23 April 2012

Bersih 3.0: Pak Samad mahu kekal di Dataran Merdeka

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk A. Samad Said secara peribadinya mahu mengekalkan himpunan 'Duduk Bantah' diadakan di Dataran Merdeka, 28 April ini.

Mengulangi pendiriannya berulangkali, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad (gambar), menegaskan beliau dan Datuk S. Ambiga mempunyai sikap yang sama berhubung perkara tersebut.

"Setakat ini, Ambiga dan saya mempunyai sikap yang sama, iaitu mahu 'Duduk Bantah' ini diadakan di Dataran Merdeka. Tapi, kita ada jawatankuasa yang lebih ramai yang perlu dirujuk.

"Saya secara peribadinya ingin mengekalkan 'Duduk Bantah' ini diadakan di Dataran Merdeka. Sikap saya konsisten. Saya harapkan seluruh jawatankuasa masih bersedia untuk kekal di situ (Dataran Merdeka)," tegas beliau pada sidang media Jawatankuasa Bersih 3.0, di Dewan Perhimpunan Cina, pagi tadi.

Himpunan itu, tambah Pak Samad hanya menyaksikan hadirin duduk sahaja selama dua jam, dan ia tidak akan mendatangkan sebarang ancaman keselamatan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0, Dr Subramaniam Pillay berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan lokasi alternatif 'Duduk Bantah' itu.

Ia susulan penolakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membenarkan himpunan itu diadakan di lokasi bersejarah tersebut.

"Kita akan bermesyuarat malam ini bersama semua gabungan NGO. Mungkin esok akan ada keputusan konklusif daripada kami," kata beliau.

Bagaimanapun, tegas seorang lagi jawatankuasa pemandu, Maria Chin Abdullah, DBKL tidak menawarkan alternatif kepada Bersih dalam surat penolakan tersebut.

Sambil menegaskan Dataran Merdeka adalah 'milik rakyat', Maria berkata tidak ada sebab mengapa DBKL menolak program tersebut, sedangkan pelbagai program diadakan di lokasi tumpuan pelancong itu.

Antaranya program McDonald's Olympic Day Fun Run pda 17 Julai 2011, Standard Chartered KL Marathon 2011 (26 Jun 2011), BN Youth Ride Fest 2012 (17 dan 18 Februari 2012), World Kidney Day Run 2012 (3 Mac 2012), Nestle 100 Years Celebration (18 dan 19 Mac 2012) dan Konsert DiRaja (21 April 2012).

Minggu lepas, DBKL menolak permintaan Bersih untuk mengadakan himpunan di Dataran Merdeka atas alasan ia bukan satu acara nasional.

Harakah Daily

Fatmi tak yakin kedudukan Najib selepas PRU-13 !

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: “Kalau Datuk Najib masih ada di Putrajaya selepas PRU-13 ini bolehlah saya bawa pelajar-pelajar cemerlang UPSR sekolah ini ke sana.

“Namun kerana negara kita mengamalkan demokrasi, kita tidak tahu lagi siapa akan duduk di Putrajaya selepas ini. Kalau gitu kita gi ke masjidlah kerana sapa-sapa tidak boleh larang,” kata Setiausaha Politik (SUP) Perdana Menteri, Datuk Fatmi Che Salleh (gambar).

Beliau mendedahkan rasa kebimbangan itu pada ucapan ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Ismail 3 dekat sini, hari ini.

Pada program berkenaan Fatmi yang juga Ketua Umno Kota Bharu menyampaikan buku akaun Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Selain itu ada pelajar miskin yang menerima bantuan E-Kasih. Pelajar darjah satu pula menerima RM100 setiap seorang.

Tahun lepas difahamkan seramai 21 pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah terbabit ditaja tiket penerbangan ke Putrajaya oleh Fatmi.

Bagaimanapun ramai ibu bapa yang hadir di mesyuarat PIBG berkenaan mengeluh panjang kerana bantuan KWAPM sebanyak RM200 belum lagi dimasukkan ke dalam akaun pelajar bagi tahun ini.

Pada ucapan di majlis tersebut Fatmi sekali lagi mengulangi untuk membawa pelajar cemerlang sekolah itu ke Putrajaya sekiranya Najib masih menduduki kerusi Perdana Menteri.

Ibu bapa yang hadir pada mesyuarat tersebut dikehendaki mengesahkan kehadiran bagi mengelakkan anak mereka diambil tindakan pihak sekolah.

Kini mesyuarat PIBG diadakan di banyak sekolah sebagai pentas kempen Umno selepas ceramah yang dianjurkan mereka tidak mendapat sambutan.

Malam Sabtu lalu Umno menganjurkan ceramah berkelompok di rumah seorang penduduk berhampiran Masjid Lundang yang dihadiri beberapa kerat penduduk terutamanya wanita.

Turut kelihatan berucap pada majlis berkenaan pegawai Jabatan Penerangan Kelantan.

Namun program tersebut tenggelam kerana tidak jauh dari situ PAS mengadakan ceramah perasmian Markas PAS UPU Lundang.

Ceramah penerangan Umno terbabit berakhir jam 11 malam. Kemudian beberapa wanita di situ dilihat berjalan menuju ke tempat ceramah PAS pula.

Bilangan yang hadir pada ceramah PAS berpuluh kali ganda lebih ramai berbanding ceramah penerangan Umno yang diadakan di rumah bekas seorang guru.

Sempena pelancaran markas terbabit Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Ketua Muslimat PAS Pusat, Senator Mumtaz Md Nawi menyerah bendera bulan purnama kepada 11 wakil UPU Dun Bunut Payong.

Hadir sama pendakwah bebas, Ustaz Khairul Ikwan, Pengarah Pilihan Raya PAS Kota Bharu, Azahari Abdul Rahman, bekas Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak, Hamid Omar dan Mejar (B) Hassan Mahmood.

Harakah Daily

Taktik 2 pemandu tak menjadi

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Taktik dua pemandu lori mengubah suai tangki minyak lori penunda dan kepala treler bagi tujuan membeli diesel bersubsidi tidak menjadi apabila ditahan dalam ser­buan, petang kelmarin.

Serbuan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri pada jam 3 petang di sebuah stesen minyak Jalan Seremban – Tampin, di sini.

Ketua operasi, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim berkata, ia adalah hasil aduan orang ramai dan kegiatan dipercayai dilakukan sejak sebulan lalu.

Menurutnya, dua pemandu lori berusia 30-an ditahan ketika sibuk mengisi tangki minyak masing-masing.

“Mereka yang terkejut ketika ditahan bagaimanapun tidak melarikan diri dan memberikan kerjasama.

“Hasil pemeriksaan mendapati tangki minyak lori penunda dan kepala treler terbabit telah diubah suai kepada tangki khas yang lebih besar bagi membolehkan minyak diesel diisi dalam kuantiti lebih banyak,” katanya.

Hishamuddin berkata, pihaknya percaya dua lelaki terbabit menjalankan kegiatan tersebut lebih daripada sekali pada setiap hari sebelum menyimpan minyak berkenaan di tempat pengumpulan.

Menurutnya, modus operandi ialah menggunakan lori penunda dan kepala treler bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kita mengesyaki mereka membeli minyak dalam kuantiti banyak bagi tujuan penyimpanan dan untuk dijual dalam pasaran gelap.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan JPJ telah mengeluarkan saman bagi kesalahan mengubahsuai kenderaan,” katanya.

Sinar Harian

Polis umpan ‘duit surat khabar’

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

HI-TECH - Polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim, diketuai Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir berjaya menahan dua remaja lelaki yang juga suspek curi motosikal berusia 20-an di dua lokasi berasingan kira-kira jam empat dan sembilan pagi, kelmarin.

Difahamkan polis membuat penyamaran sebagai pembeli sudah berurusan dengan dua suspek berasal dari Baling itu sejak tiga hari lalu dan menetapkan kawasan tempat letak kereta Hospital Kulim sebagai tempat dimana mereka akan berjumpa.

Polis berjaya mengaburi pandangan suspek dengan hanya menggunakan keratan surat khabar sebagai duit.

Kira-kira jam tiga pagi, suspek pertama masuk ke perkarangan hospital dan menuju ke tempat dijanjikan dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Suspek kemudian memaklumkan polis, harga motosikal jenis Yamaha 125Z dipesan terpaksa dinaikkan dari RM500 kepada RM1,100 kerana ia motosikal baru.

Polis bersetuju dengan harga ditawarkan, tetapi mendesak suspek menunjukkan motosikal dimaksudkan terlebih dahulu berikutan suspek sebelum itu enggan berbuat demikian.

Hampir dua jam berbincang akhirnya suspek bersetuju menunjukkan motosikal Yamaha 125Z yang dilaporkan hilang dua hari lalu.

Setelah bersetuju, polis kemudian menunjukkan ‘wang’ yang ada dan meminta suspek menunjukkan motosikal Yamaha LC 135 itu.

Namun disebabkan curiga dengan perlakuan di sekeliling tempat perbincangan diadakan, suspek pertama bersama dua lagi rakannya masing-masing membawa motosikal curi cuba melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditahan.

Suspek menunggang motosikal Yamaha 125Z dan Yamaha LC 135 memecut melarikan diri dari kawasan hospital, tetapi dipintas polis sebelum salah seorang daripadanya merempuh pembahagi jalan di hadapan hentian bas, manakala seorang lagi terbabas.

Mereka kemudian melarikan diri ke semak berhampiran, sementara suspek yang berjaya ditahan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim.

Pemeriksaan mendapati suspek ditahan mempunyai rekod lampau mencuri motosikal, sementara usaha menjejaki dua lagi suspek terus dijalankan dengan bantuan Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim.

Kira-kira jam sembilan pagi semalam, ketika unit MPV polis dari Balai Polis Hi-Tech sedang membuat rondaan, mereka menemui seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berjalan berseorangan di kawasan taman perumahan.

Apabila MPV mendekati suspek, dia bertindak melarikan diri sebelum ditahan dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut serta mengaku pernah mencuri motosikal di Sungai Petani dan Kulim.

Ibu suspek turut di balai polis kelihatan menangis sebaik suspek dibawa keluar dalam keadaan bergari sebelum pindahkan ke Balai Polis Kulim.

Dengan tertangkapnya suspek terlibat, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian motosikal berlaku di sekitar Kulim dan Hi-Tech.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh mengucapkan tahniah kejayaan anggotanya sehingga tertangkapnya suspek.

Menurutnya kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

“Kita akan membanteras dan menahan semua penjenayah terlibat dalam kegiatan curi motosikal di sekitar Kulim hingga ke akar umbi. Kejayaan ini tidak dapat diperoleh tanpa bantuan orang ramai.

“Saya berterima kasih terhadap kerjasama diberikan dan berharap agar hubungan baik antara orang awam dan polis terus terjalin,” katanya.

Ghuzlan berkata, sehingga kini polis telah mengenal pasti beberapa lokasi dipercayai tempat menyimpan motosikal curi dan tempat tinggal suspek terlibat.

Sinar Harian

2 lelaki didenda, terima rasuah tukar keputusan ujian dadah

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BHARU - Dua lelaki didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan bersubahat menerima rasuah RM5,000 untuk menukarkan keputusan ujian dadah, tahun lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin memerintahkan Khairuz Fizran Abdul Kadir, 25, dan Mohd Norizam Sabran, 29, masing-masing membayar denda RM5,000 dan RM6,000 atau penjara tiga bulan selepas mereka mengaku salah atas tuduhan pilihan.

Kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur didakwa menerima rasuah daripada pemilik kedai emas, Loh Ah Ba @ Hsih Mei Hsing, 63, sebagai dorongan menggunakan pengaruh pegawai daripada Jabatan Kimia Johor Bharu untuk menukarkan keputusan ujian dadah.

Khairuz Fizran dan Mohd Norizam didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Nasi Kandar Shafina Sdn Bhd, di nombor 22-02, Jalan Tun Abdul Razak, Susur 6, Taman Suria Muafakat, di sini, kira-kira pukul 9.20 malam, 16 Jun 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 163 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mereka pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mengikut fakta kes, pada Februari 2011, suami kepada rakan Loh, iaitu Gan Kok Seng, 53, telah ditangkap oleh polis berkaitan kes dadah dan sehubungan itu, Loh telah meminta bantuan daripada kedua-dua tertuduh yang dikatakan mempunyai kenalan daripada Jabatan Kimia Johor Bharu.

Kedua-dua tertuduh ditangkap pada 16 Jun 2011, pukul 9.20 malam selepas menerima wang itu di Restoran Nasi Kandar Shafina, selepas wanita itu melaporkan kepada SPRM pada hari yang sama, pukul 6.30 petang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noorfazlin Hamdan dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Sinar Harian

Remaja dakwa dicucuh rokok, seterika panas

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun berasal dari Bandung Indonesia membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam sembilan malam kelmarin setelah mendakwa didera oleh majikannya sejak beberapa bulan lalu.

Mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah hanya mahu dikenali sebagai Ayu berkata, dia datang ke negara ini sejak lima bulan lalu.

Menurutnya, sebelum ini dia dijanjikan bekerja di sektor industri, bagaimanapun terpaksa menjadi pembantu rumah apabila tiba di sini.

“Sepanjang bekerja di rumah majikan, aku sering dimarahi olehnya. Lebih menyedihkan apabila badan aku turut dicederakan. Kerana tidak tahan dengan sikapnya, aku telah melarikan diri sebelum membuat lapo-ran polis.

“Aku datang ke Malaysia untuk bekerja dan mendapatkan wang, tetapi sebaliknya berlaku. Dari mula aku bekerja sehinggalah hari aku meninggalkan majikan aku, aku terus diseksa,” katanya yang ditemui di luar Balai Polis Kulim.

Ayu mendakwa, majikannya turut bertindak mencucuh puntung rokok ke muka dan badannya, selain turut mencederakannya dengan menggunakan seterika panas.

Menurutnya, dia pernah memberitahu majikannya sekiranya perbuatan mereka tidak berubah, dia akan melarikan diri, sebaliknya dirinya pula diugut.

“Suami majikan mengugut aku supaya jangan balik lagi ke rumah sekiranya aku melarikan diri dari rumah mereka. Jika ejen menghantar aku balik ke rumah mereka, pasangan suami isteri itu akan bunuh aku,” katanya.

Menurutnya dia akan menunggu wakil kedutaan Indonesia datang ke balai polis untuk menghantarnya balik ke Indonesia.

“Aku terpaksa berhutang hampir RM10,000 untuk datang bekerja di sini. Sebaliknya aku terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat bekerja,” katanya.

Sinar Harian

Kontraktor papan iklan maut terjatuh tangga

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KANGAR – Seorang kontraktor papan iklan maut akibat terjatuh setinggi kira-kira 10 meter ketika menurunkan papan iklan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pengkalan Asam, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Lim Teik Hock , 48, bersama dua lagi rakannya sedang menurunkan papan iklan terbabit, namun disebabkan keadaan papan tanda yang berat menyebabkan kedudukan Teik Hock tidak stabil dan terjatuh dari tangga yang dinaikinya.

Rakanya, Anuar Awang, 53, berkata, ketika itu, dia dan seorang lagi rakanya berada di sebelah kiri dan mangsa seorang diri berada di sebelah kanan papan tanda terbabit, namun ketika mereka sedang menurunkan papan tanda itu, Teik Hock hilang kawalan dan terjatuh.

“Pagi ini kami menurunkan dua keping papan tanda, papan tanda yang pertama sudah berjaya diturunkan, semasa menurunkan papan tanda kedua inilah kedudukan Teik Hock tidak stabil dan terjatuh dari tangga.

“Dia (Teik Hock) terjatuh dengan mukanya tersembam ke tar, tidak sangka kemalangan ini menyebabkan dia mengalami kecederaan parah dan meninggal,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tunku Fauziah (HTF), semalam.

Sementara itu, adik mangsa, Lim Hock Soon, 46, berkata, sebelum ini dia pernah meminta abang sulungnya itu berhenti daripada melakukan pekerjaan yang berbahaya itu, namun tidak diendahkan mangsa.

Hock Soon berkata, dia tidak menyangka permintaan supaya abangnya itu bersara daripada melakukan pekerjaan itu berakhir apabila dia dimaklumkan rakanya bahawa Teik Hock terlibat dalam kemalangan ketika menurunkan papan tanda.

Katanya, dia dimaklumkan doktor bahawa ketika kemalangan itu berlaku, terdapat darah yang berkumpul di kerongkongnya.

“Sebelum ini, saya pernah memberi cadangan kepadanya untuk berhenti daripada melakukan pekerjaan itu dan bekerja dengan saya, namun disebabkan minatnya dalam bidang itu, dia tidak mengendahkan kata-kata saya.

“Dia juga tidak memaklumkan kepada saya bahawa dia akan pergi bekerja pada hari ini (semalam), sedangkan sepatutnya dia mula bekerja pada minggu hadapan, tidak sangka dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut.

Sinar Harian

Mangsa lemas ditemui tersangkut pada ranting pokok

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Kerja mencari dan menyelamat yang dijalankan sejak Khamis lalu dihentikan selepas penemuan mayat mangsa lemas di lebih kurang 200 meter dari jeti Semenang, dekat sini.

Pegawai Operasi, Nazri Mohamat, berkata, sepasukan menyelamat mengadakan operasi mencari dan menyelamat sepanjang Sungai Perak bagi mencari seorang mangsa yang dipercayai lemas selepas turun memancing udang bersama anaknya.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Ramlan Ahmad, 34, ditemui tersangkut pada ranting pokok oleh pihaknya kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Ketika ditemui mayat itu dalam keadaan terlentang dan berpakaian lengkap malah kami mendapati terdapat kecederaan pada punggung mangsa.

“Lelaki ini merupakan bapa kepada kanak-kanak yang turut lemas dijumpai pada Jumaat lalu, selepas mereka turun bersama-sama untuk memancing udang di Sungai Perak pada pagi Khamis lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, pada Sabtu lalu Sinar Harian menyiarkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui lemas di celah rumput berikutan bot yang dinaiki terbalik, di Sungai Perak, kira-kira 200 meter dari Jambatan Sultan Yusuf dekat Ladang Nova Scotia.

Nazri berkata, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Teluk Intan, bagi tindakan selanjutnya.

“Penemuan kedua-dua mangsa adalah hasil kerjasama polis, Bomba dan Penyelamat dari Hutan Melintang, Teluk Intan, Unit Skuba dari Pulau Pangkor, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk,” katanya.

Sinar Harian

Orang Asal Perak, Pahang diangkut ke Kelantan

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG: Ramai di kalangan pemimpin masyarakat tempatan di sini mendakwa sekumpulan masyarakat Orang Asal yang berhimpun di hadapan Kompleks Kota Darulnaim baru-baru ini dibawa khas dari Pahang dan Perak.

Kata mereka hanya sekitar 20 peratus sahaja penduduk Orang Asal yang diangkut dari Gua Musang dengan ditaja khas pihak tertentu.

Jurucakap badan bukan kerajaan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat Orang Asal di sini berkata, hanya segelintir sahaja penduduk Orang Asal dari Pos Belatim yang diangkut khas ke Kota Bharu menyertai perhimpunan tersebut.

“Rata-rata masyarakat Orang Asal di sini memang saya kenal. Tetapi sebahagian besar yang diangkut ke SUK baru-baru ini bukan penduduk Orang Asal tempatan.

“Mereka diangkut dengan tujuh bas yang disewa khas dan ditaja pihak tertentu,” katanya di sini.

Pada 15 April lalu sekumpulan penduduk Orang Asal berdemontrasi di hadapan Kota Darulnaim dan menyerah memorandum mendesak kerajaan negeri mewarta tanah adat mereka.

Perhimpunan itu didakwa dianjur Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan yang diketuai Azmi Badol.

Ekoran itu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan sebahagian besar masyarakat Orang Asal terbabit bukan berasal dari Kelantan.

Namun media semalam melaporkan Azmi menafikan Orang Asal terbabit berasal dari luar Kelantan dan mendesak Menteri Besar memohon maaf.

Jurucakap NGO terbabit mendakwa perhimpunan berkenaan sebenarnya ada kaitan dengan Jaringan Orang Asli Semenanjung yang mendesak kerajaan-kerajaan negeri mewartakan tanah adat.

Malah ia turut disertai Orang Asal dari Selangor dan termasuk juga seorang peguam di kalangan kaum terbabit.

“Buat apa desak Menteri Besar mohon maaf, sedangkan bukti cukup jelas Orang Asal dari luar Kelantan yang dikerah berhimpun di depan SUK baru-baru ini,” ujarnya.

Pada Febuari lalu sekumpulan Orang Asal dipercayai didalangi Jaringan Orang Asal Semenanjung mengadakan demontrasi dan sekatan jalan raya di Kuala Betis, Gua Musang.

Ekoran itu penduduk Orang Asal tempatan, Ajom A/L Alang membuat laporan polis kerana tidak senang dengan tindakan JOAS yang disifatkan menganggu kehidupan mereka.

Ini kerana kumpulan terbabit sebahagian besar bukan penduduk Orang Asal tempatan, sebaliknya didatangkan dari Perak dan Pahang.

Sebelum ini Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan kawasan seluas 100 hektar di Pos Jedip dalam proses untuk diwartakan sebagai penempatan masyarakat Orang Asal.

Selain itu pada 2010 kerajaan negeri menyerah surat hak milik tanah kepada 89 penduduk Orang Asal di Pos Sendrop, Lojing.

Harakah Daily

Tan Sri Kadir, Catriona Ross bakal meriahkan makan malam PAS Titiwangsa

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa akan menganjurkan Majlis Makan Malam dan Pelancaran Dana PRU ke 13 Parlimen Titiwangsa pada 30 April 2012.

Majlis yang akan bermula jam 8.30 malam itu akan diadakan di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut akan dimeriahkan dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir.

Selain beliau, seorang lagi adalah Puan Catriona Ross, selebriti terkenal yang telah berhijrah ke dunia dakwah.

Antara pemimpin PAS yang akan hadir pula termasuk Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, yang juga ahli parlimen angkat untuk parlimen Titiwangsa.

Selain beliau Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud serta AJK PAS Pusat Ustazah Nuridah Saleh dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Tuan Haji Mohamad Noor Mohamad.
Difahamkan Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir yang akan menyampaikan pidatonya turut akan mengumumkan suatu kejutan pada majlis itu.

Bagi mereka yang ingin membeli kupon dengan harga serendah RM100 untuk satu kupon dan RM1,000 semeja, boleh menghubungi pihak penganjur di talian 012 4646292 atau 019 9988997.

Harakah Daily

Apa jadi dengan Awang Adek?

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

APA Najib dan UMNO hendak buat dengan Dr. Awang Adek Husein yang disambung menjadi senator pada 8 April lalu?

Yang menariknya dia adalah UMNO paling kanan di Kelantan selepas Dato Seri Mustapa Mohamad. Dia calon Menteri Besar kalau Barisan Nasional menang. Atau menteri kabinet kiranya BN berkuasa lagi jika Dato Pa jadi menteri besar.

Tetapi dia dijadikan senator lagi sedang PRU 13 sudah tinggal kurang dari 100 hari.

Adakah dia tidak bertanding dalam PRU itu, memadai kekal sebagai senator? Jika BN menang lagi bolehlah jadi menteri atau timbalan menteri selama tiga tahun saja. Penggal senatorshipnya yang terakhir. Selepas tiga tahun dia tamat dan hilang kelayakan jadi menteri kecuali dia menang pilihan raya Parlimen di mana-mana.

Kalau dia jadi calon Parlimen dalam PRU ini, dia kena letak jawatan senator. Dia tidak boleh senator lagi selepas itu kerana tempohnya sudah tamat. Seseorang hanya boleh jadi senator dua penggal.

Kalau dia kalah tetapi BN berkuasa lagi di Putrajaya, dia tidak boleh jadi menteri lagi kerana tidak layak lagi jadi senator.

Pengalaman Dato Wan Ahmad Farid Wan Salleh adalah contoh terbaik. Dia jadi Timbalan Menteri sebagai seorang senator. Sebaik senatorshipnya disambung dia meletak jawatan kerana jadi calon BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Tiba-tiba dia kalah. Kelayakan jadi senator sudah habis. Maka lucut jawatan timbalan menterinya. Jika dia terus jadi senator, dia boleh kekal jadi timbalan menteri hingga 7 April lalu. Tiada penggal ketiga bagi seorang senator.

Adakah Awang Adek akan letak jawatan senator untuk bertanding PRU 13 ini? Dia boleh jadi calon DUN dan boleh juga jadi calon Parlimen serentak. Bertuah kalau menang kedua-duanya atau menang salah satu. Dan mungkin juga kalah kedua-duanya.

Tiada siapa terfikir PAS akan kalah di Kelantan kecuali dengan kehendak Allah. Kalau PAS berkuasa lagi dan Awang Adek menang DUN, bolehlah dia jadi ketua pembangkang. Tetapi jika kalah lagi di Parlimen Bachok, Putrajaya masih di tangan BN, Awang Adek hilang peluang jadi timbalan menteri atau menteri.

Kiranya dia tidak meletak jawatan sebagai senator, kiranya BN menang lagi Awang Adek boleh kekal sebagai timbalan menteri atau menteri selama tiga tahun lagi.

Jika dia memilih untuk tidak menjadi calon, berpuas hati sebagai senator, maka dia tidak kira anak jantan dalam politik. Semasa PAS tidak meletakkan calon Muslimat dulu, senator itu dikira jawatan untuk orang perempuan saja. Kiranya BN mengekalkan Awang Adek sebagai senator, maka BN mengibaratkan Awang Adek sebagai orang perempuan saja.

Datuk Seri Najib telah mensyaratkan calon BN adalah terdiri dari orang yang boleh menang. Ketua UMNO Bahagian atau Anggota Majlis Tertinggi UMNO yang dirasakan tidak menjadi calon yang boleh menang, maka dia tidak akan dicalonkan.

Tempat yang sesuai bagi calon yang payah menang itu adalah di Dewan Senat saja. Awang Adek sudah tidak dapat mengulangi kemenangan di Bachok tahun 2008. Dia kalah dengan calon dari luar Kelantan yang bukan orang Kelantan.

Kalau dengan bukan orang Kelantan dari dari luar Kelantan pun dia pernah kalah, maka apakah dia boleh menang kalau berlawan dengan orang Bachok sendiri?

Mungkinkah Najib mengekalkannya sebagai senator kerana dia tidak dianggap calon winnable?

Wan Ahmad Farid telah dikritik kerana menerima tawaran disambung semula kerusi senat sedang kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada masa itu sudah kosong. Kemudian dia meletak jawatan senator yang baru disambung itu untuk menjadi calon. Adakah Awang Adek akan mengulangi politik yang dilalui oleh Wan Farid?

Apa UMNO buat pada Awang Adek dengan menjadikannya senator lagi pada ambang denggi pilihan raya sudah melanda?

Harakah Daily

Isu ponteng perlu dipandang serius

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BERA – Sejauh mana isu ponteng sekolah di daerah ini dipandang serius komuniti memandangkan masih ada kes penglibatan pelajar dengan aktiviti gejala sosial seperti merokok, dadah mahupun gejala maksiat dilakukan pada waktu sekolah.

Walaupun laporan statistik dikeluarkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menunjukkan penurunan 0.46 peratus isu ponteng sekolah di seluruh negeri ini pada tahun lalu, namun ia tidak seharusnya dipandang ringan pihak berkenaan terutamanya pihak sekolah, ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), Md Shabudin Wok berkata, aktiviti ponteng sekolah ini bukan sahaja menyebabkan pelajar terlibat ini tidak akan mendapat pendidikan sempurna malah boleh membawa mereka terjerumus dalam gejala seperti penagihan dadah.

Menurutnya, ada di kalangan pelajar sekolah terlibat dengan najis dadah sanggup ponteng sekolah untuk melepaskan gian.

“Walaupun ada di kalangan mereka yang mendapat didikan cukup daripada ibu bapa tetapi pengaruh rakan sebaya membolehkan mereka berubah.

“Hanya kerana mahu melepaskan gian, mereka sanggup ponteng sekolah sedangkan pada waktu paginya, mereka lengkap berpakaian seragam sekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Md Shabudin berkata, selalunya mereka akan menukar pakaian selepas keluar dari rumah dan berjumpa rakan sebaya di kawasan yang dijanjikan bagi mengelak mereka dicekup.

Katanya, antara sasaran mereka ialah kawasan ladang, rumah tinggal atau pun bandar berdekatan asalkan kawasan itu jauh dari orang yang mereka kenali.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kanak-kanak Daerah, Muhammad Amin Sardi berkata, golongan remaja adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan apa yang berlaku di persekitaran mereka.

Katanya, sikap ingin mencuba pada awalnya, berubah menjadi lebih serius apabila ada di kalangan mereka yang mula terasa tercabar melihat kehebatan rakan sebaya yang lebih berani melanggar peraturan sekolah.

“Mereka ini memang pantang dicabar. Tetapi sayang, mereka hanya berani sahut cabaran yang ke arah negatif sahaja.

“Untuk bertindak ponteng sekolah bagi mereka itu hanya perkara kecil kerana mereka lebih bijak memboloskan diri menerusi pintu rahsia yang dicipta mereka,” katanya.

Menurutnya, aktiviti ponteng sekolah ini sebenarnya lebih memberikan imej negatif bukan sahaja kepada mereka tetapi kepada pihak sekolah dan ibu bapa terbabit.

Sinar Harian

Bekas tentera tidak mampu bayar baki hutang

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MENTAKAB - Seorang bekas tentera merayu pihak berkenaan membenarkannya membayar hutang pembelian rumah yang kini berjumlah RM52,534.14 secara ansuran kerana tidak mampu membuat pembayaran sekali gus seperti diminta.

Rosely Salleh, 57, berkata, tambahan pula dia kini bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji hanya RM900 sebulan.

“Saya berkhidmat sebagai tentera selama 10 tahun, tetapi tiada pencen kerana berhenti awal. Dalam hal ini, saya merayu kerajaan membantu saya dan prihatin mengenai nasib kami sekeluarga.

“Ketika berkhidmat sebagai tentera, saya sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah air. Sehubungan itu, saya harap kerajaan dapat membantu kerana saya benar-benar tidak mampu membayar jumlah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosely berkata, dia juga bimbang jika mereka sekeluarga dipaksa keluar sekiranya tidak membayar jumlah dikehendaki.

Tambahan pula katanya, mereka tidak tahu ke mana tempat perlu dituju kerana tiada tempat tinggal lain.

“Rumah ini saya beli pada 1992. Ketika itu, rumah ini berharga RM26,889. Namun pada 2002, sampai surat meminta saya membayar sebanyak RM35,703.87 sebelum meningkat kepada RM52,534.14.

“Dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan, saya perlu menyara tujuh anak. Isteri, Hasiah Osman, 58, pula tidak bekerja di samping menghidap darah tinggi serta gastrik,” katanya.

Rosely merayu bantuan orang ramai untuk meringankan beban mereka sekeluarga dengan memberi sumbangan ke akaun Ambank 101-002-005884-6 atau Maybank milik Hasiah, 156020320683.

Sinar Harian

Kami rindukan adik, pulanglah...

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH – Kehidupan pasangan suami isteri, Syed Daud Syed Ibrahim dan Jamilah Nordin dihantui kebimbangan apabila anak mereka, Sharifah Norazmira, 16, tidak pulang ke rumah sejak dua minggu lalu.

Syed Daud 52, yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Perhutanan dan tinggal di kuarters kerajaan dekat Seberang Temerloh berkata, anaknya itu dilaporkan hilang sejak 9 April lalu ketika dia dan isteri menghantar anak kedua keluar bekerja di bandar ini.

Menurutnya, ketika itu Norazmira atau mesra dipanggil ‘adik’ tinggal bersama datuk dan neneknya yang kebetulan berada di rumah.

“Hari itu, dia mengadu sakit perut dan tidak ke sekolah walaupun pada mulanya semua kelengkapan sudah disediakan termasuk wang belanja RM3.

“Saya keluar hampir jam 10 pagi untuk menghantar anak kedua, Sharifah Norazmida bekerja. Dalam tempoh setengah jam sahaja, Norazmira keluar sehelai sepinggang tanpa disedari datuk dan neneknya,” katanya, semalam.

Syed Daud berkata, selepas menyedari kehilangan anaknya itu, dia dan isteri segera membuat laporan polis, namun sehingga hari ini masih tiada petunjuk di mana anaknya berada.

Menurutnya, Norazmira tidak pernah berkelakuan pelik seperti itu kerana dia seorang pemalu dan jarang keluar rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga.

“Pertama kali dia bertindak seperti ini membuatkan kami sekeluarga runsing mengenangkan nasibnya sekarang.

“Pada mulanya, kami sekeluarga mencari menerusi kawan-kawannya termasuk rakan sekelas di Sekolah Menengah Telok Sentang. Namun, mereka tidak tahu ke mana dia pergi membuatkan kami sekeluarga buntu,” katanya.

Syed Daud berkata, dia juga menggunakan khidmat lebih 10 pengamal perubatan Islam hingga ke Negeri Sembilan untuk mengetahui lokasi sebenar adik berada.

Menurutnya, keluarganya sering melakukan solat hajat dan menggunakan pelbagai ikhtiar lain untuk bertemu semula dengan adik.

“Akibat musibah ini, kehidupan kami sekeluarga tidak terurus hingga menyebabkan prestasi kerja saya merosot,” katanya.

Syed Daud berkata, dia merayu mana-mana pihak memaklumkan kepada dia atau polis jika tahu di mana anaknya berada.

“Saya juga merayu jika ada sesiapa mengambil anak saya, tolonglah pulangkan. Saya berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas mereka. Saya bersedia berbincang kerana kami sekeluarga terlalu merindui adik,” katanya.

Menurutnya, pihak yang mengetahui di mana anaknya atau mempunyai sebarang petunjuk berkaitan boleh menghubungi talian 0119941736 atau 0179736930.

Sinar Harian

Pekerja kontrak mengaku salah ceroboh rumah

1 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja kontrak Telekom mengaku bersalah menceroboh masuk rumah milik seorang kontraktor di Kampung Kubang Palas, Bukit Payong, Marang pada 16 April lalu di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Muhammad Nasharizam Ghani, 19, dari Kampung Kubang Palas, Bukit Payong, Marang mengaku melakukan pencerobohan jenayah di dalam kawasan rumah milik Abdullah Mamat, 57, kira-kira jam 12.15 tengah malam bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas.

Dengan itu, Muhammad Nasharizam mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Pendaftar Mahkamah Sesyen Rosila Nik menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh jatuh hukum di Mahkamah Majistret Marang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, pemilik rumah berkenaan berada di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang.

Kira-kira jam 12.15 tengah malam, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya yang berada di Dungun kerana anaknya menerima maklumat daripada sepupunya yang berada di Kampung Kubang Palas, memaklumkan rumah mereka telah dimasuki orang.

Tanpa membuang masa, Abdullah bersama rakannya bernama Mat Amin telah membuat intipan dan semasa itulah, Mat Amin terserempak dengan tertuduh yang dikenali sebagai Mat Jang, bersama rakannya tidak dikenali berlari ke arah sebuah motosikal yang ditinggalkan di hadapan surau di tepi pagar rumah, lalu melarikan diri.

Hasil pemeriksaan di sekitar rumahnya, Abdullah dapati cermin tingkap di bahagian stor dipecahkan, namun tiada barang yang hilang.

Abdullah mengambil keputusan membuat laporan polis bagi memastikan rumahnya tidak lagi terus menjadi sasaran penyangak memandangkan pada Februari lalu, rumahnya sudah diceroboh.

Susulan itu, tertuduh ditangkap dirumahnya pada hari sama kejadian kira-kira jam 6.30 petang di kediamannya di Kampung Palas, Bukit Payong, Marang.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 18 April lalu melaporkan, seorang kontraktor bertindak berani menyerang penjenayah berkenaan berbekalkan sepucuk senapang patah, gara-gara terlalu geram sejurus mengetahui rumah miliknya yang ditinggalkan, dipecah masuk,

Dalam kejadian itu, kontraktor terbabit telah melepaskan tembakan dan terkena pada kaki salah seorang daripada penjenayah terbabit yang cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadirannya.

Bagaimanapun, kontraktor itu tidak menyangka peluru penabur yang dilepaskan terkena salah seorang suspek.

Sinar Harian