14 Oktober 2011

Wanita mati terjatuh dari tingkat 12

16 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANAK panah menunjukkan arah seorang wanita terjatuh lalu mati dari tingkat 12 flat Tun Dr. Ismail di Lobak, Seremban semalam.

SEREMBAN – Seorang wanita yang baru sehari keluar dari wad sakit jiwa Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 12 flat Tun Dr. Ismail, Lobak di sini kelmarin.

Mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dijumpai pukul 4.10 petang dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tempat pembuangan sampah flat berkenaan.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lim, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum terdengar bunyi benda terjatuh berhampiran tempat pembuangan sampah.

“Saya terkejut apabila ternampak tubuh seorang wanita terbaring di situ sebaik menjenguk melalui tingkap. Saya kemudian memberitahu jiran sebelum menghubungi polis,” ceritanya ketika ditemui.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Md. Yusoff Awang ketika dihubungi memberitahu, mangsa yang berasal dari Senawang itu dipercayai datang ke flat berkenaan dengan sebuah kereta.

“Siasatan awal mendapati mangsa baru keluar dari wad sakit jiwa HTJ sehari sebelum dia ditemui mati akibat terjatuh,” katanya yang masih menyiasat kejadian yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut itu.

kosmo/-

Tiada ulasan: