22 September 2011

PKNS Mantapkan Portfolio Pelaburan

24 Syawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 22 SEPT : Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar menjelaskan bahawa cadangan menyuntik aset-aset PKNS ke dalam Real Estate Investment Trust (Reit) adalah sebahagian daripada pelan transformasi PKNS bagi memantapkan portfolio pelaburan.

Menurutnya PKNS telah mengenalpasti aset-aset matang dan cadangan suntikan tiga aset (Kompleks PKNS, Menara PKNS Petaling Jaya dan SACC Mall) ke dalam Amanah Raya Real Estate Investment Trust (Arreit).

Perkara ini dilakukan bagi membolehkan PKNS mencairkan nilai aset dan mentransformasikan aset-aset tersebut ke dalam pelaburan yang lebih cair ke dalam unit Arreit.

Menurut othman, Reit di Malaysia telah mula bertapak seawal tahun 2003, pelabur terawal yang mula menceburi sektor ini termasuklah Kumpulan Axis, Kumpulan Perbadanan Johor (KPJ) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sehingga kini terdapat 14 Reit yang telah disenaraikan di pasaran terbuka.

Ujar Othman lagi nilai pasaran aset di dalam seluruh Reit Malaysia berjumlah RM11.5 bilion sekaligus membuktikan pasaran Reit dalam negara adalah satu aktiviti pelaburan yang menjamin pulangan menguntungkan.

Bahkan ia bukan sahaja dilaksanakan oleh syarikat-syarikat swasta atau pemaju-pemaju tetapi anak-anak syarikat kerajaan seperti KPJ, Boustead dan PNB juga turut melibatkan diri dalam pasaran Reit.

Negara seperti Jepun, Australia, Singapura dan Hong Kong telah melaksanakan aktiviti Reit ini sejak dua dekad yang lalu.

Othman berkata, aktiviti Reit di negara ini sangat digalakkan dan disokong sepenuhnya oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan memberi faedah percukaian dan insentif yang menggalakkan.

Untuk rekod PKNS telah ditubuhkan sejak 47 tahun yang lalu dan dengan pegangan aset bernilai lebih dari RM4 bilion dan adalah wajar untuk PKNS menceburi bidang pelaburan baru bagi menjana pendapatan serta mendapat keuntungan yang terjamin.

Justeru itu katanya hasil keuntungan daripada kepelbagaian usaha ini akan disalurkan semula untuk membiayai projek-projek sosial seperti membina infrastuktur, pembangunan semula serta memberi subsidi silang kepada pembinaan rumah-rumah mampu milik di seluruh Selangor.

tn news/-

Tiada ulasan: