14 Oktober 2011

Nota Mudah Memahami Hukum Hudud (siri 5)

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bukan negara kita masyarakatnya majmuk ? melaksanakan hukuman hudud akan menjadikan negara kita huru - hara dan rakyat dalam keadaan ketakutan. Bolehkah hukuman tersebut dilaksanakan dalam dunia moden ini ?

22. Buat kesekian kalinya ingin saya tegaskan bahawa hukum Hudud ialah hukum Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia dengan segala kemajmukannya. Majmuknya manusia di atas muka bumi ini bukan berlaku secara secara silap mata atau magik sihir, tetapi ia adalah hasil ciptaan Allah Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijak. Sehingga hari ini, tiada siapa yang berani menafikan fakta bahawa Allah yang mencipta manusia samada manusia itu berkulit putih atau berkulit hitam. Samada manusia itu berbangsa Arab atau bukan Arab seperti Melayu, Cina dan India. Lihat pengakuan Allah swt yang tidak pernah dinafi oleh sesiapa di dalam surah al Hujurat ayat 13 :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Maksudnya : Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menjadikan kamu terdiri dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kamu berbilang - bilang bangsa dan puak supaya saling kenal - mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya."

23. Apabila Allah yang mencipta manusia dan ianya tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, maka kenapa kita tidak pula boleh menerima hukum yang juga dicipta oleh Allah swt untuk mendisiplinkan kehidupan manusia [ makhluk yang diciptaNya ] di atas muka bumi. Siapa lagi yang lebih mengetahui tentang selok belok kehidupan manusia secara zahir dan batinnya jika tidak penciptanya sendiri iaitu Allah Jalla wa A'la. Pertanyaan Allah swt sehingga hari ini, tiada siapa yang mampu menjawabnya, apa lagi menandinginya sebagaimana yang termaktub di dalam surah al Baqarah ayat 138 :

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

"(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat"."

24. Analogi yang boleh saya ketengahkan di sini ialah seperti Syarikat Proton yang mencipta dan mengeluarkan kereta berjenama Inspira. Tentunya Syarikat Proton akan mengeluarkan buku manual operasi yang akan disertakan bersama dengan produknya. Pengguna mesti menggunakan Inspira berasaskan buku manual yang telah dikeluarkan oleh syarikat pengeluar justeru syarikat itulah yang lebih mengetahui bagaimana cara dan kaedah menjaga dan mengguna produk mereka dengan baik dan meminimakan kadar kerosakkan. Pengguna Inspira tidak boleh menggunakan buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat Mitsubishi untuk produk mereka yang berjenama Pajero 4x4.

25. Begitulah manusia yang merupakan produk ciptaan Allah swt. Allah swt telah mengeluarkan buku manual iaitu al Quranul Kareem yang disertakan dengan hasil produknya demi memastikan kehidupan manusia di dunia ini terurus berdasarkan manhaj Rabbani atau dengan bahasa yang lebih mudah agar cara dan gaya hidup manusia dipandu oleh petunjuk Allah swt lalu menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa godaan nafsu dan bisikan syaithan yang dilaknat oleh Allah swt.

26. Setelah kita yakin bahawa hukum Hudud ini dari Allah swt., bagaimana masih tersangkar prasangka bahawa hukum ini akan mencetuskan huru - hara ? berlaku huru - hara bukan kerana perlaksanaan hukum Allah swt ini, tetapi kerana manusia menolak hukum tersebut. Mudah difahami apabila kita melihat realiti masyarakat kita hari ini. Huru - hara yang dimaksudkan telah pun berlaku sedang hukum Allah belum dilaksanakan dalam negara kita .

27. Ayah rogol anak, cucu perkosa nenek, anak menengking ibu yang sedang solat, gengster [ along ] berleluasa, jenayah bunuh berlaku setiap hari, penderaan terhadap kanak - kanak, buang bayi, isteri derhaka kepada suami, suami menyeksa isteri, pemimpin menzalimi rakyat, yang kaya menindas yang miskin, yang lemah tidak terbela, pergaulan bebas, pelacuran, pengedaran dadah dan 1001 mungkar bersarang dalam negara kita. Bukankah ini huru - hara yang berlaku tanpa kawal. Kenapa salahkan hukum Hudud sedang hukum itu belum dilaksanakan lagi ?

28. Orang beriman tentunya yakin bahawa hukum Allah inilah yang akan mengembalikan semula keamanan dan keadilan. Justeru hukum Allah swt tidak semata - mata berorientasikan hukuman semata - mata tetapi juga merupakan sistem cegah dan kawal dari Allah swt. Perkara ini telah diserlahkan melalui firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu sistem cegah kawal dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

29. Tiada siapa yang perlu takut dan bimbang kepada hukum Hudud kecuali penjenayah. Hukum Hudud adalah undang - undang Jenayah syariat Islam. Hukuman ini hanya akan dijatuhkan ke atas penjenayah setelah sabit kes. Justeru itu, tiada siapa yang perlu rasa takut terhadap hukuman Hudud kerana hukuman tersebut sekali - kali tidak akan dijatuhkan ke atas mereka yang tidak bersalah atau dalam erti kata lain, tidak melakukan perbuatan jenayah seperti bunuh, mencuri, zina, menuduh orang lain yang baik berzina tanpa saksi, merompak dan minum arak. "Berani kerana benar dan takut kerana salah" adalah bidalan para bijak pandai yang masih terpakai hingga ke hari ini.

30. Non muslim juga tidak perlu takut terhadap perlaksanaan hukum Hudud justeru Hudud adalah hukum yang wajib terpakai ke atas ummat Islam sahaja sementara non muslim diberi peluang memilih. Jika mereka bersedia dengan rela mahu menerima pakai hukum Allah , maka dibenarkan sementara mereka enggan maka dipulangkan mereka kepada hukum agama mereka jika agama mereka menyediakan bentuk hukuman tertentu di atas kesalahan yang dilakukan atau jika tiada, berlandaskan konteks negara kita, kembali kepada undang - undang konvensional yang ada pada hari ini. Keputusan memberi hak memilih kepada non muslim ini adalah dari ketetapan Allah swt yang tidak boleh persoal oleh manusia. Firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 42 :

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

31. Melalui perbahasan ayat ini di dalam kitab Tafseer al Baghawi menjelaskan pandangan para mufassirin seperti an Nakhaei, asy Sya'bi, Atha' dan Qatadah rhm mengatakan bahawa hakim diberi hak memilih samaada pesalah non muslim dari kalangan ahlul zimmah dijatuhkan hukuman melalui hukum Hudud ataupun dirujuk kepada hukum yang disediakan oleh agama mereka.

32. Sementara sebahagian ulama' seperti Mujahid dan Ikrimah rhm menganggap ayat ini telah dinasakhkan dengan ayat و ان حكم بينهم بما انزل الله lalu mereka menegaskan bahawa ahlul zimmah tertakluk jua kepada hukum Allah swt ini.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: