05 November 2011

Kenapa Najib Perlu Diberikan Kawalan Keselamatan Di Mekah?

8 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
http://greenboc.blogspot.com

Agak mengejutkan apabila PM, DS Mohd Najib Tun Razak terpaksa diberikan kawalan keselamatan sewaktu menunaikan hajinya di Mekah.

Ia memberikan pelbagai persepsi yang menghairankan seolah-olah Mekah sudah menjadi tempat yang tidak selamat dan kedua sudah ada "kasta" di dalam Islam yang membezakan seorang pemimpin negara dengan rakyat terbanyak, sekaligus mencemarkan ibadah haji yang sepatutnya menyamaratakan semua manusia tanpa mengira pangkat, kedudukan, harta dan harta.

Berikut dipetik dari blog Tinta Hijau Dari Kaki Bukit:

Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad :





Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak :







Presiden Iran :

Beliau juga dikawal oleh tentera Arab Saudi tapi tidaklah sampai 23 pengawal tentera yang berpegangan tangan seperti Najib.Beliau lebih bebas bergerak bersama jamaah haji serata dunia.

Inilah falsafah haji sebenar, tiada kaya, meskin, hamba, bangsawan, orang putih atau hitam, mereka semua tiada beza disisi Allah...

Perdana Menteri Malaysia :

Ketika Najib dan Rosmah mengerjakan ibadah haji. Seramai 23 orang askar Arab Saudi diperlukan untuk mengepong mereka bagi memastikan tiada jemaah haji lain yang dapat datang menghampiri dan berasak-asak dengan mereka.

Fadhilat ditinggalkan, hanya kerja haji yang dibuat. Antara tujuan mengerjakan ibadah haji adalah merasai pengorbanan, keperitan, kesusahan para anbiya' terdahulu dengan tidak membezakan pangkat, darjat, kuasa, harta dan sebagainya.

Kesimpulan :

biarpun berisiko tinggi diapa-apakan oleh musuhnya, Presiden Iran ini hanya menerima kawalan keselamatan minimum semasa menunaikan haji. .Itu Presiden Iran, orang yang banyak musuh di dunia ini.

Apa hal pula dengan Najib yang sudah tentunya tidak bermusuh dengan AS atau Israel? Namun, apabila melihat puluhan pasukan keselamatan Saudi mengawalnya sambil berpegangan tangan, 1Malaysia (kecuali pencacai) berasa pelik dan hairan.

The West Australian akui silap siar artikel anak PM, tetapi tidak nafikan laporan mengenai wanita pertama.

Laporan Akhbar The West Australian yang dibetulkan.

8 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Akhbar The West Australian semalam mengakui kesilapannya berhubung penyiaran artikel yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan sebanyak $60,000 (RM194,157) di sebuah pusat beli belah di Perth semasa Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini.

Dalam ruangan pembetulan dan penjelasan yang diterbitkan, akhbar berkenaan turut mengesahkan bahawa anak perempuan Perdana Menteri juga tidak berada di Perth dan ini bercanggah dengan laporan yang mereka siarkan pada Isnin lepas.

Kenyataan akhbar itu boleh dilayari menerusi portal akhbar The Borneo Post yang menerima salinan halaman tersebut yang diemelkan oleh wartawan ekonominya, Neale Prior.

The West Australian juga menyebut adalah menjadi polisi akhbar itu untuk memperbetulkan setiap kesilapan mereka seboleh yang mungkin.

Semalam, Najib dalam Twitter terbaharunya menjelaskan bahawa anak perempuannya bukan berada di Australia semasa beliau menghadiri CHOGM di Perth, baru-baru ini.

Beliau berkata orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan.

Ulasan beliau adalah berikutan penerbitan satu artikel dalam sebuah akhbar Australia yang mendakwa anak perempuannya membelanjakan $60,000 (RM194,157) di sebuah pusat beli belah di Perth, lokasi CHOGM.

Laporan itu juga menyebut: "Seorang wanita pertama diketahui telah membeli mutiara bernilai $150,000 (RM485,476)." Bagaimanapun, ia tidak menamakan individu yang menjadi tanda tanya.

42 pelombong batu arang di China diselamatkan

8 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BEIJING: Pasukan penyelamat menarik keluar 42 pelombong batu arang yang terperangkap akibat letupan batu Khamis lalu di bandar Samenxia, wilayah Henan, China.

Agensi media negara itu berkata, ia selepas 36 jam pelombong terbabit terperangkap dan kini pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa lain.

Katanya, usaha menyelamat itu dipertingkatkan selepas tujuh pelombong berjaya diselamatkan semalam.

Susulan kejadian itu, empat pelombong terbunuh dan tujuh yang lain dianggarkan jumlah yang masih hilang. - AP

04 November 2011

Ikan paus dekat pantai AS jadi tumpuan

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SEORANG pengayuh kayak, Alan Brady terkejut apabila dua ekor ikan paus muncul dekat dengannya di luar pantai Seabright, Santa Cruz pada 25 Oktober lalu.

SANTA CRUZ - Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) mengawasi perairan Santa Cruz kerana beberapa ikan paus mendiami kawasan dekat dengan pantai kelmarin.

Kehadiran ikan paus itu menyebabkan ramai orang datang ke pantai tersebut untuk melihat haiwan berkenaan sekali gus mencetuskan ancaman keselamatan pengayuh kayak dan bot lain yang cuba mendekati mamalia itu.

Ikan paus humpback itu berada kira-kira 1.6 kilometer dari pantai untuk mencari makanan.

Menurut Perlindungan Marin Kebangsaan Teluk Monterey, setakat ini, tiada orang awam yang cedera kerana kehadiran ikan tersebut.

Namun, kata agensi itu, sekurang-kurangnya sebuah bot rosak kerana ia melanggar ikan berkenaan.

Pada Selasa lalu, agensi itu dan Pasukan Pengawal Pantai mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya menjauhi 100 meter dari ikan paus atau denda sekurang-kurangnya AS$2,500 (RM7,856) kerana melakukan gangguan terhadap ikan paus.

Menurut seorang pakar ekologi dan evolusi biologi, Profesor Don Croll di Universiti California, Santa Cruz, ikan paus mampu mengelak daripada manusia tetapi berada terlalu dekat dengan ikan berkenaan akan mencetuskan risiko keselamatan. - Agensi

Fakta penting mengenai ibadah haji 2011

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MAKKAH: Ibadah haji yang mencapai kemuncaknya esok apabila semua jemaah berhimpun di Arafah, di barat Arab Saudi adalah perhimpunan tahunan yang terbesar di dunia.
Fakta utama ibadah haji tahun ini: Fight HIV from affecting children and

Dianggarkan kira-kira 2.5 juta jemaah berhimpun di Makkah tahun ini – 1.8 juta dari luar negara dan 700,000 hingga 800,000 adalah jemaah tempatan.

Setiap negara Islam mempunyai kuota haji dengan 1,000 jemaah bagi setiap juta penduduk dan kumpulan haji terbesar seramai 200,000 adalah dari Indonesia.

Arab Saudi mengerahkan kira-kira 100,000 anggota keselamatan, termasuk 3,500 polis anti-rusuhan yang dilengkapi 450 kenderaan bersenjata, manakala jabatan pertahanan awam mengerahkan 22,000 anggota dan 6,000 kenderaan.

Sebanyak 1,500 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam dan di sekitar Masjidil Haram dan 29 balai polis dibuka bagi mengawal tempat suci.
Kira-kira 20,000 pekerja kesihatan diarah bersiap sedia menangani sebarang kes kecemasan dan lima helikopter penyelamat turut disediakan.

Masjidil Haram yang terletak di tengah Makkah tempat jemaah bersolat dan melakukan tawaf di Kaabah meliputi kawasan seluas 368,000 meter persegi mampu memuatkan lebih 1.5 juta orang.

Kaabah terletak di atas tapak marmar dibina daripada granit dan mempunyai pintu diperbuat daripada 280 kilogram emas tulen. Kain kiswah yang membaluti Kaabah ditukar setiap tahun. Ia dihiasi ayat al-Quran yang ditulis dengan benang emas dan perak seberat 150 kilogram.

Harian Metro

Jalan raya Bangkok jadi lubuk sampah

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

TRAK mengangkut mangsa banjir melalui jalan raya di Bangkok, Thailand.
Banjir paling buruk landa ibu kota Thailand dicemari air kotor bawa pelbagai penyakit

BANGKOK: Samroeng Verravanich, kelihatan bersahaja meranduk air berwarna coklat separas paha di salah satu jalan raya di ibu kota Thailand yang dilanda banjir, memakai sarung tangan putih, mengutip beg plastik berlendir dan menggantungkannya ke dalam raga merah dibawa.

“Jika terluka, ia boleh menyebabkan jangkitan pada jari. Tangan saya dijangkiti. Ia menyakitkan dan merebak seperti virus,” kata Samroeng mengenai air kotor, menunjukkan tangannya yang dijangkiti ruam merah.

Ketika banjir paling buruk dalam masa setengah abad terus menghantui Bangkok, bercampur dengan air berbuih yang datang menerusi longkang dan melimpah melepasi terusan, banyak jalan raya menjadi tempat pelupusan sampah terapung.

Beg plastik berisi sisa makanan yang sudah busuk tersangkut di bot, kereta, motosikal dan orang ramai ketika mereka menyusuri jalan raya dipenuhi air itu.
Najis manusia dan haiwan boleh dilihat terapung-apung dalam air yang jelas membawa penyakit.

Tiada penularan penyakit besar dilaporkan sejak musim tengkujuh menyebabkan banjir yang mula menenggelamkan kawasan utara bandar raya itu Ogos lalu.
Bagaimanapun, pakar memberi amaran ancaman kesihatan terbesar berkemungkinan muncul dalam masa beberapa minggu lagi selepas banjir surut.

“Keadaan memang bahaya. Anda perlu memastikan kanak-kanak tidak mendekati air dan semua orang perlu menjauhi air sejauh yang boleh,” kata jurucakap UNICEF, Mark Thomas.

Penyakit bawaan nyamuk, seperti demam denggi, amat dibimbangi selain jangkitan mata dan penyakit bawaan air yang boleh menyebabkan cirit-birit dan masalah kekurangan air dalam badan. – AP

Pengamal media mesti bertanggungjawab

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan pengamal media perlu melaksanakan tanggungjawab yang betul dalam setiap apa yang dilaporkan.

Ini, katanya kerana kesilapan mereka menyiarkan sebarang berita akan menjatuhkan maruah sesebuah negara mahupun individu tertentu.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas tindakan akhbar Australia, The West Australian mengakui laporannya sebelum ini yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Razak berbelanja besar di negara itu sebagai tidak benar.

"Saya rasa apa yang penting adalah sikap tanggungjawab pengamal media apatah lagi ia menjadi rujukan sehingga peringkat antarabangsa.

"Sebarang laporan yang tidak tepat sudah pasti akan memjatuhkan imej sesebuah negara serta individu tersebut, dan apa yang saya katakan ini bukan hanya merujuk kepada apa yang disiarkan di dalam akhbar milik Australia itu sahaja tetapi ia meliputi pengamal media di dalam negara kita.

"Yang mana penyebaran fitnah berita-berita yang tidak tepat sudah menjadi sinonim dengan mereka terutamanya di media elektronik milik kerajaan dan juga media cetak," jelasnya.

Beliau juga berkata, tidak kira berita kepada siapa jua disiarkan kalau ia berunsur fitnah serta tanpa bukti yang kukuh, maka perlu diketepikan.

Justeru, ahli Parlimen Kubang Kerian itu meminta pengamal media agar perlu berhati-hati dalam setiap apa yang mereka ingin sampaikan.

"Kita berharap akhbar milik kerajaan di negara ini juga mempunyai sikap yang sama. Kalau perkara itu tidak betul atau masih samar-samar janganlah disiarkan kerana ia boleh menjatuhkan maruah seseorang. Jangan pula terkena pada diri sendiri baru kita nak melenting," sambungnya lagi.

Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis Najib membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia.

Dalam laporan tersebut juga, peniaga membuat keuntungan besar apabila "seorang wanita pertama" membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' dilapor membelanjakan A$60,000.

harakahdaily/-

Tolak pendaftaran , Bukti Pakatan Rakyat punya kekuatan untuk singkir BN

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Saya ingin menyatakan bahawa tindakan ROS (Registrar Of Societies) menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk mendaftarkan nama tersebut sebagai satu entiti politik adalah satu tindakan yang tidak patut berlaku dan saya membantah tindakan pilih kasih dan tidak demokratik itu.
.
Saya katakan begitu kerana Pakatan Rakyat telah mengikut lunas-lunas perlembagaan yang telah disediakan oleh kerajaan, sepatutnya hasrat tersebut disambut baik bukannya ditolak mentah-mentah.

Prestasi yang baik yang ditunjukkan oleh semua negeri yang diperintah oleh gabungan 3 parti PAS, PKR dan DAP sepatutnya menjadi alasan yang kuat kepada ROS untuk meluluskan pendafaran Pakatan Rakyat.

Selain itu sebelum ini telah banyak parti politik baru yang diluluskan pendaftarannya walaupun belum ada rekod pentadbiran seperti Pakatan Rakyat. Permohonan merekalah yang sepatutnya ditolak.

Kerana itu saya ingin menasihati penjawat awam yang terlibat supaya cubalah terapkan dan buktikan bahawa diri mereka ada nilai profesional, janganlah terlalu memandang bahawa kerajaan pusat Umno-BN sebagai segalanya, kerana ini bakal mengundang pandangan negatif kepada badan kerajaan.

Sudahlah jentera kerajaan yang lain selama ini diperkuda BN bagi menjaga kepentingan BN dan telah mendapat persepsi buruk dari kalangan rakyat Malaysia. Sekali ini ROS menambahkan lagi senarai tersebut.

Dari segi fakta, Pakatan Rakyat telah tertubuh dengan kata sepakat dari ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP sejak tiga tahun lalu, apakah alasannya lagi? Malah parti KITA dalam masa dua bulan sahaja telah diluluskn permohonannya oleh ROS.

Saya amat yakin, gagalnya Pakatan Rakyat berdaftar adalah keputusan yang ditentukan oleh Umno-BN yang amat khuatir jika Pakatan didaftar dan bergerak secara rasmi sebagai satu entiti politik, impaknya bakal menghancurkan BN.

Bagi saya kebimbangan kepada persaingan sistem dua parti dalam menentukan masa depan politik negara adalah faktor utama pendaftaran Pakatan Rakyat di tolak.

Kerana ini saya merasakan penolakan pendaftaran Pakatan Rakyat adalah bukti sebenar bahawa Pakatan Rakyat punya kekuatan untuk menyingkirkan BN dalam PRU ke 13.

Perlulah diingatkan bahawa penolakan kepada pendaftaran Pakatan Rakyat tidak akan meredakan gelombang penolakan rakyat terhadap BN.

Kami akan pastikan BN dihukum setelah sekian lama khianat kepada amanah yang diberikan oleh rakyat lebih 50 tahun.

Drs Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 4 Nov 2011

Lesbian, gay nak duduk khemah mana di Arafah?

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Islam mengakui kebebasan manusia. Ia suatu hal yang kudus. Kebebasan dalam erti kata menghormati sifat manusia, bukannya kebebasan yang menjerumuskan manusia kepada sifat binatang dan antimanusiawi.

Hal ini berlaku kerana Islam meletakkan manusia sebagai makhluk paling mulia, jauh berbeza dengan binatang. Hatta bukan Islam juga diberikan hak untuk dihormati dan diberikan kebebasan yang sama.

Nabi SAW bangun menghormati jenazah orang Yahudi yang menurut baginda manusia yang layak dihormati. Nabi SAW menyambut rombongan Kristian Najran di dalam masjid kedua paling mulia iaitu Masjid Nabawi.

Baginda menulis surat yang dimulakan dengan salam untuk menghormati penerima suratnya, yang terdiri daripada Kisra Parsi yang beragama Majusi, Kaisar Rom yang beragama Kristian dan Muqauqis.

Ya, Islam hormati kebebasan, tetapi dalam batasan manusiawi yang sudah pasti diakui manusia seluruhnya secara universal sebagai prinsip yang wajar diterima dan diperakui.

Namun apabila ada yang cuba merendahkan taraf manusiawi insan lebih rendah berbanding haiwan, golongan syuzuz, aneh, pelik dan antimanusiawi ini wajar ditentang.

Binatang pun tahu pasangannya. Ayam jantan pasti akan mengendeng kepada ayam betina. Ayam jantan payah nak duduk sekali dengan ayam jantan lain. Ayam ayam jantan ini pasti bergaduh sakan merebut ayam betina.

Mereka mustahil bergaduh untuk berebut sesama jantan. Wow! Apa sudah jadi kalau manusia sudah jauh lebih hina daripada binatang?

Seksualiti aneh wajar ditentang

Yang jantan berpasangan dengan jantan yang lain, dan begitu jugak yang betina. Tak malukah kepada ayam, itik, angsa, katak dan segala binatang senatero alam?

Kalaulah ayam itu boleh bercakap bahasa manusia, sudah pasti ayam itu akan menyindir manusia yang aneh dan pelik ini.

Mungkin ayam jantan tu akan berkata: "Jantan jenis apa kamu ini, memalukan manusia dan binatang jantan."

Golongan yang memperjuangkan seksualiti aneh dan pelik ini wajar ditentang kerana mereka tiada tempat untuk duduk bersama manusia yang normal.

Mereka akan membawa wabak yang merosakkan sifat manusiawi. Mereka juga pasti membawa kerosakan dan bala kepada manusia normal.

Teringat saya sekitar 15 tahun lalu sewaktu menguruskan jemaah haji, pihak kaunseling bertanyakan saya tentang hasrat sekumpulan maknyah dan pondan yang ingin menunaikan ibadat haji.

Saya sambut dengan rasa gembira hasrat mulia mereka untuk dekat dengan Allah. Bagilah mereka peluang untuk kembali dekat kepada Allah kerana rahmat Allah itu tiada batasannya.

Rahmat Allah meliputi segalanya. Hanya dosa syirik yang Dia tidak ampunkan. Yang lain, semuanya akan diampun bagi yang bertaubat dan memohon keampunannya, terlebih lagi kalau dilakukan di tanah suci - di Arafah sewaktu wukuf dan di Mina sewaktu mabit.

Kenapa tak mahu hidup serupa?

Namun persoalan mereka itu tidak berakhir di situ. Saya silap! Mereka yang jadi maknyah ini sebahagiannya sudah berubah bentuk fizikal menjadi jantina lain, sedangkan jantina asal masih kemas tercetak dalam KPT mereka.

Soalan utama mereka: Mereka kena pakai telekungkah? Mereka hendak solat dalam saf wanita? Nanti kalau pergi Arafah, mereka kena pakai telekung atau pakai kain ihram dua helai seperti lelaki lain?

Kalau pakai kain ihram macam lelaki sejati, bukankah akan tersembul dua bukit itu? Bukankah itu akan mengganggu lelaki lelaki normal yang berwukuf dan berihram nanti? Nanti di Mina, mereka hendak tidur khemah mana?

Saya tiada jawapan! Sekadar saya bertanya kembali, golongan wanita asli, bolehkah menerima mereka duduk dalam satu saf dan satu khemah? Sebab yang pasti suara garau mereka pasti akan mengganggu talbiah dan takbir wanita.

Manakala bagi khemah dan saf lelaki normal, apakah mereka boleh menerima mereka dalam keadaan lenggok badan mereka yang berbeza. Di samping kalau mereka berihram, sudah pasti bonjolan dada mereka akan mengganggu ibadat orang lain.

Tetapi, kalau buat khemah khusus dan saf khusus untuk mereka pula, sudah pasti pihak yang menyediakan kemudahan itu tetap akan dituduh mendiskriminasi mereka pula, sebab menganggap mereka seperti makhluk lain?

Yang pastinya, kenapa mereka tidak mahu hidup serupa dan sama rata seperti manusia lain? Bukankah itu manusia yang sebenar?

Saudara fikir bagaimana hendak bantu jawapan saya? Hendak letak mereka dalam khemah mana?

malaysiakini/-

Akta Kerja bukti BN tidak bela pekerja

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BUKIT MERTAJAM, 4 Nov: Pindaan Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan pada 6 Oktober yang lalu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sedang memerintah negara lemah dan tidak memberi perhatian yang sewajarnya untuk membela nasib pekerja.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap dalam majlis ceramah perdana di Dataran Rakyat, Taman Guar Perahu, Penanti, malam tadi.

Menurut beliau lagi, akta yang diluluskan membuktikan nasib pekerja tidak dibela. Mereka akan dilabelkan sebagai pekerja kontrak yang tidak mempunyai perlindungan keselamatan serta masa depan.

"Kewujudan kontraktor akan menjadi lambakan baru kronisme yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan BN. Ini adalah antara unsur memperbodohkan rakyat. Ia juga merupakan suatu sistem yang menghala kearah eksploitasi tenaga kerja.

"Pindaan ini juga adalah pindaan yang tidak bertanggungjawab. Walaupun rakyat membuat bantahan, mereka masih tetap berdegil untuk mempertahankan projek terancang yang memperlekehkan pekerja dan tenaga kerja dalam negara," ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, sekiranya rakyat tidak menolak kerajaan sedia ada dalam PRU yang akan datang, tidak mustahil banyak lagi rencana bermotifkan kronisme dan penyelewengan sepertimana yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara akan menjadi amalan.

"Jika mahu negara dan rakyat selama, perubahan perlu dibuat dengan menolak BN dalam PRU 13 yang akan datang," tegasnya lagi.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan pimpinan PR Pulau Pinang.

harakahdaily/-

'Panjang', 15 tahun tak kisah jadi tumpuan

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SEREMBAN – Zaman kanak-kanak Sheikh Akmal Sheikh Imam, 15, sama seper­ti kanak-kanak lain tetapi sebaik usianya mencapai 13 tahun, perubahan mula berlaku.

Pelajar SMK Senawang ini menjadi perhatian ramai disebabkan ketinggiannya yang luar bia­sa iaitu 197 sentimeter dengan berat ba­dan 56 kilogram dan memakai kasut ber­saiz 13 inci.

Bapanya, Sheikh Imam Mohamad, 47, berkata, perubahan fizikal anak bong­su­nya itu mula ketara selepas mencapai usia akil baligh.

“Dia mula menjadi tumpuan apabila sering diajak bergambar oleh individu tidak dikenali yang teruja dengan ketinggiannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Apartmen Cempaka, Seremban 2, di sini, semalam.

Menurutnya, hanya Sheikh Akmal mempunyai ketinggian luar biasa dalam kalangan ahli keluarganya kerana kakak dan abangnya yang berusia 16 dan 20 tahun hanya mempunyai ketinggian antara 150 hingga 156 sentimeter.

Katanya, walaupun ada berpendapat ketinggian anaknya tidak normal berban­ding remaja seusianya, namun dia bersyukur kerana hingga kini Sheikh Akmal tidak menghidap sebarang penyakit.

Sheikh Akmal yang digelar ‘Panjang’ oleh rakan-rakan dan sering menjadi orang penting untuk tugasan seperti menggantung banting mengakui memiliki ketinggian melebihi paras normal adalah satu kelebihan.

“Masalahnya cuma mahu mencari seluar dan kasut. Untuk seluar, biasanya masalah singkat dan kasut pula tiada saiz.

“Cuma sejak akhir-akhir ini rasa macam pelik pula ada yang tiba-tiba datang menyapa mahu bergambar sama,” katanya.

sinar harian/-

Bazir masa, tenaga

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 atau Perhimpunan Seks Bebas perlu diberi perhatian serius berikutan tidak membawa sebarang faedah kepada masyarakat, sebaliknya cenderung membazir masa dan tenaga banyak pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penganjuran program terbabit boleh dikira melanggar batas perlembagaan dan undang-undang biarpun negara mengamalkan kebebasan hak bersuara.

“Pihak penganjur boleh kata ini negara bebas dan mereka berhak mengeluarkan sebarang pendapat.

“Walaupun Malaysia menandatangani perjanjian mengenai hak asasi manusia, tetapi dalam kehidupan bermasyarakat, negara ini mempunyai perlembagaan, undang-undang, nilai, sistem dan agama menentang perkara songsang seperti itu.

“Justeru, biarpun mereka kata tuntutan itu sebagai hak asasi mereka, tapi masih ada batas serta asas pertimbangan yang harus diambil kira,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perjumpaan dengan Guru Bahasa Inggeris: SMR HR Group di sini, semalam.

Menurut Muhyiddin, biarpun beliau bercakap dalam konteks Islam, namun pihaknya percaya isu itu turut mendapat sokongan agama lain.
“Saya bercakap dalam konteks Islam, tapi Kristian juga ada menyuarakan bantahan mereka terhadap isu sama. Ini kerana, kegiatan songsang tetap bertentangan dengan adat resam, budaya dan agama di Malaysia.

“Jadi saya tidak faham mengapa mereka membuat promosi sebegitu…apakah dia ada muslihat politik dan sebagainya, masyarakat pasti ada penilaian sendiri.
“Bagi saya, ini satu perbuatan yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat…ia satu pembaziran masa, walaupun mereka kata itu hak mereka,” katanya.

Harian Metro

Dua kapal angkasa China bercantum di angkasa

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SATU skrin pemantauan di Pusat Kawalan penerbangan Aeroangkasa Beijing, China menunjukkan kapal angkasa Tiangong (kiri) hampir bercantum dengan kapal angkasa Shenzhou 8 (kanan) di angkasa lepas semalam.

BEIJING - Dua kapal angkasa lepas China tanpa juruterbang bercantum dan mengorbit Bumi bersama-sama semalam. Ia merupakan misi yang membawa China setapak ke hadapan untuk membina stesen angkasa lepas sendiri dalam tempoh satu dekad.

Jurucakap program angkasa lepas China, Wu Ping berkata, kapal angkasa Shenzhou 8 yang dilancarkan Selasa lalu, bercantum dengan kapal angkasa Tiangong 1 yang juga makmal angkasa lepas.

Menurutnya, gabungan kapal angkasa itu telah mengelilingi dunia sebanyak enam kali dengan semua peralatan berfungsi dengan baik.

"Ia kejayaan yang gemilang sekali gus menetapkan asas kukuh untuk misi-misi seterusnya," kata Ping.

Gabungan dua kapal angkasa itu akan terbang selama 12 hari lagi untuk melakukan beberapa ujian.

Shenzhou 8 dijadual pulang ke Bumi pada 17 November ini. - Agensi

Kenapa sekarang baru haramkan Seksualiti Merdeka?

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mempersoal pihak polis yang baru tahun ini bertindak mengharamkan Festival Seksualiti Merdeka sedangkan ia sudah wujud sejak 2008 lagi.

Meskipun menyambut baik pengharaman tersebut, Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, polis hanya bertindak apabila rakyat bangkit membantah walaupun jelas program tersebut seolah-olah menghina kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

"Persoalannya, mengapa baru tahun ini pihak berkuasa menyedari adanya acara ini? Bolehkah kita simpulkan bahawa PDRM dan pihak-pihak berkuasa yang lain selama tiga tahun yang lepas gagal menjalankan tugas mereka?

"Apakah sudah menjadi budaya Pentadbiran Umno BN yang akan hanya bertindak bila rakyat kebanyakan mula menunjukkan bantahan atau lebih malang jika ianya membabitkan individu atau pihak yang tidak seiringan dengan Umno BN?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata polis dan Umno BN seolah-olah mengambil kesempatan untuk menunjukkan penetangan mereka kepada individu-individu tertentu.

Ini kerana Pengerusi Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreevanisan merupakan salah seorang penyokong program yang berlangsung di Annex Gallery bermula 1 November.

"Kesempatan ini diambil untuk melegitimasikan penentangan mereka kepada individu atau pihak-pihak berkenaan dan bukannya tindakan tegas yang bertitik tolak daripada rasa tanggungjawab, kesedaran dan amanah kepada tugas serta kehidupan beragama masing-masing," katanya.

Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang dan hukuman bukan langkah terbaik menyelelesaikan sesuatu isu namun harus dimulakan dengan langkah penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat.

Semua pihak khususnya pihak polis tidak harus bertindak seperti melepaskan batuk di tangga namun isu ini harus dilihat secara menyeluruh.

"Menyelesaikan masalah ini sewajarnya bermula daripada pendidikan, keprihatinan dan penetapan prinsip hidup serta prinsip pembinaan masyarakat yang secara jelas mesti bertunjangkan kepada keimanan yang benar serta kehidupan beragama dan kehidupan berTuhan," katanya.

Tambah beliau, semua pihak harus menitik beratkan pendidikan anak-anak dan pembangunan sesebuah institusi keluarga sehinggalah kepada pembinaan sebuah pentadbiran yang baik - ”good governance”, dengan meletakkan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik di pihak pemerintah dan setiap individu kepimpinan negara.

harakahdaily/-

Syria sedia undur kereta perisai

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

RAKYAT Syria berhimpun di bandar raya El-Raqqa bagi menyatakan sokongan kepada Bashar al-Assad.
Liga Arab mahu keganasan terhadap penunjuk perasaan dihenti, tamat krisis politik

KAHERAH: Syria menerima cadangan Liga Arab yang menggesa ia mengundurkan kereta perisai dari jalan raya dan menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan dalam usaha menamatkan krisis politik negara itu yang berlanjutan selama tujuh bulan, persetujuan yang dipandang skeptikal oleh pembangkang.

Selepas pengumuman kelmarin, Menteri Luar Qatar, Hamad bin Jassim, menggesa Damsyik mematuhi cadangan itu dengan bertindak di tengah kebimbangan Syria meneruskan tindakan keras ke atas penunjuk perasaan antikerajaan di sebalik kecaman antarabangsa dan janji melakukan perubahan.

Aktivis Syria yang kini berada di Amerika Syarikat, Najib al-Ghadban, yang juga anggota pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria, berkata pelaksanaan inisiatif itu bermakna berakhirnya rejim dan Presiden Bashar al-Assad tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

“Apa yang berlaku hari ini cuma cubaan mendapatkan lebih banyak masa. Rejim ini dikenali kerana tipu daya dan memberikan janji dan tidak melaksanakannya,” kata al-Ghadban kepada The Associated Press.

Dalam keganasan terbaru, tembakan mesingan dan letupan kedengaran di bandar raya yang menjadi pusat kebangkitan rakyat Syria ketika aktivis melaporkan dua serangan kejam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dalam masa 24 jam, walaupun tidak jelas siapa mendalangi serangan.

Usaha Liga Arab mencerminkan keinginan kuat kumpulan itu untuk mengelak melihat seorang lagi pemimpin Arab ditumbangkan secara ganas dan diseret di atas jalan raya, seperti yang berlaku kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, bulan lalu. Keputusan Liga Arab membuka jalan kepada serangan udara NATO yang membantu menjatuhkan Gaddafi.

Syria bersetuju untuk mengundurkan semua kereta kebal dan kereta perisai dari jalan raya, menghentikan tindakan ganas terhadap penunjuk perasaan, membebaskan semua tahanan politik dan memulakan dialog dengan pembangkang dalam masa dua minggu, menurut cadangan itu. Syria juga bersetuju membenarkan wartawan, kumpulan hak dan wakil Liga Arab memantau keadaan di negara itu.

Bagaimanapun masih tidak pasti sama ada kerajaan bersetuju melaksanakannya. Aktivis laman web sosial menggesa perarakan besar-besaran diadakan di seluruh Syria untuk menguji komitmen kerajaan kepada rancangan Liga Arab, walaupun tidak menyatakan tarikh tertentu.

Berpuluh-puluh orang juga mengadakan bantahan di luar ibu pejabat Liga Arab di Kaherah ketika Menteri Luar negara anggota mengadakan pertemuan kelmarin, mengibarkan bendera Syria dan melaungkan slogan menentang Assad.

Cadangan tidak menyatakan di mana dialog antara pihak berkuasa dan pembangkang akan diadakan. Diplomat Arab yang terbabit dalam proses berkenaan berkata mereka mencadangkan di Kaherah manakala wakil Syria bertegas mahukan dialog diadakan di Damsyik. – AP