16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Kangar – Seorang bapa runsing apabila anak perempuannya lari dari rumah dipercayai mengikut rakan lelaki yang dikenali melalui laman sosial, Facebook sejak tiga hari lalu.
Gambar: MOHD. SABRI bersama isterinya, Nur Hafizah Nordin (dua dari kiri) menunjukkan gambar Nurul Nur Syawaltie yang hilang dari rumah di Kangar semalam.
Menurut Mohd. Sabri Samat, 35, kehilangan anaknya, Nurul Nur Syawaltie, 14, disedari apabila dia tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan di Sekolah Menengah Putra di sini Rabu lalu.
Ujarnya, dia kemudian menghubungi pihak sekolah, namun terkejut apabila dimaklumkan anak sulung daripada lima beradik itu rupa-rupanya tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan.
“Saya hanya menjumpai basikal anak saya yang ditinggalkan di taman perumahan di sebelah sekolahnya.
“Selepas menunggu hingga lewat malam, dia masih tidak pulang ke rumah dan berikutan itu saya membuat laporan di Balai Polis Kangar kira-kira pukul 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dato Jaafar di sini semalam.
Mohd. Sabri berkata, dia mengesyaki kehilangan Nurul Nur Syawaltie ada kaitan dengan seorang lelaki berusia 20-an yang dikenali oleh anak gadisnya itu melalui Facebook.
“Sejak kebelakangan ini, dia kerap bermain Facebook dan sehari sebelum kejadian, saya terdengar dia berbual di telefon bimbit dengan rakan yang mengajaknya berjalan-jalan di Pulau Pinang,” ujarnya.
Malah, katanya, beberapa orang rakan sekolah Nurul Nur Syawaltie juga memberitahunya bahawa anaknya itu ada meluahkan rasa tidak gembira tinggal di Kangar melalui Facebook.
“Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di Pulau Pinang lebih lima tahun ketika saya bekerja di sana dan kami baru setahun tinggal di Kangar,” ujarnya.
Ujarnya, dia percaya anaknya itu menghilangkan diri bersama seorang lagi rakan sekolahnya yang dikenali sebagai Amira.
Katanya, orang ramai yang berjumpa atau mempunyai maklumat mengenai Nurul Nur Syawaltie diminta menghubunginya di talian 016-4871042 atau balai polis berhampiran. -kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan