25 Januari 2012

Bosan! Jalanraya di Sabah terus menakutkan

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 25 Jan: Rakyat di negeri ini sudah bosan dan kecewa dengan kegagalan pihak kerajaan negeri yang hingga kini masih gagal mencari formula terbaik menangani masalah jalan rosak yang terpaksa dilalui setiap hari.

(Gambar: Antara contoh jalan raya di Sabah...rakyat sudah bosan)

Biarpun pendedahan demi pendedahan dan laporan demi laporan termasuklah kajian strategik yang dibuat mengenai isu itu, namun ia bagaikan ‘bising hanya dibibir’ kerana tiada perubahan yang ketara terhadap kualiti jalan raya terutama di negeri ini seperti mana yang diharapkan pengguna.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julpikar Abd Mijan berkata, rakyat sudah muak dengan janji-janji kosong yang ditaburkan pihak tertentu hanya semata mahu meraih undi semasa pilihan raya.

“Rakyat sudah bosan dan kecewa dengan keadaan begini.

“Keadaan jalan berlubang, mendap, beralun serta tampalan yang tidak sempurna dan berpasir terpaksa dihadapi pengguna jalan raya menyebabkan pemilik resah memikirkan kos bagi penyelenggaraan kenderaan,” ujarnya dalam nada yang kecewa.

Menurutnya, jalan utama yang menghubungkan beberapa daerah di negeri ini seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Telupit, Beluran, Sandakan, Kinabatangan dan Lahad Datu boleh diklasifikasikan jalan yang paling teruk bermasalah.

Beberapa siri kejadian di mana kenderaan mengalami masalah tayar meletup, rim bengkok akibat hentakan jalan berlubang dan sebagainya sentiasa berlaku di jalan-jalan ini.

“Ini adalah antara laluan yang berbahaya terutama di waktu malam. Pengguna kerap kali melalui jalan yang teruk yang terpaksa memikirkan kos sampingan selain kos penyelengaraan kenderaan,” katanya.

Selain itu, kegagalan kerajaan negeri melihat permasalahan ini diselar berikutan begitu banyak pembaziran yang dibuat berbanding menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk rakyat.

“Kita (PAS) tidak nafikan bahawa, keindahan itu penting. Tapi alangkah baik sekiranya kerajaan juga menyediakan kemudahan infrastruktur yang baik untuk rakyat.

“Ini jelas menepati slogan rakyat didahulukan... bukan kroni dan bukan juga perut menteri,” ujar Julpikar.

Harakah Daily

Ikhwan harapkan Malaysia selepas Mesir

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Parti politik naungan Ikhwanul Muslimin Freedom and Justice Party (FJP) berharap Malaysia akan mencontohi Mesir selepas ini.

(Gambar: Dr Syed Azman berbincang dengan Dr Essam di pejabatnya dekat Kaherah)

Timbalan Pengerusi FJP, Dr Essam El-Eryan dalam temubualnya dengan Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi ingin benar tahu apakah kebangkitan rakyat juga akan berlaku di Malaysia dalam pilihan raya ke 13 nanti.

FJP mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi dan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Dalam sidang Parlimen pertama, pimpinan kanan FJP, Dr Saad al-Katatni telah dilantik sebagai Ketua (speaker) Majlis Rakyat yang pertama selepas kejatuhan rejim Mubarak.

Sepanjang bulan lalu Dr Syed Azman berada di kota Kaherah sebagai anggota rombongan Ahli Pemerhati Antarabangsa Pilihan Raya Mesir di bawah seliaan PBB yang yang baru berakhir baru-baru ini.

Tidak siapa dapat menjangkakan Pilihan raya boleh dijalankan dengan aman selepas 'Revolusi 25
Februari' yang telah berjaya menggulingkan rejim 'kuku besi' Hosni Mubarak dengan hanya bersenjatakan 'Kuasa Rakyat' yang turun secara sukarela berdemonstrasi di jalan-jalanraya di seluruh negara.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Luar PAS telah bertemu dengan Dr Essam, sahabat lama beliau di sana.

Menurut Dr Essam, punca kemenangan FJP adalah melalui susunan trategi yang antaranya:

1. Organisasi kempen FJP yang tersusun dan berstrategik.

2. Teknik 'bantuan dan kebajikan' yang efektif kepada pengundi terutamanya di luar bandar.

3. Pendekatan kempen kepada golongan remaja dan anak muda yang mesra dan bersifat memenuhi realiti semasa.

4. Kempen dari rumah ke rumah yang berterusan.

5. Mengemukakan pelan ekonomi yang di terima rakyat.

6. Kempen melalui media baru seperti Twitter dan Facebook yang amat berkesan.

(Ikuti tulisan penuh Dr Syed Azman dalam Harakah Jumaat ini)

Harakah Daily

Kemelesetan ekonomi AS dan EU jejaskan Malaysia

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Kemelesetan ekonomi yang dialami oleh negara-negara Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) ekoran daripada krisis hutang yang dijangka akan menjejaskan ekonomi Malaysia.

Pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakob (gambar) berkata, ia adalah berpunca daripada hubungan dagang negara-negara yang terbabit dengan EU dan AS.

“Malaysia banyak mengeksport barang ke EU dan AS, oleh kerana itulah jika ekonomi EU dan AS meleset maka ekonomi Malaysia akan turut terjejas,”ujarnya kepada Harakah.

Jelasnya, Zon Euro dijangka akan menghadapi kemelesetan ekonomi yang agak teruk berikutan krisis
ekonomi hutang yang dihadapi oleh negara-negara yang menjadi ahli kepada komuniti Euro seperti Greek, Itali, Ireland, Portugal dan sebagainya.

Keadaan tersebut tambahnya, menyebabkan mereka terpaksa mengekang perbelanjaan yang akan menjejaskan ekonomi negara-negara yang berdagang dengan EU dan AS.

“Ini sekali gus memberi kesan buruk kepada negara-negara Asia yang mengeksport barang ke EU dan AS,” jelas Dr Rosli lagi.

Harakah Daily

Serang di Jalan Kebun: Suhakam pertikai polis

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini melahirkan rasa kesal di atas insiden serangan di majlis anjuran Asal Bukan Umno (ABU) bersama Hindraf di Jalan Kebun, Klang baru-baru ini.

Bercakap sewaktu menerima serahan memorandum dari kumpulan Asal Bukan Umno (ABU) hari ini, Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, pihak berkuasa sepatutnya bertindak adil dalam insiden tersebut.

"Sebagai pihak berkuasa mereka sepatutnya menggunakan undang-undang melindungi mangsa kepada kekacauan tersebut bukannya memberi perlindungan kepada yang membuat kacau.

"Saya ingin menegur pihak polis agar lebih adil, siapa yang benar atau yang salah mereka perlu tahu dan kita tidak mahu mereka menyalahguna kuasa yang mereka ada," jelasnya.

Serahan memorandum itu dibuat pemimpin ABU yang diketuai Badrul Hisham Shahrin di Pejabat Suruhanjaya itu di Kuala Lumpur pagi tadi.

Semalam mereka membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.

Menurut jurucakap mereka, laporan tidak dibuat di Klang kerana tidak yakin dengan polis di sana yang dlihat bercakap dengan pihak terbabit selepas kejadian itu.

Ceramah Umum ABU di Dewan MBSA seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Samseng yang dipercayai penyokong tegar Umno itu bertindak ganas dengan mensasarkan kaum India sahaja apabila dilihat hanya menyerang kaum India tanpa memperdulikan kaum Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah (gambar) apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Dalam ulasannya, Sha'ani berkata, pihak berkuasa juga sepatutnya boleh terus mengambil tindakan kepada mereka yang menyerang ceramah ABU pada malam itu kerana jelas boleh dilihat pihak mana yang memulakan kekacauan tersebut.

"Suhakam sendiri melihat apa yang berlaku pada hari tersebut siapa yang memulakan kekacauan dan sepatutnya pihak polis boleh menahan terus mereka tetapi apa yang kita dengari adalah kenyataan pihak berkuasa yang mengatakan tidak ada apa-apa yang berlaku dan belum menerima sebarang laporan.

"Majlis tersebut dianjurkan oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sah di sisi undang-undang bukannya kongsi gelap, dan atas alasan itulah sepatutnya polis sedar siapa yang bersalah ataupun tidak," katanya lagi.

Menurutnya, apa yang dibimbangi, serangan tanpa rasa takut ekoran tiada tindakan drastik oleh pihak bekuasa akan menjadi trend selepas ini lebih-lebih lagi dalam suasana menjelang pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu Suhakam akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat suruhanjaya untuk tindakan selanjutnya serta akan melakukan inkues awam.

