02 November 2011

JAIS buru Bob Lokman

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM – Bekas pengacara, penulis lirik dan pelakon, Bob Lokman (gambar) akan ditahan sekiranya dia berada di Selangor, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Marzuki Hussin.

Menurut Marzuki, waran tangkap untuk menahan Bob Lokman atau nama sebenarnya, Muhammad Hakim Lokman, 47, sudah dikeluarkan Jumaat lalu selepas dia gagal hadir memberi keterangan di pejabat JAIS baru-baru ini.

Katanya, JAIS ketika ini sedang berusaha untuk mengesan lokasi sebenar Bob Lokman dan hanya menunggu masa untuk menahannya.

“Kita masih mengesan lokasi sebenar beliau dan sekiranya beliau berada di Selangor, kita akan menahannya serta-merta kerana gagal hadir membantu siasatan berhubung tindakannya menyampaikan ceramah tanpa tauliah,” katanya ketika ditemui pada Seminar Hukuman Alternatif: Pelaksanaan dan Keberkesanan di sini semalam.

Kosmo

Anak buaya sesat di kawasan sekolah

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BESUT - Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila mendapati seekor anak buaya terperangkap dalam bubu ikan yang dipasangnya di sebuah kolam berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Dor dekat Jabi di sini kira-kira jam 4 petang, Ahad lalu.

Penemuan anak buaya tersebut menggemparkan warga sekolah berkenaan memandangkan tidak pernah buaya tersesat ke kawasan sekolah itu.

Guru Penolong Kanan 1, SK Tok Dor, Ramli Zainal Abidin ketika dihubungi memberitahu, anak buaya jantan yang dijumpai itu bersaiz 43 sentimeter panjang dan dari jenis buaya tembaga.

Menurutnya, pada mulanya pengawal keselamatan tersebut menyangka ia seekor biawak yang cuba memakan ikan dalam bubunya tetapi apabila mengangkatnya mendapati ia seekor anak buaya.

“Anak buaya itu mempunyai corak badan berbintik hitam dan kuning,” katanya.

Ramli berkata, buaya itu dipercayai tersesat dari sebatang sungai yang terletak kira-kira 30 meter dari sekolah itu susulan hujan lebat yang menyebabkan paras air sungai berkenaan meningkat.

Bagaimanapun, orang ramai hairan kerana lebih 20 tahun penduduk kampung berkenaan sudah tidak melihat kelibat buaya di sungai berkenaan.

Katanya, anak buaya itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

sinar harian/-

Gempa bumi 6.5 magnitud gegar luar pesisir pantai Mexico

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud menggegarkan Pulau Revilla Gigedo Island di timur Lautan Pasifik pada jam 8.32 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata, gempa bumi itu berlaku 1,049 kilometer di barat laut Mexico City, Mexico dan 14,107 kilometer timur laut Sandakan, Sabah.
Bagaimanapun, gempa bumi itu tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada Malaysia, kata jabatan itu. - BERNAMA

Seksualiti Merdeka 2011: Kembalilah kepada fitrah

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Negara kita gempar lagi dengan satu program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya "Queer Without Fear" yang berlangsung pada 2 Nov 2011 hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.

Program ini kononnya berteraskan perjuangan "Human Right", menuntut hak dan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual [LGBT] untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Sekilas pandang, mereka sedang memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup pilihan mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Justeru itu, mereka tidak lagi teragak - agak untuk mengiklan, memperjuang dan menganjurkan programnya secara terbuka

Sungguhpun mereka tampil dengan prinsip perjuangan Human Right, Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai perkara ini, sementara Dewan Pemuda PAS Malaysia berpaksi teguh kepada ajaran Islam, justeru Islam adalah agama petunjuk dari Allah swt Tuhan yang mencipta manusia.l

Islam adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang - pasangan lelaki dan perempuan. Justeru itu, perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasanganya perempuan yang bukan mahramnya. Sementara perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam ke atas penganutnya kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi.

Firman Allah swt:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah ar Ruum: ayat 21)

Asas larangan tersebut adalah untuk memelihara fitrah manusia sekaligus mempertahankan tamaddun ummah dari kepincangan sosial dan malapetaka yang bakal menimpa ekoran tercetusnya kemurkaan Allah swt. sebagaimana murkanya Allah swt ke atas kaum Nabi Luth as. yang mengamalkan gaya hidup homoseksual.

Budaya gay dan lesbian adalah budaya songsang yang tidak sewajarnya diperjuangkan dan diamalkan oleh ummat manusia amnya dan ummat Islam khasnya. Malah ia sangat bertentangan dengan nilai moral dan fitrah kemanusiaan serta tamaddunnya. Jika budaya ini menjadi amalan bagi manusia selaku penduduk di bumi ini, nescaya suatu ketika kelak akan pupuslah generasi ummat manusia sedang Nabi saw berbangga dengan lahir ummatnya yang ramai.

Sabda Rasulullah saw

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة
Kahwinilah olehmu akan perempuan yang penyayang dan mampu melahirkan anak kerana sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummatku diakhirat kelak. (Riwayat Imam Ahmad)

Kecenderungan mengamalkan kehidupan gay, lesbian dan biseksual ini adalah bertolak dari nafsu yang tidak dikawal. Sedang Islam telah menganjurkan ummat manusia supaya berkahwin secara normal dan menggariskan kaedah kawalan nafsu bagi mereka yang tidak mampu melakukannya. Seperti sabda Rasulullah saw dari Ibnu Masuud radhiyallahu 'anhu :


يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ، ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

Wahai sekelian anak muda ! barangsiapa yang mampu [dan bersedia untuk berkahwin] dari kalangan kamu, maka berkahwinlah, sesungguhnya perkahwinan itu membantu menundukkan pandangan, memelihara kemaluan dan barangsiapa yang tidak mampu melakukannya, maka berpuasalah kerana sesungguhnya puasa itu adalah perisai [dirinya agar tidak terjerumus dalam kancah keruntuhan sosial]. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru penganjur dan penyokong program Seksualiti Merdeka 2011 agar tidak meneruskan perjuangan dan kempen mereka ke arah menuntut kebebasan pada gaya dan cara hidup barat yang salah dengan norma, tatasusila, budaya dan agama. Sedarlah bahawa gaya hidup seperti ini akan berdepan dengan kemurkaan Allah swt selain ia membuka pintu kepincangan sosial dan budaya negara kita.

Ia adalah satu bentuk kemungkaran yang tidak wajar diperjuang dan diamalkan, bahkan ia sangat menyentuh sensitiviti ummat manusia yang menjalani kehidupan normal. Dewan Pemuda PAS yakin, jika mereka mendapat bimbingan wajar dari pihak berkuasa agama dan lainnya yang berkaitan, perkara ini dapat dibendung dengan baik daripada terus menular lalu membentuk satu budaya.

Inilah rasionalnya Dewan Pemuda PAS menasihati dan menegur pemerintah agar tidak meluluskan penganjuran konsert icon gay Elthon John di negara ini sebagai langkah menutup pintu - pintu mungkar yang mengundang kemurkaan Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta. Walaupun dikatakan Elthon John tidak akan menyeru rakyat Malaysia meniru gaya hidup gaynya, tetapi sudah cukup pengiktirafan yang diberikan kepada beliau menyuburkan budaya gay di Malaysia yang semakin hari semakin menular.

Kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama. Kalaupun seseorang tidak beragama sekalipun, aqal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas ticket kebebasan. Sebaliknya manusia mesti hidup berasaskan peraturan - peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan.

Secara analoginya boleh saya contohkan seperti memandu kereta. Sungguh pun kereta itu milik kita yang sah, pula kita telah membayar road tax dan insuransnya, maka atas nama kebebasan lalu kita bebas untuk memandu laju tanpa menghirau peraturan lalulintas. Ini sangat merbahaya terutama pemanduan dengan had kelajuan melampau seperti 160 kmj di selekoh tajam yang bertanda 20 kmj. Awas ! Ini bukan lagi bebas tetapi babas.

