16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 14 Okt: PAS mampu menyelamatkan Melayu Islam daripada hilang kuasa setelah Umno gagal menjaga amanah bangsa.
“Inilah jawapan kepada kebimbangan Tun Dr Mahathir yang mengatakan Melayu kana hilang kuasa dalam sepuluh tahun lagi,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Sebenarnya, kata beliau itu hanyalah kenyataan untuk memberikan talian hayat baru supaya orang Melayu terus menyokong Umno, ketika parti itu tidak popular di kalangan generasi muda yang celik maklumat.
Katanya, kenyataan itu adalah bayangan mimpi ngeri Tun ketika menghadapi hari tuanya.
“Beliau sedang menyaksikan parti yang pernah beliau pimpin hampir 22 tahun mengalami muflis sokongan,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, Umno bukan lagi parti keramat orang Melayu, ia hanya parti untuk menjadi pangkalan sementara bagi membolot kekayaan peribadi bukan untuk kepentingan bangsa dan agama.
“Insya Allah doa almarhum Ustaz Fadzil Noor dikabulkan Allah, supaya umur Tun Mahathir panjang dan ia akan melihat sendiri hasil daripada beliau memimpin negara. Bibit-bibit kerisauan sudah pun nampak pada hari ini,” ujarnya.
Oleh itu, katanya PAS perlu mengganti Umno demi kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan negara.
PAS, tambah beliau terbukti dan teruji kerana mampu mentadbir dengan baik negeri yang mewakili majoriti Melayu Islam di Kelantan sejak 1990 sehingga kini telah berjaya menaikkan taraf orang Melayu.
Katanya lagi, kadar kemiskinan di Kelantan daripada nombor dua pada tahun 1990 kepada nombor enam adalah satu bukti PAS mampu memelihara Melayu Islam.
Begitu juga, ujarnya ketika Umno berbangga partinya pandai menjaga Melayu tetapi begitu dhaif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri di bawah penguasaan mereka, contohnya Terengganu nombor dua termiskin di negara ini.
Jelasnya lagi, PAS yang menerajui Kelantan berjaya melunaskan hutang kepada kerajaan pusat sebanyak RM220 juta setakat 2010 sedangkan hutang yang ditinggal oleh Umno pada tahun 1990 sebanyak RM718 juta.
Katanya, Kelantan mampu mengurus dengan baik walaupun royalti minyak dirampas.
PAS, tambahnya mampu kerana pemimpin yang berpegang kepada prinsip amanah dan adil, merasakan bahawa pemimpin akan disoal di hari akhirat kelak, menolak sebarang bentuk perkauman dan pilih kasih kerana berlainan ideologi politik, bantuan diberi kepada mereka yang berhak, tanpa mengira parti politik.
“Melayu akan hilang kuasa kerana politik Umno yang tidak menghayati Islam sebagai cara hidup, menafikan hak sesama bangsa kerana berlainan ideologi politik, dendam sesama bangsa sehingga menafikan hak rakyat untuk memilih berlainan politik,
diskriminasi sesama bangsa kerana berlainan ideologi, agensi yang menjaga Melayu seperti Felda, Felcra banyak ketirisan, sikap sombong yang tidak boleh menerima kritikan dan perbezaan pendapat walaupun dengan fakta dan data, menyalah gunakan Hak Keistimewaan Orang Melayu untuk peribadi,
pendekatan Umno Putera bukan Bumiputera, menafikan keboleh peniaga Melayu yang berwibawa kerana berlainan ideologi, mengkambinghitamkan DAP kononnya kerana Melayu tertinggal sejak BN hilang kuasa di Pulau Pinang,” ujarnya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan