15 Disember 2011

Hanya 136 mangsa masih berada di empat pusat pemindahan

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN- Keadaan banjir di Pahang mula reda dan hampir pulih sepenuhnya apabila hanya 136 mangsa membabitkan 31 keluarga masih berada di empat pusat pemindahan di negeri ini sehingga jam 5 petang semalam berbanding 1,735 mangsa (401 keluarga) kelmarin.

Secara keseluruhannya, hanya tujuh mangsa banjir membabitkan dua keluarga masih berada di pusat pemindahan banjir Balai Raya Kampung Pahang manakala yang lain sudah pulang ke rumah-masing-masing setelah semua pusat pemindahan terlibat ditutup, semalam.

Keadaan banjir di Rompin pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan ditutup semalam.

Bagaimanapun, daerah Raub pula dilanda banjir sehingga menyebabkan 129 penduduk dari tiga buah kampung terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan iaitu dewan Gali Hilir membabitkan 46 mangsa daripada 13 keluarga.

Di Balai Raya Ulu Gali seramai 11 mangsa daripada empat keluarga masih berada di pusat pemindahan itu sementara 72 mangsa daripada 12 keluarga berada di pusat pemindahan dewan Gali Tengah.

Sementara itu, permohonan cuti untuk semua pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Pahang dibekukan bagi membolehkan mereka membantu mangsa-mangsa banjir.

Pengarah Jasa Pahang Yusof Jamaludin berkata, pelepasan cuti oleh pegawai-pegawai jabatan berkenaan hanya akan diberi selepas keadaan banjir di negeri itu kembali pulih.

“Jasa yang mempunyai seramai 68 pegawai seluruh daerah di Pahang telah diminta membantu mangsa banjir di kawasan masing-masing.

“Manakala bagi pegawai di kawasan yang tidak terlibat dengan bencana berkenaan turut diminta bersiap sedia sekiranya perkhidmatan mereka diperlukan di kawasan yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, jabatan itu juga turut menyalurkan bantuan barangan basah kepada mangsa banjir di beberapa kawasan yang terlibat selain bantuan kewangan.

Selain itu katanya, atas inisiatif yang diusahakan juga JASA Pahang turut memasang skrin layar di beberapa pusat pemindahan bagi membolehkan mangsa banjir dapat mengikuti perkembangan terkini selain memberi hiburan kepada mereka menerusi tayangan video.

Yusof berkata, Jasa juga akan mengatur beberapa aktiviti yang difikirkan bersesuaian di pusat-pusat pemindahan bagi memberi keselesaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: