22 September 2011

Hudud: PAS akan ikut saluran, bukan sembrono

24 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Perlaksanaan hukum hudud hanya akan dibuat mengikut keadah demokrasi melalui saluran perundangan dan bukan secara memaksa, kata AJK PAS Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, selain melepasi proses perundangan itu, PAS juga akan memastkan ianya diterima rakyat sebelum dilaksanakan.

"Saya nak jawab kepada Tun (Dr Mahathir), kita (PAS) akan mengambil pentas demokrasi melalui saluran legislatif dan bukan secara terpaksa atau melalui pintu belakang," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Tun M yang mencabar PAS Kelantan melaksanakan Hudud di negeri itu ekoran beliau yang disifatkan penghalang perlaksanaan itu sebelum ini, sudah tidak lagi menjadi perdana menteri.

Tun didakwa menghalang perlaksanaan undang-undang Islam itu di Kelantan melalui satu surat amaran yang dihantar beliau selaku Perdana Menteri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pada tahun 1993 lalu.

Kucar-kacirkan Pakatan

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Dzulkefly berkata beliau yakin tindakan Tun membangkitkan perkara itu kerana mahu memporak perandakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Lebih khusus lagi membabitkan PAS dan DAP yang selama ini kononnya dilihat beliau bercanggah besar dalam isu ini.

"Tapi kali ini congakan Tun silap. PAS tidak akan silap dalam menyatakan betapa kita komited melaksanakan apa jua cita-cita kami sebagai parti Islam, tetapi akan mengambil pelaksanaannya dalam garis demokrasi dengan laluan legislatif dan disokong oleh rakyat," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Selangor.

Biarpun Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang undang-undang jenayah Syariah II yang di dalamnya terkandung undang-undang hudud, Dr Mahathir melalui suratnya itu menyekat pelaksanaannya.

Tambahnya, halangan melaksanakan undang-undang syariah Islam oleh BN bermula sejak 1965 lagi.

Ianya apabila Perikatan yang menguasai dua pertiga parlimen pada waktu itu meluluskan akta mahkamah syariah yang membataskan kuasa perlaksanaan undang-undang syariah menggunakan formula 356 iaitu 3 tahun penjara, denda tidak lebih RM5,000 dan sebat tidak melebihi 6 sebatan.

"Jika benar Tun dan pemimpin Umno tidak menghalang, kenapa (hudud) tidak diluluskan sewaktu BN menguasai dua pertiga parlimen ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri," soalnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: