22 September 2011

Dalam bergolak, KITA mahu jelajah negara sokong Najib

23 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Ketika diuji dengan pelbagai masalah dalaman, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) mahu menjelajah negara dan tujuannya adalah 'untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.'

Parti itu merancang untuk menjelajah ke seluruh negara bagi meminta rakyat menyokong Perdana Menteri dalam usaha beliau menyelamatkan demokrasi di Malaysia.

Bagi parti itu, pengumuman pemansuhan undang-undang darurat, ISA dan undang-undang berkaitan akhbar, yang memberikan kebebasan berhimpun dan bersuara kepada rakyat, adalah perisytiharan yang penuh bermakna dan bersejarah.

Adalah amat penting bagi rakyat di semua peringkat di negara ini memahami tujuan dan maksud transformasi dasar ini, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Urus Setia Jelajah Demokrasi KITA.

KITA yang ditubuhkan Januari lalu, kini bergolak apabila ramai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu mengecam hebat tindakan "tidak beretika dan tidak mengikut perlembagaan" Presiden Datuk Zaid Ibrahim memecat anggota CWC baru-baru ini.

Tindakan memecat tiga anggota CWC - setiausaha pusat Abdul Latif A Tambi, bendahari Rashid Azad Khan dan anggota CWC Muhammad Firdaus Christopher - dikatakan dibuat tanpa sebarang sebab kukuh dan hanya menerusi surat tidak rasmi iaitu hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dalam satu e-mel hari ini, seorang anggota CWC parti itu, Mohd Zahrein Zakariah berkata beliau akan memanggil satu mesyuarat agung luar biasa parti sebagai saluran undang-undang untuk mendesak Zaid meletak jawatan.

"Presiden telah menyimpang jauh daripada matlamat parti ditubuhkan. Tidak ada pergaduhan dalam KITA cuma ada mereka yang memutuskan untuk bercanggah dengan prinsip parti ditubuhkan dan ini termasuklah ketua parti Zaid Ibrahim.

"KITA bermatlamat menjadi parti pembangkang utama di Malaysia, dan kami tetap teguh dengan pendirian itu serta menjadi tanggungjawab saya menentang tindakan Zaid baru-baru ini yang berlawanan dengan prinsip parti," katanya.

KITA ditubuhkan Januari lalu selepas Zaid keluar daripada PKR tahun lalu, dan menyertai parti yang sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Malaysia.

Elak dikelirukan

Bagi KITA dalam kenyataannya, tanpa pemahaman yang mendalam, rakyat boleh dikelirukan oleh kumpulan-kumpulan yang menentang transformasi berkenaan.

"Usaha Perdana Menteri wajar mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira fahaman politik kerana transformasi berkenaan mendatangkan manfaat kepada rakyat seluruhnya," kata kenyataan itu.

Atas kesedaran inilah dan bagi memastikan usaha murni Perdana Menteri tidak tergendala, Parti KITA akan mengadakan pertemuan dengan orang ramai untuk memberi penjelasan dan penerangan dalam beberapa hal berkaitan dengan isu ini, tambah kenyataan itu lagi.

Persoalan bagaimana negara dan rakyat akan mendapat manfaat daripada transformasi ini akan diperjelaskan, kata kenyataan itu.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: