24 Syawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 22 Sept: Arahan supaya semua pemilik kenderaan perdagangan mendaftarkan semula lesen operasi kenderaan mereka membuktikan kerajaan tidak cekap, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).
"Pertama, arahan itu menyusahkan dan membebankan kerana pengusaha dan pekerja kenderaan awam yang berpendapatan rendah terpaksa meninggalkan kerja mereka untuk mendaftarkan semula lesen operasi kenderaan mereka.
"Kesusahan dan bebanan tersebut menjejaskan produktiviti dan nafkah mereka," katanya.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa semua pemilik kenderaan perdagangan yang masih belum mendaftarkan semula lesen operasi kenderaan mereka supaya berbuat demikian selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini.
Sekiranya tidak, mereka akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pengangkutan Darat 2010.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh untuk mendaftarkan semula lesen operasi tersebut kerana masa yang cukup telah diberikan kepada semua pemilik kenderaan tersebut.
Berikutan itu, kata beliau, jika pemilik kenderaan gagal berbuat demikian mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya mengikut akta sama.
Salahuddin juga mepersoalkan adalah kerajaan tidak mempunyai data kenderaan-kenderaan tersebut dan urusan mendaftarkan semula lesen operasi kenderaan berkenaan dilakukan lebih cekap dan tidak menyusah dan membebankan mereka yang terlibat.
"Jika SPAD begitu ketinggalan dan tidak mempunyai 'database' yang berkaitan, ia sepatutnya boleh mendapatkan kerjasama dari kementerian dan agensi lain yang berkaitan.
"Adakah JPJ (Jabatan Penangkutan Jalan) tidak mempunyai data yang berkaitan untuk membolehkan SPAD memanfaatkannya serta menguruskan pendaftaran semula itu dapat melaksanakan urusan berkenaan dengan lebih cekap," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang menerima aduan dari mereka yang terlibat.
Salahuddin hairan mengapa SPAD diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"Sepatutnya SPAD berada di bawah Kementerian Pengangkutan. Apabila ia tidak berada di bawah kementerian berkenaan, adakah Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy tidak berkeupayaan dan tidak berkemampuan mengawalselia perjalanan SPAD?
"Atau, adakah ia bukti krisis kepercayaan para pemimpin Umno terhadap para pemimpin MCA yang berada dalam kerajaan?" tanya beliau.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan