15 Disember 2011

Mahkamah tolak permohonan cabar Akta Perhimpunan Aman

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan PAS bagi mencabar dan menghentikan Akta Perhimpunan Aman.

Hakim Datuk Rohana Yusof berkata, proses mahkamah tidak sepatutnya digunakan sekarang di bawah konsep pemisahan kuasa dan PAS boleh menggunakan proses Parlimen untuk menentang akta itu.

Ini kerana, sekurang-kurangan dua daripada pemohon (Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Mohamad Hatta Ramli) merupakan anggota parlimen dan berpeluang luas membincangkan dan menentangnya daripada diluluskan dalam Parlimen.

Beliau juga berkata, permohonan itu pramatang kerana akta itu masih belum menjadi undang-undang; dan sekiranya sudah menjadi undang-undang, kesahhannya masih boleh dicabar di mahkamah.

Percubaan oleh mahkamah untuk membetulkan atau memutuskan mengenai perkara itu akan mengganggu proses undang-undang parlimen dan melanggar doktrin pengasingan kuasa, tambah Rohana.

Hakim mengarahkah kos RM8,000 dibayar kepada kerajaan.

Pada 2 Disember lalu, PAS memfailkan semakan kehakiman terhadap perdana menteri dan kerajaan Malaysia kerana membentangkan rang undang-undang Perhimpunan Aman yang didakwa bertentangan dengan perlembagaan.

Dalam saman yang difailkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan dua anggota parlimennya, mereka antaranya menuntut perintah deklarasi bahawa responden bertindak melebihi kuasa dan/atau menyalahguna kuasa dengan membentangkan rang undang-undang itu.

Dua lagi pemohon ialah Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Dr Mohamad Hatta Ramli (Kuala Krai).

Mereka diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: