22 September 2011

China, Russia sokong Palestin sertai PBB

24 Syawal 1432H. [MOD] -


AKTIVIS Palestin membawa sepanduk menuntut Amerika, Israel dan Eropah berlaku adil terhadap usaha menjadi anggota PBB.

NEW YORK: China dan Russia masing-masing menyatakan sokongan mereka terhadap usaha Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada perhimpunan Agung badan dunia itu minggu ini.

“China memahami, menghormati dan menyokong usaha bagi keahlian Palestin dalam PBB,” kata jurucakap Kementerian Luar, Hong Lei pada sidang media harian kelmarin. Beliau menegaskan negara itu sentiasa menyokong tindakan Palestin dan Arab untuk mendesak pengesahan hak etnik mereka selain meminta masyarakat antarabangsa meneruskan usaha ke arah keamanan, menggalakkan rundingan dan desakan meneruskan semula rundingan di antara Palestin-Israel.

Sementara itu Timbalan Menteri Luar Russia, Mikhail Bogfanov yang bercakap kepada pemberita Russia di New York berkata pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas memaklumkan kepada mereka mengenai usaha Palestin untuk membawa usul itu kepada Majlis Keselamatan. 

“Apa yang kami difahamkan ia akan dikemukakan pada 23 September,” kata timbalan menteri itu dalam komen yang dilaporkan agensi berita Interfax. 

Ditanya sama ada Russia akan menyokong usaha Palestin itu, Bogdanov berkata: “Sudah pasti.” 

Palestin perlu mendapatkan sekurang-kurangnya sembilan undi di Majlis Keselamatan dan mengelak daripada kuasa veto jika mahukan usaha mereka mendapatkan keahlian PBB itu diluluskan. 

Sementara itu, Perancis dan Amerika Syarikat terus mendesak agar tekanan dikenakan ke atas Palestin dalam usaha memujuk Presiden Mahmoud Abbas menghentikan usahanya untuk mendapatkan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara. 

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan juga Presiden Barack Obama akan membuat gesaan itu dalam ucapan ketika sesi pembukaan Perhimpunan Agung PBB terbabit. 

Obama akan menggesa secara peribadi terhadap usaha Palestin itu apabila bertemu Abbas pada Rabu. 

Pemimpin Amerika Syarikat merumuskan mereka tidak dapat menghentikan Abbas daripada meneruskan kesnya secara rasmi bagi mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan bagi penubuhan sebuah negara yang diiktiraf tetapi mahu memastikan pemimpin Palestin itu menggugurkan langkah berkenaan selepas menyerahkan suratnya kepada PBB. 

Abbas dijangka membuat satu permohonan rasmi bagi pengiktirafan sebuah negara pada Jumaat apabila beliau berucap kepada Perhimpunan Agung berkenaan. Tetapi ia mungkin akan mengambil masa berminggu atau berbulan bagi PBB untuk bertindak terhadap permohonan Palestin itu. – AP/Agensi 

Tiada ulasan: