16 Disember 2011

Perlukan derma RM300,000 bina masjid

20 Muharram 1433H. [MOD] -

KAMPUNG SUNGAI PINANG – Masjid Nurul Hidayah yang siap hampir 90 peratus, masih memerlukan derma orang ramai sebanyak RM300,000 bagi menyiapkan pembinaannya untuk digunakan jemaah sekitar kampung ini.

Pengerusi Masjid Nurul Hidayah, Md Rasid Mohamad berkata, kerja–kerja pembinaan dimulakan sejak bulan Ogos tahun lalu, dan dijangkakan siap pada Mac tahun depan.

Md Rasid yang juga dikenali sebagai Haji Roni Kampung Laut berkata, masjid tersebut dibina dua tingkat, dianggarkan bernilai RM2 juta mampu memuatkan kira–kira 2,000 jemaah.

“Siapnya masjid ini nanti, penduduk dari Kampung Sungai Pinang, Kampung Kok Majid, Kampung Chat boleh menunaikan solat di sini,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun derma orang ramai masih diperlukan untuk menyiapkan nya sama ada bahan binaan, peralatan elektrik, pendawaian elektrik atau pun derma wang tunai.

“Orang ramai dialu-alukan menderma dalam bentuk bahan binaan seperti cat, kipas, karpet, penghawa dingin.

“Orang ramai yang ingin menderma boleh menyumbangkan ke dalam akaun Bank Muamalat di nombor 0301005017715,” katanya.

Menurutnya, sebarang pertanyaan boleh menghubungi bendahari masjid, Cikgu Tuan Aziz 012–9683550 dan setiausahanya, Cikgu Wan Fauzi 019–9391339.

Masjid Nurul Hidayah dibina di atas tanah yang diwakafkan Haji Roni dan siapnya masjid ini memberi manfaat besar kepada penduduk di sini.

Sinar Harian

Masjid disimbah cat merah

20 Muharram 1433H. [MOD] -

MANTIN - Masjid Kariah Mantin di sini, dicemari dengan simbahan cat pada bahagian tembok dan dinding luar rumah ibadat itu, kira-kira jam 6 pagi,semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Ko­misioner Hamdan Majid berkata, kejadian itu mula disedari seorang anggota unit peronda polis yang singgah di masjid itu untuk solat Subuh.

“Siasatan awal menemui beberapa dokumen yang mendakwa wujud isu dalaman masjid namun tiada tong cat di lokasi kejadian.

“Perbuatan menyimbah cat ini dipercayai dilakukan sekitar tengah malam hingga awal pagi dan pihak polis sedang menyiasat dari pelbagai sudut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, insiden itu tiada kaitan dengan sebarang perbuatan jenayah yang menyentuh soal sensitiviti agama.

Sementara itu, wakil pe­ngurusan Masjid Kariah Man­tin yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 50-an, berkata, dia menyedari perbuatan menyimbah cat itu ketika datang ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah, semalam.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya pernah menerima surat layang daripada individu tidak diketahui bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan masjid berkenaan.

“Namun, tiada siapa pun yang pernah bersemuka dan berdepan dengan kami untuk membincangkan tentang pengurusan masjid.

“Perbuatan menyimbah cat ini agak keterlaluan kerana seolah-olah tidak menghormati kesucian rumah ibadat umat Islam di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, cat berwarna merah disimbahkan pada bahagian dalam tembok erhampiran pintu pagar masjid pada sebahagian dinding luar masjid.

Bagaimanapun Ahmad berkata, tiada bahagian lain masjid atau peralatan di dalamnya yang menjadi mangsa perbuatan khianat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sinar Harian

15 Disember 2011

Pemuda nasihat Hasan Ali jangan tinggal PAS

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan menggesa Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali agar tetap bersama PAS untuk memperjuangkan agama Islam tanpa perlu meninggalkan parti itu.

Katanya, usaha Hasan yang mahu memperjuangkan Islam adalah sesuatu yang baik dan dituntut, namun biarlah perjuangan itu dilakukan bersama jemaah PAS.

"Semalam Utusan tanya saya tentang agenda Dr Hasan nak perjuang Islam. Saya kata usaha itu sesuatu yang baik dan dituntut tapi pada masa sama beliau jangan larikan diri atau tinggalkan jemaah PAS," katanya kepada Harakahdaily

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk "Pemuda PAS sokong Hasan terus perjuang kepentingan Islam, Melayu walaupun digugur sebagai calon" yang memetik kenyataannya.

Beliau berkata, laporan akhbar Umno itu kurang tepat kerana beliau tidak pernah mengiyakan soal Hasan digugurkan dari senarai calon pilihan raya seperti ditulis pada tajuk kecil laporan itu.

Mengulas soal Hasan digugur atau sebaliknya itu, Nasruddin berkata isu tersebut tidak berbangkit kerana keputusan siapa menjadi calon hanya ditentukan oleh PAS Pusat.

"Dia (Utusan) juga tanya saya soal kenyataan bahawa Hasan akan digugurkan sebagai calon. Saya kata soal calon ini hanya diputuskan oleh PAS Pusat.

"Tidak timbul langsung soal gugur tak gugur sekarang ini sebab PAS pusat belum buat sebarang keputusan pun lagi," katanya.

Harakah Daily

Fitnah II: Pendakwa abai keterangan Dr Osman- Karpal Singh

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 15 Dis: Ketua pasukan peguam bela Anwar, Karpal Singh mempersoalkan tindakan pendakwa raya yang mengabaikan keterangan doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohd Osman Abdul Hamid dalam perbicaraan Fitnah II.

Menurut Karpal, keterangan Dr Osman ‘memusnahkan’ kes pendakwa raya kerana beliau adalah doktor pertama yang memeriksa pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan mengesahkan pemuda itu tidak diliwat.

Beliau turut mempertikaikan sebab Saiful terus ke hospital untuk diperiksa walau pun pada masa itu dia masih belum membuat laporan polis.

“Kejadian didakwa berlaku pada 26 Jun, laporan polis pada 28 Jun…kenapa Saiful tidak terus ke balai polis untuk buat laporan?” tanya Karpal dalam hujah balas terhadap penggulungan akhir pendakwa raya hari ini.

Peguam kedua Anwar, Sankara Nair pula berhujah Saiful mereka-reka cerita berkenaan cecair pelincir KY Jelly bagi memastikan fitnah rekaannya padan dengan penemuan Dr Osman yang mengesahkan dia tidak diliwat.

“Saiful nampaknya tiada pilihan lain selain daripada mendapatkan pendapat lain yang mengesahkan dia kononnya diliwat,” kata Sankara.

Sankara juga membidas pendakwa raya yang memanggil doktor perubatan biasa HKL untuk mempertikai keterangan doktor pakar tulang belakang, Dr Thomas Hoogland.

“Yang Arif tidak akan dapat membandingkan pendapat dua orang pakar dan membuat keputusan pendapat mana yang mahu diterima,” kata Sankara.

Sebaik sahaja peguam bela Anwar selesai melakukan hujah penggulungan, Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh 9 Januari memberikan keputusan terhadap kes Fitnah II ini.

Keadilan Daily

Hasan, Nasharudin terperangkap dalam agenda Umno

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menganggap dua pimpinan parti itu, Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS.

Beliau berkata, Hasan yang merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan Nasaharudin yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden bertindak tidak wajar sebagai pimpinan parti.

"Saya buat kesimpulan, mereka berdua terheret dengan agenda (Umno) yang boleh menjejaskan parti. Sama ada mereka sedar atau tidak sedar, mereka sebenarnya terperangkap dalam agenda musuh politik PAS

"Ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS walaupun tidak memberikan kesan besar bagi parti," kata beliau dalam temu bual bersama Harakah dan Harakahdaily di sini, hari ini.

Mustafa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terkini kedua-dua pemimpin itu mengenai kedudukan mereka dalam parti.

Perkara itu timbul apabila Ketua Penerangan Pas Selangor Shaari Sungib mengeluarkan kenyataan bahawa Hasan tidak menerima pencalonan yang mencukupi daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Gombak Setia.

Rentetan itu, Hasan membuat kenyataan bahawa beliau terus bekerjasama dengan Pas dan Pakatan Rakyat selagi pihak berkenaan mempertahankan prinsip Islam, hak Melayu dan institusi Raja dan tidak semudah itu untuk keluar daripada PAS jika menghadapi masalah dalaman parti.

Mustafa berkata, kenyataan turut menggambarkan Hasan seolah-olah mempersoal dasar Islam yang diperjuangkan PAS selama ini dan terpengaruh dengan tuduhan Umno BN bahawa PAS diperalat DAP.

"Saya rasa ini sebab kekecewaan kerana mereka tidak terpilih dan tidak diletakkan di tempat mereka seperti Nasharudin sebagai Timbalan Presiden dan Hasan sebagai pesuruhjaya Selangor," katanya.

Nasharudin dalam kenyataan baru-bari ini ada menyebut beliau berasa pelik dengan politik PAS yang semakin pelik.

Mustafa dalam pada itu turut menegur kenyataan Saari Sungip yang dianggap mendahului parti sedangkan katanya urusan calon dalam pilihan raya ditentukan oleh Majlis Syura.

"Soal calon ini tak ada siapa boleh buat kenyataan kerana ianya ditentukan oleh Majlis Syura dan akan diumumkan oleh Presiden," katanya.

Walaubagaimana pun tegas Mustafa, kenyataan Hasan dan Nasharudin itu tidak menjejaskan parti dan sokongan ahli kerana ahli menyokong dasar Islam yang diperjuangkan PAS, bukan menyokong individu.

"Bekerja untuk melemahkan parti, ini tidak betul walaupun kesannya tak besar sebab PAS mempunyai kekuatan tersendiri, memang tak boleh digugat oleh individu.

"PAS pernah kehilangan Presiden suatu waktu dahulu tapi ahli tak lari ikut orang, tapi mereka ikut dasar," katanya.

Harakah Daily

Petanda Umno sesat, menyesatkan Melayu

19 Muharram 1433H. [MOD] -

MURSYIDUL AM PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sering menjadi bahan kecaman Umno, sehinggakan pada Perhimpunan Agung Umno, minggu lepas, nama Tok Guru sering disebut-sebut dalam perbahasan. Mengapakah Tok Guru tidak disenangi Umno? Semua persoalan ini dijawab Menteri Besar Kelantan itu kepada wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN dan IZWAN ABDUL HALIM di Rumah Kelantan, 10 Disember 2011.


HARAKAH: Boleh Tuan Guru huraikan beza doktrin PAS dengan Umno?

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT: PAS diajar melalui Islam supaya manusia sedar bahawa segala-galanya menumpang nikmat Allah SWT. Bumi kita pijak Allah yang buat, udara kita sedut Allah buat, air kita minum Allah buat, bahkan seluruh anggota tubuh badan kita Allah buat. Maka bila kita menumpang nikmat Allah Taala kita wajib bersyukur. Syukur ertinya buat yang Dia suruh, tinggal yang Dia larang. Perkara ini tiada dalam Umno. Umno tidak mengajar perkara ini, yang diajarnya menumpang jalan raya Kerajaan Pusat buat, itu dulu. Menumpang kemudahan-kemudahan telekom, Umno yang buat. Umno mengira dia telah beragama bila dia buat masjid, bila ada guru agama di sekolah-sekolah, itu sahajalah (agama pada Umno). Sekarang kita berada di Malaysia. Bolehkah kita ambil setengah-setengah sahaja undang-undang Malaysia sebagaimana Umno ambil setengah-setengah hukum Allah. Misalnya motokar, kita tidak mencuri, kita beli kerana undang-undangnya begitu. Tetapi ‘road tax’ (cukai jalan) tak bayar, lampu belakang tidak menyala, sedangkan itu salah juga undang-undang kerajaan. Jika kita duduk bawah kerajaan kita kena patuh semua undang-undang kerajaan, mana boleh kita dengan Allah SWT kita ambil setengah-setengah. Bila kita duduk bawah kerajaan, tak kiralah Kerajaan Malaysia, Kerajaan Amerika dan mana-manapun, rakyat kena terima semua segala undang-undang, begitulah kita dengan Allah Taala, kena terima semua.

Mungkin ada yang keliru status rakyat dengan status hamba Allah?

Kita dididik oleh Islam hendaklah menjadi bertaraf hamba dengan Allah SWT, bukan menjadi taraf rakyat. Kita bukan rakyat Allah, kita jadi hamba 24 jam. Rakyat kalaulah kita tidak pernah buat salah dengan kerajaan, bila kita mati kita tidak diberi apa-apa oleh kerajaan kerana kita tidak buat salah dengan dia. Polis datang rumah kita bila kita buat salah, kalau kita benar tak pernah datang pun. Tapi kita dengan Allah, kita benar dapat pahala, kita salah dapat dosa. Tiada masa kita ini kosong dengan Allah Taala. Inilah cara kita berfikir kita sebagai hamba Allah dengan berfikir cara rakyat bagi Allah. Umno hanya sebut kita rakyat. Rakyat lain, hamba lain, hamba 24 jam. Hamba ini berasaskan “liya’budun” (untuk beribadah pada-Nya). Kalau kita ini rakyat Allah, maka kita boleh guling Allah macam kita rakyat Malaysia boleh guling kerajaan. Kita dengan Allah SWT nak guling macam mana, nak tukar macam mana?


Maknanya selama ini Umno keliru dan celaru?

Orang Cina tak melawan sangat PAS, yang melawan PAS ini orang Melayu Umno. Adakah dengan kehendak Umno, dia (orang Melayu) melawan PAS ini atau sebagai mata tombak (lembing) sahaja, (sedang) hulunya Umno pegang atau MCA pegang? Jika Umno sendiri nak lawan, tiada sebab langsung. Sebab PAS bawa Islam, maka sepatutnya Umno sokong dan Umno tidak perlu wujud di atas muka dunia. Kerana PAS perjuangkan Islam, Umno tak perlu lawan PAS. Atau Umno telah jadi mata tombak, hulunya orang lain pegang. Ini bahaya, maknanya jadi alat orang lain. Kerana itulah timbul masalah celaru yang jadi melawan PAS ini. Bukan Islam di Malaysia ini jadi celaru, hendak turut PAS atau turut Umno. PAS bertengkar dengan Umno, Umno bertengkar dengan PAS, bukan Islam terpinga-pinga pihak mana yang betul. Kita sebagai umat Islam bukan sahaja kita wajib berpegang kepada Islam, tetapi wajib juga dakwah Islam. Ke mana sahaja kita pergi kita diwajibkan dakwah Islam. Di Malaysia ini sebab hampir sama bilangan Melayu dengan bukan Melayu ini, maka bukan Islam terpinga-pinga hendak menurut siapa. Bukan sahaja bukan Islam, Melayu juga terpinga-pinga juga hendak turut PAS atau Umno. Turut Umno dapat duit, turut PAS tak dapat duit. Semua ini Umno kena fikir kesudahannya.


Isu agama dipolitikkan sering jadi mainan Umno, pendapat Tuan Guru?

Politik ini sebahagian agama. Memperjuangkan Islam ini bukan kerja main-main. Bila kita Islam, maka menyebarkan Islam menjadi kewajipan, bukan sahaja solat wajib, bukan sahaja puasa wajib, bahkan sebarkan Islam, dakwahkan Islam menjadi wajib. Jadi hendak sebarkan macam kalau Melayu sendiri tak faham. Ulasan Umno ialah agama lain, politik lain. Baik, kita hendak tanya Umno; bila politik tidak agama, pentadbiran negara tidak ikut agama, siapa dia yang jadi Ketua Kerajaan semasa Nabi kita di Madinah? Kalau agama lain, politik lain, maka yang jaga politik masa Nabi di Madinah itu siapa? Kalau Nabi juga yang jaga sebagai ketua kementerian kewangan, portfolio sosial, ertinya Nabi Muhammad juga dengan agama, terlibat dengan Allah SWT. Kerana kerja-kerja Nabi Muhammad semua agama. Solat itu agama, berperang itu agama, kirim surat kepada raja-raja itu agama. Baginda letak cop mohor atas surat-surat itu, ini kerja apa? Ini kerja politik, jadi bagaimana Umno boleh kata agama lain, politik lain? Raja-raja mana hendak terima kalau Nabi Muhammad hanya (seorang) imam sahaja. Raja-raja sekitar, Raja Parsi, Raja Mesir, Raja Rom Byzantin, Raja Hebyah, mereka tahu Nabi Muhammad bukan Tok Imam sahaja, dia Ketua Negara. Bila Nabi Muhammad itu Ketua Negara, maka kenapa Umno kata agama lain politik lain?


Maknanya, Umno tiada hujah, hanya putarbelit mereka sahaja?

Apa hikmah Allah lanjut dakwah Nabi Muhammad sehingga 23 tahun? Nak mengajar sembahyang puasa sahaja dua minggu pun cukup. Dua minggu itu pun dak kira lama mengajar orang sembahyang. Tapi Nabi Muhammad diminta urus urusan hidup manusia, ‘the way of life’. Urusan ini mesti diurus oleh Nabi Muhammad sendiri, bagaimana berumah tangga, berjiran. Mengurus kewangan, adakah sebarang harta boleh ambil semua, tidak! Ada had, ada halal, ada haram. Semua ini 23 tahun, bila cukup 23 tahun turun ayat (Quran) bahawa agama telah sempurna. Jadi 23 tahun memakan masa baru sempurna. Perkara apa, sembahyang? Sembahyang ini diwajibkan masa di Makkah. Dalam keadaan ditekan kafir Makkah, sembahyang diwajibkan. Jadi bukan sembahyang sahaja jadi agama, tapi urusan hidup lain yang tidak boleh dibuat di Makkah kena mari ke Madinah membentuk sebuah negara sendiri. Kita baru sambut Maal Hijrah, sambutan ini ertinya ingati balik pengorbanan nabi menjalankan urusan agama termasuklah kewangan, mengurus sosial, budaya, pemikiran hingga 23 tahun. Jadi Umno tiada hujah, bila tiada hujah inilah mereka guna ISA. Macam Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim, bila Nabi Ibrahim kemuka cabaran minta Namrud buktikan kebenaran jika dia Tuhan, bawa naik matahari dari barat ke timur kerana Allah menaikkan matahari dari timur ke barat. Bila Namrud tak boleh jawab, dia bakar (Nabi Ibrahim). Sepatutnya dia berterima kasih kerana Ibrahim mengajar dia, tapi dia bakar. Zaman sekarang tak bakar, tapi ISA. Banyak tok-tok guru pondok kena ISA tak pasal-pasal kerana Umno tak boleh jawab. Sepatutnya hujah lawan hujah, bila orang lawan kita (hujah) kita sebutlah balik. Macam negeri demokrasi, orang hujah kita hujah. Ini orang hujah, tak boleh jawab ditangkapnya mereka, buang kerja, pindah tempat kerja. Ini semua tanda Umno itu sesat. Dalam sembahyang kita berdoa agar kita tidak sesat, tapi jalan Umno hala ke sesat. Tak boleh jawab sepatutnya terima kasihlah. Ini tangkap orang, ISA orang, mengarut Umno.

Pandangan Tuan Guru mengenai perjuangan Melayu Umno?

Gambar: Tuan Guru Nik Aziz ketika ditemuramah Mohd Rashidi Hassan dan Izwan Abdul Halim di Rumah Kelantan.

Umno sibuk jaga Melayu sedangkan Melayu ni bangsa, tak payah jaga. Kerana bangsa ni tak boleh hilang. Kalau orang Melayu duduk di Kutub Utara seorang diri, Melayu juga dia. Pergi ke mana pun, kalau duduk di London sejak dahulu sampai tak boleh cakap Melayu, bila tanya bangsa (dijawab) Melayu juga dia. Jadi Melayu tak payah jaga kerana bangsa ini tak hilang. Yang kena jaga ini perkara boleh hilang dan ada. Macam duit, kena jaga kerana boleh jadi hilang, boleh jadi tak hilang. Islam ini macam tu, Islam ni kena jaga, boleh jadi orang murtad kerana orang tak jaga dia. Jadi benda kena jaga ni bukan bangsa tapi agama kerana boleh hilang dan boleh ada. Macam duit kita dapat masuk dalam beg, kita zip, masuk dalam poket seluar kita zip lagi kerana ia boleh hilang, boleh kena curi, boleh poket kita tembus. Umno dia jaga Melayu, tak jaga pun dia Melayu, sampai dalam kubur mati pun dia Melayu. Ini kesilapan Umno. Kalau Umno ikut kata dia ikut kata Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia” habis begitu buat apa dia jaga juga? Ini Umno jaga benda yang tak hilang, PAS jaga benda yang boleh hilang; Islam, iman, ihsan. Sebab tu Jibril turun dari langit tanya Nabi tentang Islam, iman, ihsan. Dia tak tanya Arab, tak tanya bangsa.

Harakah Daily

Menu mewah telur ikan sturgeon di Switzerland

19 Muharram 1433H. [MOD] -

BEBERAPA ikan sturgeon di kolam ikan di Tropenhaus Frutigen, Bernese Oberland pada 9 Disember lalu. - Reuters

FRUTIGEN - Makmal Tropenhaus Frutigen di Bernese Oberland mengeluarkan telur ikan sturgeon Siberia untuk dijadikan makanan pembersih mulut, kaviar yang dijual pada harga 1,275 franc (RM4,298) bagi setiap 250 gram di Switzerland.

Telur-telur itu dikeluarkan daripada perut ikan betina sturgeon yang dibiakkan di kolam ikan di kawasan pergunungan.

Ikan-ikan betina yang ditangkap itu akan diimbas untuk memeriksa sama ada telur dalam perut haiwan tersebut sudah matang.

Selepas didapati matang, perut ikan itu akan dibelah dengan menggunakan pisau bagi mengambil telur tersebut.

"Ia (mengeluarkan telur ikan itu) seperti membersihkan emas," kata seorang pekerja yang mengeluarkan telur ikan berkenaan, Tobias Felix.

Kaviar menjadi popular dalam kalangan golongan kaya kerana ia pernah menjadi makanan tsar-tsar yang memerintah Rusia. - Reuters

Liwat II: Nasib Anwar akan diketahui 9 Januari

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan keputusan kes liwat yang membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditentukan 9 Januari ini.

Tarikh tersebut ditetapkan Hakim selepas mendengar penggulungan penghujahan kedua-dia pihak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Anwar, 63, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Anwar ketika bercakap kepada pemberita selepas itu berkata, perjuangan beliau tidak akan terhenti meskipun beliau berkemungkinan akan dipenjarakan.

Katanya, penjara tidak akan menyekat semangatnya untuk melakukan reformasi terhadap negara demi semua rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, beliau akan terus memperkuatkan pakatan pembangkang untuk berdepan kerajaan pemerintah.

Dalam pada itu beliau sekali lagi mengulangi keyakinannya bahawa keputusan mahkamah terhadapnya 9 Januari ini akan diikuti dengan pembubaran parlimen bagi diadakan pilihan raya umum ke-13.

Harakah Daily

Saya akan terus berjuang walau dari dalam penjara- Anwar

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 15 Dis: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikirar akan terus memperjuangkan keadilan meskipun beliau mungkin dipenjarakan atas dakwaan Fitnah II.

Bercakap kepada wartawan selepas hakim Zabidin Mohd Diah menetapkan 9 Januari depan bagi membuat keputusan, Anwar berkata penjara tidak akan mengubah prinsipnya untuk menegakkan keadilan.

“Ia tidak berbeza, di penjara ataupun di luar, saya akan berjuang untuk keadilan,” kata beliau di kompleks mahkamah Jalan Duta di akhir sesi penggulungan kes peringkat pembelaan, tengah hari ini.

Anwar berazam akan terus menguatkan Pakatan Rakyat untuk melakukan reformasi walaupun beliau mungkin dipenjarakan sekali lagi.

Bagaimanapun pemimpin rakyat itu berkata kenyataan beliau tidak harus dianggap sebagai satu kekalahan.

“Ia bukan satu persoalan secara sukarela mahu ke penjara. Untuk apa sebab? Sebab saya memutuskan untuk tidak menyertai semula Umno, sebab saya memutuskan untuk melawan mereka atas sifat rasis dan dasar-dasar tidak adil mereka?” katanya.

Anwar dalam pada itu membangkitkan tarikh keputusan 9 Januari yang kemungkinan akan diikuti dengan pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke 13 diadakan.

Keadilan Daily

Skandal NFC: Wanita KEADILAN sebar maklumat ke kampung, Felda

19 Muharram 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 15 Dis : Ekoran sikap perdana menteri yang masih membisu terhadap penyelewengan dana RM250 juta oleh National Feedlot Corporation (NFC), Wanita KEADILAN berazam untuk terus menyedarkan rakyat tentang isu itu.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, sayap parti itu mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen yang dinamakan ‘Kempen Pendedahan Skandal Penyelewengan Projek Lembu kerajaan Malaysia’.

“Kita (akan jalankan kempen) serentak oleh pimpinan Wanita KEADILAN seluruh negara 17 Disember ini yang akan memfokuskan kawasan kampung dan Felda sebagai sasaran.
“Sebanyak 10 ribu risalah di 14 kawasan seluruh negara, akan diedarkan,” katanya pada sidang media di Pejabat KEADILAN hari ini.

Menurut Zuraida KEADILAN akan mengerahkan jentera wanita beserta sayap Angkatan Muda KEADILAN di setiap kawasan bagi memastikan maklumat ini sampai kepada rakyat.

“Setiap tempat saya anggarkan 50 hingga 100 orang akan terlibat dalam mengedarkan risalah,” ujarnya sambil menyebut beberapa lokasi telah dipilih antaranya di Pahang, Perlis, Kedah dan Kuala Lumpur.

“Ini merupakan usaha bersepadu KEADILAN kerana telah berjanji Skandal Lembu ini merupakan Landmark untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Oleh itu rakyat perlu harus bangkit,” tambah beliau.

Sementara itu ADUN Taman Medan, Haniza Talha di sidang media yang sama, berkata, kepimpinan Umno masih lagi tidak mengambil pengajaran dan tidak berdaya untuk menjawab dengan hujah dan fakta yang benar mengenai skandal ini.

“Umno malah mengutuk pimpinan keadilan yang kononnya bersifat politik walaupun rakyat sebenarnya telah beri tekanan supaya mereka mengaku kerana menyelewengkan wang RM250juta.

“Rakyat tidak boleh terima penyelewengan ini walaupun mereka ini pimpinan melayu dan kita tak nak pemimpin melayu yang menipu wang rakyat. Justeru ayuh kita banjirkan risalah agar rakyat tolak kerajaan Lembu 1Malaysia ini” Sindirnya.

Skandal NFC mencetuskan kontroversi apabila KEADILAN mendedahkan banyak penyalahgunaan wang dana RM250 juta yang disalurkan terhadap projek lembu tersebut.

Syarikat yang dimiliki keluarga menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu juga didakwa mengalami kerugian dalam operasinya namun pada masa sama didedahkan membeli dua buah kondominum mewah di Bangsar, membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara, dan pakej umrah.

Terbaru, NFC didedahkan membeli kereta Mercedes berharga RM534,622 serta dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya.

Turut hadir pada sidang media Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad dan aktivis NGO Jingga 13.

Keadilan Daily

Fitnah II: Anwar mesti dibebaskan – Karpal Singh

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ketua pasukan peguambela Anwar, Karpal Singh berkata, tidak ada sebab Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merengkok di penjara, sebaliknya beliau mesti dibebaskan dalam kes Fitnah II yang dihadapinya.

Karpal berkata demikian selepas selesai penggulungan akhir perbicaraan oleh peguam dan pendakwa raya pagi tadi.

Menurut Karpal, keyakinan beliau berdasarkan keterangan doktor dari Hospital Pusrawi, Dr Mohamad Osman Abdul Hamid yang mengesahkan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak pernah diliwat.

“Kami yakin Anwar akan dibebaskan, terutamanya apabila mengambil kira keterangan Dr Osman,” kata Karpal Singh.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menyifatkan Umno BN membuat kesilapan yang besar jika mereka bercadang untuk menamatkan karier politik Anwar dengan mensabitkan beliau bersalah dalam kes Fitnah ini.

“Ia satu kesilapan jika mereka cuba menamatkan karier politik beliau sebegitu rupa.

“Jika mereka cuba berbuat demikian, mereka akan menjadikan Anwar seorang ‘syahid’ politik,” kata Kit Siang.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 9 januari depan sebagai tarikh penghakiman.

Keadilan Daily

Bina pesawat gergasi ke orbit

19 Muharram 1433H. [MOD] -

Gambar lakaran artis yang disediakan oleh Stratolaunch Systems menggambarkan pesawat gergasi yang dirancang oleh Paul Allen (gambar kecil) yang boleh melancarkan roket semasa berada di udara bagi membawa kargo dan manusia ke orbit. - AP

Bilionair dan pengasas bersama Microsoft, Paul Allen, semalam mengumumkan rancangan untuk membina sebuah pesawat gergasi yang boleh melancarkan sebuah roket semasa berada di udara bagi membawa kargo dan manusia ke dalam orbit.

Ujian penerbangan pertama pesawat canggih yang akan dibina oleh syarikat baru Allen, Stratolaunch Systems hanya dijadual dijalankan pada 2015 dan pelancaran sebenar pada 2016, tetapi rakan kongsi dalam projek itu mendakwa kapal terbang tersebut akan mencetuskan revolusi dalam penerbangan ke orbit pada era selepas persaraan kapal-kapal angkasa Amerika Syarikat (AS).

Dengan menggunakan enam enjin jet Boeing 747, pesawat terbesar pernah dibina itu akan membawa sebuah roket yang dibina oleh syarikat SpaceX untuk melancarkan kargo, satelit dan suatu hari nanti membawa manusia ke dalam orbit rendah bagi mengelilingi Bumi, kata Allen.

Allen, 58, enggan mendedahkan kos pelaburannya, tetapi mengakui ia melebihi apa yang dibelanjakannya untuk SpaceShipOne, yang pada 2004 menjadi pesawat komersial pertama menamatkan penerbangan suborbit (kurang satu orbit) membabitkan kos kira-kira AS$25 juta (RM75 juta).

"Buat kali pertama sejak John Glenn, America tidak mampu menerbangkan angkasawannya sendiri ke angkasa lepas," kata Allen, yang merujuk kepada persaraan kapal-kapal angkasa AS pada tahun ini dan angkasawan pertama AS yang mengorbit Bumi dengan menaiki Mercury 7 pada 1962.

Beliau menyifatkan rancangannya itu sebagai tanda bermulanya perubahan radikal dalam industri pelancaran misi ke angkasa lepas.

Reka bentuk bagi jet gergasi tersebut yang lebar sayapnya melebihi panjang padang bola sepak kini sudah hampir ke peringkat akhir dan sebuah hangar sedang dibina di Gurun Mojave.

Rundingan sedang dijalankan mengenai lokasi untuk pesawat itu berlepas, kerana ia memerlukan landasan sepanjang 3,650 meter, yang biasanya boleh didapati di lapangan terbang yang besar dan di pangkalan tentera udara.

Pesawat itu akan menggunakan enam enjin jet 747, mempunyai berat kasar melebihi 544 tan dan lebar sayap melebihi 117 meter, menurut kenyataan akhbar.

Pengumuman Allen semalam menandakan kemasukan sebuah lagi syarikat dalam persaingan untuk menggantikan kapal angkasa AS dengan menawarkan alternatif yang disediakan oleh industri swasta bagi membawa manusia ke dalam orbit Bumi. - AFP

15 mahasiswa dibebas, lagi himpunan Sabtu ini

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bertekad akan meneruskan Himpunan Kebebasan Akademik di Dataran Merdeka,17 Disember ini meskipun diberi amaran keras oleh pihak polis.

(Gambar semalam, demo di KL Sentral yang diganggu polis)

Pengerusinya, Ahmad Safwan Anang berkata, mahasiswa tidak akan tunduk kepada “gertakan” polis sebaliknya akan meneruskan himpunan seperti yang dijadualkan kerana ianya sangat penting untuk menunjukkan protes mereka terhadap kekangan akademik yang semakin parah.

“Kami memang sudah diberi amaran keras oleh pihak polis semalam tapi itu tidak menjejaskan hasrat kami untuk berhimpun Sabtu ini,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Petang semalam, Safwan (gambar kanan) bersama 14 mahasiswa lain ditangkap sewaktu mengadakan perhimpunan flashmob mengenai himpunan Sabtu ini di KL Sentral.

Safwan yang mengetuai kira-kira 40 mahasiswa dalam protes senyap mereka dibawa ke Balai Polis Travers untuk disoal siasat.

Mengulas mengenai tangkapan itu, Safwan berkata, mereka tidak dilayan dengan baik sewaktu di balai polis termasuk dilemperkan kata-kata tidak sopan oleh pihak polis.

Selain terpaksa menunggu lama tanpa berbuat apa-apa di bilik kosong sebelum disoal siasat, peguam mereka juga tidak dibenarkan masuk.

“Kami berada di balai polis lebih kurang enam jam, jam 10.30 baru kami dibenarkan keluar.

“Kami memang tidak berpuas hati dengan layanan pihak polis. SB (polis cawangan khas) pun ada sewaktu soal siasat berjalan.

“Bila tanya kenapa kami ditahan, mereka jawab tidak tahu sedangkan kami memang tak buat apa-apa jenayah, tak bersuara, cuma mengangkat poster sahaja,” ceritanya.

Menurutnya, mereka ditahan mengikut seksyen 145 kanun keseksaan dan perlu melapor diri di Balai Polis Petaling Jaya 19 Januari depan.

Bantahan senyap semalam diadakan bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta autonomi akademik dijamin pihak kerajaan.

Ia rentetan kekacauan yang berlaku pada Speakers Corner di Universiti Teknologi Malaysia (UITM) Shah Alam baru-baru ini dan gangguan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya pada Debat AUKU yang diadakan di kempus tersebut minggu lalu.

Harakah Daily

Henti tuduh Guan Eng anti Melayu, Islam

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 15 Dis: PAS Pulau Pinang mendesak pimpinan Umno BN di semua peringkat menghentikan semua tuduhan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang kononya anti Islam atau anti Melayu.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali berkata, ia selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam yang mengarahkan Utusan membayar RM200 ribu ekoran laporan mereka berhubung tuduhan itu hanyalah fitnah.

Katanya, bila mahkamah telah putuskan bahawa Lim di pihak yang benar dan Utusan bersalah, maka sebagai parti yang sentiasa tidak puas hati terhadap langkah drastik Kerajaan Pakatan Rakyat, harus memohon maaf secara terbuka.

"Apa yang dituduhkan terhadap Lim Guan Eng semuanya dusta. Mahkamah dan putuskan (dia bukan anti Islam, anti Melayu) bukan orang kampung (yang putuskan), " tegasnya.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam mengarahakan akhbar Utusan Malaysia membayar RM200,000 kepada Lim kerana mendapati dia tidak anti Melayu atau anti Islam seperti difitnah oleh akhbar Umno itu.

Utusan dalam laporannya telah menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis’ dan ‘anti-Melayu’ dalam artikel yang disiarkan bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng'.

Akhbar itu juga melaporkan kononnya DAP adalah alat kerajaan asing dan mahu parti berkenaan diharamkan.

Sehubungan itu, Bukhori berkata, sepatutnya mulai hari ini Umno BN tidak lagi mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman seperti itu terhadap DAP.

Harakah Daily

Mahkamah tolak permohonan cabar Akta Perhimpunan Aman

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan PAS bagi mencabar dan menghentikan Akta Perhimpunan Aman.

Hakim Datuk Rohana Yusof berkata, proses mahkamah tidak sepatutnya digunakan sekarang di bawah konsep pemisahan kuasa dan PAS boleh menggunakan proses Parlimen untuk menentang akta itu.

Ini kerana, sekurang-kurangan dua daripada pemohon (Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Mohamad Hatta Ramli) merupakan anggota parlimen dan berpeluang luas membincangkan dan menentangnya daripada diluluskan dalam Parlimen.

Beliau juga berkata, permohonan itu pramatang kerana akta itu masih belum menjadi undang-undang; dan sekiranya sudah menjadi undang-undang, kesahhannya masih boleh dicabar di mahkamah.

Percubaan oleh mahkamah untuk membetulkan atau memutuskan mengenai perkara itu akan mengganggu proses undang-undang parlimen dan melanggar doktrin pengasingan kuasa, tambah Rohana.

Hakim mengarahkah kos RM8,000 dibayar kepada kerajaan.

Pada 2 Disember lalu, PAS memfailkan semakan kehakiman terhadap perdana menteri dan kerajaan Malaysia kerana membentangkan rang undang-undang Perhimpunan Aman yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan.

Dalam saman yang difailkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan dua anggota parlimennya, mereka antaranya menuntut perintah deklarasi bahawa responden bertindak melebihi kuasa dan/atau menyalahguna kuasa dengan membentangkan rang undang-undang itu.

Dua lagi pemohon ialah Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Dr Mohamad Hatta Ramli (Kuala Krai).

Mereka diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin.

Harakah Daily