15 Disember 2011

Skandal NFC: Wanita KEADILAN sebar maklumat ke kampung, Felda

19 Muharram 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 15 Dis : Ekoran sikap perdana menteri yang masih membisu terhadap penyelewengan dana RM250 juta oleh National Feedlot Corporation (NFC), Wanita KEADILAN berazam untuk terus menyedarkan rakyat tentang isu itu.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, sayap parti itu mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen yang dinamakan ‘Kempen Pendedahan Skandal Penyelewengan Projek Lembu kerajaan Malaysia’.

“Kita (akan jalankan kempen) serentak oleh pimpinan Wanita KEADILAN seluruh negara 17 Disember ini yang akan memfokuskan kawasan kampung dan Felda sebagai sasaran.
“Sebanyak 10 ribu risalah di 14 kawasan seluruh negara, akan diedarkan,” katanya pada sidang media di Pejabat KEADILAN hari ini.

Menurut Zuraida KEADILAN akan mengerahkan jentera wanita beserta sayap Angkatan Muda KEADILAN di setiap kawasan bagi memastikan maklumat ini sampai kepada rakyat.

“Setiap tempat saya anggarkan 50 hingga 100 orang akan terlibat dalam mengedarkan risalah,” ujarnya sambil menyebut beberapa lokasi telah dipilih antaranya di Pahang, Perlis, Kedah dan Kuala Lumpur.

“Ini merupakan usaha bersepadu KEADILAN kerana telah berjanji Skandal Lembu ini merupakan Landmark untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Oleh itu rakyat perlu harus bangkit,” tambah beliau.

Sementara itu ADUN Taman Medan, Haniza Talha di sidang media yang sama, berkata, kepimpinan Umno masih lagi tidak mengambil pengajaran dan tidak berdaya untuk menjawab dengan hujah dan fakta yang benar mengenai skandal ini.

“Umno malah mengutuk pimpinan keadilan yang kononnya bersifat politik walaupun rakyat sebenarnya telah beri tekanan supaya mereka mengaku kerana menyelewengkan wang RM250juta.

“Rakyat tidak boleh terima penyelewengan ini walaupun mereka ini pimpinan melayu dan kita tak nak pemimpin melayu yang menipu wang rakyat. Justeru ayuh kita banjirkan risalah agar rakyat tolak kerajaan Lembu 1Malaysia ini” Sindirnya.

Skandal NFC mencetuskan kontroversi apabila KEADILAN mendedahkan banyak penyalahgunaan wang dana RM250 juta yang disalurkan terhadap projek lembu tersebut.

Syarikat yang dimiliki keluarga menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu juga didakwa mengalami kerugian dalam operasinya namun pada masa sama didedahkan membeli dua buah kondominum mewah di Bangsar, membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara, dan pakej umrah.

Terbaru, NFC didedahkan membeli kereta Mercedes berharga RM534,622 serta dua bidang tanah berharga RM3,363,507 di Putrajaya.

Turut hadir pada sidang media Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad dan aktivis NGO Jingga 13.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: