06 November 2011

Terus berkorban, tegakkan keadilan Islam

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 5 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru seluruh umat Islam di negara ini meneruskan pengorbanan demi menegakkan keadilan Islam.

Beliau melalui perutusan hari raya Aidil Adha yang dihantar kepada Harakahdaily berkata, di zaman ini sudah jadi terbalik apabila pemimpin umat Islam mengorbankan agama untuk kepentingan diri dan duniawi.

"Maka menjadi tanggungjawab kepada kita untuk meneruskan pengorbanan dizaman ini, bagi memastikan tertegakkan keadilan Islam yang akan memayungi kesejahteraan hidup manusia pelbagai bangsa dan agama.

"Malanglah dizaman ini, ramai manusia mengorbankan agama untuk kepentingan diri dan duniawi sehingga membiarkan dunia terus rosak dengan jenayah, ekonomi, politik dan sosial yang pincang akibat mengenepikan syariat Allah," katanya.

Aidil Adha ujarnya mengingatkan kita umat Islam tentang pengorbanan nabi-nabi terdahulu menegakkan agama Allah sehingga sanggup meninggalkan segala kemewahan dan keselesaan dunia.

Nabi Ibrahim ujarnya berkorban dengan meninggalkan anak dan isterinya di kawasan yang kering. Begitu juga dengan Nabi Musa yang meninggalkan istana Firaun yang mewah dan juga junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan tanah air tercinta untuk menegakkan syariat Allah," katanya.

Sementara itu, mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam di Malaysia ini.

"InsyaAllah dengan kesedaran yang sama-sama kita bina sempena hari raya ini, akan membuahkan hasil yang baik kepada diri, masyarakat dan negara ini ke arah melahirkan negara yang sejahtera dan adil untuk semua dengan cara mematuhi perintah Allah dalam semua perkara.

"Selamat hari raya, maaf zahir dan batin daripada kami Parti Islam Se-Malaysia PAS," ujarnya yang juga ahli parlimen Marang.

Harakahdaily/-

SAMM dakwa PM bubar Parlimen bulan ini

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sebuah NGO, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Parlimen pada bulan ini (November 2011), bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi Kebangsaan SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, berdasarkan maklumat terkini yang diterima oleh pihaknya, pembubaran Parlimen dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri sekitar 11 November ini.

Menurut beliau, tindakan tersebut sememangnya di luar jangkaan orang ramai, tetapi maklumat terkini mengenai perkembangan itu diperolehi oleh pihaknya daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai.

Katanya, pembubaran Parlimen dalam masa terdekat pasti akan menambahkan lagi kepincangan proses pilihanraya di tanah air kerana ia diadakan ketika tuntutan rakyat bagi proses pilihanraya yang bersih dan adil belum dilaksanakan oleh kerajaan.

"Jika pilihanraya dipanggil dalam masa terdekat (paling tidak) sebelum menunggu jawatankuasa khas membuat keputusan, maka sudah tentu satu pilihanraya paling kotor dalam sejarah sedang dijanjikan oleh Kerajaan BN.

"Sekiranya ini tetap dilakukan, maka tidak dapat dielakkan persepsi pilihanraya kali ini hanyalah proses 'palsu' bagi menghalalkan regim Umno BN terus berkuasa," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, SAMM bersama dengan teman-teman organisasi massa lain yang mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya memberi amaran kepada Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihanraya dilakukan.

Katanya, proses penambahbaikan yang dituntut itu juga seharusnya satu proses 'reformasi' serius yang memberi jawapan kepada kelemahan-kelemahan yang sering dipergunakan oleh pihak tertentu dan bukan hanya perubahan kosmetik semata-mata.

Beliau yang turut dikenali sebagai Cikgu Bard menambah, yakinlah, rakyat sudah mula hilang kesabaran kerana negara sedang berdepan dengan krisis kepercayaan proses demokrasi pilihanraya paling teruk sekarang.

"Jika pilihanraya umum masih berlaku sebelum proses penambahbaikan pilihanraya yang menyakinkan, kami berjanji akan menggerakkan mobilisasi rakyat terbesar," tegasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat akan turun bukan sahaja untuk melakukan protes, tetapi benar-benar untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihanraya yang bersih dan adil.

"Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan," ujarnya.

Di serata dunia kebelakangan ini, katanya, pelbagai pihak dapat melihat kebangkitan kuasa rakyat menundukkan pemerintahan diktator di beberapa buah negara.

Menurutnya, di Malaysia pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat telah memilih jalan raya untuk mendesak penambahbaikan proses pilihanraya negara yang terbukti dicemari pelbagai kecacatan yang sering dinafikan pihak pemerintah.

"Kepincangan proses pilihanraya telah diakui oleh Datuk Seri Najib dengan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Proses Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen)," katanya.

Bercanggah dengan pengakuan betapa perlunya proses penambahbaikan proses pilihanraya, tegasnya, kenyataan umum terus dikeluarkan oleh pimpinan BN dan Perdana Menteri sendiri yang mencadangkan bahawa PRU Ke-13 diadakan tidak lama lagi dan tidak perlu menunggu proses reformasi proses pilihanraya selesai.

"Malah lebih menggusarkan dan lebih bercanggah dengan jaminan untuk menambahbaik proses pilihanraya, timbul pula pelbagai perkembangan negatif seperti pemberian taraf warganegara kepada rakyat asing secara 'istimewa' untuk tujuan mengundi (khususnya bagi pihak BN)" ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM), Haris Ibrahim; Pengerusi League Unemployed Graduates, Devadas Silvaraju; Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Rohana Ariffin dan Pengerusi India Justice Party (IJP), PS Jenapala.

Harakahdaily/-

Berkorban untuk tegak Islam

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,
Datuk Harun Taib

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

Bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha 1432H, saya mewakili Dewan Ulamak PAS mengucapkan selamat menyambut hari raya kepada seluruh umat Islam khususnya para penyokong dan pendukung PAS sejak dahulu hingga sekarang. Tidak lupa juga ucapan tahniah saya kepada para tetamu Allah di bumi Makkah yang menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s. untuk melakukan ibadat haji.

Ibadat haji mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Arahan yang mungkin dianggap tidak logik untuk dilaksanakan agar baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail dilakukan dengan penuh pasrah dan ketaatan. Walaupun Nabi Ismail adalah anak tunggal yang sangat dikasihi melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar, baginda mendahulukan Allah lebih daripada segala-galanya.

Tambahan lagi, persediaan Nabi Ismail untuk disembelih atas arahan Allah SWT untuk dilaksanakan oleh ayahnya terhadapnya. Begitu juga, persediaan Siti Hajar untuk tinggal di lembah Mekkah bersama anaknya Ismail di Mekkah yang tidak ada penduduk dan makanan. Ini juga adalah kerana mengikut perintah Allah SWT.

Sebagai hamba Allah, arahan dan ketetapan yang diberikan hendaklah dipikul dengan sebaik-baiknya. Tidak ada pilihan bagi hambanya yang mengaku beriman untuk mengingkari segala perintah yang ditetapkan khususnya yang terdapat dalam Al-Quran dan apa yang disampaikan oleh utusanNya Nabi Muhammad s.a.w.

Seorang muslim tidak boleh untuk memilih melaksanakan sebahagian daripada perintah dan meninggalkan sebahagian yang lain. Perintah untuk melaksanakan hukuman hudud sebagai contoh seharusnya ditaati sebagaimana perintah ibadat haji ke atas umat Islam. Perintah untuk melaksanakan hukuman qisas seharusnya dipikul sebagaimana perintah melakukan ibadat puasa ke atas orang yang beriman.

Walaupun hukuman ini pada pandangan sesetengah orang dilihat terlalu keras dan tidak sesuai dilaksanakan di zaman moden ini, sebagai seorang muslim yang mengambil pengajaran di sebalik peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim tidak akan meninggalkan arahan tersebut dengan sewenang-wenangnya. Usaha harus dilakukan untuk mencari jalan ke arah perlaksanaannya dan bukan alasan yang diberikan untuk mengelak daripadanya.

Pengorbanan Nabi Ibrahim ini juga seharusnya diambil iktibar oleh para pejuang Islam khususnya pendukung PAS. Harta, keluarga, masa dan kehidupan ini adalah pinjaman daripada Allah yang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menegakkan agamaNya. Pengorbanan sangat dituntut sebagai bukti perhambaan kita kepada Allah. Pengorbanan bagaikan bahan api untuk menggerakkan kenderaan jamaah ini. Tanpanya, kenderaan ini hanya akan menjadi hiasan dan disimpan di dalam garaj.

Buat akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam dan selamat menunaikan ibadat haji kepada seluruh tetamu Allah di bumi Makkah. Moga Ibadat kalian diterima dan mendapat haji yang mabrur.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

Idham Lim : Tingkatkan semangat pengorbanan yang ikhlas.



10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PADANG SERAI, 6 Nov.:-Umat Islam diseru untuk meningkatkan semangat pengorbanan untuk menegakkan kebenaran Islam dalam kehidupan diri, masyarakat dan bernegara dengan ikhlas tanpa tujuan sementara seperti mengharapkan sokongan selepas kuasa tergugat apa lagi secara bermusim. Demikianlah antara isi Khutbah Aidil Adha yang disampaikan oleh ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim di Masjid An Najah padanga serai pagi ini.

Khutbah Hari Raya itu disampaikan kepada sekitar 1000 orang jemaah di mesjid yang terletak di Parlimen Padang Serai dalam keadaan cuaca mendung namun sejak awal lagi para jemaah menuhi ruangan masjid tersebut.

Drs. Khalil yang ditemui selepas itu menjelaskan inilah kali pertama beliau menyampaikan khutbah di luar DUN Titi Serong sejak beliau menjadi ADUN sejak tahun 2008.

Pada kesempatan kehadiran beliau di Mesjid tersebut, 2 orang kakitangan NGO Idham Care turut serta untuk melakukan jualan wakaf Lot Tanah dan Bangunan Kompleks Pendidikan Darul Anwar.

Drs. Khalil Idham Lim yang juga merupakan Pengerusi Idham Care menekankan juga dalam khutbahnya betapa ibu bapa perlulah berkorban untuk mendidik anak-anak mereka supaya mengerjakan solat 5 waktu termasuk bertindak mendidik dengan merotan mereka.

3 juta umat Islam berwukuf di Arafah

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


Sebahagian umat Islam mengambil kesempatan berdoa di Jabal Rahmah, sebelum berwukuf di padang Arafah, semalam. - AGENSI

MEKAH 5 Nov. - Suasana hening di bumi Arafah di sini langsung tidak mencerminkan perhimpunan kira-kira tiga juta umat Islam dari seluruh dunia untuk berwukuf, yang menjadi salah satu rukun dalam ibadat haji, tengah hari ini.

Seramai 28,000 jemaah haji dari Malaysia adalah antara kira-kira tiga juta umat Islam di sini yang sedang menunaikan ibadah itu, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Difahamkan Perdana Menteri dan isteri kini berwukuf di khemah protokol diraja di tengah Arafah, berdekatan dengan Masjid Namirah.

Dalam panas terik di sini, masing-masing menadah tangan memohon keampunan kepada Ilahi, dengan penuh khusyuk, selepas mendengar khutbah yang menjadi salah satu pengisian wukuf.

"Perhimpunan umat Islam di bumi Arafah ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai menyahut seruan daripada Yang Maha Esa untuk mengukuhkan persaudaraan sesama Islam yang besar ertinya," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom semasa menyampaikan khutbah Arafah di Maktab 100 di sini.

Beliau berkata, wukuf sebenarnya merujuk kepada penyerahan sepenuhnya kepada ketentuan Allah oleh hamba-hambanya dari seluruh negara.

Menurutnya, jemaah yang datang dari seluruh pelosok dunia meninggalkan segala harta benda, sanak saudara urusan dunia dan segalanya beribu-ribu batu di belakang, semata-mata untuk mendapat keredaan Allah.

Selesai khutbah, rata-rata jemaah kemudiannya menyendiri dalam usaha menginsafi diri, dalam tempoh yang tinggal tidak seberapa lagi di bumi Arafah ini, kerana selepas Maghrib, jemaah haji akan berlepas meninggalkan Arafah untuk mengerjakan rukun haji berikutnya.

Difahamkan Perdana Menteri akan kembali ke kota Mekah lewat petang ini untuk mengerjakan tawaf dan saei haji, sebelum melontar di Jamrat. - BERNAMA

Perbaharui tekad dan harapan agar menjadi insan yang lebih berguna kepada agama Allah


10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -Bersyukurlah kepada Allah yang anugerahkan Hari Raya kerana atas nama bangsa tiada Hari Raya yang semulia Hari Raya yang disyariatkan Allah SWT. Kalaupun ada, ianya sekadar keseronokan sementara yang tidak sampai natijahnya sampai ke akhirat.

Tambahan lagi orang Melayu mana ada Hari Raya melainkan Hari Raya Islam yang disambut dek kerana Allah berikan Hidayah kepada nenek moyang orang Melayu. Kerana itu tidak ada Hari Raya Melayu melainkan pada Hari Raya Islam,oleh itu pada kesempatan ini saya ucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri kepada seluruh Umat Islam di mana saja berada.

Marilah kita rayakan hari ini sebagai hari untuk kita memperbaharui tekad dan harapan agar menjadi insan yang lebih berguna kepada agama Allah dengan meningkatkan semangat pengorbanan dalam usaha kita menegakkan kalimat Allah di bumi tercinta ini.

Kerana itu berusahalah dengan sepenuh tenaga untuk berkorban di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga bagi melawan musuh-musuh Allah yang bertebaran di muka bumi ini.

Idham Lim
Parit Buntar/ 10 Zulhijjah 1432H.


150 maut serangan kejam di Nigeria

10 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

DAMATURU (Nigeria): Sekurang-kurangnya 150 terkorban dalam serangan kejam senjata api dan bom di utara Nigeria hari ini dengan kumpulan radikal Islam, Boko Haram dilaporkan bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan mengutuk serangan itu dengan pegawai kerajaan mengesahkan sekurang-kurangnya lima letupan bom berani mati berlaku.

"Agensi keselamatan diarahkan untuk menangkap pelaku serangan kejam itu," menurut kenyataan daripada jurucakap, Ruben Abati.

Pegawai penyelamat berkata, sehingga kini rumah mayat sudah menampung sehingga 150 mayat.

"Saya terbabit dalam pemindahan mereka yang terbunuh ke rumah mayat. Secara peribadi, saya mengira 150 jasad di situ," kata pegawai hospital itu. - AFP

05 November 2011

Kenapa Najib Perlu Diberikan Kawalan Keselamatan Di Mekah?

8 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
http://greenboc.blogspot.com

Agak mengejutkan apabila PM, DS Mohd Najib Tun Razak terpaksa diberikan kawalan keselamatan sewaktu menunaikan hajinya di Mekah.

Ia memberikan pelbagai persepsi yang menghairankan seolah-olah Mekah sudah menjadi tempat yang tidak selamat dan kedua sudah ada "kasta" di dalam Islam yang membezakan seorang pemimpin negara dengan rakyat terbanyak, sekaligus mencemarkan ibadah haji yang sepatutnya menyamaratakan semua manusia tanpa mengira pangkat, kedudukan, harta dan harta.

Berikut dipetik dari blog Tinta Hijau Dari Kaki Bukit:

Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad :





Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak :







Presiden Iran :

Beliau juga dikawal oleh tentera Arab Saudi tapi tidaklah sampai 23 pengawal tentera yang berpegangan tangan seperti Najib.Beliau lebih bebas bergerak bersama jamaah haji serata dunia.

Inilah falsafah haji sebenar, tiada kaya, meskin, hamba, bangsawan, orang putih atau hitam, mereka semua tiada beza disisi Allah...

Perdana Menteri Malaysia :

Ketika Najib dan Rosmah mengerjakan ibadah haji. Seramai 23 orang askar Arab Saudi diperlukan untuk mengepong mereka bagi memastikan tiada jemaah haji lain yang dapat datang menghampiri dan berasak-asak dengan mereka.

Fadhilat ditinggalkan, hanya kerja haji yang dibuat. Antara tujuan mengerjakan ibadah haji adalah merasai pengorbanan, keperitan, kesusahan para anbiya' terdahulu dengan tidak membezakan pangkat, darjat, kuasa, harta dan sebagainya.

Kesimpulan :

biarpun berisiko tinggi diapa-apakan oleh musuhnya, Presiden Iran ini hanya menerima kawalan keselamatan minimum semasa menunaikan haji. .Itu Presiden Iran, orang yang banyak musuh di dunia ini.

Apa hal pula dengan Najib yang sudah tentunya tidak bermusuh dengan AS atau Israel? Namun, apabila melihat puluhan pasukan keselamatan Saudi mengawalnya sambil berpegangan tangan, 1Malaysia (kecuali pencacai) berasa pelik dan hairan.

The West Australian akui silap siar artikel anak PM, tetapi tidak nafikan laporan mengenai wanita pertama.

Laporan Akhbar The West Australian yang dibetulkan.

8 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Akhbar The West Australian semalam mengakui kesilapannya berhubung penyiaran artikel yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan sebanyak $60,000 (RM194,157) di sebuah pusat beli belah di Perth semasa Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini.

Dalam ruangan pembetulan dan penjelasan yang diterbitkan, akhbar berkenaan turut mengesahkan bahawa anak perempuan Perdana Menteri juga tidak berada di Perth dan ini bercanggah dengan laporan yang mereka siarkan pada Isnin lepas.

Kenyataan akhbar itu boleh dilayari menerusi portal akhbar The Borneo Post yang menerima salinan halaman tersebut yang diemelkan oleh wartawan ekonominya, Neale Prior.

The West Australian juga menyebut adalah menjadi polisi akhbar itu untuk memperbetulkan setiap kesilapan mereka seboleh yang mungkin.

Semalam, Najib dalam Twitter terbaharunya menjelaskan bahawa anak perempuannya bukan berada di Australia semasa beliau menghadiri CHOGM di Perth, baru-baru ini.

Beliau berkata orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan.

Ulasan beliau adalah berikutan penerbitan satu artikel dalam sebuah akhbar Australia yang mendakwa anak perempuannya membelanjakan $60,000 (RM194,157) di sebuah pusat beli belah di Perth, lokasi CHOGM.

Laporan itu juga menyebut: "Seorang wanita pertama diketahui telah membeli mutiara bernilai $150,000 (RM485,476)." Bagaimanapun, ia tidak menamakan individu yang menjadi tanda tanya.

42 pelombong batu arang di China diselamatkan

8 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BEIJING: Pasukan penyelamat menarik keluar 42 pelombong batu arang yang terperangkap akibat letupan batu Khamis lalu di bandar Samenxia, wilayah Henan, China.

Agensi media negara itu berkata, ia selepas 36 jam pelombong terbabit terperangkap dan kini pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa lain.

Katanya, usaha menyelamat itu dipertingkatkan selepas tujuh pelombong berjaya diselamatkan semalam.

Susulan kejadian itu, empat pelombong terbunuh dan tujuh yang lain dianggarkan jumlah yang masih hilang. - AP

04 November 2011

Ikan paus dekat pantai AS jadi tumpuan

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SEORANG pengayuh kayak, Alan Brady terkejut apabila dua ekor ikan paus muncul dekat dengannya di luar pantai Seabright, Santa Cruz pada 25 Oktober lalu.

SANTA CRUZ - Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) mengawasi perairan Santa Cruz kerana beberapa ikan paus mendiami kawasan dekat dengan pantai kelmarin.

Kehadiran ikan paus itu menyebabkan ramai orang datang ke pantai tersebut untuk melihat haiwan berkenaan sekali gus mencetuskan ancaman keselamatan pengayuh kayak dan bot lain yang cuba mendekati mamalia itu.

Ikan paus humpback itu berada kira-kira 1.6 kilometer dari pantai untuk mencari makanan.

Menurut Perlindungan Marin Kebangsaan Teluk Monterey, setakat ini, tiada orang awam yang cedera kerana kehadiran ikan tersebut.

Namun, kata agensi itu, sekurang-kurangnya sebuah bot rosak kerana ia melanggar ikan berkenaan.

Pada Selasa lalu, agensi itu dan Pasukan Pengawal Pantai mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya menjauhi 100 meter dari ikan paus atau denda sekurang-kurangnya AS$2,500 (RM7,856) kerana melakukan gangguan terhadap ikan paus.

Menurut seorang pakar ekologi dan evolusi biologi, Profesor Don Croll di Universiti California, Santa Cruz, ikan paus mampu mengelak daripada manusia tetapi berada terlalu dekat dengan ikan berkenaan akan mencetuskan risiko keselamatan. - Agensi

Fakta penting mengenai ibadah haji 2011

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MAKKAH: Ibadah haji yang mencapai kemuncaknya esok apabila semua jemaah berhimpun di Arafah, di barat Arab Saudi adalah perhimpunan tahunan yang terbesar di dunia.
Fakta utama ibadah haji tahun ini: Fight HIV from affecting children and

Dianggarkan kira-kira 2.5 juta jemaah berhimpun di Makkah tahun ini – 1.8 juta dari luar negara dan 700,000 hingga 800,000 adalah jemaah tempatan.

Setiap negara Islam mempunyai kuota haji dengan 1,000 jemaah bagi setiap juta penduduk dan kumpulan haji terbesar seramai 200,000 adalah dari Indonesia.

Arab Saudi mengerahkan kira-kira 100,000 anggota keselamatan, termasuk 3,500 polis anti-rusuhan yang dilengkapi 450 kenderaan bersenjata, manakala jabatan pertahanan awam mengerahkan 22,000 anggota dan 6,000 kenderaan.

Sebanyak 1,500 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam dan di sekitar Masjidil Haram dan 29 balai polis dibuka bagi mengawal tempat suci.
Kira-kira 20,000 pekerja kesihatan diarah bersiap sedia menangani sebarang kes kecemasan dan lima helikopter penyelamat turut disediakan.

Masjidil Haram yang terletak di tengah Makkah tempat jemaah bersolat dan melakukan tawaf di Kaabah meliputi kawasan seluas 368,000 meter persegi mampu memuatkan lebih 1.5 juta orang.

Kaabah terletak di atas tapak marmar dibina daripada granit dan mempunyai pintu diperbuat daripada 280 kilogram emas tulen. Kain kiswah yang membaluti Kaabah ditukar setiap tahun. Ia dihiasi ayat al-Quran yang ditulis dengan benang emas dan perak seberat 150 kilogram.

Harian Metro

Jalan raya Bangkok jadi lubuk sampah

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

TRAK mengangkut mangsa banjir melalui jalan raya di Bangkok, Thailand.
Banjir paling buruk landa ibu kota Thailand dicemari air kotor bawa pelbagai penyakit

BANGKOK: Samroeng Verravanich, kelihatan bersahaja meranduk air berwarna coklat separas paha di salah satu jalan raya di ibu kota Thailand yang dilanda banjir, memakai sarung tangan putih, mengutip beg plastik berlendir dan menggantungkannya ke dalam raga merah dibawa.

“Jika terluka, ia boleh menyebabkan jangkitan pada jari. Tangan saya dijangkiti. Ia menyakitkan dan merebak seperti virus,” kata Samroeng mengenai air kotor, menunjukkan tangannya yang dijangkiti ruam merah.

Ketika banjir paling buruk dalam masa setengah abad terus menghantui Bangkok, bercampur dengan air berbuih yang datang menerusi longkang dan melimpah melepasi terusan, banyak jalan raya menjadi tempat pelupusan sampah terapung.

Beg plastik berisi sisa makanan yang sudah busuk tersangkut di bot, kereta, motosikal dan orang ramai ketika mereka menyusuri jalan raya dipenuhi air itu.
Najis manusia dan haiwan boleh dilihat terapung-apung dalam air yang jelas membawa penyakit.

Tiada penularan penyakit besar dilaporkan sejak musim tengkujuh menyebabkan banjir yang mula menenggelamkan kawasan utara bandar raya itu Ogos lalu.
Bagaimanapun, pakar memberi amaran ancaman kesihatan terbesar berkemungkinan muncul dalam masa beberapa minggu lagi selepas banjir surut.

“Keadaan memang bahaya. Anda perlu memastikan kanak-kanak tidak mendekati air dan semua orang perlu menjauhi air sejauh yang boleh,” kata jurucakap UNICEF, Mark Thomas.

Penyakit bawaan nyamuk, seperti demam denggi, amat dibimbangi selain jangkitan mata dan penyakit bawaan air yang boleh menyebabkan cirit-birit dan masalah kekurangan air dalam badan. – AP

Pengamal media mesti bertanggungjawab

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan pengamal media perlu melaksanakan tanggungjawab yang betul dalam setiap apa yang dilaporkan.

Ini, katanya kerana kesilapan mereka menyiarkan sebarang berita akan menjatuhkan maruah sesebuah negara mahupun individu tertentu.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas tindakan akhbar Australia, The West Australian mengakui laporannya sebelum ini yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Razak berbelanja besar di negara itu sebagai tidak benar.

"Saya rasa apa yang penting adalah sikap tanggungjawab pengamal media apatah lagi ia menjadi rujukan sehingga peringkat antarabangsa.

"Sebarang laporan yang tidak tepat sudah pasti akan memjatuhkan imej sesebuah negara serta individu tersebut, dan apa yang saya katakan ini bukan hanya merujuk kepada apa yang disiarkan di dalam akhbar milik Australia itu sahaja tetapi ia meliputi pengamal media di dalam negara kita.

"Yang mana penyebaran fitnah berita-berita yang tidak tepat sudah menjadi sinonim dengan mereka terutamanya di media elektronik milik kerajaan dan juga media cetak," jelasnya.

Beliau juga berkata, tidak kira berita kepada siapa jua disiarkan kalau ia berunsur fitnah serta tanpa bukti yang kukuh, maka perlu diketepikan.

Justeru, ahli Parlimen Kubang Kerian itu meminta pengamal media agar perlu berhati-hati dalam setiap apa yang mereka ingin sampaikan.

"Kita berharap akhbar milik kerajaan di negara ini juga mempunyai sikap yang sama. Kalau perkara itu tidak betul atau masih samar-samar janganlah disiarkan kerana ia boleh menjatuhkan maruah seseorang. Jangan pula terkena pada diri sendiri baru kita nak melenting," sambungnya lagi.

Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis Najib membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia.

Dalam laporan tersebut juga, peniaga membuat keuntungan besar apabila "seorang wanita pertama" membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' dilapor membelanjakan A$60,000.

harakahdaily/-

Tolak pendaftaran , Bukti Pakatan Rakyat punya kekuatan untuk singkir BN

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Saya ingin menyatakan bahawa tindakan ROS (Registrar Of Societies) menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk mendaftarkan nama tersebut sebagai satu entiti politik adalah satu tindakan yang tidak patut berlaku dan saya membantah tindakan pilih kasih dan tidak demokratik itu.
.
Saya katakan begitu kerana Pakatan Rakyat telah mengikut lunas-lunas perlembagaan yang telah disediakan oleh kerajaan, sepatutnya hasrat tersebut disambut baik bukannya ditolak mentah-mentah.

Prestasi yang baik yang ditunjukkan oleh semua negeri yang diperintah oleh gabungan 3 parti PAS, PKR dan DAP sepatutnya menjadi alasan yang kuat kepada ROS untuk meluluskan pendafaran Pakatan Rakyat.

Selain itu sebelum ini telah banyak parti politik baru yang diluluskan pendaftarannya walaupun belum ada rekod pentadbiran seperti Pakatan Rakyat. Permohonan merekalah yang sepatutnya ditolak.

Kerana itu saya ingin menasihati penjawat awam yang terlibat supaya cubalah terapkan dan buktikan bahawa diri mereka ada nilai profesional, janganlah terlalu memandang bahawa kerajaan pusat Umno-BN sebagai segalanya, kerana ini bakal mengundang pandangan negatif kepada badan kerajaan.

Sudahlah jentera kerajaan yang lain selama ini diperkuda BN bagi menjaga kepentingan BN dan telah mendapat persepsi buruk dari kalangan rakyat Malaysia. Sekali ini ROS menambahkan lagi senarai tersebut.

Dari segi fakta, Pakatan Rakyat telah tertubuh dengan kata sepakat dari ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP sejak tiga tahun lalu, apakah alasannya lagi? Malah parti KITA dalam masa dua bulan sahaja telah diluluskn permohonannya oleh ROS.

Saya amat yakin, gagalnya Pakatan Rakyat berdaftar adalah keputusan yang ditentukan oleh Umno-BN yang amat khuatir jika Pakatan didaftar dan bergerak secara rasmi sebagai satu entiti politik, impaknya bakal menghancurkan BN.

Bagi saya kebimbangan kepada persaingan sistem dua parti dalam menentukan masa depan politik negara adalah faktor utama pendaftaran Pakatan Rakyat di tolak.

Kerana ini saya merasakan penolakan pendaftaran Pakatan Rakyat adalah bukti sebenar bahawa Pakatan Rakyat punya kekuatan untuk menyingkirkan BN dalam PRU ke 13.

Perlulah diingatkan bahawa penolakan kepada pendaftaran Pakatan Rakyat tidak akan meredakan gelombang penolakan rakyat terhadap BN.

Kami akan pastikan BN dihukum setelah sekian lama khianat kepada amanah yang diberikan oleh rakyat lebih 50 tahun.

Drs Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 4 Nov 2011