15 Disember 2011

Kanak-kanak mangsa gigitan siamang dilaporkan stabil

19 Muharram 1433H. [MOD] -

Keadaan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sembilan bulan yang cedera parah pada betis kanannya akibat gigitan seekor siamang ketika mengunjungi Zoo Melaka Selasa lalu, dilaporkan stabil.

NONEGigitan hingga menampakkan tulang kaki kanan dan mangsa, Muhammad Afiq Haziq terpaksa dibedah selama tiga jam di Hospital Melaka, semalam.

Pada insiden yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang Selasa itu, mangsa bersama ibu dan bapa serta enam adik beradiknya diserang haiwan dalam keluarga beruk itu ketika dalam perjalanan menuju ke kawasan burung.

Menurut ibu mangsa, Anita Sulaiman, 36, sebelum kejadian mereka sekeluarga berjalan di hadapan kawasan pulau yang menempatkan sekumpulan haiwan berkenaan namun tidak memasuki kawasan itu.

"Tidak lama selepas itu, kami terkejut apabila melihat kira-kira 30 hingga 40 orang pengujung lari bertempiaran dari arah belakang ke hadapan kami.

"Apabila menoleh saya melihat seekor siamang menerpa dan terus menggigit betis Afiq yang sedang didukung oleh ayahnya," katanya.

Anita berkata, suaminya Kamarul Baharin, 38, bertindak menarik kepala siamang bagi mengelakkan betis anaknya daripada dimamah namun gagal sehingga seorang pengunjung membantu dengan menendang perut haiwan berkenaan.

"Akibat tendangan itu siamang melepaskan gigitan lalu melarikan diri dan akibat gigitan itu, Afiq mengalami kecederaan hingga menampakkan tulang.

"Saya yang tergamam kemudian menyelamatkan enam orang anak yang lain dengan membawa mereka ke arah sebuah tram dan memaklumkan pemandu tram mengenai kejadian," katanya.

NONEMenurut beliau, pada masa sama, suami dan pengunjung yang membantu segera ke pejabat zoo sebelum membawa Afiq ke klinik kesihatan berdekatan.

"Bagaimanapun, kami diminta membawa Afiq ke hospital selepas diberitahu luka tersebut tidak boleh dijahit kerana Afiq mengalami kecederaan parah," katanya.

Anita berkata, beliau berkata dan keluarga yang menetap di Klang, Selangor datang ke Melaka untuk menghadiri satu majlis kenduri perkahwinan saudara di Melaka Ahad lalu dan pada waktu sama meluangkan masa bercuti bersama sempena cuti sekolah.

"Akibat terlalu trauma saya tidak lagi akan ke mana-mana zoo dan mungkin selama tujuh keturunan malah Afiq sendiri berkata dengan saya tidak mahu ke zoo lagi selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Zoo Melaka, Masri Mohd Arop berkata, pihaknya memohon maaf dan turut bersedih dengan kejadian yang menimpa mangsa selain pihaknya bersedia menghulurkan bantuan termasuk menanggung kos rawatannya.

NONE"Ini kejadian pertama berlaku di zoo ini dan pihak kami akan menyiasat secara terperinci dengan pakar-pakar yang ada di negara ini termasuk universiti tempatan dan pengalaman zoo-zoo lain mengenai inisiden ini.

"Haiwan berkenaan telah ditangkap serta dikuarantin supaya dapat pihak kami siasat punca bagaimana ia boleh terlepas dan langkah pencegahan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,"katanya.

Masri berkata, pihaknya memohon kerjasama pelawat supaya tidak membuat provokasi terhadap haiwan spesis berkenaan kerana haiwan tersebut akan bertidak agresif jika terdapat provokasi.

"Provokasi ini mungkin dibuat oleh pengunjung lain tetapi orang lain pula menjadi mengsa. Justeru, pihak Zoo Melaka juga menasihatkan pengunjung supaya mendapatkan polisi insuran tanggungan awam ketika mengadakan kunjungan ke sini," katanya.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: