14 Oktober 2011

40 ribu nama diragui, apa jadi dengan ALIS

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pendedahan wujud 40,000 pemilih 'diragui' yang mahu dipamer oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kepada umum menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan Agency Link-Up System (ALIS).

ALIS iaitu satu sistem yang menghubungkan pengkalan data SPR dengan pengkalan data warganegara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ianya digunakan bagi mengenalpasti individu yang mendaftar sebagai pemilih adalah sah sebagai warga negara.

"Sebelum ini SPR begitu berbangga kerana mempunyai sistem yang dihubungkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikenali sebagai ALIS (Agency Link-Up System).

"Sudah pastilah JPN mempunyai pengkalan data yang paling canggih dalam negara kita. Tapi apa sudah jadi dengan sistem ini," soal Exco Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

Beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi dewan itu turut mempersoal adakah JPN tidak memiliki identiti semua warga negara Malaysia sehingga perlu dipaparkan kesemua 40 ribu pemilih yang meragukan kepada media.

Sepatutnya dengan sistem ALIS itu katanya, SPR dan JPN sudah mampu membezakan antara pengundi asli dan pengundi palsu.

"Mengapa baru sekarang SPR menyedari pemilih yang meragukan. Apakah sebelum ini SPR tidak menyedarinya?

"Kalau tidak menyedarinya bagaimana status pilihan raya ke-12 yang penuh dengan daftar pemilih yang tercemar," soalnya lagi.

Selain itu beliau turut mempersoal apakah SPR sudah tidak yakin dengan JPN kerana kelemahan sistem pengkalan datanya sehingga terpaksa dipamer kepada umum.

Ke mana hilang 10,000 lagi nama

Sementara itu, beliau mahu SPR menjelaskan ke mana hilangnya sejumlah 10,000 lagi nama yang sebelum ini didakwa sedang di siasat oleh mereka.

"Dalam kenyataan media yang terbaharu Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof telah mendedahkan bahawa terdapat 40 ribu pengundi yang diragukan.

"Sedangkan sebelum ini kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR bahawa terdapat 50 ribu pemilih yang sedang disiasat. Saya tidak tidak pasti bagaimana 10 ribu pemilih hilang secara tiba-tiba," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Pun begitu, beliau turut mengucap syabas kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya,Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof kerana akhirnya akur bahawa daftar pemilih SPR perlu dibersihkan.

Beliau juga mahu usaha Pemuda PAS membongkar segala kelemahan dalam sistem pilihan raya tidak lagi diperlekeh SPR.

harakahdaily/-

Tentera NATO Terbunuh Di Afghanistan

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KABUL: Penguatkuasa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata anggota tentera antarabangsanya terbunuh dalam serangan pemberontak di selatan Afghanistan.

Perikatan tentera antrabangsa itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut dalam kenyataan yang disiarkan, Jumaat, berhubung serangan pada Khamis.

Lazimnya, NATO akan menunggu keizinan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum menyiarkan keterangan terperinci berkenaan kematian atau kerugian dialami pihaknya.

Ia adalah kematian tentera antarabangsa yang ke-sembilan dilaporkan sejak awal Oktober ini.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 462 tentera antarabangsa sudah terkorban di Afghanistan. - AP

Ingat ALLAH, hati tenang

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sabda Nabi, "Mahukah aku beritahu kamu tentang amal yang paling bersih di sisi Tuhanmu dan paling tinggi mengangkat darjatmu, dan lebih baik bagimu dari berperang melawan musuh, kamu memenggal leher mereka dan mereka pun memenggal leher kamu?" Para Sahabat menjawab, "Khabarkan kepada kami." Rasulullah S.A.W. pun bersabda, "Zikir (ingat) kepada Allah". (HR Hadis At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Firman Allah, "Maka apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah di masa berdiri, di masa duduk dan di masa berbaring." (An-Nisa' 103)

Firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang." (Al-Ahzab 41-42)

Allah berfirman yang bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

tazkirah/-

Pemandu teksi pun nak dikenakan BN.

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Jika boleh diungkapkan, inilah kemungkinan ayat kerajaan Barisan Nasional kepada para pemandu teksi; senada dengan watak Haji Bakhil yang mengherdik budak-budak yang berada di depan laman rumahnya, "Nah! Ambil gula-gula ini, pergi main jauh-jauh".

Perumpamaan dari satu daripada filem legenda P. Ramlee ini mudah difahami semua, setelah kita menghalusi Belanjawan kerajaan BN yang cuba menawarkan sesuatu kepada para pemandu teksi di negara ini.

Insentif yang dicadang untuk diberikan, sebagaimana yang ditawarkan oleh Najib Razak adalah:

* Pengecualian 100% duti eksais dan cukai jalan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.

* Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jalan ke atas teksi berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik.

* Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet persendirian.

* Subsidi kadar faedah dua peratus untuk teksi baru buatan tempatan.

* Pemberian bantuan menggantikan teksi usang (RM3,000 bawah 7 hingga 10 tahun dan RM1,000 lebih 10 tahun)

* Kerajaan BN mendakwa semua insentif ini memberi manfaat kepada pemandu teksi bajet dengan penjimatan berjumlah RM7,560.

Jadi, apa pula kaitannya ungkapan Haji Bakhil dengan belanjawan BN ini?

Tampi padi untuk dapatkan beras

Pengumuman Najib selaku Menteri Kewangan itu sekadar mengurangkan sakit, seperti menelan pain killer, dan ianya bersifat sementara.

Kos-kos ini bukan sekadar kos berbentuk wang kertas kerana ia juga melibatkan birokrasi yang sangat rigid dalam proses-proses lain juga. Karenah birokrasi juga memakan kos iaitu masa dan tenaga, dan kadang kalanya melibatkan "duit kopi".

Dalam ilmu ekonomi, masa dan tenaga juga akan membawa makna wang, dan dalam bahasa seharian, semua orang tahu apa itu duit kopi.

Bagaimana pula dengan pemandu teksi yang tidak ada pilihan lain dalam hidup kecuali memandu teksi sebagai kerjaya mereka? Memang tiada jaminan bahawa karenah birokrasi untuk mendapatkan kelulusan membawa teksi ini tidak berlanjutan.

Cukai jalan telah pun diketahui bahawa jumlahnya sudah berpatutan dan murah. Ia bukan satu beban utama kepada pemandu teksi. Ibarat kata, seperti menawarkan diskaun kepada orang tua untuk menaiki LRT dan monorel atau jika imaginasi lebih jauh menjalar, menawarkan diskaun untuk rakyat membeli helikopter, mana-mana kerajaan mana pun sanggup berbuat begitu.

Respon pemandu teksi

Tinjauan selepas pengumuman Belanjawan BN mendapati salah seorang dari ribuan pemandu teksi di Lembah Klang telah sempat mengirim SMS, katanya "lepas ni aku tak nak 'kayuh' lagi la, duit sewa cab aku masih sama, bajet NR tak bagi impact sangat kat 'pilot' macam aku ni, penat je kayuh cab orang."

Bagi yang tidak begitu memahami bahasa SMS pemandu teksi…
"kayuh" - memandu/bawa teks
"cab" - teksi
"NR" - Najib Razak
"pilot" - pemandu teksi

Kekecewaan pemandu teksi ini rupanya masih berterusan sekali pun insentif kerajaan BN telah diumumkan. Kebanyakan mereka hanya pemandu, bukan pemilik. Yang memiliki teksi ialah syarikat-syarikat; mungkin yang ada kabel politik dengan parti pemerintah.

Tanda-tanda jika sesuatu pihak itu tidak ikhlas dan tidak jujur adalah kefahamannya dalam sesuatu situasi. Hairan bagaimana kerajaan BN yang dikatakan cukup sumber untuk mengkaji dan mencari penyelesaian terhadap masalah rakyat, telah gagal memahami dan melaksanakan keperluan utama rakyat, dalam hal ini pemandu teksi.

Tawaran Pakatan Rakyat

Bukankah Pakatan Rakyat dalam Belanjawan Alternatifnya dengan tema Kesejahteraan Untuk Semua telah menunjukkan jalan yang mudah dan jelas tentang apa yang diinginkan oleh pemandu teksi - memberi permit penuh kepada pemandu teksi.

Ini bererti PR lebih faham keperluan dan kehendak rakyat, termasuk pemandu teksi. Bagi pemandu teksi, memiliki teksi sendiri adalah serupa seperti seorang petani atau peneroka FELDA mendapat hak milik tanah.

Pemandu teksi tidak mahu membawa kereta yang disewa dari syarikat kerana kos sewaan mahal, malah kerajaan tidak ada banyak kuasa untuk menentukan harga sewaan yang dikenakan syarikat tesebut. Kerajaan BN seolah-olah mahu pemandu teksi makan gaji semata-mata tanpa membenarkan mereka berdikari.

Kerajaan BN yang gah dengan sebegitu ramai penasihat dan perunding, termasuk dari luar negara yang dibayar berpuluh juta ringgit tetapi berpura-pura tidak faham masalah asas dan penting bagi pemandu teksi.

Mengapa permit hak milik teksi ini begitu liat mahu diberikan kepada individu pemandu teksi? Adakah kerana permit-permit ini hanya untuk syarikat yang sudah menjadi kuota kepada ketua-ketua bahagian UMNO?

Adakah kerana permit ini masih telah menjadi satu-satunya aset kaum Bumiputera yang mesti dipegang amanahnya oleh segelintir elit UMNO hingga menafikan hak-hak pemandu teksi Melayu sendiri? Malah pemandu teksi berketurunan Cina, India dan lain-lain juga menggigit jari sahaja.

Sekali lagi, terbukti Belanjawan BN 2012 hanya ingin mengabui mata golongan berpendapatan rendah (baca: Melayu) untuk jangka masa yang amat singkat, sekadar untuk UMNO dan BN menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Kalau ada yang masih kurang faham dengan politik UMNO-BN, selain dari tepuk dada tanya selera, luangkan sedikit masa untuk menonton filem klasik yang berwatakkan Haji Bakhil untuk kesekian kalinya. Mungkin ada ilham baru untuk rakyat yang semakin dihimpit tekanan kenaikan kos hidup. -Roketkini

Alim nak minta duit

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PERDAYA...dua lelaki yang didakwa menyamar saudara baru.
KUALA LUMPUR: Mengaku mendapat hidayah untuk memeluk Islam dan berkopiah bagi menunjukkan perwatakan alim dikesan menjadi taktik baru sekumpulan individu tidak bertanggungjawab bagi meraih simpati orang ramai terutama umat Islam bertujuan membolehkan mereka mendapat bantuan dan wang dengan cara mudah.

Lebih licik, kumpulan individu terbabit menyasarkan surau di kawasan elit untuk mereka berpura-pura melafazkan kalimah syahadah, sekali gus meraih simpati jemaah untuk menghulurkan bantuan kepada ‘saudara baru’ yang hanya menyasarkan wang ringgit.

Kegiatan kumpulan itu dikesan seorang penceramah agama yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) selepas mengalami sendiri peristiwa berkenaan sebelum menyedari golongan itu tidak ikhlas untuk memeluk Islam, sebaliknya inginkan bantuan semata-mata.

Penceramah itu yang mahu dikenali sebagai Asri berkata, dia didatangi mualaf yang dikenali sebagai Ibrahim, 50-an, membawa seorang rakannya, Ong, 56, kedua-duanya berasal dari Johor sambil mengaku ingin memeluk Islam ketika dia memberi ceramah di surau di Gombak di sini, 19 September lalu.

Selain itu, katanya, jawatankuasa surau berkenaan memaklumkan kepadanya selepas Ong, Ibrahim turut membawa sekurang-kurangnya empat penganut agama lain bagi tujuan memeluk Islam di surau berkenaan dengan modus operandi hampir sama dengan kes terdahulu.

metro-

Saya serah kepada polis - Aziz Bari

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pakar Perlembagaan, Prof Dr. Abdul Aziz Bari menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan terhadapnya berhubung laporan yang dibuat, mendakwa beliau mempertikai titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, semua orang mempunyai hak untuk membuat laporan polis jika tidak berpuas hati terhadap tindakan mana-mana pihak dan polis juga berhak melakukan tugas mereka.

"Hak orang nak buat laporan polis...saya tak boleh kata apa...terpulang kepada polis untuk ambil tindakan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Aziz berkata demikian ketika diminta memberi respons kepada lima laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Satu laporan dibuat oleh bekas ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Nor manakala empat lagi oleh NGO yang kritikal terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).

Dalam laporan masing-masing, mereka mendakwa, Aziz tidak sepatunya mengeluarkan kenyataan itu kerana kuasa Sultan dalam hal ehwal Islam termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri.

Namun Aziz mempertahankan tindakannya itu dan menafikan beliau mengeluarkan kenyataan yang mencabar kuasa Sultan.

"Saya rasa apa yang saya sebut itu tak ada masalah dalam ruang lingkup yang kita boleh komen.

"Ada lagi kenyataan yang lebih teruk tapi tak ada pulak laporan polis dibuat terhadap mereka," katanya.

Malaysiakini Selasa lalu melaporkan Aziz sebagai berkata, tindakan Sultan Selangor campurtangan berhubung isu DUMC bukan tindakan yang lazim.

Menurutnya, walaupun sebagai ketua agama Islam negeri baginda mempunyai hak itu, tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

harakahdaily/-

PC tewas kepada IPad dan telefon pintar

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PENGGUNA kini lebih cenderung mendapatkan iPad atau Samsung Galaxy Tab 10.1 berbanding PC.

SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Firma perunding Gartner kelmarin melaporkan jualan komputer peribadi (PC) di seluruh dunia merosot pada suku tahun kewangan yang berakhir baru-baru ini kerana pengguna lebih gemar membeli komputer meja dan telefon pintar.

Di AS, bilangan PC yang dieksport dalam suku kewangan ketiga tahun ini terus menurun.

"Pasaran PC pengguna terus lemah," kata penganalisis kanan Gartner, Mikako Kitagawa.

"Ia susulan gajet bukan PC termasuk tablet media seperti iPad dan telefon pintar yang semakin popular dan menjadi pilihan terkini pengguna," tambahnya.

Menurut Kitagawa lagi, Hewlett Packard (HP) kekal pengeluar komputer terbesar dunia, tetapi Lenovo yang berpangkalan di China semakin kukuh apabila jualan PC syarikat itu melonjak 25 peratus sekali gus merampas tempat kedua daripada Dell sepanjang tahun ini.

Laporan Gartner turut meramalkan tablet media dan telefon pintar akan terus memberi kesan kepada jualan PC terutama di AS. - AFP

Gangguan Iblis Tidak Melalui Atas Dan Bawah

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Di dalam Al Qur’an, akan kita dapati satu rakaman dialog antara Allah SWT dengan iblis yang dihukum oleh Allah. Dalam dialog tersebut, iblis menyatakan untuk sentiasa menyesatkan manusia. Hal tersebut tercatat dalam surah Al A’raf ayat 16-17 berikut ini:

“Iblis menjawab: ‘Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (ta’at).’” (QS. Al A’raf : 16-17)

Dari ayat Al Quran di atas dijelaskan bahawa Iblis akan selalu menghalang-halangi kita dari jalan yang lurus. Caranya, dia akan mendatangi kita dari muka, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri kita. Lalu apa maksud dari keempat penjuru itu?

Dalam tafsir Ibnu Katsir dijelaskan bahawa yang dimaksud dengan firman Allah SWT dalam surat Al-A’raf ayat 17 di atas adalah:
“Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka”:
Iblis akan membuat manusia ragu akan permasalahan akhirat (Min baini Aidihim),

“dan dari belakang mereka”:
membuat mereka cinta kepada dunia (Wa Min Kholfihim),

“dari kanan”:
urusan-urusan agama akan dibuat tidak jelas (Wa ‘An Aimaanihim)

“dan dari kiri mereka”:
dan manusia akan dibuat tertarik dan senang terhadap kemaksiatan (Wa ‘An Syama’ilihim).

Lalu timbul pertanyaan di benak kita, mengapa iblis tidak mendatangi kita dari ATAS dan dari BAWAH kita? Hal tersebut dijelaskan dalam sebuah tafsir Al Qur’an yang diredaksikan dari Al-Fakhrur-Razy dalam tafsirnya berkata:

“Diriwayatkan bahawa ketika Iblis mengatakan ucapannya tersebut, maka hati para malaikat menjadi kasihan terhadap manusia mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, bagaimana mungkin manusia boleh melepaskan diri dari gangguan syaitan?”

Maka Allah berfirman kepada mereka bahawa bagi manusia masih ada dua jalan: atas dan bawah, jika manusia mengangkat kedua tangannnya dalam do’a dengan penuh kerendah-hatian atau bersujud dengan dahinya di atas tanah dengan penuh kekhusyu’an, Aku akan mengampuni dosa-dosa mereka” (At-Tafsir Al-Kabir V/215)

Dalam tafsir yang lain juga dikatakan bahawa Iblis tidak mendatangi kita dari atas, kerana rahmat turun kepada manusia dari atas (Tafsir Ibnu katsir III/394-395).

Oleh kerana itu iman adalah senjata kita. Berdoalah, mari kita berlindung kepada Allah atas segala godaan syaitan yang terkutuk

-khalifah

Papua New Guinea Dilanda Gegaran 6.7 Magnitud

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SYDNEY: Kepulauan Papua New Guinea pada Jumaat dilanda gempa bumi berukuran 6.7 magnitud, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini.

US Geological Survey berkata gegaran tersebut berlaku pada kedalaman 45 kilometer (28 batu), 103 kilometer di timur bandar raya Lae dan 326 kilometer di utara ibu kota Port Moresby.

Geoscience Australia yang menyukat gegaran itu pada skala 6.5 magnitud, berkata pusat gempa itu tidak dapat dipastikan sama ada berada di bawah laut atau daratan kerana ia berlaku terlalu hampir dengan pantai.

“Sesiapa yang berada berhampiran dengan kawasan gempa bumi itu pasti dapat merasai gegaran yang sangat kuat, yang berkemungkinan menjejaskan kawasan persekitarannya.

“Kawasan perbandaran Lae yang terletak kira-kira 100 kilometer di bahagian barat lokasi gegaran itu mungkin mengalami kerosakan kecil,” kata ahli seismologi David Jepsen kepada AFP.

Katanya lagi, gegaran pada skala tersebut adalah sesuatu yang lazim bagi kawasan itu.

Papua New Guinea yang dihimpit kemelut kemiskinan walaupun mempunyai kekayaan mineral terletak dalam Lingkaran Gunung Berapi Pasifik yang diancam aktiviti gelombang seismos kerana pergeseran di antara plat-plat tektonik.

Tsunami dahsyat yang melanda bahagian barat laut negara itu di Aitape pada 1998 berpunca daripada gegaran yang berlaku di bawah laut atau gelongsoran tanah. Ia mengorbankan lebih 2,000 mangsa. - AFP

Hudud: Malaysia patut contohi Brunei

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Muslimat PAS menyokong penuh titah Sultan Brunei agar pemerintah negara itu melihat keperluan untuk melaksanakan undang-undang syariah dengan segera,serentak dengan undang-undang sivil di negara itu.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof sambil mengucapkan tahniah kepada Sultan Brunei berkata, negara-negara Islam yang lain khususnya Malaysia seharusnya mencontohi Sultan Brunei yang prihatin terhadap tuntutan Islam.

"Saya bagi pihak Dewan Muslimat mengucapkan syabas di atas kesungguhan dan ketegasan Sultan Brunei dan ia seharusnya dicontohi oleh Raja-Raja yang lain," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Kelmarin, Sultan Brunei yang bertitah di mesyuarat Majlis Agama Islam di negaranya berkata, perlaksanaan undang-undang Islam tidak harus lagi ditangguh lebih lama kerana kelengkapan untuk melaksanakannya sudah ada.

Akta Jenayah Islam jika difahami dengan betul ujarnya, adalah yang terbaik kerana ia datang dan dicipta oleh Allah Yang Maha Kuasa dan tidak manusia.
Siti Zailah turut berkata, sekiranya sesebuah negara Islam itu berjaya melaksanakan undang-undang Islam dalam negaranya, ia dengan sedirinya akan memartabatkan golongan istana kerana Sultan merupakan ketua agama Islam.

"Sekiranya terlaksananya undang-undang syariah ini ,ia sebenarnya akan memartabatkan lagi kedaulatan Raja-Raja yang menerima mandat yang besar ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Undang-undang syariah pelihara wanita

Sementara itu, menurut Siti Zailah juga, umat Islam khusunya golongan wanita tidak seharusnya ragu-ragu dengan pelaksanaan undang-undang Islam kerana ianya adil kepada semua.

Katanya, melihat kepada kejadian jenayah yang kebanyakannya melibatkan wanita, dan seolah-olah tidak terbendung lagi, amat sesuai jika undang-undang Islam dilaksanakan ketika ini.

"Undang-undang Islam ini adil dan memelihara maruah wanita itu sendiri.

"Selama ini kita melihat ekspolitasi terhadap maruah wanita, dan purata dalam sehari 10 wanita dirogol dan kes-kes yang melibatkan rompakan, ragut, simbah asid, kebanyakan mangsanya ialah wanita.

"Dengan adanya undang-undang Islam akan menimbulkan rasa gerun orang untuk melakukan kejahatan," katanya sambil berkata skop Mahkamah Syariah di negara ini sangat kecil iaitu merangkumi hal-hal kekeluargaan dan rumah tangga sahaja.

Di samping itu katanya, orang bukan Islam akan turut berasa selamat dengan keadilan undang-undang syariah ini.

"Secara kasar, golongan bukan Islam banyak memiliki harta kekayaan jadi dengan adanya undnag-undang syariah yang dapat membendung kejadian curi dan rompak, mereka rasa selamat dalam menjaga harta benda," katanya.

harakahdaily/-

Sengat ikan pari dikeluarkan dari punggung selepas lapan tahun

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

CHE MOHD. NURUL menunjukkan sengat ikan pari yang dikeluarkan dari punggungnya. Bahagian sengat ikan pari (dalam bulatan).

DUNGUN - Derita seorang pemuda yang terpaksa menahan sakit ekoran disengat ikan pari di punggungnya sejak lapan tahun lalu, berakhir apabila sengat itu berjaya dikeluarkan melalui pembedahan di Hospital Daerah Dungun petang kelmarin.

Che Mohd. Nurul Che Anuar, 23, yang ditemui di Kampung Sura Gate di sini tidak menyangka sengat pari itu dapat dikeluarkan setelah pelbagai ikhtiar untuk mengeluarkannya sebelum ini gagal.

Katanya, dia disengat pari kira-kira lapan tahun lalu ketika duduk di Pantai Teluk Lipat di sini semasa melihat bapa saudaranya pulang daripada menangkap ikan.

Sejak itu, dia yang bekerja kampung terpaksa hidup dengan sengat pari di dalam badannya dan sakit pada saraf setiap kali melakukan kerja.

kosmo/-

Wanita mati terjatuh dari tingkat 12

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANAK panah menunjukkan arah seorang wanita terjatuh lalu mati dari tingkat 12 flat Tun Dr. Ismail di Lobak, Seremban semalam.

SEREMBAN – Seorang wanita yang baru sehari keluar dari wad sakit jiwa Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 12 flat Tun Dr. Ismail, Lobak di sini kelmarin.

Mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dijumpai pukul 4.10 petang dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tempat pembuangan sampah flat berkenaan.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lim, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum terdengar bunyi benda terjatuh berhampiran tempat pembuangan sampah.

“Saya terkejut apabila ternampak tubuh seorang wanita terbaring di situ sebaik menjenguk melalui tingkap. Saya kemudian memberitahu jiran sebelum menghubungi polis,” ceritanya ketika ditemui.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Md. Yusoff Awang ketika dihubungi memberitahu, mangsa yang berasal dari Senawang itu dipercayai datang ke flat berkenaan dengan sebuah kereta.

“Siasatan awal mendapati mangsa baru keluar dari wad sakit jiwa HTJ sehari sebelum dia ditemui mati akibat terjatuh,” katanya yang masih menyiasat kejadian yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut itu.

kosmo/-

Pelumba basikal lasak dirempuh antelop

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SEEKOR antelop cuba menanduk Van der Spuy yang sedang mengayuh basikal.

JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Satu kemalangan melibatkan seorang pelumba basikal lasak dengan seekor antelop sudah cukup untuk mencetuskan sensasi di Internet.

Seorang penganjur perlumbaan, Max Cluer kelmarin berkata, Evan van der Spuy, 16, dirempuh mamalia tersebut ketika menyertai satu perlumbaan hujung minggu di sebuah taman hidupan liar di sini.

Antelop yang melanggar pelumba remaja itu adalah dari jenis hartebeest dengan berat lebih 200 kilogram.

Seorang pelumba lain yang merakam insiden tersebut kemudian menghantar klip video berkenaan ke laman perkongsian video YouTube bersama kata tanda bermaksud "Dahsyatnya!".

Ia ditonton lebih 5 juta kali setakat Rabu lepas.

Menurut Cluer, Van der Spuy tidak cedera teruk, manakala antelop tersebut kembali bersama kawanannya selepas kemalangan itu berlaku.

Van der Spuy pula memberitahu akhbar tempatan bahawa dia tidak ingat apa-apa tentang peristiwa itu, tetapi topi keledarnya yang pecah menjadi bukti pertembungan liar tersebut. - AP

BANGKIT : Bebaskan Hutang Peneroka !

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

writes "LABIS - Gerakan Kebangkitan Peneroka Kebangsaan (BANGKIT) menuntut agar hutang yang membebani para peneroka Felda selama ini dimansuhkan dengan seberapa segera.

Perkara ini ditegaskan Pengerusinya Abdul Rahman Ramli kerana katanya ada kalangan peneroka yang dibebani hutang sehingga ribuan ringgit namun jika dihitung dengan pendapatan peneroka yang meningkat dari tahun ke tahun nescaya hutang dapat langsaikan itupun setelah ditolak kos penyelenggaraan lain.

''Sudahlah keluarkan hasil tapi hutang ada yang cecah ratus ribu, ada 98 000. Kenapa? Sedangkan tahun pertama mereka tak dapat hasil, tak mengapa?. Tapi kalau dah sepuluh tahun dah ada 10 tan sebulan. 1 tan katakan RM 500, kalau setahun 60 000, tolak hutang itu ini, boleh habis tak?.

''10 tahun hasil sudah meningkat. Kalau tolak kos. Tolak semua habis dah dibayar !'' terangnya lagi.

Dalam pada itu beliau mempersoalkan atas alasan apa hutang itu tidak berjaya dimansuhkan sedangkan dakwanya perolehan Felda boleh mencecah berbilion ringgit namun para peneroka terus dibebani hutang yang tidak sepatutnya ditanggungnya sendiri.

''Hari ini semua nyata benar. Mereka (peneroka) menuntut hak mereka bukan kepentingan orang lain. Tapi kepentingan mereka !.

''Duit Felda berbilion. Kita yang bersusah payah tapi terus dibebani hutang.''

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya bukan mahu mempersalahkan pihak pengurusan Felda akan tetapi mempertikaikan salah urus tadbir pihak tertentu yang dakwanya cuba menekan para peneroka disamping mendesak agar tuntutan itu ditangani sebaik mungkin.

''Kita bukan nak salahkan Pengurusan. Tapi siapa yang halang peneroka dapat mendapatan yang lebih baik?. Adakah mereka nak bersenang lenang hasil keringat kita?.

''Beberapa peneroka akan bangkit nak bawa ke Mahkamah. Bangkitlah tuntut hak kita. Kita yakin ada tangan ghaib untuk menekan kita.'' terangnya lagi.

Beliau berkata demikan semasa menyampaikan ucapan pada Malis Pelancaran Gerakan Kebangkitan Peneroka Kebangsaan (BANGKIT) di Dataran Cikgu Mala, Pekan Labis, baru-baru ini.

Terdahulu penubuhan Gerakan Kebangkitan Peneroka Kebangsaan (BANGKIT) berjaya dilancarkan oleh Tuan Haji Mohammad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

selatan online/-
Kiriman ibn_bacoks

Nota Mudah Memahami Hukum Hudud (siri 5)

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bukan negara kita masyarakatnya majmuk ? melaksanakan hukuman hudud akan menjadikan negara kita huru - hara dan rakyat dalam keadaan ketakutan. Bolehkah hukuman tersebut dilaksanakan dalam dunia moden ini ?

22. Buat kesekian kalinya ingin saya tegaskan bahawa hukum Hudud ialah hukum Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia dengan segala kemajmukannya. Majmuknya manusia di atas muka bumi ini bukan berlaku secara secara silap mata atau magik sihir, tetapi ia adalah hasil ciptaan Allah Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijak. Sehingga hari ini, tiada siapa yang berani menafikan fakta bahawa Allah yang mencipta manusia samada manusia itu berkulit putih atau berkulit hitam. Samada manusia itu berbangsa Arab atau bukan Arab seperti Melayu, Cina dan India. Lihat pengakuan Allah swt yang tidak pernah dinafi oleh sesiapa di dalam surah al Hujurat ayat 13 :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Maksudnya : Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menjadikan kamu terdiri dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kamu berbilang - bilang bangsa dan puak supaya saling kenal - mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya."

23. Apabila Allah yang mencipta manusia dan ianya tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, maka kenapa kita tidak pula boleh menerima hukum yang juga dicipta oleh Allah swt untuk mendisiplinkan kehidupan manusia [ makhluk yang diciptaNya ] di atas muka bumi. Siapa lagi yang lebih mengetahui tentang selok belok kehidupan manusia secara zahir dan batinnya jika tidak penciptanya sendiri iaitu Allah Jalla wa A'la. Pertanyaan Allah swt sehingga hari ini, tiada siapa yang mampu menjawabnya, apa lagi menandinginya sebagaimana yang termaktub di dalam surah al Baqarah ayat 138 :

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

"(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat"."

24. Analogi yang boleh saya ketengahkan di sini ialah seperti Syarikat Proton yang mencipta dan mengeluarkan kereta berjenama Inspira. Tentunya Syarikat Proton akan mengeluarkan buku manual operasi yang akan disertakan bersama dengan produknya. Pengguna mesti menggunakan Inspira berasaskan buku manual yang telah dikeluarkan oleh syarikat pengeluar justeru syarikat itulah yang lebih mengetahui bagaimana cara dan kaedah menjaga dan mengguna produk mereka dengan baik dan meminimakan kadar kerosakkan. Pengguna Inspira tidak boleh menggunakan buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat Mitsubishi untuk produk mereka yang berjenama Pajero 4x4.

25. Begitulah manusia yang merupakan produk ciptaan Allah swt. Allah swt telah mengeluarkan buku manual iaitu al Quranul Kareem yang disertakan dengan hasil produknya demi memastikan kehidupan manusia di dunia ini terurus berdasarkan manhaj Rabbani atau dengan bahasa yang lebih mudah agar cara dan gaya hidup manusia dipandu oleh petunjuk Allah swt lalu menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa godaan nafsu dan bisikan syaithan yang dilaknat oleh Allah swt.

26. Setelah kita yakin bahawa hukum Hudud ini dari Allah swt., bagaimana masih tersangkar prasangka bahawa hukum ini akan mencetuskan huru - hara ? berlaku huru - hara bukan kerana perlaksanaan hukum Allah swt ini, tetapi kerana manusia menolak hukum tersebut. Mudah difahami apabila kita melihat realiti masyarakat kita hari ini. Huru - hara yang dimaksudkan telah pun berlaku sedang hukum Allah belum dilaksanakan dalam negara kita .

27. Ayah rogol anak, cucu perkosa nenek, anak menengking ibu yang sedang solat, gengster [ along ] berleluasa, jenayah bunuh berlaku setiap hari, penderaan terhadap kanak - kanak, buang bayi, isteri derhaka kepada suami, suami menyeksa isteri, pemimpin menzalimi rakyat, yang kaya menindas yang miskin, yang lemah tidak terbela, pergaulan bebas, pelacuran, pengedaran dadah dan 1001 mungkar bersarang dalam negara kita. Bukankah ini huru - hara yang berlaku tanpa kawal. Kenapa salahkan hukum Hudud sedang hukum itu belum dilaksanakan lagi ?

28. Orang beriman tentunya yakin bahawa hukum Allah inilah yang akan mengembalikan semula keamanan dan keadilan. Justeru hukum Allah swt tidak semata - mata berorientasikan hukuman semata - mata tetapi juga merupakan sistem cegah dan kawal dari Allah swt. Perkara ini telah diserlahkan melalui firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu sistem cegah kawal dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

29. Tiada siapa yang perlu takut dan bimbang kepada hukum Hudud kecuali penjenayah. Hukum Hudud adalah undang - undang Jenayah syariat Islam. Hukuman ini hanya akan dijatuhkan ke atas penjenayah setelah sabit kes. Justeru itu, tiada siapa yang perlu rasa takut terhadap hukuman Hudud kerana hukuman tersebut sekali - kali tidak akan dijatuhkan ke atas mereka yang tidak bersalah atau dalam erti kata lain, tidak melakukan perbuatan jenayah seperti bunuh, mencuri, zina, menuduh orang lain yang baik berzina tanpa saksi, merompak dan minum arak. "Berani kerana benar dan takut kerana salah" adalah bidalan para bijak pandai yang masih terpakai hingga ke hari ini.

30. Non muslim juga tidak perlu takut terhadap perlaksanaan hukum Hudud justeru Hudud adalah hukum yang wajib terpakai ke atas ummat Islam sahaja sementara non muslim diberi peluang memilih. Jika mereka bersedia dengan rela mahu menerima pakai hukum Allah , maka dibenarkan sementara mereka enggan maka dipulangkan mereka kepada hukum agama mereka jika agama mereka menyediakan bentuk hukuman tertentu di atas kesalahan yang dilakukan atau jika tiada, berlandaskan konteks negara kita, kembali kepada undang - undang konvensional yang ada pada hari ini. Keputusan memberi hak memilih kepada non muslim ini adalah dari ketetapan Allah swt yang tidak boleh persoal oleh manusia. Firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 42 :

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

31. Melalui perbahasan ayat ini di dalam kitab Tafseer al Baghawi menjelaskan pandangan para mufassirin seperti an Nakhaei, asy Sya'bi, Atha' dan Qatadah rhm mengatakan bahawa hakim diberi hak memilih samaada pesalah non muslim dari kalangan ahlul zimmah dijatuhkan hukuman melalui hukum Hudud ataupun dirujuk kepada hukum yang disediakan oleh agama mereka.

32. Sementara sebahagian ulama' seperti Mujahid dan Ikrimah rhm menganggap ayat ini telah dinasakhkan dengan ayat و ان حكم بينهم بما انزل الله lalu mereka menegaskan bahawa ahlul zimmah tertakluk jua kepada hukum Allah swt ini.

harakahdaily/-