Dewan Pemuda PAS merayu agar mereka kembali menjalani kehidupan normal berasaskan petunjuk Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia. Formula kehidupan Islam sungguh indah dan damai malah membawa ketenangan yang dicari dalam hidup. Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Ar Ruum ayat 21. Dewan Pemuda PAS sedia berdialog ke arah itu bagi menangani perkara ini.

Usah lari dari fitrah dan meninggalkan kehidupan beragama kerana jiwa tidak tenteram dan tidak pun boleh menyelesaikan masaalah. Sebagai contoh pengalaman hidup yang dialami oleh Elthon John sendiri selepas beliau berkahwin dengan kaum sejenis atau pasangan gaynya, keinginan atau naluri mahu memiliki anak tetap menguasai dirinya lalu mendorong beliau mendapatkan anak melalui ibu tumpang.
Terdapat 2 perkara yang tidak boleh menyelesaikan masaalah dan konflik jiwa mereka.

Pertama: perkahwinan sejenis yang mereka amalkan tidak boleh memenuhi kehendak mereka untuk memiliki seorang anak.

Kedua: biarpun mereka boleh mendapatkan anak melalui proses ibu tumpang, mereka tetap tidak boleh memenuhi hasrat naluri mereka untuk memiliki anak kandung yang tentunya hadhir secara fitrah.

Sedangkan dua perkara inilah antara pelengkap kebahagiaan dan kasih sayang dalam kehidupan berumahtangga bersama pasangan hidup sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Rumahtangga yang dibina melalui perkahwinan sejenis ini hanya mungkin boleh mencapai kepuasan dari sudut melampiaskan nafsu seksual tetapi jiwa mereka meronta mencari sebuah ketenangan hakiki.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Multaqa Pendakwah PAS pada 12 Nov

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat akan mengadakan Multaqa Pendakwah PAS pada 12 November ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, KUIZM, Taman Melewar.

Pegawai Penerangan PAS Pusat, Mohd Shahir berkata, tujuan program itu diadakan ialah untuk menghimpunkan seramai mungkin para dai'e yang telah berada di medan dakwah bagi menyelaraskan tugas dakwah dan tarbiyah kepada masyarakat di samping memahami beberapa isu semasa yang berlaku dalam negara serta mencari kaedah berkesan bagi memenangkan perjuangan Islam di negara ini.

Katanya, beberapa amanat penting dalam ucaptama akan disampaikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bakal membawa tajuk Pendakwah Sebagai Duta PAS pada sebelah pagi yang akan diikuti oleh pembentangan kertas kerja pertama oleh Dr Dzulkefly Ahmad bertajuk Isu-isu Besar Negara.

Kertas Kerja kedua pula akan dibentangkan oleh Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bertajuk Hudud- Satu Keperluan, seterusnya Konsep Negara Berkebajikan akan dibentangkan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat.

Sehubungan itu, katanya jentera penerangan PAS di semua peringkat perlu menarik seramai mungkin para pendakwah di tempat masing-masing untuk menghadiri program itu.

“Semoga multaqa ini dapat mengeratkan silaturahim dan menjadi medan pertemuan para pendakwah tanah air dari pelbagai tempat dan latar belakang,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan program multaqa itu, bolehlah menghubungi Ustaz Misbahul Munir Masduki, Setiausaha Penerangan PAS Pusat di talian 010-5667528 atau beliau sendiri di talian 019-2153225.

harakahdaily/-

Hari lahir ku menjelang lagi......


5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

2 November menjelang lagi dalam dairi kehidupan ini, ternyata masa begitu cepat belalu dan benarlah ungkapan bahawa masa umpama pedang yang tajam kalau kita tidak memotongnya ia akan memotong kita.

Hari ini genaplah umur insan Mu yang kedil ini 47 tahun, 22 tahun sebelum Islam dan 25 tahun berada dalam agama Islam.

Alhamdulillah segala liku-liku kehidupan sesudah Islam hamba Mu ini telah gunakan sebaik mungkin untuk menegakkan agama Mu di muka bumi ini.

Namun terasa masih sedikit sumbangan tenaga yang diberikan untuk agama Mu Ya Allah, kerana itu dihari yang bersejarah ini, hamba Mu ini menadahkan tangan memohon ampun dengan segala dosa-dosa, sengaja dan tidak sengaja dilakukan.

Ya Allah berikanlah kekuatan kepada hamba Mu ini untuk terus melayari bahtera kehidupan ini dengan tabah dan tekun. Jadikan hamba ini seorang yang sentiasa mensyukuri segala nikmat Mu yang diberi...

Kepada rakan taulan yang memberi ucapan di hari bersejarah ini, saya ucapkan berbanyak terima kasih diatas ingatan, doa dan harapan kalian.

Khusus kepada Isteri tercinta, 3 putera kesayangan. Terima kasih dengan kesabaran dan semangat yang diberikan dalam menempuh bahtera kehidupan ini

Khalil Idham Lim
2 November 2011

01 November 2011

Banjir: Pemuda PAS, Amal diarah bersiap sedia

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengerahkan seluruh anggota pemuda dari seluruh negara bagi membantu kerja-kerja pemindahan, keselamatan, kecemasan, bantuan serta sumbangan kepada mangsa banjir yang diramal akan melanda tanah air.

“Bagi menghadapi musibah ini, seluruh anggota Amal dan pemuda PAS diarahkan bersiap sedia dengan segala peralatan serta kelengkapan semaksima mungkin,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Mereka juga, katanya akan membantu pasukan keselamatan dalam kerja-kerja menyelamat dan bantuan lain jika tenaga mereka diperlukan.

Menurutnya, pengalaman tahun 2006 lalu di mana anggota pemuda PAS mengharung banjir dan berselut lumpur tatkala musibah banjir besar di negeri Johor, Pahang dan Melaka akan dijadikan panduan berharga bagi menghadapi kemungkinan musibah kali ini.

Beliau memberitahu, seramai 10,000 anggota Amal dan pemuda PAS telah bersedia kali ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“DPPM yakin, hasil dari sentuhan tarbiyah program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS 2011 yang baru berlangsung pada 28-30 Oktober 2011, segenap pemuda PAS akan turun ke kawasan terlibat dengan ikhlas tanpa mengharap sebarang upah atau ganjaran,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, ujarnya DPPM memperingatkan pemuda PAS serta rakyat umumnya agar sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelak pelbagai perkara buruk berlaku.

“Awasi anak-anak daripada membiarkan mereka mandi di kawasan sungai atau tali air.

“Jaga kesihatan diri dan anggota keluarga serta mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran jika sakit,” katanya lagi.

DPPM juga, jelasnya meminta semua Pemuda PAS dan rakyat seluruhnya sentiasa berdoa agar negara ini selamat dari musibah buruk.

“Mudah-mudahan ramalan kaji cuaca yang meramalkan banjir besar tahun ini tidak berlaku kali ini di negara ini hasil dari doa kita semua,” ujarnya.

harakahdaily/-

Bayi perempuan Palestin lumpuh akibat tembakan tentera Israel

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Seorang kanak-kanak Palestin berusia 4 tahun lumpuh seumur hidup akibat tembakan peluru Israel pada lehernya Rabu ini.

Professor Samy Hussein, pakar bedah saraf di Hospital Maqased Baitulmuqaddis berkata, kumpulan perubatan telah menjalankan pembedahan ke atas Aseel Ara’ra dan beliau sedang berada di dalam unit rawatan rapi.

Beliau berkata, peluru Israel itu menembusi lehernya dari sebelah kiri dan keluar daripada bahu kanannya dan menyebabkan kecederaan yang tidak boleh dirawat pada saraf tunjangnya.

harian metro/-

Keistimewaan Hari Arafah

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Hari Arafah hari istimewa.

Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda; "Tidak ada satu hari dimana Allah Taala paling ramai membebaskan hambaNya dari Neraka selain dari hari Arafah." (Sahih Muslim)

- Pujian Allah bagi orang yang wukuf di Arafah.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT. memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penduduk langit dan berkata kepada mereka : “ Lihatlah kepada hamba-hambaKu yang datang kepadaKu.“.(HR Ahmad)

- Digalakan berpuasa kepada yang tidak menunaikan haji.
Rasulullah saw. ditanya mengenai puasa pada hari Arafah. Rasulullah saw.mengatakan, Dikaffarah (diampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (HR Muslim)

tazkirah/-

Miliki mercun: Pelajar dijatuhi hukuman penjara 14 bulan, denda RM2,000

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas dia mengaku bersalah memiliki sembilan jenis mercun dan bunga api.

Majistret Zaki Asyraf Zubir, menjatuhi hukuman itu terhadap P. Rajaseluan, 21, dan memerintahkan hukuman bermula pada tarikh tangkapan iaitu Khamis lepas, sehari selepas Deepavali.

Rajaseluan didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Okt, 2011 jam 8.30 malam di sebuah lorong berhampiran Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan berdepan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika merayu supaya hukuman diringankan, tertuduh, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sambilan, meminta mahkamah mengenakan hukuman yang ringan memandangkan dia tiada pilihan melainkan menjual mercun dan bunga api bagi menambah pendapatan untuk menyambut Deepavali selain dia juga pencari nafkah utama bagi keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala Rajaseluan tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Selangor tidak dimaklum peninju Israel turut serta

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar kecil) menjelaskan jawapan yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam sewaktu sesi penggulungan kementerian itu di Dewan Rakyat adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"Saya ingin nyatakan jawapan Menteri Belia dan Sukan tidak tepat serta mengelirukan. Apa yang ingin saya beritahu Kejohanan The Challenger Muay Thai adalah merupakan program di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

"Apabila program telah ada maka kerajaan negeri telah dimaklumkan dan dalam masa yang sama Kerajaan Negeri Selangor memohon agar ianya diadakan di negeri ini," jelasnya.

Tambahnya lagi, mengenai penglibatan peserta Israel, Ilya Grad kerajaan negeri tidak dimaklumkan bahawa terdapat peserta dari negara tersebut.

"Kerajaan negeri tidak dimaklumkan bahawa dalam kejohanan tersebut ada perserta dari Israel kerana semua jemputan dilakukan oleh pihak kementerian dan Negeri Selangor hanya menyediakan tempat sahaja.

"Sekiranya kita tahu jika ada penglibatan peserta dari Israel sudah pasti kita akan membuat bantahan awal tetapi kita tidak diberitahu. Apa yang kita tahu hanyalah mengenai program tersebut sahaja dan kita sanggup untuk menganjurkannya," katanya.

Khalid memberitahu mengenai penglibatan kerajaan negeri dengan peserta Israel itu tidak benar kerana kerajaan negeri hanya terlibat untuk menganjur dan menyediakan tempat.

Kenyataan Ahmad Shabery semalam memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah memberi peruntukan RM5 juta untuk kejohanan tersebut manakala kementeriannya hanya meluluskan penganjuran sebagai aktiviti kesukanan dan tidak terlibat dengan aspek lain.

"Untuk mendapatkan tempat sebahagian daripada kos tersebut, kita diberitahu bahawa ia perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor, apa yang kerajaan negeri lakukan semuanya diketahui oleh kementerian.

"Kita dijemput sebagai penganjur dam penyediaan tempat manakala urusan jemputan dilakukan oleh pihak kementerian.

"Saya jelaskan kenyataan menteri itu tidak benar sama sekali," sambungnya lagi.

Kehadiran Ilya Grad dalam Kejohanan The Challenger Muay Thai yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini telah menimbulkan persoalan bagaimana rakyat Negara Israel boleh memasuki Malaysia.

Malah sewaktu memasuki Malaysia beliau ditahan selama 25 jam di pintu masuk sebelum mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, "dengan sokongan menteri sukan Malaysia" mengikut kenyataan di blog tinju Muay Thai Authority.

Kejohanan tersebut telah dirakamkan dalam kampus Universiti Putra Malaysia, Serdang untuk stesen TV AXN.

harakahdaily/-

Britain diancam penjenayah siber

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Purata 600 serangan terhadap komputer kerajaan

LONDON: Sistem kerajaan Britain ‘diserang’ penggodam purata 600 kali sehari, manakala penjenayah mampu mengambil butir-butir mangsa kecurian kad kredit di internet hanya dengan membayar 70 pence (RM3.50), kata Setiausaha Luar William Hague kepada akhbar.

