily

Pakatan hantar 3 wakil sertai JK Khas p'raya

24 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 22 Sept: Pakatan Rakyat bersetuju menghantar tiga wakil mereka masing-masing dari PAS, PKR dan DAP  untuk menyertai jawatankuasa khas parlimen untuk menambah baik proses pilihan raya.
Keputusan itu dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersetuju menyertai jawatankuasa itu.
Anwar berkata, penyertaan Pakatan Rakyat bertujuan melihat sama ada usaha mewujudkan jawatankuasa itu hanya satu alasan untuk melengahkan reformasi pilihan raya.
"Pada peringkat ini kita mengambil pendekatan terbuka, memberi kerjasama penuh bagi menyegerakan rundingan dengan mandat yang dikemukakan selama ini oleh Bersih dan juga pendirian pakatan rakyat," katanya.
Wakil-wakil mereka juga ujar Anwar, akan mengemukakan pandangan dan hasrat rakyat yang mahu pilihan raya bersih dan adil dilaksanakan.
Ianya juga bagi memastikan jawatankuasa tersebut membuat keputusan menepati kehendak rakyat dan didengar oleh pihak kerajaan sebelum pilihan raya diadakan.
"Ini kita akan tegaskan dan wakil-wakil kita diberi mandat penuh untuk pastikan jawatankuasa terpilih ini bukan satu helah untuk melengahkan proses reform pilihan raya," katanya dalam satu sidang media lewat petang semalam.
Jawatankuasa berkenaan akan ditubuhkan pada oktober depan dan dianggotai empat wakil BN, tiga wakil Pakatan dan seorang wakil bebas.
H/daily

Hantu Bonceng: Pandangan Ustaz Azhar Idrus

24 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 22 Sept: Pendakwah popular tanah air, Ustaz Azhar Idrus(gambar) berkata, kontroversi satu dialog dalam filem Hantu Bonceng tidak boleh diletakkan kepada pelakon sahaja.
"Tetapi kesilapan ini tidak terletak kepada pelakon. Pelakon jahil dan tidak tahu apa-apa," ujarnya sebagaimana yang dipetik daripada kuliah beliau yang disiarkan di dalam blog http://pulakdah.blogspot.com di bawah tajuk Zizan telefon Ust Azhar Idrus rujuk isu Hantu Bonceng.
Penulis blog itu menyatakan, menurut Ustaz Azhar Idrus, sebaik saja isu Zizan Raja Lawak mengucapkan 'Asyhaduanna Muhamadarr..Syaitan' di dalam satu babak filem Hantu Bonceng menjadi kecoh.
Berikut ialah petikan daripada blog tersebut.
Menurut Ust Azhar Idrus, sebaik saja isu Zizan Raja Lawak mengucapkan'Asyhaduanna Muhamadarr..Syaitan' di dalam satu babak filem Hantu Bonceng menjadi kecoh. Beliau menerima panggilan daripada Zizan yang menggunakan 'private number' untuk merujuk permasalahan ini.

"Saya ni baru kena marah dengan orang kerana filem Hantu Bonceng. Saya kata 'Asyhaduanna Muhammadarr' lepas tu nampak syaitan datang..saya kata SYAITAN" kata Zizan.

Jawab Ust Azhar Idrus. Dia boleh jadi dua hujah. Boleh jadi ada niat untuk mempersendakan Islam dan boleh jadi tidak berniat untuk mempersendakan Islam. Dalam kes ini dia mengucap ketika di dalam ketakutan, dalam cerita kelakar maka dia buat dialog mengucap "Asyhadu an la ilaha ill-Allah, wa asyhadu ana Muhammadarr.....Syaitan! Syaitan!."

Jadi boleh dikatakan bahawa penulis skrip ini untuk menghina nabi, dan boleh juga dikatakan penulis skrip berniat untuk menggambarkan seseorang yang di dalam ketakutan tidak sempat menghabiskan lafaz syahadahnya kerana ternampak syaitan. Ia boleh jadi ada niat untuk mempersenda.
Tetapi kesilapan ini tidak terletak kepada pelakon. Pelakon jahil dan tidak tahu apa-apa. Pelakon bukannya (perlu) belajar pondok untuk berlakon filem. Tetapi Penerbit, Penulis skrip dan Pengarah sepatutnya kena rujuk dahulu perkara ini kepada Pejabat Agama atau Jabatan Kuasa Fatwa. Skrip ini boleh jadi untuk mempersendakan Islam dan boleh juga bukan berniat untuk mempersendakan Islam.

"Walaupun ia bukan untuk mempersendakan Islam, ia tetap juga HARAM sebab mendatangkan FITNAH"tambah Ustaz Azhar Idrus lagi. Fitnah ini yang perlu di jaga dan kita perlu berhati-hati. Zizan sendiri telah mengakui bahawa beliau tidak pernah terniat untuk mempersendakan Islam.

"Jadi kita ambil secara baik, dia (Zizan) tidak berniat mempersenda Islam, tetapi kerana kejahilan punya fasal ia memberi fitnah." rumus Ust Azhar Idrus.
H/daily

21 September 2011

Karut, mana ada kes sejarah dibicara di mahkamah

23 Syawal 1432H. [MOD] -


BUTTERWORTH, 21 Sept: Peguam Mohamed Hanipa Maiden menganggap kes yang melibatkan Mohamad Sabu sebagai kes 'karut' kerana mana ada kes yang berhubung sejarah dibicarakan di mahkamah melainkan di Malaysia.

Sepatutnya, kata beliau ia dibawa ke medan pentas akademik bukan ke mahkamah seperti mana hari ini.

Pagi tadi, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu telah dibebaskan pada pukul 12.15 tengah hari dengan ikat jamin RM15 ribu.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan tahanan dua tahun penjara, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Kes beliau akan disebut sekali lagi pada 27 Oktober ini dan dibicarakan pada 5 hingga 9 Disember depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Beliau dibela oleh Hanipa Maidin dan Amirudin Zulkiply manakala pendakwaan dilakukan oleh Mohamad Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusuf dan Suhaimi Ibrahim di hadapan Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajudin.

Turut hadir memberikan sokongan moral kepadanya ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Khalid Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Kedah, Nasir Mustaffa dan ramai lagi kepimpinan PAS dari Pulau Pinang dan Kedah.
Sementara itu, Mohamad berkata, beliau sedia dibicarakan dan yakin kesnya akan mencapai kemenangan demi memperbetulkan fakta sejarah yang telah diselewengkan oleh penjajah.

Umno juga ujarnya, akan kalah untuk mempertahankan fakta yang salah sekaligus meranapkan impian Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan pemerintahan negara ini.

"Saya yakin seyakin-yakinnya kita boleh menang kes ini dan Umno tewas dalam hal persejarahan Malaysia ini," tegas beliau ketika berucap ringkas di luar mahkamah.

Katanya, Umno dan BN hanya mahu menggambarkan perjuangan mereka sahaja yang betul mengenai kemerdekaan negara.

"Umno dan BN hanya mahu mengambarkan perjuangan mereka sahaja yang betul tentang kemerdekaan dengan membelakangkan perjuangan orang lain walaupun  mereka lebih ke hadapan menentang penjajah," katanya.

Pejuangan Islam hilang permata berharga

23 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga rahmatullah Dr Burhanuddin Rabbani (gambar) selaku bekas Presiden Afghanistan.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berita pemergian allahyarham Dr Burhanuddin sangat memeranjatkan generasi-generasi pejuang Islam.
DPPM, ujarnya sangat merasakan kehilangan beliau seolah-olah dunia Islam telah kehilangan satu lagi pertama yang berharga.
“Allahyarham adalah leader bagi sebuah jemaah Islam Pakistan yang dikenali sebagai Jamiat-e Islami Afghanistan (Islamic Society of Afghanistan),” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua politik Negara Amerika dan Penerimaan Islam untuk keselamatan Afghanistan (UNIFSA).
Pada tahun 1992, beliau menjadi ketua Jamiat-e Islami dan kemudian menjadi Presiden Afghanistan hingga akhirnya dijatuhkan oleh puak Taliban pada tahun 1996.
Setelah itu, beliau berpindah ke Faizabad yang terletak di bahagian utara, untuk memimpin kelompok anti-Taliban dengan bantuan dan sokongan kuat dari Iran dan Rusia.
Beliau kembali diangkat semula sebagai Presiden oleh PBB setelah jatuhnya Taliban.
Namun setelah itu pada akhir 2001 beliau telah menyerahkan jawatannya kepada Hamid Karzai.
Beliau juga merupakan ketua Barisan Kebangsaan Bersatu yang merupakan pembangkang politik terbesar terhadap kerajaan Hamid Karzai.
Justeru, Dewan Pemuda PAS mendoakan agar pemergian beliau itu mendapat pahala syahid di sisi Allah.
“Sesungguhnya jasa beliau sangat besar dalam memastikan kesinambungan Islam di bumi Pakistan dan secara tidak langsungnya ke seluruh alam,” ujar Nasrudin.