"Setiap yang bersalah perlu dikenakan tindakan bukannya dilindungi oleh pihak berkuasa, saya ingin persoalkan kepada pihak polis siapa yang mereka ingin lindungi individu yang benar ataupun yang bersalah," katanya.

Harakah Daily

Polis tahan 24 lelaki terlibat dalam judi sabung ayam

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SANDAKAN - Tindakan sekumpulan 24 lelaki yang berjudi sabung ayam di kawasan tidak jauh dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan berakhir apabila mereka ditangkap dalam serbuan polis pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata serbuan hasil maklumat orang awam itu dilakukan pada pukul 5.10 petang di satu kawasan lapang
berbumbung yang dijadikan gelanggang sabung ayam di kuarters Jabatan Kerja Raya.

Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 60 tahun dan polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan judi itu, katanya di
sini hari ini.

Antara peralatan yang dirampas itu adalah tujuh ekor ayam sabung dan sangkar, kerusi, meja, alat penimbang dan sebuah kamera.- Bernama

Sinar Harian

11 dicekup ketika minum arak

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seramai 11 individu ditahan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Masjid Al-Azim Pandan Indah dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kerana minum arak di khalayak ramai di Bukit Permai dan Bukit Langat, Ampang, awal pagi semalam.

Seorang daripada mereka, seorang lelaki, pernah ditahan anggota penguat kuasa tahun lalu di lokasi yang sama.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, ketika serbuan di Bukit Permai, pihaknya mendapati sekumpulan daripada tujuh lelaki dan dua perempuan sedang bergurau senda.

“Sebotol arak dan air berkarbonat diletakkan berhampiran mereka dan seorang anggota unit beruniform bersama kekasihnya, isteri orang yang sarat mengandung, turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, di Bukit Langat, dua lelaki ditahan anggota penguat kuasa apabila sebotol arak dijumpai di dalam kereta yang dinaiki.

Kesemua individu yang ditahan itu pekerja swasta berusia 23 hingga 30 tahun.

Ahmad Nawi, yang mengetuai operasi bermula jam 12.30 hingga 4 pagi itu berkata, kesemua individu terbabit akan diberi kaunseling di Masjid Al-Azim pada 29 Januari ini.

Sinar Harian

Sembunyi atas loteng elak ditangkap

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang bersembunyi atas loteng ditahan pihak berkuasa bersama pasangannya di sebuah hotel bajet di Pandan Indah, awal pagi semalam.

Serbuan itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) selepas menerima maklumat orang awam.

Ketika ditahan, lelaki berusia 20-an itu berpa­kaian lengkap, bersama pasa­ngannya berusia 22 tahun, yang hanya memakai baju tidur, kira-kira jam 4 pagi.

Pegawai masjid berkenaan, Ahmad Nawi Osman berkata, gadis itu bekerja sebagai pegawai pemasaran insurans. Pasangannya baru bekerja di syarikat yang sama.

“Gadis itu mendakwa dia seorang sahaja di bilik itu, tetapi kami mengesan lelaki berkenaan menyorok di loteng. Mereka antara dua pasangan lain yang ditahan selepas disyaki berkhalwat di hotel berkenaan,” katanya.

Sinar Harian

Kanak-kanak sambut hari jadi lemas

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Dijemput Ilahi pada usia muda. Peristiwa itu pasti sukar dilupakan keluarga Norfaraniza Rumizim, 6, yang mati lemas di Pantai Batu 5 di sini, malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, kek yang sudah ditempah untuk meraikan hari jadinya pada malam kejadian itu, masih terbiar begitu sahaja dalam bungkusan.

Mayat Norfaraniza ditemui terdampar di tepi pantai kira-kira jam 10.30 malam, empat jam selepas dia disedari hilang.

Ibu Allahyarham, Faridah Ali, 35, berkata, mereka sekeluarga datang dari Klang ke Port Dickson untuk meraikan hari lahir Norfaraniza, anak keempat daripada enam beradik itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka anaknya yang dipanggil dengan nama Farah itu akan pergi buat selama-lamanya tepat pada hari jadinya.

“Kami tiba di Port Dickson sekitar 1.30 petang. Farah terus mahu bermain di pantai dan dia kelihatan begitu seronok.

“Saya sukar lupakan tragedi ini. Ibu mana yang tidak sedih melihat jenazah anak, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Bapa Allahyarham, Rumi­zim Rosli, 34, berkata, mereka menghubungi polis selepas gagal menemuinya.

“Ketika itu, semua anak-anak saya sedang bermain-main air dan pasir tepi pantai. Mungkin terlalu leka sehingga tidak sedar kehilangan Farah.

“Apabila menyedari Farah tiada di situ, kami terus mencarinya, tetapi tidak menemui sebarang petunjuk, lalu saya hubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian di Bilik Mayat Hospital Port Dickson di sini, semalam.

Rumizin berkata, orang ramai yang berada di lokasi ada memberitahu mereka melihat seorang kanak-kanak seperti Farah bermain di kawasan taman permainan menye­babkan mereka me­nyangka anaknya hilang di sekitar kawasan itu.

“Usaha mencari dilakukan di kawasan berkenaan berlarutan hingga malam, namun masih tidak juga jumpa.

“Bagaimanapun, sekitar jam 10.30 malam, bapa saudara saya turun ke pantai dan menemui mayat Farah terdampar di tepi pantai yang ketika itu air sudah surut,” katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dari Hospital Port Dickson kira-kira jam 10 pagi semalam untuk dikebumikan di Klang selepas Zuhur, semalam.

Sinar Harian

1,000 rumah di Australia bergelap ekoran banjir

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SYDNEY 25 Jan. - Beribu-ribu penduduk di timur laut Australia terputus bekalan elektrik ekoran banjir yang melanda kawasan itu dan pihak berkuasa sudah memulakan operasi pemindahan mangsa ke tempat yang lebih selamat.

Kira-kira 12 keluarga di kawasan luar bandar Brisbane dipindahkan dan pihak berkuasa turut mengarahkan lebih ramai penduduk meninggalkan rumah masing-masing.

Hampir 1,000 buah rumah terputus bekalan elektrik dan paras air banjir yang semakin naik menyebabkan beberapa jalan di Brisbane terpaksa ditutup. - AFP

Aliran trafik di Lebuh raya bergerak perlahan tengah hari ini

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Keadaan trafik di lebuh raya utama negara tengah hari ini dilapor bergerak perlahan, dengan kemalangan di beberapa lokasi.

Menurut laman web twitter Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terdapat kemalangan di Km 368.6 arah selatan (Sungkai-Slim River) dan di Km 270.2 selepas R&R Seremban arah selatan.

Selain itu, laman twitter PLUS melaporkan trafik bergerak perlahan di sepanjang dua kilometer di tempat kejadian. Tiada penutupan lorong dilakukan.

Menurut laman web itu, trafik kembali normal dan bergerak lancar sebelum persimpangan Nilai menuju ke selatan.

PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya agar memandu dengan selamat ke destinasi dan tidak memperlahankan kenderaan semata-mata untuk melihat kemalangan.- Bernama

Pegawai polis dipecat kerana merokok di dalam pejabat

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NEWBERN (Tennessee): Jabatan Polis Tennessee berkata, pihaknya memecat seorang pegawai yang sudah berkhidmat selama 17 tahun kerana dia berulang kali merokok di dalam pejabat dan melanggar polisi larangan merokok di bandar raya itu.

Sarjan James Bishop dipecat minggu lalu kerana melanggar polisi larangan merokok yang dikuat kuasa sejak 2007 di bandar raya itu, yang melarang merokok di dalam semua pejabat dan bangunan kerajaan.

Menurut surat pemecatan yang dilaporkan media, Ketua Polis, Harold Dunivant berkata, beliau mendapat aduan kakitangannya merokok di dalam pejabat dan mengeluarkan amaran tindakan disiplin akan dikenakan. Dunivant berkata, beliau terus mendapat aduan mengenai Bishop yang merokok di dalam pejabat dan terpaksa memecatnya. - AP

Calon Presiden AS dedah cukainya

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MITT ROMNEY (kiri) dan Newt Gingrich mengambil bahagian dalam perdebatan calon Presiden Republikan di Universiti of South Florida di Tampa, Florida kelmarin.

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Calon yang setakat ini menduduki tempat kedua dalam pemilihan bagi mewakili Parti Republikan pada pilihan raya Presiden 2012, Mitt Romney kelmarin menyiarkan dokumen percukaian yang mendedahkan pendapatan beliau, menurut akhbar Washington Post.

Perkara tersebut dilakukan selepas Romney seteru politik Romney meningkatkan tekanan supaya beliau berbuat demikian.

Washington Post melaporkan pemimpin berusia 64 tahun itu memiliki pendapatan AS$21.7 juta (RM67.3 juta) pada 2010 dan AS$20.9 juta (RM64.9 juta) tahun lalu dengan keseluruhannya dijana menerusi aktiviti pelaburan.

Pernah memegang jawatan Gabenor Texas antara tahun 2003 dan 2007, Romney merupakan antara individu terkaya pernah menyertai pencalonan untuk bertanding merebut jawatan Presiden AS.

Menurut akhbar sama, keluarga Romney turut menghulurkan sumbangan AS$7 juta (RM21.7 juta) kepada pelbagai badan amal sejak tahun 2010 dan membayar cukai persekutuan cuma AS$6.2 juta (RM19.2 juta) untuk tempoh sama.

Beliau sebelum ini menyelar pemenang tempat pertama pencalonan Parti Republikan bagi menyertai pilihan raya Presiden 2012, Newt Gingrich.

Calon yang dipilih anggota-anggota Parti Republikan akan menentang Brack Obama dari Parti Demokrat pada pilihan raya Presiden AS, November depan. - Agensi

Lynas Peroleh Dana Siapkan Pembinaan Kilang Memproses Nadir Bumi Di Malaysia

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MELBOURNE: Lynas Corporation memperoleh dana mencukupi untuk menyiapkan pembinaan kilang memproses nadir buminya yang tertangguh di Kuantan, Malaysia.

Syarikat itu pada Selasa berkata ia memeterai dokumen pengikat bagi terbitan bon boleh tukar tidak bercagar US$225 juta.

Bon-bon itu dilanggan oleh dana yang diuruskan oleh syarikat pelaburan berpangkalan di AS, Mount Kellett Capital Management.

Lynas berkata modal yang dikumpulkan itu mencukupi untuk memulakan fasa pertama kilangnya di Kuantan dan menyediakan modal kerja menerusi aliran tunai daripada jualan.

Pengerusi eksekutifnya Nicholas Curtis berkata bon-bon itu lebih menarik berbanding kemudahan modal kerja yang kini agak lapuk kerana ia bagi tempoh jangka panjang dan kurang menelan kos.

Kelewatan pemerolehan, keperluan untuk menyiapkan kejuruteraan tambahan dan musim monsun baru-bau ini adalah alasan mengapa pembinaan kilang itu tertangguh, kata Lynas dalam satu kenyataan pada Selasa.

Apa yang penting, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia akan memutuskan minggu depan sama ada meluluskan lesen bagi kilang tersebut.

Dagangan saham Lynas digantung dan harga terakhir ialah pada A$1.28 sesaham. - BERNAMA

Wajah sebenar MB Kedah Dr Azizan

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

"KEDIAMAN

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.

Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

BANGUNKAN INSANIAH

Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.

CUKUP BERANG

"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.

Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.

Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.

Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.

Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.

Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.

HARGA KEMEJA MB

Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.

Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!

Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini,beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.

Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.

Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA

Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.

Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi

Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!

Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!

SERI MENTALOON

Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari. Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.

Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.

Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.

PERANGKAP WARTAWAN

Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.

"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

RAMADAN

Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!

Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!

Sumber : KedahLanie "

Kes Kematian Akibat Selesema Burung Di Barat Daya China

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BEIJING: Seorang lelaki berusia 39 tahun mati akibat patogenik avian influenza (H5N1), selesema burung di Baratdaya China pada Ahad petang, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Lelaki itu yang mula demam pada 6 Jan, mati di sebuah hospital di Guiyang, ibu negara Wilayah Guizhou, setelah menerima rawatan rapi selama tiga hari, menurut kementerian itu yang dilaporkan oleh Agensi Berita Xinhua.

Pusat kawalan dan pencegahan penyakit itu di kedua-dua peringkat wilayah dan nasional mengesahkan kes itu, jangkitan H5N1.

Setakat ini, 71 individu yang telah mendekati mangsa itu, tidak menunjukkan tanda-tanda luar biasa, menurut kementerian itu.

mStar/-