Oleh itu, negara yang menghadapi masalah ini tidak mungkin dapat melindungi sistem perbankan mereka termasuk hak intelektual pada masa depan.

“Perniagaan semakin sukar maju atau bertahan jika maklumat peribadi mudah untuk dicuri. Jadi, perkara ini perlu dibendung,” kata Hague.

Terbaru, penggodam cuba menceroboh rangkaian sitem komputer Pejabat Luar, kata ketua agensi risikan komunikasi Britain, kata Iain Lobban, Pengarah Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ) yang menyifatkan serangan itu mengancam ekonomi negara itu.

“Kadar e-jenayah dan serangan terhadap sistem kerajaan serta industri membimbangkan. Saya boleh beri keterangan mengenai cubaan curi idea dan reka cipta dalam sektor Teknologi Maklumat (IT), teknologi, pertahanan dan tenaga serta bidang lain, bagi mendapat kelebihan komersial atau keuntungan kerana tahu butir-butir kontrak,” katanya.

Britain membelanjakan £650 juta (RM3 bilion) untuk menyekat serangan itu dalam tempoh empat tahun akan datang. Hague dan Lob-ban berkata, ia memerlukan kerjasama pihak berkuasa dan firma perniagaan.
“Aktiviti di alam siber akan menjadi salah satu cabaran terbesar bagi generasi hari ini,” kata Lobban.

GCHQ memegang peranan sama seperti Agensi Keselamatan Kebangsaan di Amerika Syarikat sebagai pengurus operasi mengumpul maklumat dan pengesan kod dan bertindak sebagai pelindung sistem komputer Britain.

Lobban jarang membuat ulasan secara terbuka. Kenyataan terbarunya dibuat setahun selepas beliau berucap mengenai tindakan kerajaan asing menggunakan alam siber bagi menyerang pihak lain. – Reuters

Bila kerajaan nak selesai 'teksi sapu' Thailand

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohamad Yusuf (gambar) kesal dengan sikap kerajaan pusat yang sehingga kini masih belum dapat menyelesaikan isu kebanjiran taksi sapu Thailand memasuki Malaysia lebih dari jarak yang dihadkan.

Keadaan itu katanya, telah menyebabkan punca pendapatan pengusaha teksi di negara ini terjejas teruk khususnya di kawasan Rantau Panjang.

"Kita dah jumpa dengan pengarah JPJ negeri, dah bangkit dalam parlimen, dah maklum kepada menteri, tapi sehingga kini belum ada apa-apa tindakan," katanya kepada Harakahdaily.

Sekurang-kurangnya 50 buah teksi dari Thailand memasuki negara ini melalui imegresen Rantau Panjang setiap hari dengan membawa pelancong ke serata negeri tanpa sebarang halangan dari pihak berkuasa.

Masalah yang didakwa telah berlarutan hampir 11 tahun itu menjejaskan pendapatan lebih 300 pengusaha teksi tempatan di sekitar daerah itu.

Teksi Thailand itu juga dikatakan bebas membawa pelancong dari negara itu ke seluruh Terengganu, termasuk membawa penumpang tempatan.

Tambang yang dikenakan oleh teksi Thailand itu jauh lebih murah daripada yang dikenakan teksi tempatan.

"Mengikut undang-undang, teksi Thailand hanya boleh masuk negara ini dalam jarak tidak lebih 20 kilometer sahaja.

"Apa berlaku hari ini, teksi-teksi Thailand ini masuk ke negara ini sampai ke Gua Musang, Perak dan semua destinasi dalam negara, sedangkan teksi Malaysia tidak dibenar membawa pelancong masuk ke Thailand lebih dari jarak yang dibenarkan," katanya.

Sebelum ini, pada Februari tahun lalu kira-kira 200 pemandu teksi tempatan mengadakan demonstrasi di pintu masuk Jambatan Muhibah di sini untuk menghalang teksi sapu dari negara jiran itu yang ketika itu sedang membawa pelancong ke dalam negara.

Ianya sebagai membantah sikap kerajaan yang gagal bertindak ke atas teksi-teksi negara jiran yang disifatkan mereka "menabur pasir dalam periuk nasi mereka".

Selain itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Kelantan, Abdul Ghani Che Kassim juga pernah berjanji jabatannya akan segera memantau dan menyenarai hitam kenderaan dari negara jiran terbabit jika didapati bersalah.

"Pemilik teksi sapu ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta LPKP 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM10,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.

harakahdaily/-

Bayi ke-7 bilion

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MANILA: Seorang bayi perempuan yang dinamakan Danica May Camacho diisytiharkan sebagai penduduk ke tujuh bilion dunia, semalam.

Dengan berat 2.5 kilogram, Danica dilahirkan sebelum tengah malam sambil disaksikan oleh media di Hospital Memorial Jose Fabella.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menganggarkan bayi ke tujuh bilion, dilahirkan pada 31 Oktober dan kebanyakan negara di dunia sudah mula merancang membuat sambutan sempena kejayaan demografi itu.

Zambia mengadakan pertandingan nyanyian; Vietnam pula mengadakan konsert dan Kerajaan Rusia pula memberi hadiah kepada beberapa orang bayi yang dilahirkan, Ivory Coast pula mengadakan pertujukan komedi manakala Papua New Guinea memberi hadiah kepada ibu baru bersalin.

Tetapi di sebalik kegembiraan kelahiran bayi itu terselit juga kebimbangan dengan pertambahan penduduk yang mendadak yang akan memberi tekanan kepada planet yang rapuh ini.

“Dia kelihatan comel sekali, kata Camille Dalura sambil memeluk Danica May.

“Saya tak percaya dia adalah penduduk dunia ke tujuh bilion,” katanya.

Danica May adalah anak kedua pasangan Dalura dan Florante Camacho yang hanya berdiri di belakang membiarkan saja pihak media berlumba-lumba untuk mengambil gambar anak perempuannya. - AFP

Semoga Najib & Rosmah Mendapat Haji Mabrur dan Hidayah ALLAH.

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Perdana Menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor tiba di Madinah untuk menunaikan ibadah haji hujung minggu ini.

Pesawat yang membawa beliau serta rombongannya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad di Madinah kira-kira jam 9 malam, Isnin (2 pagi hari Selasa waktu Malaysia).

Rosmah dikritik hebat kerana tidak menutup aurat semasa menaiki pesawat tersebut walaupun dalam perjalanan ke Mekah. Pemerhati berpendapat sebagai seorang isteri pemimpin Rosmah mesti menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat supaya menjadi contoh ikutan rakyat. Tindakannya tidak menutup aurat merupakan tindakan mencabar hukum Allah.

Najib dijadual menziarahi makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi sebelum berlepas ke Jeddah untuk memasuki kota Mekah bagi menunaikan umrah, esok.

Pada hari Rabu pula beliau akan mengunjungi ibu pejabat Tabung Haji di hotel Abraj Al-Janadiriah di Mekah, dan meluangkan masa untuk bertemu dengan jemaah haji Malaysia yang menginap di hotel itu.

Najib dan isteri akan berwukuf di Arafah pada hari Sabtu ini, bersama lebih tiga juta umat Islam yang lain dari seluruh dunia, yang menunaikan haji tahun ini.

Adalah diharapkan kedua-dua mereka mendapat haji mabrur dan diberikan hidayah supaya :-

Najib menerima hukum Islam untuk diamalkan di Malaysia dalam semua perkara
Rosmah menutup aurat

Tidak lagi mendiskriminasikan negeri-negeri PR, penyokong PR dan lain-lain
Memberikan balik royalti kepada Kelantan
Membuat reformasi total kepada SPR, SPRM, Polis dan semua agensi yang jelas tidak telus, berpihak dan tidak professional

Memohon kepada seluruh rakyat atas kesalahan yang dilakukan sebeum ini
Mengaku dan bertaubat atas apa juga yang beliau lakukan selama ini dalam semua kes yang melibatkan dirinya

Memulangkan semua hak rakyat yang dikebas oleh beliau, kroni-kroni beliau dan keluarga beliau (jika ada).

Najib , Rosmah dan keluarga tidak boros lagi.
Hanya percaya kepada ALLAH bukan bomoh atau pawang atau dewa hindu.

selatan online/-