14 Oktober 2011

Khutbah Jumaat : Kepentingan Menjaga Halal Dan Haram

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kepentingan Menjaga Halal Dan Haram

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ القَائِلِ:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقْنَـٰكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ﴿١٧٢﴾

Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik yang Kami rezekikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah jika benar kamu hanya menyembahNya


أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ نَّبِيِّ الرَّحْمَةِ، وَشَفِيْعِ اْلأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ، وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ



Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sabda Rasulullah saw :

اَلحَلاَلُ بَيِّنٌ وَاْلحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ

Sesungguhnya perkara Halal itu jelas dan perkara haram itu jelas, dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran

Sidang Jumaat Sekelian,

Satu Ekspo Halal Pengguna Terbesar di Malaysia yang dinamakan HALFEST 2011 diadakan pada 12 hingga 16 Oktober 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ianya membabitkan lebih 600 usahawan halal dari seluruh Negara yang berkampung di sana. Ini menjadi bukti bahawa Umat Islam di Negara ini masih lagi mempunyai kepekaan terhadap persoalan halal dan haram dalam kehidupan mereka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Persoalan Halal dan Haram dalam urusan pemakanan dan barangan keperluan harian sememangnya sentiasa menjadi perbualan hangat di kalangan Umat Islam. Kebanyakan kita sanggup membuang apa sahaja barangan yang dikatakan dicampur dengan babi atau sebarang unsur yang diharamkan oleh Allah. Kita amat bimbang dengan ancaman neraka Allah sebagaimana ungkapan Rasululllah saw :

كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ حَرَامٍ فَالنَّارُ أَوْلَىْ بِهِ

Setiap daging yang tumbuh dari yang haram maka neraka lebih utama baginya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Perkembangan teknologi hari ini menyebabkan persoalan halal dan haram ini menjadi semakin sukar. Halal atau tidak bukan sahaja ditentukan berdasarkan terdapatnya sesuatu yang haram seperti babi, darah, arak dan sebagainya, bukan hanya persoalan binatang yang boleh dimakan atau tidak dan tidak hanya berdasarkan kaedah sembelihan mengikut Syarak atau tidak. Malah ianya juga merangkumi kaedah pemprosesan, penyimpanan, pengedaran hinggalah kepada penjualannya kepada pengguna. Allah menyatakan tentang konsep “Halalan Toyyiba” iaitu sesuatu makanan itu bukan hanya perlu halal tetapi juga baik untuk kesejahteraan manusia seluruhnya. Bagi memastikan tujuan ini terlaksana, pihak SIRIM mengeluarkan garis panduan kepada pengilang dan pengeluar dan memberikan pengiktirafan dengan Standard Malaysia MS 1500. Bagi menjamin status halalnya maka pihak berkuasa agama telah diamanahkan untuk membuat pemeriksaan dan mengeluarkan Logo Halal. Namun begitu tanggungjawab mencari yang halal ini tidak hanya bergantung kepada tugas kerajaan semata-mata, malah memerlukan kepada keperihatinan semua pihak termasuk pengguna.

Sidang Jumaat Sekelian,

Sumber makanan dan barang gunaan yang halal tidak menentukan bahawa kita bebas dari perkara haram. Kaedah bagaimana kita memperolehi pendapatan bagi membeli makanan dan barangan tersebut juga mesti dipastikan halal atau haramnya. Setiap umat Islam wajib memastikan bahawa pekerjaan yang dilakukannya adalah halal dan tidak melanggar Syariat Allah. Kita wajib mengelakkan daripada terlibat dalam segala bentuk maksiat terhadap Allah termasuk arak, riba, pelacuran, khurafat, penipuan, rasuah dan sebagainya. Cara kita melaksanakan sesuatu pekerjaan juga hendaklah berasaskan konsep kualiti kerja yang dituntut oleh Allah. Firman Allah dalam Surah Al-Qasas ayat 77 :

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْءَاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Kita wajib memastikan apa yang kita makan dan apa yang kita suapkan ke mulut anak-anak dan isteri-isteri kita sentiasa halal, suci dan berkhasiat. Rezeki yang haram akan menyebabkan hilangnya keberkatan dari kehidupan kita sekeluarga. Rezeki yang haram juga menjadi penyebab utama tertolaknya segala doa kita. Maka kita akan terus menghadapi berbagai masalah dalam kehidupan kita, tanpa mampu mengharapkan Allah akan menolong kita kerana semakin lama kita tidak semakin hampir dengan Allah melainkan semakin menjauhiNya.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Tiada ulasan: