24 Syawal 1432H. [MOD] -
CANBERRA: Adegan dua pelakon komedi yang memegang watak Perdana Menteri Australia, Julia Gillard dan pasangannya, Timothy Mathieson baring dibaluti bendera Australia selepas melakukan seks, dikecam Ahli Parlimen dan media yang menyifatkannya tidak menghormati bendera negara dan jawatan perdana menteri.
Lakonan komedi dalam episod ketiga siri satira berjudul At Home with Julia yang ditayangkan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) malam semalam juga dianggap bukan jenaka, sebaliknya penghinaan kepada perdana menteri wanita pertama Australia itu.
Episod keempat siri itu disifatkan lebih teruk dan tiada unsur komedi langsung punca pelbagai pihak meminta ia tidak diteruskan.
Ahli Parlimen Parti Buruh dan pembangkang konservatif bersatu dalam kritikan mereka mengenai adegan bendera itu.
Pembantu Menteri Kewangan, Bill Shorten, berkata ada pihak menyifatkan nama anjing Guillard yang sama dengan namanya sebagai lucu, tetapi bagi beliau ia adalah ejekan kepada cita-cita politiknya.
“Sebaik saja anda mendapati perdana menteri dan pasangannya bersama bendera itu, saya dapati ia langsung tidak menarik,” kata Shorten kepada wartawan.
Ahli Parlimen pembangkang, John Forrest menggesa ABC menarik balik episod berkenaan.
“Saya mengutuk adegan itu,” kata Forrest kepada akhbar The Age.
ABC bagaimanapun mempertahankan adegan terbabit, menyifatkan ia tidak menghina dalam konteks episod 30 minit itu.
“Jika ia tidak menjadi masalah bagi orang lain untuk menutup mereka dalam bendera bagi semua acara, kami tidak melihat mengapa ia tidak boleh dibalut pada tubuh perdana menteri sebagai simbol cinta,” kata perbadanan itu.
Sementara itu, Gillard menegaskan beliau tidak akan menonton program itu atau membuat ulasan mengenainya. – AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan