22 September 2011

Kurangkan pengaruh syarikat tembakau

24 Syawal 1432H. [MOD] -



Di Malaysia dan seluruh dunia, merokok semakin meningkat dalam kalangan penduduk. Kita kelihatan semakin kalah dalam perjuangan memandangkan lebih ramai orang yang mengamalkan tabiat menagihkan ini.

‘Perang’ antara aktivis prokesihatan yang mendedahkan bahaya merokok dan industri tembakau yang berpengaruh dalam lingkungan anggota kerajaan dan ahli politik begitu berat sebelah. Tidak hairanlah merokok semakin meningkat di sebalik semua usaha yang dilakukan.

Merokok membunuh lebih lima juta orang setiap tahun dan kematian tahunan global diramalkan meningkat kepada lapan juta menjelang 2030. Di Malaysia, terdapat lima juta perokok, daripadanya 0.7% adalah gadis berusia 13 hingga 18 tahun atau 35,000.

Adalah dianggarkan lebih 50% lelaki dewasa merokok dan 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan merokok seperti kanser, penyakit jantung, strok dan penyakit pernafasan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wanita merupakan kira-kira 20% daripada anggaran 1 bilion perokok dunia. Di mana sahaja mereka menjadi sasaran yang berpotensi dan bilangan mereka semakin meningkat.

Asap tembakau dipenuhi dengan ‘racun’ dan fakta ini telah lama dibuktikan dan didedahkan, di sebalik kempen media yang besar oleh industri tembakau untuk mengaburi kebenaran ini.

Program pendidikan kesihatan awam berhubung risiko kesihatan daripada merokok amat penting tetapi ia mestilah selari dengan langkah yang lebih kukuh bagi memaksimumkan kesan untuk membalas iklan oleh syarikat tembakau.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang terhadap peraturan dan penguatkuasaan yang longgar terhadap merokok di Malaysia. Ini menimbulkan persoalan serius berhubung kod etika dan tingkah laku kerajaan dalam menangani perkara yang berkaitan dengan syarikat tembakau. Oleh sebab itu, CAP menggesa supaya langkah segera diambil untuk menghalang daripada meningkatnya tabiat merokok.

A.    Mengadakan Kod Tingkah Laku Bagi Wakil Kerajaan

Untuk ketelusan dan menyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaan serius dalam membasmi merokok, seharusnya terdapat kod tingkah laku untuk mengawal semua pegawai kerajaan yang ada kaitan dengan syarikat tembakau.

Komunikasi antara pihak mestilah jelas dan terbuka bagi mengawal sebarang pengaruh daripada ahli politik dan pegawai kerajaan terhadap industri atau untuk mengelakkan sebarang kemunculan perbuatan yang tidak sewajarnya.

Ini juga dapat mencegah ‘tanggungjawab sosial korporat’ digunakan oleh syarikat tembakau sebagai muslihat untuk mengadakan acara yang menggambarkan imej positif merokok.

Melalui langkah seperti itu, orang awam dan perokok akan menerima bahawa kerajaan mengambil serius dalam memerangi wabak merokok dan tidak hanya sebagai menunjuk sedangkan mereka berpakat secara sulit dengan syarikat tembakau untuk mempromosikan nama jenama mereka.

Menteri kerajaan, dan wakil kerajaan negeri dan persekutuan lain seharusnya tidak menghadiri atau merasmikan sebarang acara yang disokong, ditaja atau dianjurkan oleh syarikat tembakau kerana ini menunjukkan pengesahan atau pengiktirafan secara tersirat produk mereka.

B.    Hapuskan Pengenalan Jenama Pada Bungkusan

Perokok telah menjadi begitu jelak dengan amaran grafik yang tidak lagi menarik perhatian mereka. Pada Jun tahun ini, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengeluarkan lebih banyak label amaran grafik yang baru untuk kotak rokok, termasuk imej pesakit dengan kanser mulut dan lelaki dengan asap rokok keluar daripada trakeotomi stoma.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan merancang supaya kotak rokok menggunakan label amaran grafik baru pada Januari. Orang telah menjadi muak dengan amaran, tidak kira bagaimana menakutkan amaran bergambar itu. Kebanyakan perokok melihat sepintas lalu pada kotak sambil terus menyalakan rokok.

Di Australia, undang-undang telah diluluskan bagi mencegah syarikat tembakau daripada memaparkan warna tanda dagangan mereka, reka bentuk dan logo pada kotak rokok. Semua kotak akan menggunakan satu warna dan nama jenama akan dikurangkan dengan tanda amaran meliputi 75% daripada bahagian depan berbanding 40% bahagian depan di Malaysia.

C.    Jadikan Merokok Sebagai Tidak Glamor

Kerajaan perlu melaksanakan aktiviti kawalan tembakau yang menjauhkan orang ramai daripada memulakan tabiat merokok, meningkatkan usaha berhenti merokok, dan mengurangkan pendedahan kepada asap pasif memandangkan matlamat kita adalah untuk gaya hidup bebas merokok.

Kita perlu menjadikan merokok sesuatu yang tidak biasa dan menjadikannya sebagai tidak glamor bagi mengurangkan berlakunya dalam kalangan belia dengan menggunakan selebriti dan melarang sebarang acara, konsert, festival yang melibatkan belia dianjurkan atau ditaja oleh syarikat tembakau.

Semakin ramai mereka yang merokok di sebalik bahayanya. Di samping glamor, mereka merokok untuk menghilangkan stres, dan mitos merokok sebagai pelepas tekanan mestilah dihapuskan.

D.    Naikkan harga rokok

Kerajaan mestilah menaikkan harga rokok agar tidak mampu dibeli oleh rakyat Malaysia atau mengurangkan aktiviti merokok dengan mengenakan duti eksais yang tinggi ke atas produk tembakau. Ia juga perlu selari dengan penguatkuasaan yang tegas untuk menghentikan penyeludupan rokok murah haram. Rakyat Malaysia menghisap sembilan bilion batang rokok haram setiap tahun.

E.    Kawal kedai yang menjual tembakau

Kerajaan perlu menghadkan kedai yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau. Hanya kedai tembakau yang perlu diberikan lesen untuk menjual produk ini, manakala penjualan rokok di kedai bebas cukai, kedai runcit dan lain-lain tempat perlu diharamkan.


S. M. Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

H/daily

Tiada ulasan: